Categories
AGENDA NASIONAL

MySejahtera kini ada fungsi daftar keluar – Khairy

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Aplikasi MySejahtera akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu bagi memudahkan penggunanya memaparkan status kesihatan mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu hantaran Twitternya malam ini berkata pasukan yang dipertanggungjawabkan akan memulakan proses penambahbaikan malam tadi bagi memudahkan orang ramai memaparkan tahap risiko dan status vaksinasi masing-masing.

“Ini akan memudahkan dengan Covid yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Kami akan terus mengemas kini dan menambah baik aplikasi itu dalam minggu-minggu berikutnya.

Khairy berkata satu ciri terbaharu dalam aplikasi MySejahtera ialah butang daftar keluar yang ditambah bagi menambah baik proses pengesanan kontak.

“Sebaik sahaja meninggalkan satu tempat, perlu sentiasa ingat untuk daftar keluar. Anda hanya perlu menekan satu butang – tiada imbasan diperlukan,” katanya.

MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak Covid-19 di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru, kumpulan sokongan terima vaksin sebelum buka sekolah

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Semua warga pendidik dan kumpulan sokongan akan menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan secara bersemuka bermula secara berperingkat yang dijadual pada 1 Sept.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenal pasti bilangan guru, anggota pelaksana dan perkhidmatan kontrak untuk penjadualan janji temu dos pertama vaksin.

Setakat semalam katanya, sejumlah 303,682 atau 73.5 peratus guru di seluruh negara menerima suntikan satu dos vaksin.

“Seramai 45,197 anggota kumpulan pelaksana (67 peratus) dan 33,633 pekerja perkhidmatan sokongan kontrak (38 peratus) (sekolah kerajaan) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala bagi sekolah swasta 12,894 guru (66.4 peratus) sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Saya bersama menteri pendidikan beri jaminan bahawa semua warga pendidikan akan diberi vaksinasi sebelum sekolah bermula,” katanya ketika menggulung pertanyaan Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy hari ini membentangkan penerangan berhubung pelaksanaan PICK dan seramai 23 Ahli Parlimen mengajukan pertanyaan dan cadangan yang antara lain turut menyentuh isu vaksin bagi sektor pendidikan, kelewatan perolehan vaksin serta masalah logistik dan pengagihan vaksin.

Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) membangkitkan soal vaksinasi bagi sektor pendidikan yang turut mencadangkan agar semua warga Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) diberikan vaksin.

Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan vaksin dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS) yang berada dalam ujian klinikal fasa tiga di negara ini sejak Januari lepas mungkin akan dapat diketahui keputusannya hujung tahun ini.

“Ada syarikat yang dah mula proses pendaftaran vaksin ini dengan NPRA (Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara), bila NPRA dah puas hati dengan dossier atau maklumat terkandung dalam permohonan itu maka kita akan beri kelulusan.

“Saya juga maklum bahawa vaksin ini telah terima Emergency Use Authorisation di China… jadi vaksin ini mungkin kita akan luluskan dalam masa terdekat,” katanya menjawab persoalan yang dibangkitan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu).

Dalam perkembangan lain, Khairy sekali lagi memaklumkan isu berhubung penetapan harga siling vaksin Covid-19 untuk pasaran swasta akan ditentukan dalam mesyuarat JKJAV minggu hadapan.

“Perkara ini telah dimaklumkan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan disyor jawatankuasa itu semalam,” katanya sambil memberitahu rundingan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin untuk memuktamadkan pemerolehan vaksin bagi 2022 sedang dilakukan.

Menjawab soalan Dr Kelvin Yii (DAP-Bandar Kuching) mengenai ujian antibodi untuk menilai imuniti selepas divaksin, Khairy berkata buat masa ini Malaysia tidak menyarankan ujian itu dibuat selaras garis panduan oleh United States Food and Drug Administration (FDA) dan Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

Malaysia, katanya, sedang membangunkan satu dasar untuk ujian antibodi itu dan memperuntukkan RM15 juta bagi ‘antibody immunosurveillance program’ di bawah Institut Penyelidikan Perubatan Kementerian Kesihatan (IMR).

“Kajian ini penting untuk melihat tahap antibodi dan neutralizing antibody dalam kalangan penerima-penerima vaksin di Malaysia dan dapat ditentukan meliputi beberapa perkara spesifik.

“…ini adalah penyelidikan perubatan yang sedang dijalankan dan bagi ujian antibodi… kita masih belum ada garis panduan dan saya harap boleh dilaksanakan,” katanya.

Khairy juga bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) agar kerajaan melihat ke hadapan berhubung kajian vaksin generasi kedua pelbagai varian bagi persiapan melawan varian baharu atau penyakit zoonosis (penyakit bawaan haiwan).

Berhubung cadangan melanjutkan selang masa antara dos pertama dan kedua Pfizer, Khairy berkata kerajaan pada awalnya sudah bersetuju, namun disebabkan penularan varian Delta COVID-19 tempoh selang masa tiga minggu itu dikekalkan.

“Kita dapati keberkesanan satu dos Pfizer melawan varian Delta hanya 30 peratus, oleh sebab itu kita kekalkan dengan tempoh selang masa itu,” katanya.

Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersambung esok dengan pembentangan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan Pakej Bantuan Ekonomi.

— BERNAMA