Categories
NASIONAL

Azmin perlu fokus jalankan tugas-Wanita KEADILAN

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 15 JUN: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disarankan terus memberi tumpuan terhadap tugas demi memastikan kemajuan dan pembangunan negara.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, pihaknya turut sepakat menyokong kepimpinan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden parti serta bersama-sama menghadapi ujian terbabit.

“Sokongan kita semua (Wanita KEADILAN) tidak berbelah bagi dan tidak sepatutnya menyokong politik durjana yang dirancang pihak tertentu,” katanya pada sidang media di Rumah Terbuka Wanita KEADILAN, di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Semalam, sebuah badan bukan kerajaan yang menamakan diri mereka Otai Reformasi dilaporkan menggesa Putrajaya merehatkan Mohamed Azmin daripada tugasnya sebagai menteri susulan kontroversi kes video lucah yang dikaitkan dirinya bersama seorang lelaki.

Mengulas lanjut, Haniza turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan segera dan mengesan mana-mana pihak yang menyebar serta mengedarkan video itu sewenang-wenangnya.

Katanya, beliau percaya kemampuan SKMM untuk mengesan sumber yang mengeluarkan video terbabit.

“Jangan terperanjat jika ada lagi video yang akan dikeluarkan, jadi SKMM perlu bersiap sedia untuk hadapi situasi ini dan ambil tindakan segera sesiapa sahaja yang mengedar video berkenaan.

“Tindakan perlu diambil sebab ini sahaja cara untuk kita membanteras pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan internet untuk tujuan jahat,” katanya.

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

Jadi mentor, upaya sosio-ekonomi wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 14 JAN: Wanita KEADILAN zon tengah digalak mampu menjadi mentor kepada wanita zon lain untuk merancakkan ekonomi golongan terbabit.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, ia kerana wanita KEADILAN zon tengah mempunyai Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang berfungsi meningkatkan status sosio-ekonomi wanita.

“Saya optimis kemahiran yang diperoleh wanita KEADILAN zon tengah dalam PWB mampu memberi tunjuk ajar dan menjadi mentor kepada wanita di zon lain.

“Itu antara agenda kita iaitu mahu memberi fokus melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Wanita KEADILAN 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Pelancaran Kempen Membanteras Keganasan Terhadap Wanita, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Wanita Wilayah Persekutuan, Idawate Pariman.

Antara zon lain adalah membabitkan wanita KEADILAN zon Johor, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak

Pada masa sama, Haniza berkata, satu pertemuan sedang diatur untuk bertemu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Sri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan strategi mengembangkan ekonomi wanita seluruh Malaysia.

Terdahulu, konvensyen zon tengah yang menghimpunkan hampir 500 jawatankuasa wanita KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan itu bertujuan memperkenalkan saf kepimpinan wanita peringkat pusat dan negeri.

Categories
NASIONAL

Wanita KEADILAN komited lahir pemimpin muda

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 14 JAN: Wanita KEADILAN komited mahu melahirkan kepimpinan wanita muda kerana kerana golongan itu adalah masa depan negara, kata Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha.

Beliau berkata, fokus diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk mereka melaksanakan program ‘Girls To Leader’ bertujuan mendidik wanita muda itu tampil sebagai pemimpin.

“Kita bercadang mahukan remaja perempuan seawal usia 13 hingga 25 tahun akan mengikuti program ini sekali gus apabila tiba masanya mereka boleh menjadi pemimpin kepada wanita lain.

“Ia kerana untuk mengasah bakat dan melahirkan pemimpin wanita muda sekali gus mampu menjadi sebagai pembuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Wanita KEADILAN 2019 Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Pelancaran Kempen Membanteras Keganasan Terhadap Wanita, di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, beliau meminta semua Ketua Wanita KEADILAN setiap cabang membentuk jawatankuasa khas bagi menarik lebih ramai wanita mengikuti program berkenaan.

“Kita juga mendapat cadangan daripada pimpinan sayap wanita iaitu sekiranya tiga calon dikemukakan untuk bertanding, seorang perlu terdiri dalam kalangan wanita muda.

“Ia juga selaras dengan usaha sayap wanita KEADILAN yang mahukan penglibatan 30 peratus wanita dalam politik itu tercapai,” katanya.

Categories
NASIONAL

Zuraida: Najib tidak peduli hak wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 DIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba mengaburi mata rakyat dengan menjanjikan 30 peratus daripada kerusi senator diberikan kepada wanita, kata Zuraida Kamaruddin.

Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, bagaimanapun Najib seperti tidak bersungguh meletakkan lebih ramai calon wanita dalam pilihanraya ketika berucap pada Persidangan Women in Politics, Kuala Lumpur 2017 (WIPKL 2017) baru baru ini.

“Ini merupakan penghinaan kepada wanita dan kegagalan besar buat Malaysia memandangkan negara kita sudah 60 tahun mencapai kemerdekaan, namun masih belum berupaya membabitkan 30 peratus penglibatan wanita dalam politik.

Zuraida berkata, adalah tindakan memalukan apabila Pengerusi Persidangan Women in Politics WIPKL 2017, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menjemput pemimpin negara terbabit dalam skandal gergasi 1MDB untuk merasmikan persidangan itu.

Katanya, langkah Shahrizat menimbulkan persoalan daripada delegasi dari 18 negara dan 27 parti politik mengenai integriti dan autoriti wanita membenarkan perkara ini berlaku.

“Tindakan Najib Razak yang begitu kejam terhadap wanita ini sepatutnya menjadi sebab yang amat kukuh untuk semua wanita tidak menerima kehadiran beliau di dalam persidangan yang bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pada persidangan berkenaan, negara yang menghantar delegasi ke persidangan WIPKL 2017 itu adalah Uganda dan Rwanda dengan masing masing mempunyai keterlibatan wanita lebih ramai berbanding Malaysia.

“Malaysia berada di tangga 158 dari seluruh negara di dunia, dengan hanya 23 wanita sebagai ahli parlimen dari 222 kerusi. Fakta ini direkodkan oleh Inter-Parliamentary Union yang diterbitkan pada Oktober lalu.

“Wanita menurut UMNO perlu sentiasa disuruh taat setia, tinggal di rumah, memasak dan menjaga keluarga, jauh sekali untuk terlibat dalam politik.

“Ini kerana wanita yang berani dan tabah akan terus dikecam dan dianggap tidak sesuai untuk memimpin masyarakat. Wanita UMNO tidak mempunyai apa-apa dasar lain demi kelangsungan dan pembangunan wanita,” katanya.

Categories
NASIONAL

Rakyat menderita, Umno tidak faham

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Segala petunjuk mengatakan ekonomi negara dalam keadaan baik langsung tidak mencerminkan keadaan sebenar dihadapi rakyat, kata Zuraida Kamaruddin.

Ketua Wanita KEADILAN itu berkata, ia dibuktikan Merdeka Centre dalam tinjauan terbarunya yang mendapati 15 peratus rakyat mengikat perut selain 29 peratus lagi tiada simpanan RM500 untuk kecemasan.

“Pasti sukar bagi Umno memahami bahawa 15 peratus rakyat terpaksa mengikat perut untuk menyara kehidupan akibat kos sara hidup yang tinggi,”katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, Merdeka Centre melakukan tinjauan membabitkan 1,203 pengundi berdaftar, pada 4 hingga 14 November lalu.

Secara keseluruhannya, tinjauan itu juga mendapati 72 peratus rakyat Malaysia masih bimbang berkenaan kos sara hidup, kemelesetan ekonomi dan kesukaran mendapatkan pekerjaan.

Malah, hampir dua pertiga daripada responden ‘merasa tertekan’ apabila memikirkan masa depan sementara 40 peratus sering mempunyai masalah untuk membayar bil utiliti tepat pada waktu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, tinjauan itu juga mendapati kumpulan bawah 40 peratus (B40) memperolehi pendapatan bulanan RM2,000 sedangkan kos sara hidup di bandar adalah RM2,530.

“Berdasarkan Belanjawan 2018, tujuh juta rakyat Malaysia menerima Baucer Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan sasaran kepada 13 juta untuk pengundi berdafar, ia sekali gus menunjukkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia berpendapatan rendah.

“22.5 peratus daripada jumlah rakyat mempunyai pendapatan kurang daripada RM4,000 untuk setiap isi rumah jadi adakah kerajaan sebelah sana peduli dengan kebajikan rakyat?,” soalnya.

Zuraida berkata, prestasi baik pasaran saham dan ringgit kukuh sudah pasti akan digunakan sebaiknya Kerajaan untuk menyuntik pelbagai bantuan tunai bagi membina keyakinan pengundi kepada mereka disaat Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.

“Malah secara tidak langsung harga minyak pun akan turun untuk mengambil hati semua pengundi untuk mengundi kerajaan mereka,” katanya.

Terdahulu, Zuraida menggesa kepada semua pengundi untuk banteras isu rasuah dan mengubah kerajaan pada PRU akan demi menyelamatkan generasi muda dari terus kelaparan.

Categories
NASIONAL

Hasil kekayaan bumi Pahang dirobek Pak Menteri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 2 OKT : Kekayaan hasil bumi negara kini tidak lagi disalurkan secara telus dan amanah kepada rakyat, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, perolehan hasil itu diseleweng sehingga menyebabkan komoditi pesawit dan peladang masih berada di takuk lama, sejak 30 tahun lalu.

“Idea pembentukan Felda itu sangat murni untuk beri peluang orang Melayu memiliki ladang dan tanah.

“Namun, apa yang berlaku usaha murni itu seolah-olah kian lenyap tanpa perubahan positif,” katanya pada siri Jelajah Penerangan 1MDB ‘Bohong Tak Berpenghujung’ di sini.

Lebih mengecewakan katanya, Kerajaan Persekutuan disifatkan tidak komited membantu golongan ini walaupun perolehan hasil komiditi ladang dan sawit dilihat semakin berkembang di peringkat antarabangsa.

zuraida-kamaruddin“Kalau bapak jolok sawit, adakah wajar anak juga perlu jolok sawit? Sepatutnya komoditi ini dibantu dan menerima pengiktirafan.

“Tetapi di negara kita peneroka dan pemilik ladang khususnya di Pahang masih lagi dalam keadaan ini,” katanya.

Mengakui hakikat tersebut, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang optimis nasib golongan peneroka mampu diubah sekiranya masyarakat Pahang melakukan perubahan.

“Mengambil contoh Kerajaan Selangor yang melayani golongan peneroka dan pemilikan tanah orang asli secara adil.

“Saya percaya perubahan di Pahang, mampu dibuat sebagaimana kemajuan dinikmati masyarakat di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Rakyat keutamaan, atasi agenda peribadi

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 27 NOV : Parti pembangkang perlu meletakkan rakyat sebagai keutamaan mengatasi agenda peribadi untuk menyelamatkan negara daripada Barisan Nasional (BN).

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berkata tindakan saling mencabar antara satu sama lain hanya menzahirkan sikap kebudak-budakan dalam suasana politik yang kian rapuh.

“Dalam proses membina dan menerajui pakatan pembangkang, Wanita KEADILAN berharap semua parti belajar dan mengimbas semula perjuangan kita untuk mencapai sepakat melalui kematangan politik.

ZURAIDAH KONGRES“Misi bersatu memenangi Putrajaya lebih penting, oleh itu kita harus menjaga batas dalam berkomunikasi dan terbuka melalui perbincangan aktif bagi merealisasikan perlawanan satu lawan satu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Nasional di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Zuraida turut mengingatkan perjuangan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhempas pulas menyatukan pembangkang dalam satu gagasan.

“Walaupun jasadnya dipenjarakan, namun idealismenya harus terus menjalar dan meresapi setiap sanubari rakyat supaya tiada lagi penindasan berlaku ekoran kecetekan ilmu dalam politik,” katanya.

Kongres kali ke-11 itu adalah bagi memilih perwakilan di samping berbahas berkenaan pelbagai isu semasa dan parti.

-nR-

Categories
NASIONAL

Zuraida gerun dengar BN puji GST

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 27 NOV : Perbahasan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Parlimen yang memuji keberanian Perdana Menteri melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) demi menyelamatkan ekonomi amat menggerunkan.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berkata BN seolah-olah tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat yang kenyakkannya mengeluh apabila GST dilaksana.

ZURAIDAH KONGRES“Saya mencabar wakil rakyat BN untuk balik kampung beri ceramah di kawasan masing-masing mengatakan GST bagus untuk rakyat.

“Saya yakin mereka akan dilempar telur busuk dan ditolak pengundi di kawasan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti,” katanya pada Kongres Nasional Wanita KEADILAN di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, golongan wanita yang bertindak sebagai ‘Menteri Rumah Tangga’ menjadi mangsa utama apabila GST dilaksanakan ekoran terpaksa memikir jalan terbaik mengurus perbelanjaan keluarga.

Katanya, golongan itu perlu diberi pengiktirafan dalam mengendalikan ekonomi rumah tangga dengan bijak terutama perihal kewangan.

tolak gst 4“Wanita KEADILAN pernah menggesa BN menyalurkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada suri rumah supaya dimanfaatkan secara langsung daripada pembayaran wang tunai itu.

“Ia sejajar dengan Bajet Responsif Gender di mana wanita diberi kuasa membuat keputusan dalam hal ehwal kewangan keluarga,” katanya.

Selain itu, Wanita KEADILAN juga mencadangkan program Caruman Wanita Malaysia sebanyak RM50 sebulan kepada suri rumah berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

-nR-

Categories
NASIONAL

Wanita terus terpinggir bawah BN

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 27 NOV : Barisan Nasional (BN) masih gagal melaksanakan polisi mesra wanita dalam meningkatkan kualiti golongan itu meskipun lebih 50 tahun memerintah negara.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berkata keadaan itu bertambah malang apabila Bajet 2016 lalu meminggirkan pembangunan wanita sebanyak -11.58 peratus dalam perbelanjaan keseluruhannya.

ZURAIDAH KONGRES“Lebih mengecewakan kemerosotan dalam anggaran perbelanjaan pembangunan iaitu -43.93 peratus yang tidak memungkinkan kedudukan wanita Malaysia dalam dan luar negara dilonjakkan.

“Ia membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah hipokrit kononnya wanita akan diperkasakan dan mempunyai peluang sama rata dalam pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita KEADILAN sempena Kongres Nasional di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Zuraida berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga tidak berdaya mempertahankan polisi dan pendirian untuk memartabatkan kehidupan golongan itu.

Justeru, katanya ini adalah masa terbaik menyeru pengundi wanita menolak kerajaan BN khususnya Najib yang terpalit pelbagai skandal sejak menjadi Perdana Menteri.

“Ini menjadi cabaran unggul bagi wanita KEADILAN menyalurkan fakta dan menyebarkan kebenaran kerana jika dibiarkan, ia akan menyulitkan masa depan anak dan cucu cicit kita.

“Kita harus merancang cara menandingi medium propaganda BN melalui media arus perdana dengan merangka pendekatan kreatif dan berkesan,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Selangor bukti terbaik martabat peranan besar wanita

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 27 NOV : Peluang melepasi sasaran lebih 30 peratus penglibatan wanita dalam ekonomi, politik dan sosial pada 2020 adalah cerah, kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, Selangor adalah contoh terbaik mengiktiraf golongan itu dengan memperlihatkan 13 Adun wanita daripada Pakatan Rakyat dan dua daripadanya dilantik sebagai Exco negeri.

ZURAIDAH KONGRES“Kejayaan pendekatan Kerajaan Selangor terhadap pembangunan wanita akan menjadi tanda aras dan kayu pengukur kejayaan Wanita KEADILAN.

“Kita berjaya membentuk dan menonjolkan kepimpinan anggota wanita KEADILAN di peringkat akar umbi juga melalui program kelolaan Pusat Wanita Berdaya yang mendapat nafas baru di bawah Dr Daroyah Alwi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita KEADILAN sempena Kongres Nasional di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hari ini.

Pada masa sama, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, kejayaan dikecapi hari ini bukanlah proses mudah tanpa melibatkan kepercayaan antara satu sama lain.

Katanya, masing-masing memainkan peranan strategik dalam menjayakan perancangan KEADILAN dengan profesional dan teratur.

KONGRES PKR 2015 - 1“Segalanya cukup membuktikan politik bukanlah sesuatu yang asing bagi wanita memandangkan golongan ini jelas menunjukkan kepimpinan unggul setelah kejayaan demi kejayaan dicapai.

” Menjadi harapan saya wanita KEADILAN akan terus menjadi inspirasi kepada wanita Malaysia,” katanya.