SHAH ALAM, 25 FEB: Sebuah kilang di Banting didenda RM120,000 selepas didapati menjalankan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata hukuman itu juga membabitkan kesalahan tidak mengemukakan punca pencemaran sisa buangan dan udara kepada ketua pengarah JAS selain gagal memasang alat kawalan pencemaran udara.
“Keseluruhannya kilang berkenaan bersama pengarah syarikat berdepan lapan pertuduhan melibatkan Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ; Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
“Hukuman berkenaan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Tengku Shahnizam Tuan Lah selepas pengarahnya mengaku bersalah. Kesalahan ini dikesan pada 2018,” kata Nor Aziah Jaafar menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, JAS Selangor tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar di samping akan mengenakan tindakan tegas.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pencemaran boleh laporkan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https:/eaduan.doe.gov.my,” katanya.