Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Satu lagi kematian daripada kluster Tawar

SHAH ALAM, 1 SEPT: Satu lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, berturut-turut sejak kelmarin menjadikan keseluruhan sebanyak 128 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes dari kluster Tawar membabitkan warga emas tempatan berusia 80 tahun yang menghidap barah paru-paru serta darah tinggi.

“Kes ke-9,174 ini dilaporkan 15 Ogos lalu. Beliau bergejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos sebelum dimasukkan ke pusat perubatan. Beliau disahkan meninggal dunia jam 10.38 pagi tadi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat jam 12 tengah hari tadi, 14 kes baharu dilaporkan dengan sembilan penularan tempatan.

Katanya, tujuh kes membabitkan kluster baharu, Benteng LD yang dikesan di Sabah hari ini manakala dua lagi direkodkan di Kedah.

“Ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,354 kes dengan 151 kes aktif.

Lima pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan tiga memerlukan bantuan pernafasan.

“Hari ini 21 kes disahkan pulih dan dibenarkan kelur hospital. Jumlah sembuh meningkat 9,075 kes iaitu 97 peratus,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kluster Tawar, PUI Sivagangga mungkin sumber sama – KKM

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Kluster Tawar dan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber yang sama, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata empat sampel daripada virus Kluster Tawar telah dibandingkan dengan tiga sampel Kluster PUI Sivagangga, dan hasil menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus itu daripada ‘clade’ yang sama.

“Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber yang sama. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebelum ini, kajian virologi terhadap Kluster Tawar dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mengambil kira peningkatan kes yang mendadak sehingga melibatkan daerah dan negeri lain.

Beliau berkata sebanyak 14 sampel diambil bagi tujuan ‘full genome sequencing’ atau susunan genom menyeluruh dan empat sampel berjaya mendapat virus untuk kajian susunan itu, dan didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, Kluster Tawar mencatat 73 kes positif dan seramai 4,521 orang telah disaring dalam kluster tersebut di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Beliau berkata selain daripada aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan aktif kes dan kontak untuk membendung penularan jangkitan Covid-19, penilaian risiko bagi Kluster Tawar dijalankan dan mendapati taburan kes positif Covid-19 tidak tertumpu hanya di suatu lokaliti.

Selain itu, penularan juga dilaporkan berlaku daripada kes asymptomatic atau tidak bergejala, virus D614G sama dengan virus Kluster PUI Sivagangga, kawasan penempatan agak padat, banyak pergerakan penduduk di dalam dan di antara daerah serta liputan saringan penduduk yang masih rendah kadar positif iaitu lebih daripada satu peratus, katanya.

“Oleh itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di tiga zon di Aman Jaya, Kedah iaitu Kenanga, Mawar dan Melur berkuat kuasa jam 12.01 malam, 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan,” kata Dr Noor Hisham.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes aktif kluster Tawar tinggi, KKM beri perhatian

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada kluster Tawar selepas mencatat kes aktif tertinggi.

KKM berkata sejak 12 Ogos lalu hingga semalam, kluster mula dikesan di Kedah itu merekodkan 73 kes positif dengan enam pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

“Setakat ini kluster tidak babitkan kematian. Ia merebak ke empat daerah dengan kes tertinggi direkodkan di Kuala Muda sebanyak 26 kes.

“Baling mencatat 20 kes, Kulim (15) dan Sik (satu). Kluster ini turut merebak ke tiga daerah di Pulau Pinang membabitkan enam kes di Timur Laut, Barat Daya (empat) dan Seberang Prai Utara (satu),” katanya melalui kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut KKM, punca jangkitan kes indeks yang merupakan lelaki tempatan bekerja membekal makanan ringan dan penjual besi buruk masih dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa berkata pihaknya mengesyaki kluster Tawar berkemungkinan berpunca daripada strain mutasi D614G.

Bagaimanapun perkara itu hanya boleh disahkan selepas ujian makmal dibuat.

Setakat ini, KKM mengesahkan mutasi D614G dikesan dalam kluster PUI Sivagangga dan Ulu Tiram.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM giat kesan kontak rapat Kluster Tawar

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiatkan aktiviti pengesanan kontak rapat Kluster Tawar susulan pertambahan tiga kes baharu, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya dengan kerjasama agensi lain turut mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di kawasan wabak selepas bilangan positif kluster tersebut mencecah 73 kes.

“Setakat hari ini juga seramai 4,051 disaring iaitu di Kedah seramai 3,514), Pulau Pinang (526) dan Perak (11). Hasil saringan kita berjaya mengesan 62 kes positif di Kedah, 11 kes di Pulau Pinang manakala saringan di Perak mendapati semua negatif.

“KKM ketika ini memberi tumpuan di Kedah kerana sebanyak 80 peratus kes positif Kluster Tawar dikesan di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malaysia merekodkan sebanyak enam kes baharu Covid-19 hari ini melibatkan lima kes tempatan dan satu kes import.

Semua kes tempatan berlaku di Kedah iaitu tiga kes melibatkan Kluster Tawar serta masing-masing satu kes saringan bergejala dan jangkitan pernafasan akut teruk di Hospital Sultanah Bahiyah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar: Lima murid di Kedah positif Covid-19

SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai lima murid sekolah di Kedah dikesan positif Covid-19 hari ini berpunca daripada kluster Tawar, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kluster tersebut setakat ini sebanyak 70 kes.

“Lima kes baharu melibatkan murid telah dikenal pasti melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes positif kluster Tawar.

“Siasatan lanjut mendapati punca penularan jangkitan Covid-19 terhadap lima murid sekolah berpunca daripada ibu kepada salah seorang mangsa, iaitu kemungkinan anak kepada wanita berkenaan berkawan dan menjangkiti murid lain.

“Sehingga 25 Ogos jam 12 tengah hari, seramai 3,547 orang melibatkan kluster ini telah disaring,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan Dr Noor Hisham berkata siasatan awal KKM tidak menunjukkan kanak-kanak menjadi punca penyebaran aktif Covid-19 dalam kluster tertentu.

Malaysia merekodkan sebanyak 11 kes Covid-19 hari ini melibatkan sembilan kes tempatan dan dua kes import.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian dibuat kenal pasti kluster Sala, Tawar punyai mutasi D614G

TANJUNG MALIM, 21 OGOS: Kajian masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada Kluster Sala dan Tawar mempunyai mutasi jenis D614G seperti Kluster Sivagangga berkaitan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pihaknya memandang serius peningkatan kes kedua-dua kluster pandemik berkenaan dan segala pemantauan serta pencegahan giat dilakukan.

“Virus memang bersifat begini…ia akan mutasi kerana mahu hidup, bukan mahu bunuh perumah, tetapi kita tidak tahu adakah ia bersangkutan (mutasi D614G). Kajian masih dilakukan,” katanya di Felda Gunung Besout 4 di sini hari ini.

Virus mutasi D614G dilaporkan berisiko meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 lebih 10 kali ganda dalam kalangan mereka yang tidak mengikuti tatacara operasi piawai (SOP).

Lapan kes baharu dilaporkan pada Rabu lepas melibatkan negeri Kedah dan Pulau Pinang, menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi Kluster Tawar sebanyak 55 kes, manakala tiga kes baharu dilaporkan di Kedah, menjadikan 11 kes membabitkan Kluster Sala.

Sementara itu, mengulas mengenai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang dilapor tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara, Dr Noor Azmi berkata siasatan perlu dilakukan bagi melihat sama ada berlaku perlanggaran SOP.

“Saya tidak tahu perincian perkara ini dan jika ada kebenarannya, maka siasatan dan hukuman mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) perlu dilakukan. Semua rakyat mahu keadilan dan integriti,” katanya.

Dalam pada itu, berhubung pematuhan SOP ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Dr Noor Azmi berkata tiada laporan pelanggaran SOP dibuat setakat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Kluster Tawar tambah tujuh kes baharu Covid-19

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tujuh kes baharu Covid-19 membabitkan kluster Tawar menjadikan jumlah keseluruhan 46 kes setakat ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu empat kes dicatatkan di Kedah manakala tiga di Pulau Pinang membabitkan generasi ketiga.

“Sehingga 17 Ogos jam 12 tengah hari, seramai 1,135 individu telah disaring dalam kluster ini,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Kes pertama kluster Tawar dikesan di Kedah iaitu kes ke-9,113 membabitkan lelaki warganegara Malaysia yang juga seorang peniaga.

Beliau yang dikesan positif pada 9 Ogos lalu mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos.

Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

1. Kedah (918 disaring):
39 kes dikesan positif
655 individu negatif
224 individu masih menunggu keputusan

2. Pulau Pinang (208 disaring):
Tujuh kes dikesan positif
175 individu negatif
26 individu masih menunggu keputusan

3. Perak (sembilan disaring):
Tiada kes dikesan positif
Lapan individu negatif
Satu individu masih menunggu keputusan

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar: 899 disaring, enam kes baharu

SHAH ALAM, 16 OGOS: Kementerian Kesihatan mengesan enam kes baharu Covid-19 membabitkan kluster Tawar di Kedah menjadikan jumlah keseluruhan 39 kes setakat ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu lima kes dicatatkan di Kedah manakala satu di Pulau Pinang.

“Sehingga 16 Ogos 2020 jam 12 tengah hari seramai 899 individu telah disaring dalam kluster ini,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Kes pertama kluster tersebut iaitu kes ke-9,113 membabitkan lelaki warganegara Malaysia yang juga seorang peniaga.

Beliau yang dikesan positif pada 9 Ogos lalu mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos 2020.

Pecahan saringan mengikut negeri:

1. Kedah (727 disaring):
– 35 individu positif
– 643 individu negatif
– 49 individu menunggu keputusan

2. Pulau Pinang (164 disaring):
– Empat individu positif
– 155 individu negatif
– Lima individu menunggu keputusan

3. Perak (lapan disaring):
– Tiada kes positif
– Lima individu negatif
– Tiga individu menunggu keputusan

Categories
AGENDA NASIONAL

25 kes baharu Covid-19, 16 jangkitan luar negara

SHAH ALAM, 16 OGOS: Sebanyak 25 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan 16 kes import dan bakinya penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes import membabitkan 11 rakyat Malaysia dan lima bukan warganegara.

“16 kes import adalah dari Thailand (satu), Hong Kong (satu), Indonesia (dua), India (tiga), Arab Saudi (tiga), Pakistan (dua), Yaman (satu), Lubnan (satu), United Kingdom (satu) dan Jepun (satu),” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan sembilan kes penularan tempatan membabitkan enam warganegara dari kluster Tawar dan satu kes di Sabah. Sementara dua kes bukan warganegara pula dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan pekerja kedai makan.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes adalah 9,200 dengan 216 kes aktif kebolehjangkitan sementara 28 individu sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah setakat ini 8,331 kes.

Terdapat tujuh kes positif wabak sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua memerlukan bantuan pernafasan serta tiada kematian dengan jumlah keseluruhan kekal 125 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar: Teluk Kumbar lengang susulan SOP diperketat

GEORGE TOWN, 16 OGOS: Tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih ketat dikenakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke atas premis perniagaan termasuk makanan di Teluk Kumbar susulan laporan satu kes positif Covid-19 di situ pada Jumaat lepas, menyaksikan kawasan tersebut lengang.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai seakan-akan ‘menjauhi’ kawasan tersebut, sekali gus menjejaskan rezeki khususnya peniaga warung makanan yang pelanggannya tidak dibenarkan makan di premis.

Pengurus Nasi Kandar Heritage, Ibrahim Mydin, 38 berkata bilangan pelanggan ke restoran itu berkurangan sejak kes positif Covid-19 dilaporkan berhampiran kawasan berkenaan.

“Penduduk di sini telah mengambil langkah berjaga-jaga dan mereka hanya bungkus makanan mereka balik makan. Tidak ramai yang makan di sini lagi walaupun ‘dine-in’ dibenarkan di restoran kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

SOP itu yang berkuat kuasa semalam bermula dari sempadan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Jalan Teluk Kumbar hingga simpang lampu isyarat Puspakom, Kampung Tengah serta sekitar Gertak Sanggul.

Seorang peniaga minuman di Warung Simpang Tiga, Mohamad Amin Mohamad Zaini, 29, pula berkata peniagaannya terjejas selepas arahan baharu tidak membenarkan pelanggan menikmati makanan dan minuman di gerai penjaja di tepi jalan.

“Selalunya penduduk sini akan datang pada waktu pagi untuk menikmati makanan mereka namun hari ini tidak ramai yang datang walaupun untuk bungkus,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa taman permainan di kawasan Teluk Kumbar juga ditutup kepada orang ramai.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz, lebih 100 peniaga kecil-kecilan di tepi jalan akan terjejas pendapatan susulan arahan terbaharu MBBP itu.

“Saya berharap para peniaga dapat bersabar kerana tindakan ini adalah demi kepentingan semua dan setakat ini keadaan di sini masih terkawal. Penduduk kawasan Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul harus mengikut semua SOP yang ditetapkan dan mengurangkan aktiviti berkunjung atau himpunan orang ramai,” katanya.

Jumaat lepas, satu kes positif Covid-19 dilaporkan di kawasan Teluk Kumbar melibatkan kluster Tawar di Kedah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar bertambah 12 kes, kini 33 orang

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kementerian Kesihatan mengesan pertambahan 12 kes positif Covid-19 membabitkan kluster Tawar menjadikan jumlah keseluruhan 33 orang setakat ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu 10 kes dicatatkan di Kedah manakala dua di Pulau Pinang.

“Sehingga 15 Ogos 2020 jam 12 tengah hari seramai 657 individu telah disaring dalam kluster ini,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Kes pertama kluster berkenaan iaitu kes ke-9,113 membabitkan lelaki warganegara Malaysia yang juga seorang peniaga.

Beliau yang dikesan positif pada 9 Ogos lalu mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos 2020.

Pecahan saringan mengikut negeri:

1. Kedah (520 disaring):
– 30 individu positif
– 472 individu negatif
– 18 individu masih menunggu keputusan

2. Pulau Pinang (129 disaring):
– Tiga individu positif
– 119 individu negatif
– Tujuh individu masih menunggu keputusan

3. Perak (lapan disaring):
– Tiada kes positif
– Lapan individu masih menunggu keputusan

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar jangkiti kanak-kanak tiga tahun, petugas kesihatan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Seramai 261 individu disaring bagi pengesanan kes positif Covid-19 melibatkan kluster Tawar, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 156 saringan dilakukan di Kedah manakalala 105 menjalankan ujian di Pulau Pinang.

“Setakat ini 21 positif, 20 di Kedah dan satu di Pulau Pinang. 152 individu disahkan negatif manakala 88 masih belum mendapat keputusan.

“Hari ini 11 kes baharu dikesan dari kluster ini. Ia termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun serta lima petugas hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Tawar sebagai kluster baharu.

Kluster berpunca dari kes ke-9,113 iaitu lelaki tempatan yang menghadiri upacara keagamaan dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.