Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster baharu libatkan anggota polis di Kedah

SHAH ALAM, 14 OGOS: Satu lagi kluster baharu dikesan di Kedah membabitkan dua anggota polis, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Muda bermula dari kes indek iaitu kes ke-9,114 yang menjangkiti rakan sekerjanya, kes ke-9,147.

“Kedua-duanya dirawat di hospital. Setakat ini 124 kontak rapat sudah disaring.

“Hanya dua disahkan positif. Lima negatif manakala 117 masih tunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengesanan kes secara aktif sedang dilakukan selain proses pembersihan dan nyahcemar dijalankan di lokasi dikenal pasti.

Categories
AGENDA NASIONAL

20 kes baharu Covid-19, 13 penularan tempatan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Jumlah kes Covid-19 terus meningkat daripada 15 kepada 20 hari ini membabitkan 13 penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 11 jangkitan dalam negara membabitkan kluster Tawar dengan 10 kes dikesan di Kedah manakala satu di Pulau Pinang.

“Dua kes lain lagi turut direkodkan di Kedah termasuk satu kes dari kluster baharu, kluster Muda.

“Tujuh kes lagi merupakan kes import. Tiga kes menerima jangkitan dari Lubnan manakala satu kes masing-masing dari Indonesia, Perancis, Yaman dan Taiwan. Keseluruhan sebanyak 9,149 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 196 kes aktif dengan kebolehjangkitan dan empat pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan dan jumlah kumulatif kekal 125 kes iaitu 1.37 peratus dari keseluruhan.

“Sehingga 12 tengah hari tadi tujuh kes disahkan pulih dan dibenar keluar hospital. Ini menjadikan kes sembuh mencecah 8,828 kes iaitu 96.6 peratus,” katanya.