Categories
AGENSI SELANGOR

STFC: Jangkitan baharu Covid-19 meningkat 15 kes

SHAH ALAM, 29 SEPT: Selangor merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 apabila 15 individu positif berbanding 11 semalam dan satu daripadanya jangkitan luar negara membabitkan pengembara bukan warganegara dari Nigeria.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan angka berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 2,261.

“14 kes diklasifikasikan sebagai jangkitan tempatan. Malaysia pula mencatatkan 101 kes baru yang melibatkan 97 jangkitan tempatan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan satu kluster baharu Covid-19 dikesan di Selangor hari ini iaitu Kluster Benteng PK hasil saringan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Klang.

Sehingga kini seramai 148 individu disaring dengan sembilan kes positif dan 139 dikesan negatif.

STFC turut mewajibkan setiap individu yang baru tiba dari Sabah untuk menjalani saringan serta mengikut perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

“Pakai gelang kuarantin. Jika saringan negatif Covid-19, (individu) diberi pelepasan HSO (manakala) bergejala dalam 14 hari, jalani saringan semula,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster baharu di Selangor babit PATI, anggota polis

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu Covid-19 di Selangor iaitu kluster Benteng PK hasil saringan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan yang dijalankan dari 16 hingga 25 September mendapati lapan PATI dikesan positif wabak.

“Hasil saringan kontak rapat mendapati satu lagi kes positif bagi kluster ini pada 28 September yang melibatkan anggota polis. Mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika sidang media hari ini.

Beliau menjelaskan sehingga kini seramai 148 individu disaring dengan sembilan kes positif dan 139 dikesan negatif.

Sebanyak 15 kes baharu Covid-19 dikesan di negeri ini membabitkan 13 warganegara dan dua bukan warganegara.

Selain Benteng PK, KKM juga mengesan tiga kluster baharu di negara ini iaitu kluster Jalan Bomba dan kluster Jalan Utara di Sabah serta kluster Bakawali di Johor.