Categories
AGENDA NASIONAL

Kongres Nasional KEADILAN secara dalam talian Ahad ini

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2020 yang ditangguhkan sebelum ini akan diadakan Ahad ini.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Pengarah Kongres Nasional berkata kesemua 2,000 perwakilan akan menyertai kongres itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom di kediaman masing-masing, bermula dari pukul 8 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata keputusan berkenaan diambil parti selepas merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 9 Jun lepas.

“(Sementara itu) Dalam surat daripada RoS kepada PKR pada 21 Mei lepas, parti diberikan masa sehingga 30 Jun untuk melaksanakan kongres,” katanya dalam kenyataan hari ini

Menurut Nik Nazmi, kongres itu akan memfokuskan isu ekonomi, kesihatan dan pemulihan demokrasi.

Pada 5 Jun lepas, Nik Nazmi dilapor berkata PKR telah menerima surat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan makluman lisan daripada RoS, masing-masing pada 4 Jun yang mengarahkan kongres itu ditangguhkan.

Persidangan Kongres Nasional Wanita PKR dan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan selesai diadakan secara maya, masing-masing pada 4 dan 5 Jun lepas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN: Tangguh kongres elak tindakan bawah Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 6 JUN: KEADILAN akur arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menangguhkan Kongres Nasional PKR 2020 yang dijadualkan hari ini dan akan mengumumkan tarikh baharu kongres itu kelak.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan meneruskan kongres boleh menyebabkan parti itu dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat.

“Kongres ini sepatutnya diadakan pada Disember tahun lalu, tetapi pada masa itu penangguhan 18 bulan dibenarkan kerana situasi Covid-19, tempoh penangguhan berakhir hari ini.

“Namun kita tangguh lagi ke satu tarikh hingga 30 Jun ini, dan ia juga masih mengambil kira situasi pandemik negara,” katanya pada sesi ‘Amanat Presiden PKR’ secara maya hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, PKR akan mendapatkan nasihat MKN serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum menyambung semula kongres tersebut supaya perkara sama tidak berulang.

MKN semalam menjelaskan Kongres Nasional KEADILAN ke-15 yang dijadualkan hari ini boleh ditangguhkan hingga 30 Jun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Rabin Basir berkata ia berdasarkan pandangan RoS berkenaan perkara itu.

Pengarah Kongres Nasional KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan semalam turut memaklumkan KEADILAN telah menerima surat daripada MKN dan makluman lisan daripada RoS, masing-masing pada 6.21 petang, Jumaat lepas, yang mengarahkan kongres berkenaan ditangguhkan.

Persidangan Kongres Nasional Wanita KEADILAN berlangsung Jumaat lepas manakala Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) diadakan semalam, kedua-duanya secara maya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN, ROS arah Kongres Nasional KEADILAN dalam talian ditangguh

SHAH ALAM, 5 JUN: Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2020 dalam talian yang dijadual berakhir esok ditangguh.

Ketua setiausaha pengelola merangkap pengarah kongres berkata penangguhan itu berikutan surat arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan makluman lisan Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata arahan tersebut bertentangan surat MKN bertarikh 27 Mei yang menyatakan tiada halangan jika penganjuran dibuat dalam talian sepenuhnya.

Sekalipun membuat bantahan, beliau berkata Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN memutuskan untuk menangguh kongres berkenaan ke tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Butiran keputusan ini akan diumumkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Khas esok menerusi Facebook parti pada 11 pagi 6 Jun,” katanya.

Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2020 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula semalam secara maya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengekang penularan Covid-19.

Kongres tahunan ke-15 dimulai dengan persidangan Wanita semalam termasuk ucapan Penasihat parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diikuti ucapan dasar Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Hari ini, persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dimulai dengan ucapan dasar oleh ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wan Azizah yakin lebih ramai wanita jadi calon KEADILAN

SHAH ALAM, 5 JUN: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yakin lebih ramai wanita akan menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang kerana kemampuan mereka menjadi pemimpin masyarakat.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata kenyataannya itu bukan bermaksud untuk mencabar kaum lelaki dalam parti tetapi berharap proses berkenaan dapat dipermudahkan.

Memetik Harvard Business Review bertarikh Jun 2019, beliau berkata dapatan kajian itu menunjukkan wanita mempunyai kelebihan dalam beberapa perkara dan dipercayai 84 peratus lebih efektif dalam ukuran kompetensi.

“Antaranya dalam hal-hal mengambil inisiatif, lebih berdaya tahan, suka kepada pembangunan kendiri, berbuat sesuatu dengan dorongan keputusan, mempamerkan integriti tinggi serta jujur,” katanya ketika merasmikan Kongres Wanita KEADILAN ke-15 secara maya hari ini.

Wan Azizah turut menyeru Wanita KEADILAN melipatgandakan usaha meraih sokongan rakyat, termasuk menambah jumlah keahlian sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Walaupun berdepan kemelut pelbagai, saya bangga dan bersyukur melihat keanggotaan kita semakin bertambah dari hari ke hari. Ini petanda parti kita masih relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.

“Untuk menang, kita harus kekal relevan di hati rakyat. Untuk menang, kita harus menjadi kelompok yang dipercayai rakyat dan dilihat mampu memberi harapan kepada penyelesaian masalah,” katanya.