Categories
AGENSI SELANGOR

Ringan beban ibu bapa, 203 kanak-kanak sekitar Gombak khatan percuma

GOMBAK, 6 MAC: Seramai 203 kanak-kanak sekitar daerah ini berkhatan secara beramai-ramai menerusi Program Sunathon Perdana Selangor 2022 di Masjid Jamek Al Amaniah Batu Caves di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, 92 peserta dari mukim Batu, Kuang (66), Setapak (33), Rawang (10) dan Hulu Kelang (dua) yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.

Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata program anjuran Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI diadakan secara percuma.

Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berucap dalam program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak pada 6 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya menghargai komitmen penghulu dan ketua-ketua kampung tradisi yang bertungkus-lumus membuat hebahan serta mendapatkan seramai mungkin peserta

“Diharap usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah berikutan kos berkhatan agak tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi.

Sementara itu, Nor Azlina berkata Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 3,300 kanak-kanak seluruh Selangor mendapat manfaat melalui inisiatif tersebut.

“Sebelum ini program dijalankan di Hulu Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dan hari ini di Gombak, seterusnya akan bergerak ke daerah lain mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, program berjalan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dengan setiap peserta diwajibkan menjalani saringan ujian pantas antigen (RTK-Ag) sebelum dibawa ke bilik berkhatan.

Program tersebut dikendalikan 20 pegawai perubatan bertauliah dari Pertubuhan Kebajikan Perubatan Komuniti (PKOM).

Program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 diadakan di seluruh negeri secara percuma mulai 26 Februari hingga 13 Mac depan.

Lokasi dan tarikh program Sunathon akan datang seperti berikut:

1. Petaling – 7 Mac (Dewan Kenangan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling)

2. Sepang – 12 Mac (Dewan Bandar Baru Salak Tinggi)

3. Kuala Langat – 13 Mac (Dewan Sri Jugra, Teluk Datuk, Banting)


Kanak-kanak menunggu giliran untuk berkhatan dalam program Sunathon Perdana Negeri Selangor 2022 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Gombak pada 6 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
EXCO SELANGOR

3,300 kanak-kanak sertai program khatan, kos seorang RM150 hingga RM200

SHAH ALAM, 21 JAN: Program khatan perdana anjuran Kerajaan Selangor bakal diadakan semasa cuti persekolahan awal Mac ini

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata lebih 3,300 kanak-kanak dari 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) menyertai program itu melibatkan peruntukan RM500,000.

“Program dilancarkan di DUN Sungai Tua, Gombak dan berakhir di Tanjung Sepat, Kuala Langat. Kita akan lihat kesesuaian sama ada dibuat di setiap DUN atau daerah.

“Anak asnaf, fakir miskin atau anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa akibat Covid-19 diutamakan. Ini sebagai bantuan meringankan beban mereka memandangkan kos berkhatan mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bakul makanan #produkkampung4u kepada wakil pejabat tanah dan daerah di Dewan Kompleks Perumahan EXCO Kerajaan Selangor, Seksyen 7 hari ini.

Pada September tahun lalu Borhan mengumumkan inisiatif berkenaan bagi meringankan beban golongan  kurang berkemampuan

Jelasnya ketika ini kos berkhatan agak tinggi antara RM150 hingga RM200 seorang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahu jadi lelaki matang dorong kanak-kanak lapan tahun berkhatan

KELANA JAYA, 5 DIS: Kemahuan menjadi lelaki matang mendorong seorang kanak-kanak berkhatan pada usia lapan tahun meskipun dibelenggu rasa gemuruh.

Azfar Fayyadh Mohd Azhar mendapat suntikan semangat daripada bapanya, Mohd Azhar Abdul Aziz, 38, sehingga membuat dirinya lebih yakin untuk menunaikan tuntutan sunah itu.

Mohd Azhar Abdul Aziz

Mohd Azhar berkata anaknya yang juga pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana teruja kerana berpeluang dikhatankan beramai-ramai bersama rakan sebayanya hari ini selepas mendaftar minggu lalu.

“Saya maklumkan kepadanya yang dia perlu bersunat minggu depan (hari ini) dan dia rasa seronok. Dia juga beritahu nak sunat cepat-cepat sebab nak jadi lelaki dewasa.

“Sebagai bapa, saya beri kata-kata semangat supaya dia yakin walaupun daripada raut wajah kelihatan sedikit takut. Saya berharap agar dia cepat sembuh selepas berkhatan,” katanya ditemui di Hotel Tabung Haji (TH) di sini.

Mohd Azim Mohd Sabri

Sementara itu, bagi Mohd Azim Mohd Sabir, 35, hasrat untuk melihat anaknya, Muhammad Azmi Irffan, 10, berkhatan akhirnya tercapai selepas setahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Bapa tiga cahaya mata itu berkata biarpun anak sulungnya terpaksa dipujuk isteri pagi tadi, namun dia bersyukur kerana proses berkhatan berjalan lancar.

“Saya rancang untuk sunatkan semasa dia darjah tiga lagi, tetapi tertangguh. Secara kebetulan sepupu maklumkan YB (Halimey Abu Bakar) anjurkan program sebegini, jadi saya manfaatkan peluang ini.

“Sejujurnya, anak saya tidak tahu apa konsep berkhatan. Saya cuma beritahu dia benda asas iaitu untuk membuang kekotoran dan dia sekadar mengiyakan sahaja,” katanya.

Terdahulu, seramai 60 kanak-kanak sekitar Seri Setia menyertai program berkhatan perdana anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Seri Setia dengan kerjasama TH Selangor.

Program bermula jam 8 pagi membabitkan pelajar sekolah berusia tujuh hingga 12 tahun dan kesemua mereka diarak dengan paluan kompang dari pekarangan hotel sebelum menjalani proses itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

60 kanak-kanak DUN Seri Setia sertai khatan beramai-ramai

KELANA JAYA, 5 DIS: Seramai 60 kanak-kanak menyertai program berkhatan beramai-ramai anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Hotel Tabung Haji (TH) di sini hari ini.

Program kali kedua dengan kerjasama TH Selangor disertai pelajar sekitar kawasan terbabit berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun, kata Ahli Dewan Negerinya Halimey Abu Bakar.

Menurutnya, program berkhatan secara laser itu membantu ibu bapa melaksanakan ibadah sunah ke atas anak masing-masing selain meredakan rasa takut kanak-kanak.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar menenangkan seorang kanak-kanak dalam Program Berkhatan Perdana 2021 DUN Seri Setia di Hotel Tabung Haji (TH), Petaling Jaya pada 5 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKI JILAN/SELANGORKINI

“Penyertaan program ini dibuka sejak tiga bulan lepas. Pada awalnya ramai ibu bapa risau untuk mengisi borang, namun masuk bulan kedua, sambutan diterima menggalakkan hasil hebahan kepada orang ramai.

“Ibu bapa diberi subsidi dengan bayaran serendah RM80. Pakej ini termasuk ubat tahan sakit, antibiotik, jahitan dan akaun simpanan tabung haji,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran program.

Terdahulu, peserta diarak dengan paluan kompang dari pekarangan hotel berkenaan sebelum dibawa ke bilik khas untuk proses berkhatan mengikut kumpulan.

Mengulas lanjut, Halimey berkata kerjasama dengan TH bertujuan menggalakkan masyarakat Islam menjadi pencarum berikutan ramai yang masih belum berbuat demikian.

“Mungkin ramai yang tahu tetapi tidak mencarum dan ada juga yang langsung tidak tahu. Jadi, TH Selangor akan beri galakan kepada mereka untuk mendaftar sebagai pencarum sebanyak RM10.

“Kita juga akan terus bersama TH Selangor untuk turun ke setiap kawasan di Seri Setia bagi membantu dan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan mencarum,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kekang Covid-19, penganjur program khatan diminta patuh SOP

BANGI, 20 DIS: Pihak yang ingin melaksanakan program berkhatan diingatkan supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan, selain penganjur perlu memastikan penjarakan fizikal diamalkan sepanjang program berlangsung.

Mengambil contoh program Khatan Is’aadul Usrah 2020 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hari ini, beliau berkata Yadim memastikan program berkhatan ini dilaksanakan dengan mengikut SOP ditetapkan.

“Program berkhatan ini dibuat dengan mengambil kira SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM)… Kita juga telah maklum semua pihak (yang ingin laksana program berkhatan) untuk sentiasa mematuhi SOP,” katanya selepas melancarkan program yang disertai oleh 16 peserta di Poliklinik Sri Putra, hari ini.

Program Khatan Is’aadul Usrah 2020 dijalankan serentak di seluruh negara dengan kerjasama Pertubuhan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) khusus untuk meringankan beban ibu bapa, penjaga asnaf dan golongan B40 dalam melaksanakan tuntutan ibadah berkhatan.

Mengulas program Khatan Is’aadul Usrah 2020, Zulkifli berkata program ini membolehkan Yadim menyantuni setiap lapisan masyarakat terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Program ini bukan sahaja kita santuni anak yang berkhatan tetapi ibu bapa dan bantuan akan diberikan kepada mereka ini… ini merupakan program yang dianjurkan setiap tahun dengan peruntukan RM30,000,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta Amir Faizal Mohd Raffles, 38, berkata program ini secara tidak langsung dapat meringankan ibu bapa yang terkesan dengan keadaan ekonomi tidak menentu akibat pandemik Covid-19.

“Saya bersyukur kerana terpilih dalam program ini dan dapat melaksanakan ibadah khatan kepada anak Nor Muhammad Zachery… saya berterima kasih kepada Yadim serta semua pihak yang menjayakan program ini,” katanya.

-BERNAMA