Categories
NASIONAL

Tiada cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah bercadang untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi tujuan menambah kerusi parti DAP di Parlimen, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

“Ini semua cerita dongeng yang kita tidak pernah dengar dan tidak pernah dibincangkan… yang pernah kita timbul dalam kabinet ialah masalah pindaan persempadanan semula yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan terdahulu,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan parti Amanah Shah Alam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam mengulas mengenai dakwaan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, bahawa terdapat usaha untuk meminda perlembagaan bagi tujuan membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Ahmad Zahid berkata kemungkinan berlaku juga pertambahan kerusi di kawasan bandar yang mana akan memberi tambahan bilangan kerusi tersebut kepada DAP.

“Tiada sebab kita nak ubah atau pinda (persempadanan) sekalipun kerana kita telah menang pada Pilihan Raya Umum yang lalu,” kata Khalid. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Konsep Bandar Belia Malaysia diperluas

TANJUNG MALIM, 18 JUN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berminat menyertai konsep perancangan bandar mesra belia di kawasan berpotensi untuk dibangunkan digalakkan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menteri bertanggungjawab Khalid Abdul Samad berkata pembangunan Bandar Belia Malaysia (BBM) Tanjung Malim yang lengkap dan memenuhi kehendak belia pada masa kini diharap menjadi penanda aras bagi perancangan bandar mesra belia di kawasan-kawasan lain pada masa depan.

“Setakat ini, antara projek perintis di kawasan lain yang sedang dibangunkan menerusi konsep ini ialah di Sabah (Tuaran), Sarawak (Lundu) dan Putrajaya,” katanya pada sidang media sempena lawatan Turun Padang ke Tapak Pembangunan BBM Tanjung Malim di sini hari ini.

Khalid yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) berkata Majlis Daerah Simpang Renggam turut menyatakan hasrat membangunkan Bandar Renggam sebagai salah satu bandar mesra belia yang pertama di wilayah selatan.

“Mereka boleh memohon dan menyatakan minat serta mengikuti taklimat dan program yang Tanjung Malim dijadikan sebagai penanda aras kerana ia yang terawal,” katanya.

Menurut Khadid, BBM merupakan satu konsep mengatasi masalah di hadapi oleh negara termasuk penghijrahan golongan muda dari kawasan pinggir bandar dan luar bandar ke bandar.

Dalam pada itu, Khalid turut mengadakan lawatan ke tapak projek Taman Rimba Bandar (Ujana Muallim) di Bandar Proton yang berkeluasan 15 hektar dan komponen-komponen BBM di sekitar Pusat Bandar Tanjung Malim.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daik berkata Ujana Muallim yang siap dibina pada April lepas dengan kos sebanyak RM9 juta merupakan sebahagian pembangunan Bandar Proton.

Ujana Muallim yang pada asalnya merupakan kawasan hutan sekunder turut dilengkapi kawasan perkhemahan, laluan ‘jungle tracking’, permainan kanak-kanak, menara tinjau, pondok pengawal, surau dan tandas. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Masih ada pendengaran awam pelan pembangunan KL 2020-2040

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Sesi pendengaran awam akan berjalan sehingga penghujung 2020 bagi menyiapkan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020-2040, dan oleh itu pembangunan yang bertepatan dengan pelan berkenaan tidak perlu lagi sesi pendengaran awam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, bagaimanapun pendengaran awam perlu dibuat jika pembangunan itu bertentangan dengan pelan berkenaan yang dijangka digezetkan pada penghujung 2020.

Khalid berkata demikian dalam satu kenyataan untuk memperjelaskan kekeliruan yang timbul daripada laporan Bernama pada Isnin yang menyebut tiada lagi sesi pendengaran awam untuk projek pelan pembangunan KL yang menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak.

“Pendengaran awam tidak perlu kerana ia telah dibuat sebelum pelan itu diwartakan. Apa yang saya ingin sampaikan adalah perbezaan prosedur di antara keadaan apabila adanya pelan yang telah digezet dan keadaan semasa tiada pelan yang digezet,” katanya.

Sementara itu, untuk kes Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 yang telah diwartakan pada Oktober 2018, ia adalah kes berbeza kerana pendengaran awam telah diadakan pada tahun 2012 tetapi ia tidak diwartakan selepas itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada lagi sesi pendengaran awam projek pelan pembangunan KL

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Sebarang projek yang diluluskan di bawah Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 dan 2040 tidak lagi akan mengguna pakai Kaedah 5 Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982, yang membolehkan penyertaan awam dalam perancangan dan kawalan pembangunan oleh kerajaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, berikutan itu, tiada lagi sesi pendengaran awam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju yang akan membentangkan Laporan Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) kepada penduduk selepas sesuatu projek pembangunan diluluskan.

“Kaedah 5 adalah mekanisme bila tiada pelan yang digazetkan kerana pada masa itu pembangunan dilakukan tidak ikut apa-apa garis panduan…sebab itu ada Kaedah 5. Masa itu cadangan pembangunan boleh dipersoalkan tapi bila pelan dah diwartakan sekarang tidak perlu lagi nak pendengaran awam.

“Melainkan jika sesuatu projek itu bercanggah dengan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 dan 2040, contohnya plot ratio yang ditetapkan hendak dilebihi oleh pemaju barulah pendengaran awam itu perlu dibuat untuk menjelaskan kepada penduduk sebab percanggahan dan pelanggaran itu dengan menyertakan bukti-buktinya,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan bersama 11 Anggota Parlimen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Katanya, sebarang projek pembangunan di sekitar ibu kota pada masa akan datang perlu menyediakan TIA dan SIA terlebih dahulu sebelum diluluskan oleh Datuk Bandar berdasarkan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur.

“Banyak pendengaran awam yang terpaksa kami kendalikan sekarang kerana diluluskan sebelum pelan pembangunan (Kuala Lumpur) digazetkan dan TIA serta SIA hanya disediakan selepas projek diluluskan, itupun atas pandangan penduduk,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata Julai ini, DBKL akan melantik perunding bagi merangka Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang dijangka digazetkan pada tahun hadapan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

58 rumah ibadah terima bantuan RM104,000 sempena Ramadan

LABUAN, 25 MEI: Sebanyak 58 rumah ibadah di sini menerima bantuan berjumlah RM104,000 daripada pejabat Menteri Wilayah Persekutuan hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyampaikan bantuan kewangan itu sempena program Nur Ramadan di Masjid Sultan Muhammad V di sini.

Beliau juga mengumumkan pengedaran 330 kit pengurusan jenazah kepada surau dan masjid di pulau ini.

Program Nur Ramadan adalah landasan untuk Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensinya Perbadanan Labuan menyalurkan bantuan kewangan kepada 320 kanak-kanak yang kurang bernasib baik, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan anak yatim di sini.

“Program ini membolehkan kakitangan kementerian dan Perbadanan Labuan memupuk hubungan baik dengan masyarakat,” katanya.

Khalid berkata, bulan suci Ramadan adalah untuk rakyat meneruskan amalan bersedekah.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Tapak bazar Masjid India terbakar dicadang jadi laluan pejalan kaki

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang menjadikan tapak bazar Masjid India yang terbakar pada Selasa lepas, sebagai laluan pejalan kaki.

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur di Dewan Perdana Mestika Institut Latihan DBKL hari ini.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, hal ini kerana tapak itu adalah sebahagian daripada projek River Of Life (RoL) yang pada asalnya akan dibuka kepada orang ramai untuk dijadikan ‘pedestrian mall’

“Bagi jangka panjang memang dalam projek RoL kami akan kosongkan kawasan itu. Peniaga Wisma Yakin pun sudah lama meminta DBKL berbuat demikian kerana struktur bazar itu telah menghalang bangunan dan menjejaskan perniagaan mereka.

“Jadi struktur bazar Masjid India yang terbakar itu akan dirobohkan sepenuhnya selepas ini kerana ia tidak selamat kepada mana-mana pihak untuk terus menjalankan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri Komuniti Kuala Lumpur 2019 di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.35 pagi Selasa lepas, kira-kira 30 gerai jualan di bazar berkenaan yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, tudung, beg dan kasut terbakar.

Khalid berkata, peniaga yang terjejas akibat kebakaran itu tidak perlu risau memandangkan DBKL akan memindahkan mereka ke kawasan baharu.

“Cadangan awal DBKL adalah untuk memindahkan mereka ke Lanai Seni iaitu tapak di sebelah Collesium, Jalan Tuanku Abdul Rahman, tidak jauh daripada tapak sedia ada dan kami sudah buka tender serta dijangka siap pada tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, Khalid menyampaikan sumbangan kepada 26 peniaga yang terlibat dalam kebakaran itu yang berjumlah RM98,000, dengan setiap seorang diberikan antara RM3,000 dan RM5,000 bergantung kepada jumlah kerugian mereka.

Selain itu, 500 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin turut menerima sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM150 setiap seorang, melibatkan peruntukan sebanyak RM75,000. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahu untung mudah punca warga asing monopoli niaga

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Gejala mahu mendapat untung mudah dengan menyewakan lesen atau tapak perniagaan kepada warga asing oleh warga tempatan menjadi faktor perniagaan di ibu negara kini dimonopoli warga asing.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, isu ini lebih meruncing apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu mengambil tindakan terhadap warga asing berkenaan, segelintir warga tempatan tampil dan mendakwa perniagaan itu milik mereka dan warga asing berkenaan adalah pekerja mereka.

DBKL juga, katanya, tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing kerana mereka tidak layak mendapat sebarang lesen untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

“Tetapi sukar untuk diambil tindakan sebab pemilik (warga tempatan) mengaku mereka adalah pekerja.

“Justeru, kami terpaksa benarkan mereka teruskan aktiviti perniagaan asalkan memiliki semua dokumen sah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Agihan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini semalam.

Khalid mengulas kebimbangan yang disuarakan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun mengenai warga asing yang memonopoli (dalam sektor perniagaan di Kampung Baru).

Dalam pada itu Khalid menggesa warga tempatan membuka mata mengapa terdapat pihak ketiga (termasuk warga asing) yang sanggup menyewa lesen atau tapak perniagaan mereka walaupun pada harga tinggi.

“Kita kena faham mengapa orang sanggup sewa lesen atau tapak kita itu, ini kerana mereka boleh memperoleh keuntungan yang jauh lebih besar.

“Seperti tapak di bazar Ramadan, banyak peniaga kata tidak laku dan sebagainya tapi difahamkan ada yang sanggup menyewanya pada harga RM7,000. Jika mereka sanggup membayar pada harga itu sudah pasti dia tahu boleh memperoleh pulangan tiga ke empat kali ganda,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hanya mahkamah tentukan projek Taman Rimba Kiara

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Hanya mahkamah sahaja yang boleh memutuskan sama ada projek Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) haram atau tidak, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Khalid berkata sebagai menteri, beliau sudah buat yang terbaik untuk menangani isu projek berkenaan dan pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan laporan berkenaan cadangan isu projek pembangunan berkenaan untuk perhatian Kabinet.

Kertas cadangan itu juga katanya akan diberikan kepada pihak lain untuk diteliti termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat Peguam Negara susulan terdapat dakwaan sebelum ini bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai kepentingan peribadi terhadap projek berkenaan.

“Jadi biarkan SPRM buat kerja mereka… jika SPRM dapati kesahan (dalam projek itu) akan memaklumkan kepada AG (Peguam Negara) dan beliau AG akan meneliti kekuatan kes.. kemudian jika AG dapati ianya kuat (rasuah) AG akan bawa kes ini ke mahkamah, kemudian mahkamah akan mengisytiharkan projek ini haram.

“… ia tidak boleh diisytiharkan oleh saya mahupun oleh SPRM, keputusan akhir akan ditentukan oleh mahkamah jika ada kes…MACC perlu menyiasat dan perlu mendapatkan bukti yang kukuh bagi menunjukkan bahawa kes ini kuat .. mereka kemudian perlu yakinkan AG jika ia kes yang kuat…AG kena bawa ke mahkamah, kemudian para hakim membuat keputusan” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Agihan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.

Khalid mengulas mengenai kontroversi projek itu kerana mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan tersebut.

Katanya beliau sudah membuat yang terbaik dan bertemu semua pihak berkepentingan seperti pemaju dan penduduk dan pada masa sama perlu menjaga kepentingan semua pihak dan tidak boleh membiarkan DBKL membayar pampasan yang tinggi.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

DBKL perlu membayar kira-kira RM150 juta kepada pemaju sekiranya projek itu dibatalkan dan ia suatu pembaziran terhadap dana awam.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Post mortem bazar Ramadan Jalan Raja lepas raya

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi ‘post-mortem’ berhubung pelaksanaan bazar Ramadan baharu di Jalan Raja, Dataran Merdeka, di sini, selepas Aidilfitri, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk melakukan penilaian terhadap perkara berbangkit termasuk aspek kelemahan, masalah, cadangan penambahbaikan dan aduan peniaga yang berpindah dari tapak lama di lorong Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

“Kita dengar berita mengatakan tapak baharu bazar tersebut tidak ramai yang datang, tetapi semalam saya nampak bazar tersebut dibanjiri ramai pengunjung sehingga orang ramai sukar untuk berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada 1,750 penerima golongan asnaf Wilayah Persekutuan di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Rampai, di sini, hari ini.

Terdahulu pada majlis anjuran pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Khalid turut menyempurnakan penyerahan sebuah van jenazah kepada Pusat Tahfiz Al- Madrasathul Faridiyah sumbangan Maha Mas Medic Services Sdn Bhd. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Islam dipandang hina jika pemimpin tidak berintegriti – Khalid

KOTA BHARU, 12 MEI: Islam dipandang jijik jika pemimpinnya sendiri tidak berakhlak mulia dan tidak berintegriti, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad.

Khalid, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, negara perlu dibangunkan dengan baik menerusi akhlak yang murni dalam kalangan pemimpin kerana merekalah juga yang akan mencorakkan rakyat dengan sikap mereka.

“Cakap pasal Islam berdegar-degar tapi orang (terutama bukan Islam) naik muak dan jijik dengan Islam. Dia (bukan Islam) rasa jijik dengan Islam kerana dia nampak akhlak orang Islam yang cakap pasal Islam tapi tak amanah, mengamalkan rasuah, bersikap perkauman dan menyebarkan risalah kebencian.

“Tak ada satu usaha pun untuk membangunkan negara ini dengan (nilai-nilai yang) baik,” katanya ketika berucap selepas mendengar taklimat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Majlis Berbuka Puasa yang turut dihadiri Pengerusi LKTN Wan Abdul Rahim Wan Abdullah di Dataran Kenaf di sini, hari ini.

Justeru, Khalid mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama tanpa mengira fahaman politik untuk membangunkan negara ini agar ia kembali dikenali sebagai Harimau Asia.

“Allah dah tetapkan sunnatullah begitu. Bangsa dan kaum yang mempunyai akhlak akan maju walaupun akidahnya songsang, negara itu Allah bagi (kemajuan).

“Tapi golongan yang akidahnya ‘canggih’, boleh berbahasa berjam-jam mengenai Islam tetapi akhlaknya hancur, (maka) hancurlah negara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang mempunyai pendirian politik yang berbeza dengan parti pemerintah.

Bagaimanapun katanya, sebagai penjawat awam, mereka perlu memberi sokongan kepada kerajaan yang memerintah hari ini ke arah satu matlamat yang telah dipersetujui oleh rakyat Malaysia secara majoriti.

“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak (penjawat awam) untuk menyertai parti politik tapi kita sebagai kerajaan dan tuan-tuan sebagai kakitangan kerajaan kena berikan khidmat yang jujur demi membantu kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.

“Kalau ada yang tak mahu terima itu sebagai matlamat bersama atas alasan tak nak sokong PH, kamu tak khianati PH tapi kamu khianati rakyat dan negara,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan sedia bincang dengan pemilik bagi penjualan tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Kementerian Wilayah Persekutuan sedia berbincang dengan seluruh pemilik tanah di Kampung Baru berhubung penjualan tanah kepada kerajaan untuk pembangunan semula kawasan berkenaan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, berikutan banyak gambaran ‘songsang’ berhubung cadangan kerajaan untuk mengambil alih tanah di Kampung Baru, pertemuan dengan pemilik tanah adalah perlu dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap perkara itu.

“Ada kata kerajaan mahu beli tanah dengan harga murah untuk menghalau orang Melayu dari Kampung Baru dan sebagainya, sebenarnya bukan. Kami cuma mahu mencari penyelesaian sesuai untuk mengekalkan pemilikan tanah Melayu di Kampung Baru di samping membangunkan kawasan itu menjadi penempatan moden dan bersepadu.

“Kami juga tidak mahu Kampung Baru terpinggir daripada pembangunan pesat sekitar Kuala Lumpur kerana jika dibiarkan tidak membangun, nanti orang kata kami tidak mengendahkan keperluan orang Melayu di kawasan itu, jadi kami mahu aset mereka juga dapat dibangunkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan bersempena ‘KL Car Free Morning’ di sini, hari ini.

Sebelum ini, beliau berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKB) dan Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) serta sebahagian daripada pemilik tanah bagi membincangkan perkara itu.

“Ada tanah sampai berpuluh-puluh nama pemilik sehingga mereka tidak tahu apa perlu dilakukan. Jadi jika mereka bersetuju untuk jual tanah dapatkan tunai ataupun apartmen daripada pemaju itu terpulang kepada mereka, yang penting kita dapat duduk berbincang, cari mekanisme menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Pada 22 April lepas, Khalid dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Namun, pelbagai cadangan turut dikemukakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO), antaranya PKB yang mahukan kerajaan menyediakan rumah transit kepada pemilik tanah sekiranya berhasrat untuk membangunkan semula kawasan Kampung Baru.

Terdahulu, Khalid melepaskan kira-kira 800 peserta ‘OrphanCare Superheroes Charity Run’ bersempena KL Car Free Morning di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi OrphanCare, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, selain menggalakkan masyarakat menyertai aktiviti sihat pada hujung minggu, program larian itu turut bertujuan mengumpul dana bagi Yayasan Orphancare untuk melindungi bayi yang terbuang.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mesyuarat Kabinet khas tingkat peluang kerja belia

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kerajaan mengadakan mesyuarat Kabinet khas untuk membincangkan usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan persekitaran ekonomi baik, khusus bagi menangani masalah berkaitan pengangguran dalam kalangan belia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, beberapa perkara dibangkitkan dalam mesyuarat itu, terutama berkaitan usaha kerajaan mewujudkan negara keusahawanan dan menerapkan budaya usahawan dalam kalangan belia.

“Tindakan dan dasar dibincangkan bagi menghasilkan suasana ekonomi lebih stabil dengan rakyat boleh terbabit melalui peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan yang bakal diwujudkan.

“Kerajaan akan terus menghulurkan bantuan kepada belia dalam usaha memperkasa mereka dalam pelbagai bidang keperluan serta memastikan agenda mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada mereka dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang Pertama 2019, di sini hari ini.

Sidang pertama MPBN hari ini menyaksikan 120 peserta daripada badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan di bawah Wilayah Persekutuan, membentang dan membahas enam usul utama.

Antara usul yang dibentangkan ialah mewujudkan satu unit Hal Ehwal Belia di bawah kuasa Menteri Wilayah Persekutuan, melantik belia sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan mencadangkan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) menjadi rakan strategik dalam pengurusan fasiliti di Parlimen.

-BERNAMA