Categories
AGENDA NASIONAL

TNB bantu pendayung sampan kelip-kelip terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 36 pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bantuan berjumlah RM25,500 disampaikan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Omar Sidek di Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor pada 17 Disember lalu.

Omar dalam kenyataan berkata pihaknya peka terhadap keadaan ekonomi golongan itu yang kurang menerima pengunjung susulan penularan Covid-19.

“TNB menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas agar dapat bangkit semula dengan lebih kuat apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Pada 2005, syarikat tenaga itu memeterai kerjasama dengan Kerajaan Selangor bagi memulihara populasi kelip-kelip dan menjadikan kawasan itu sebagai kampung angkat.

Sebanyak RM5 juta disalurkan sejak 2007 bagi infrastuktur, promosi dan publisiti serta pembangunan ekonomi Kampung Kuantan.

Sementara RM2.8 juta diperuntuk antara 2017 hingga kini untuk penyelidikan dan pembangunan habitat kelip-kelip.

 

Categories
ADN SELANGOR

Pendapatan terjejas, wakil rakyat bantu pendayung sampan kelip-kelip

SHAH ALAM, 28 OKT: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati hari ini menghulurkan bantuan wang tunai dan keperluan asas kepada 35 pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Juwairiya Zulkifli berkata sumbangan itu bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

Beliau menjelaskan keadaan bertambah parah apabila PKP Bersyarat dilaksana di seluruh negeri mulai 14 Oktober, yang kemudian dilanjut sehingga 9 November.

“Sumbangan ini inisiatif saya sendiri bagi membantu pendayung yang punca pendapatannya terjejas dan nasib mereka perlu diberi perhatian lebih,” katanya ketika dihubungi.

Sumbangan Prihatin Covid-19 di Balai Raya Penghulu Mukim Pasangan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin.

Hadir sama, Pegawai Pelancongan Majlis Daerah Kuala Selangor Shazlan Hakim Mazalan dan Penghulu Mukim Pasangan Shahrul Affendi.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Habitat kelip-kelip terancam kerana Sungai Selangor jadi `tong sampah’

KUALA SELANGOR, 6 JAN: Sikap tidak kisah manusia dalam menjaga kebersihan sungai sejak sekian lama menyebabkan isu pencemaran seperti sampah dan pembuangan sisa toksik kerap berlaku.

Sungai Selangor, sungai terpenting bagi aktiviti sosioekonomi dan pelancong telah dijadi `tong sampah’ untuk membuang segala sisa yang tidak diperlukan.

Lembangan Sungai Selangor sepanjang 110 kilometer (km) bermula dari bahagian hulu Bukit Fraser melalui daerah Kuala Kubu Baru sehingga ke Bestari Jaya (dulu dikenali Batang Berjuntai) mengalir terus ke hilir melalui Kampung Kuantan, sebuah destinasi ekopelancongan.

Menyedari situasi pencemaran sungai yang tiada kesudahan dan demi kelangsungan habitat kelip-kelip di kampung Kuantan, pemandu pelancong anak tempatan, Masbudi Abdul Malek, 33, memulakan inisiatif secara sendirian mengutip sisa sampah-sarap di dalam sungai di kampungnya itu.

Masbudi Abdul Malek mengambil inisiatif secara sendirian mengutip sisa sampah di dalam Sungai Selangor bagi memastikan kelangsungan habitat kelip-kelip. Foto BERNAMA

Sebagai pemandu pelancong alam semula jadi sejak enam tahun lalu, Masbudi sering membawa pelancong dari dalam dan luar negara ke Kampung Kuantan, bagi merasai pengalaman melihat kelip-kelip pada waktu malam.

Setelah enam tahun usaha mengutip sampah itu dijalankan, wajah hilir Sungai Selangor kini semakin ceria, walaupun isu sampah belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Kampung Kuantan, perkampungan kecil di daerah Kuala Selangor, terletak kira-kira 56 km dari Kuala Lumpur atau 9 km dari sini, terkenal dengan pohon berembang yang menjadi habitat kelip-kelip.

Usaha untuk membersihkan sungai oleh Masbudi yang lebih mesra dipanggil Eddie, bermula sejak 2013. Idea itu timbul kerana sampah dilihat terlalu banyak di hilir Sungai Selangor khususnya di Kampung Kuantan yang menjadi tumpuan pelancong.

“Ketika membawa pelancong menaiki sampan menghampiri ke lokasi kelip-kelip, saya terpaksa menguak sampah yang banyak terperangkap di bawah pokok berembang di tepi sungai.

“Jika kita melancong, kita mesti ingin pergi ke lokasi yang cantik dan bersih…begitu juga pelancong yang datang ke sini. Jadi saya bercakap kepada diri sendiri, saya perlu mulakan langkah pertama untuk membersihkan sungai di sini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika memulakan inisiatif itu, Masbudi berkata, beliau mendayung sampan sendirian menyusuri arus sungai sejauh kira-kira 1 km. Setelah hampir dua jam, beliau berjaya mengumpul sebanyak enam guni sampah.

“Itupun saya hanya kutip mana yang termampu, masih banyak lagi sampah yang tertinggal. Fokus saya masa itu mengutip sebanyak mungkin sampah yang tersangkut di bawah pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip,” katanya.

Mengimbau kembali usaha awal yang dilakukan itu, Masbudi berkata, ada pihak yang kurang senang dengan tindakannya itu dan memperlekehkan usaha tersebut kerana menganggap mengutip sampah adalah tugas dan tanggungjawab pihak lain.

“Ada juga yang mempersenda dan mempersoalkan keikhlasan saya membersihkan sungai,” katanya yang kini melakukan aktiviti mengutip sampah dua kali sebulan.

Menurut Masbudi, kata-kata negatif itu sedikitpun tidak mematahkan semangatnya sebaliknya, beliau turut mengajak rakan-rakan baik untuk bersama-sama mengutip sampah.

“Ada kawan yang terkejut tapi mereka ikut juga sehingga usaha itu menjadi tular di media sosial,” katanya.

Lebih tersusun melalui kerjasama

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, begitulah ibarat usaha Masbudi yang berjaya dilaksanakan secara tersusun apabila mendapat kerjasama pelbagai pihak menjelang tahun 2014.

Antaranya kelab alam sekitar Inspirasi Kawa, Persatuan Pendayung-Pendayung Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan penyelidik dari Universiti Malaya.

“Kawa” berasal daripada bahasa Jepun yang bermaksud sungai.

Sebagai penyelaras kelab alam sekitar komuniti setempat itu, Masbudi berkata, fokus utama kelab ialah mendidik kanak-kanak dan remaja sekitar Kuala Selangor mengenai pentingnya menjaga alam sekitar selain terlibat dalam setiap aktiviti mengutip sampah yang dijalankan.

“Mereka diberikan pendidikan dan pendedahan bagaimana menjaga alam sekitar. Menjadi matlamat kami semoga mereka ini bukan sahaja mampu menjaga alam sekitar tetapi juga boleh menjadi pemandu pelancong alam sekitar satu hari nanti,” katanya menambah terdapat kira-kira 26 kanak-kanak dan remaja dari kampung berkenaan terlibat secara aktif dalam program Inspirasi Kawa.

Sementara itu, 32 anggota Persatuan Pendayung-Pendayung Kelip-Kelip Kampung Kuantan, adalah tulang belakang yang turut menggerakkan usaha membersihkan sungai di kampung berkenaan.

“Setiap kali aktiviti dijalankan, mereka (pendayung) akan mendayung sampan membawa komuniti ke sungai mengutip sampah. Tidak kurang 50 orang daripada komuniti kampung dan penduduk sekitar terlibat membantu,” kata Masbudi yang turut mendapat tajaan syarikat korporat bagi menjalankan aktiviti mengutip sampah.

Menurut Masbudi, selain komuniti setempat, terdapat banyak pihak yang berminat dalam program membersihkan sampah di Sungai Selangor, antaranya pelajar universiti dan syarikat-syarikat korporat.

Tahun lepas, sebanyak lima tan metrik sampah berjaya dikutip dam tahun ini mungkin lebih lagi, katanya.

“Semakin banyak program mengutip sampah dilakukan, semakin banyak sampah yang dapat dikutip yang datang daripada bahagian atas (hulu sungai). Kebanyakan sampah yang sampai ke sini, bukan sampah baharu sebaliknya sampah yang dipercayai telah lama mendap di dalam sungai.

“Aktiviti mengorek pasir yang beroperasi kira-kira 100 meter dari Kampung Kuantan mungkin antara sebab sampah itu timbul yang dibawa arus sampai ke hilir sini,” katanya.

Semai sendiri pokok berembang

Dek kerana pencemaran sungai, kualiti air sungai di Kampung Kuantan dikategorikan sederhana tercemar (Kelas III) yang pastinya akan menjejaskan kuantiti dan kualiti kehidupan sumber akuatik sungai seperti udang galah dan ikan.

Kualiti air Sungai Selangor dan persekitarannya sangat mempengaruhi ekosistem marin di Kampung Kuantan dan sekiranya tidak dijaga kebersihannya ia akan turut memusnahkan pokok-pokok bakau serta habitat kelip-kelip.

Menurut Masbudi, kelangsungan hidupan kelip-kelip terutamanya spesies pteroptyx tener yang ada di Kampung Kuantan, banyak bergantung kepada pokok bakau jenis sonneratia caseolaris (berembang) sebagai sumber makanan dan tempat tinggal.

“Jika kelip-kelip lenyap dari sini, akan terganggu sosioekonomi penduduk yang bergantung hidup dalam sektor ekopelancongan sama ada sebagai pendayung atau pemandu pelancong,” katanya.

Bimbang dengan pengurangan pokok berembang, menyebabkan Masbudi mengambil inisiatif mempelajari sendiri melalui pembacaan, teknik menyemai anak benih berembang

“Saya mulakan usaha menyemai benih pokok berembang sejak empat tahun lalu…selama sembilan bulan mencuba menyemai hingga berjaya menjadi anak pokok dan kemudian tanam di tepi sungai,” katanya.

Masbudi berkata, nurseri bagi menyemai benih berembang diwujudkan pada tahun 2015 dan setakat ini terdapat lebih 1,000 anak pokok berembang telah ditanam di kawasan sungai di kampung berkenaan.

“Pokok berembang perlu sentiasa dipantau namun kekangan masa dan tenaga menyebabkan usaha itu tidak dapat dilakukan,” katanya menambah daripada 1,000 anak pokok yang ditanam, hanya 25 peratus anak pokok sahaja yang tumbuh.

Justeru, menjadi hasrat beliau untuk memperluaskan usaha menjaga dan memulihara ekosistem sungai di sini dengan melibatkan komuniti dan pihak berkepentingan di sepanjang hilir Sungai Selangor pada tahun depan.

Ekosisten sungai makin terjejas

Ekosistem Sungai Selangor khususnya di bahagian hilir yang semakin terjejas akibat aktiviti manusia dan pembangunan, sudah semestinya merisaukan penduduk kampung khususnya mereka yang mencari rezeki di sungai.

Azmi Ramli, 37, penduduk asal Kampung Kuantan yang juga seorang pendayung kelip-kelip sejak 21 tahun lalu berkata, selain masalah sampah, hutan bakau yang kini semakin berkurangan turut memberi kesan terhadap kelangsungan habitat kelip-kelip di Kampung Kuantan.

“Panjang kawasan bakau di sini hanya tinggal lebih kurang 100 meter dan keluasannya kira-kira tiga hingga lima meter.

“Jika ekosistem di sungai ini tidak dijaga, ia akan mengganggu habitat kelip-kelip dan sekarang jumlah kelip-kelip sudah semakin berkurangan berbanding 20 tahun dahulu,“ katanya yang bekerja sebagai pendayung sejak berusia 16 tahun.

Menurut Azmi, banyak kelebihan mendayung sampan berbanding menggunakan bot enjin untuk mendekati habitat kelip-kelip atas pokok berembang dan tradisi berkenaan telah bermula sejak awal pembukaan kawasan itu, iaitu pada sekitar tahun 70-an.

“Interaksi dengan pelancong menjadi efektif kerana tiada gangguan bunyi enjin dan pendayung akan dapat membawa sampan sehampir yang boleh ke kawasan pokok berembang dan ia memudahkan pelancong untuk menyentuh kelip-kelip,” katanya sambil mengakui kerja berdayung memerlukan tenaga tetapi ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pencemaran udara dan bunyi.

Katanya, kesedaran penduduk untuk menjaga alam sekitar juga semakin meningkat sejak inisiatif yang dimulakan Masbudi dan aktiviti membersihkan sungai kini giat dijalankan.

“Penduduk semakin memahami pentingnya menjaga sungai,” katanya yang berharap usaha murni ini akan diteruskan oleh generasi muda.

– BERNAMA

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Operasi pasir di luar zon perlindungan, tak jejas habitat kelip-kelip

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA SELANGOR, 8 MEI: Kerja pengorekan pasir di kawasan Kampung Asahan, di ini, tidak menjejaskan habitat kelip-kelip seperti didakwa sesetengah pihak, kata Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Ketua Jabatan Teknikal (KSSB), Muhammad Faiz Zainuddin berkata, Jabatan Perhilitan sendiri menjelaskan bahawa habitat kelip-kelip boleh terjejas atau berkurangan jika berlaku pencerobohan ke atas pokok berembang dan pokok sagu yang tumbuh, di tebing sungai.

Katanya, ia juga boleh berlaku akibat pencahayaan lampu yang terlampau terang.

“Jadi, tidak ada isu kelip-kelip berkurangan akibat aktiviti cuci gali sungai yang dilaksanakan KSSB.

“Apatah lagi, operasi cuci gali sungai Selangor ini sudah kita laksanakan, sejak 2015. Mengapa baru hari ini timbul isu ia terjejas akibat aktiviti cuci gali?,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, Faiz berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat bersama pejabat tanah dan turut dihadiri pengadu iaitu Persatuan Pendayung Sampan bagi menjelaskan bahawa operasi terbabit berada di luar zon perlindungan habitat itu.

“Kita mengguna pakai kaedah pengorekan basah iaitu pam pasir digunakan untuk mengepam bahan berpasir serta kelodak daripada dasar sungai yang akan dialirkan ke dalam palung yang juga tapak pemprosesan bagi mengasingkan pasir daripada lumpur dan sampah sarap untuk dikomersialkan.

“Kemudian, air kelodak yang dipam dari dasar sungai tadi akan dialirkan ke dalam kolam hampas berfungsi untuk mengurangkan lumpur melalui proses pemendakan yang berlaku apabila air kelodak melalui beberapa kolam hampas sebelum mengalir keluar, ke dalam sungai.

“Operasi yang kita laksanakan itu juga tidak memberi kesan negatif terhadap zon perlindungan kelip-kelip kerana terletak dalam jarak lingkungan tujuh kilometer daripada habitat terbabit,” katanya.

Beliau berkata, ulasan daripada jabatan teknikal juga mengambil kira jarak selamat dan operasi terbabit harus di luar zon penampam iaitu lima kilometer dari zon perlindungan terbabit.

Terdahulu, media arus perdana mendakwa, kerja pengorekan pasir yang dijalankan KSSB adalah penyebab kepupusan habitat itu.

Bagaimanapun, SelangorKini membuat tinjauan di kawasan Kelip-Kelip Kampung Kuantan, mendapati habitat masih berkeliaran dan hinggap di pokok berembang yang terdapat di tebing sungai, pada 5 Mei lalu.

Pada masa sama, Faiz berkata, ada kemungkinan habitat kelip-kelip semakin berkurang akibat daripada pencerobohan yang pernah berlaku pada tahun 2016 dengan sekumpulan pihak yang tidak bertanggungjawab sudah menebang pokok berembang dan pokok sagu juga meratakan tanah bagi tanaman pokok kelapa sawit.

“Ia berdasarkan maklumat daripada ketua kampung dan tindakan penguatkuasaan sudah dilaksanakan, ketika itu.

“Di pihak KSSB, kita sentiasa bekerjasama dengan Pentadbir Tanah dan Jabatan Teknikal untuk memaklumkan sebarang aktiviti haram atau pencerobohan di kawasan perlindungan terbabit yang dilaksanakan pihak tidak bertanggungjawab untuk turut membantu melindungi habitat ini,” katanya

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Kuala Selangor, model projek ESC kelip-kelip Asia Tenggara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 14 FEB : Destinasi pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan dipilih sebagai model projek pembangunan Asean Environmental Sustainable Cities (ESC).

Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azman Dahlan berkata, pemilihannya bakal menyaksikan destinasi itu kekal sebagai pusat pemeliharaan habitat kelip-kelip terpenting di rantau ini.

“Perancangan projek ini akan menjadikan destinasi ini terus kekal terpelihara sebagai salah satu tumpuan habitat kelip-kelip terkemuka di Selangor khususnya.

“Pewartaan projek ini sudah dimasukkan dalam Pelan Rancangan Tempatan (MDKS) sejak 2015 lalu dan ia sudah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.

“Bagaimanapun, untuk tempoh tahun ketiga ini kita mendapat penajaan sekitar RM88,000 dari institut luar negara iaitu Jepun,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, projek berkenaan meliputi empat fasa perancangan dengan dua daripadanya sudah mula dilaksanakan bermula Julai hingga Disember 2017 lalu.

Ia melibatkan kerjasama inisiatif pembangunan mampan yang di bawah penyelerasan Institutes For Global Environmental Strategies (IGES) yang berpangkalan di Bangkok, Thailan dan PLAN Malaysia sebagai National Focal Point (FNP) di Malaysia.

Terdahulu, wakil agensi itu turun padang meninjau prospek pembangunan projek berkenaan bagi melihat sendiri perkembangan program pemuliharaan habitat kelip-kelip di kawasan itu.

Sementara itu, MDKS sebelum ini turut mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand bagi mendapatkan perkongsian sebenar pelaksanaan program terbabit pada 14-16 Disember lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kenali Selangor (Kelip- Kelip) dan Singgah Selangor (Morib) – Salam Selangor

Sinopsis:

Paparan hari ini membawa para penonton mengenali kelip- kelip dan Pantai Morib. Ikuti rancangan ini hanya di www.selangorkini.net