Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Operasi pasir di luar zon perlindungan, tak jejas habitat kelip-kelip

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 8 MEI: Kerja pengorekan pasir di kawasan Kampung Asahan, di ini, tidak menjejaskan habitat kelip-kelip seperti didakwa sesetengah pihak, kata Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Ketua Jabatan Teknikal (KSSB), Muhammad Faiz Zainuddin berkata, Jabatan Perhilitan sendiri menjelaskan bahawa habitat kelip-kelip boleh terjejas atau berkurangan jika berlaku pencerobohan ke atas pokok berembang dan pokok sagu yang tumbuh, di tebing sungai.

Katanya, ia juga boleh berlaku akibat pencahayaan lampu yang terlampau terang.

“Jadi, tidak ada isu kelip-kelip berkurangan akibat aktiviti cuci gali sungai yang dilaksanakan KSSB.

“Apatah lagi, operasi cuci gali sungai Selangor ini sudah kita laksanakan, sejak 2015. Mengapa baru hari ini timbul isu ia terjejas akibat aktiviti cuci gali?,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, Faiz berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat bersama pejabat tanah dan turut dihadiri pengadu iaitu Persatuan Pendayung Sampan bagi menjelaskan bahawa operasi terbabit berada di luar zon perlindungan habitat itu.

“Kita mengguna pakai kaedah pengorekan basah iaitu pam pasir digunakan untuk mengepam bahan berpasir serta kelodak daripada dasar sungai yang akan dialirkan ke dalam palung yang juga tapak pemprosesan bagi mengasingkan pasir daripada lumpur dan sampah sarap untuk dikomersialkan.

“Kemudian, air kelodak yang dipam dari dasar sungai tadi akan dialirkan ke dalam kolam hampas berfungsi untuk mengurangkan lumpur melalui proses pemendakan yang berlaku apabila air kelodak melalui beberapa kolam hampas sebelum mengalir keluar, ke dalam sungai.

“Operasi yang kita laksanakan itu juga tidak memberi kesan negatif terhadap zon perlindungan kelip-kelip kerana terletak dalam jarak lingkungan tujuh kilometer daripada habitat terbabit,” katanya.

Beliau berkata, ulasan daripada jabatan teknikal juga mengambil kira jarak selamat dan operasi terbabit harus di luar zon penampam iaitu lima kilometer dari zon perlindungan terbabit.

Terdahulu, media arus perdana mendakwa, kerja pengorekan pasir yang dijalankan KSSB adalah penyebab kepupusan habitat itu.

Bagaimanapun, SelangorKini membuat tinjauan di kawasan Kelip-Kelip Kampung Kuantan, mendapati habitat masih berkeliaran dan hinggap di pokok berembang yang terdapat di tebing sungai, pada 5 Mei lalu.

Pada masa sama, Faiz berkata, ada kemungkinan habitat kelip-kelip semakin berkurang akibat daripada pencerobohan yang pernah berlaku pada tahun 2016 dengan sekumpulan pihak yang tidak bertanggungjawab sudah menebang pokok berembang dan pokok sagu juga meratakan tanah bagi tanaman pokok kelapa sawit.

“Ia berdasarkan maklumat daripada ketua kampung dan tindakan penguatkuasaan sudah dilaksanakan, ketika itu.

“Di pihak KSSB, kita sentiasa bekerjasama dengan Pentadbir Tanah dan Jabatan Teknikal untuk memaklumkan sebarang aktiviti haram atau pencerobohan di kawasan perlindungan terbabit yang dilaksanakan pihak tidak bertanggungjawab untuk turut membantu melindungi habitat ini,” katanya

Categories
SELANGOR

Kumpulan Semesta serah RM30,000 kepada mangsa kebakaran

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 27 APR: Selepas tiga minggu, mangsa rumah terbakar, Zuriyana Marjunit, hari ini menerima sumbangan tertinggi berjumlah RM30,000 daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Zuriyana, 38, berkata sumbangan berbentuk wang tunai itu akan digunakan untuk membina kediaman baru di atas tapak rumah lama sebelum ini.

Beliau kini menyewa rumah lain selepas kehilangan kediaman yang musnah itu, pada 7 April lalu.

Zuriyana“Terima kasih kepada KSSB dan Kerajaan Negeri yang tidak putus membantu saya hingga ke hari ini.

“Segala bantuan akan saya gunakan sebaiknya untuk meringankan beban terutama daripada segi tempat tinggal,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Sumbangan daripada anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu disampaikan Ketua Jabatan Kualiti, Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran KSSB, Mohamad Fadzil Yahya.

Sebelum ini, Zuriyana turut menerima bantuan kilat berjumlah RM1,500 ketika kunjungan Exco Kebajikan, Dr Daroyah Alwi, sehari selepas kejadian yang meragut nyawa dua anaknya.

Zuriyana berkata, bomba mengesahkan kebakaran berpunca daripada kotak suis utama yang tidak menepati spesifikasi keselamatan ditetapkan.

“Ia menjadi pengajaran penting buat kami dan saya akan pastikan pembinaan rumah baru nanti mengikut garis panduan seperti disyorkan pihak berkuasa,” katanya.

-NFN-