Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 meningkat, UiTM tangguh istiadat konvokesyen

SHAH ALAM, 17 FEB: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-93 universiti tersebut yang dijadualkan bermula pada 2 hingga 23 Mac depan.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan penangguhan istiadat konvokesyen melibatkan 27,287 graduan UiTM Shah Alam; cawangan Sarawak dan Sabah itu diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) Bil 5/2022, semalam (16 Feb).

Istiadat konvokesyen tersebut dijangka akan dilaksanakan pada Jun hingga Julai tahun ini.

“Penangguhan ini juga berdasarkan perkembangan terkini peningkatan penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia. Ia juga berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berikutan peningkatan penularan jangkitan COVID-19 secara mendadak di seluruh negara yang amat membimbangkan pihak universiti.

“Pihak pengurusan UiTM memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh para graduan dan ibu bapa. Pihak UiTM juga berasa kesal dengan situasi di luar kawalan ini dan amat menghargai kefahaman, sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam hal ini,” menurut kenyataan itu.

Maklumat terkini mengenai penangguhan pelaksanaan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 boleh dirujuk di laman sesawang konvokesyen.uitm.edu.my atau menghubungi Aminah Aman: wa.me/+60355443110 atau Rozani Mohd Noh: wa.me/+60355443114.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ujian Penilaian Kelas KAFA ditangguh pada November

SHAH ALAM, 7 SEPT: Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) pada 4 hingga 7 Oktober ini bagi calon 2020 dan 2021 ditangguhkan kepada 15 hingga 18 November depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) berkata keputusan dibuat demi keselamatan dan kesihatan pelajar selain memastikan persiapan pusat peperiksaan lengkap sepenuhnya.

Menurut Idris Ahmad keputusan juga mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) selain kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh semalam.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menetapkan hanya petugas peperiksaan yang lengkap vaksin sahaja dibenarkan bertugas.

“Jakim bersama agensi berkaitan akan menyediakan pelan tindakan bagi memastikan UPKK berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris berkata calon UPKK akan kembali ke sekolah pada 3 Oktober ini selaras keputusan kerajaan yang membenarkan sesi persekolahan calon peperiksaan pada tarikh berkenaan.

Pada 15 Ogos KPM memutuskan sesi persekolahan bersemuka bermula pada 3 Oktober depan secara berperingkat serta mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang Parlimen ditangguh lagi, dua didapati positif Covid-19

SHAH ALAM, 29 JULAI: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini sekali lagi ditangguhkan sehingga 5.15 petang bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan majlis ketika itu memaklumkan ia susulan terdapat dua kes positif terbaharu dikesan seperti pemakluman terkini oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada Speaker Dewan Rakyat.

“Kes pertama ialah seorang petugas yang hadir sejak 26 Julai hingga 28 Julai manakala kes kedua dikesan positif hari ini semasa ujian saringan kendiri di Parlimen menggunakan RTK-Ag Saliva.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal mendapati kedua-dua kes itu dikhuatiri telah berada di sekitar Parlimen,” katanya.

Mohd Rashid berkata semua yang berada di bangunan Parlimen termasuk Ahli Parlimen, pegawai dan pekerja perlu menjalani ujian saringan dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu sehingga keputusan ujian diperoleh.

Penangguhan itu adalah yang keempat untuk hari ini selepas Mesyuarat Khas itu ditempohkan kali pertama pada 12.30 tengah hari susulan kenyataan Istana Negara berkenaan Proklamasi Darurat.

Malaysia hari ini mencatatkan 17,170 kes baharu positif COVID-19 menjadikannya dua hari berturut-turut negara merekodkan kes melebihi 17,000.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN, ROS arah Kongres Nasional KEADILAN dalam talian ditangguh

SHAH ALAM, 5 JUN: Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2020 dalam talian yang dijadual berakhir esok ditangguh.

Ketua setiausaha pengelola merangkap pengarah kongres berkata penangguhan itu berikutan surat arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan makluman lisan Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata arahan tersebut bertentangan surat MKN bertarikh 27 Mei yang menyatakan tiada halangan jika penganjuran dibuat dalam talian sepenuhnya.

Sekalipun membuat bantahan, beliau berkata Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN memutuskan untuk menangguh kongres berkenaan ke tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Butiran keputusan ini akan diumumkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Khas esok menerusi Facebook parti pada 11 pagi 6 Jun,” katanya.

Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2020 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula semalam secara maya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengekang penularan Covid-19.

Kongres tahunan ke-15 dimulai dengan persidangan Wanita semalam termasuk ucapan Penasihat parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diikuti ucapan dasar Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Hari ini, persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dimulai dengan ucapan dasar oleh ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: AHF tangguh dua kejohanan hoki utama Asia

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Pasukan hoki lelaki dan wanita kebangsaan perlu menunggu lebih lama sebelum dapat kembali menyertai pertandingan antarabangsa berikutan penangguhan dua kejohanan utama Asia.

Menurut Persekutuan Hoki Asia (AHF), Kejohanan Trofi Juara-juara Asia Lelaki 2021 di Dhaka, Bangladesh pada 11-19 Mac dan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan pada 31 Mac hingga 7 Apr telah ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Badan sukan hoki Asia itu memutuskan untuk menangguhkan kedua-dua kejohanan terbabit sehingga separuh kedua tahun ini demi kepentingan keselamatan dan kesejahteraan semua peserta.

Menurut AHF, langkah beberapa negara di Asia mengenakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung wabak itu turut menjejaskan persiapan pasukan dalam menjalani latihan.

“Ancaman situasi tidak menentu dan kurang baik dihadapi pasukan bertanding adalah satu faktor lain. AHF sentiasa berusaha menyediakan peluang seimbang kepada semua dan berikutan itu kami tidak dapat meneruskan kejohanan dalam keadaan tidak menentu ini.

“Akhirnya, varian baharu Covid-19 telah melumpuhkan dunia sekali lagi, dan kami tidak dapat meneruskannya dalam ancaman baharu ini,” menurut AHF dalam laman sesawangnya.

AHF memaklumkan bahawa keputusan penangguhan kedua-dua kejohanan itu dipersetujui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sambil menambah bahawa kedua-dua kejohanan membabitkan pasukan lelaki dan wanita itu kemungkinan berlangsung pada September dan Oktober.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

PTPTN: Tangguh bayaran balik pinjaman dilanjut tiga bulan lagi

PUTRAJAYA, 1 JAN: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keputusan ini diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

“Peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac 2021.

“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noraini berkata butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN.

“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Dis 2020 kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Kehakiman Syariah tangguh operasi beberapa negeri hingga 9 Okt

PUTRAJAYA, 7 OKT: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menangguhkan perkhidmatan dan operasi di beberapa negeri termasuk prosiding perbicaraan, sebutan kes, majlis sulh serta pendaftaran kes yang melibatkan orang awam, bermula hari ini hingga Jumaat.

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri (JKSN) yang terlibat ialah Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, JKSN Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak kecuali Mahkamah Tinggi Syariah Sarawak serta Mahkamah Syariah Daerah Sibu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata keputusan itu dibuat susulan ada kontak rapat beberapa pegawai syariah yang terlibat pada Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara (PKPSN) 2020.

Perkhidmatan dan operasi di JKSN Pahang, Kedah, Perlis, Johor, Kelantan dan Makhamah Syariah Melaka pula berjalan seperti biasa, katanya dalam kenyataan hari ini.

PKPSN 2020 yang berlangsung pada 29 dan 30 Sept lalu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Mohd Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie JKSM berkata pengurusan kes rayuan yang melibatkannya juga ditangguhkan sementara waktu sehingga keputusan rasmi saringan Covid-19 diperoleh daripada Kementerian Kesihatan.

Beliau juga berkata semua program latihan, muzakarah dan bengkel yang melibatkan JKSM di mana-mana tempat yang melibatkan kehadiran secara fizikal ditangguhkan hingga 31 Oktober ini.

Selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai sekatan rentas negeri di Sabah, beliau berkata kes rayuan di JKSN Sabah yang melibatkan panel rayuan JKSM bermula 12 Oktober ini juga ditangguhkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 melonjak, sambutan Hari Sukan Negara 2020 ditangguh

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menangguhkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Okt ini ke satu tarikh bersesuaian, susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan berkata penangguhan berkenaan diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko penyebaran wabak itu selain memastikan keselamatan semua pihak yang bakal terlibat pada sambutan berkenaan nanti.

“Negeri-negeri, kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan, sekolah-sekolah, mahupun persatuan-persatuan dan komuniti sukan yang bercadang untuk menganjurkan sambutan bersama bagi merancakkan lagi suasana Hari Sukan Negara juga disarankan supaya mengambil langkah yang sama,” kata Reezal Merican.

Beliau turut menasihatkan semua penggiat sukan di negara ini supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai ditetapkan pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, KBS dan pihak berkuasa tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media semalam memaklumkan sebanyak 287 kes baharu Covid-19 dikesan, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di Malaysia yang sekali gus menjadikan kes positif virus itu kini berjumlah 11,771 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020 secara bersemuka di Sabah ditangguh

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Jabatan Perangkaan menangguhkan pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa kedua secara bersemuka di seluruh negeri Sabah dan penyesuaian semula bagi pelaksanaannya akan dimaklumkan kemudian.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata keputusan itu diambil berikutan pelaksanaan kawalan rentas daerah di negeri tersebut bermula 3 hingga 16 Okt ini.

“Berdasarkan status terkini itu juga, penyelia dan pembanci yang dilantik di Sabah tidak perlu hadir bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah manakala latihan bagi pembanci di Sabah yang dijadualkan bermula dari 1 hingga 5 Okt turut dihentikan berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun, Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan, berkata pelaksanaan Banci 2020 di negeri-negeri lain diteruskan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) iaitu Operasi Pembancian di Lapangan Banci 2020 dan tertakluk kepada pemakluman dari semasa ke semasa.

Banci 2020 fasa kedua iaitu pengumpulan data secara bersemuka akan dilaksanakan dari 7 hingga 24 Okt ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pelaksanaan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah mulai 12.01 tengah malam 3 Okt hingga 16 Okt.

Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini, kekal berkuat kuasa seperti biasa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

USIM tangguh kehadiran pelajar dari Sabah, PKPD, zon merah ke kampus

SEREMBAN, 1 OKT: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memutuskan, untuk menangguhkan sementara kehadiran semua pelajar dari Sabah termasuk pendaftaran pelajar baharu untuk hadir ke kampus, susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, penangguhan itu turut membabitkan pelajar dari kawasan zon merah dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“USIM telah disarankan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi, untuk menangguhkan kemasukan pelajar dari kawasan zon merah Covid-19 ke kampus.

“Memandangkan potensi risiko penularan wabak yang semakin meningkat, pihak pengurusan USIM juga membuat keputusan menangguhkan sementara kehadiran pelajar secara fizikal ke kampus, sehingga notis pemakluman baharu dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, proses pendaftaran serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi kumpulan pelajar yang terlibat dari kawasan zon merah dan Sabah dilaksanakan secara dalam talian.

Bagi pelajar yang bukan dari kawasan zon merah dan Sabah, Mohamed Ridza berkata kemasukan ke kampus adalah kekal, mengikut takwim akademik ditetapkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Covid-19: UiTM tangguh daftar pelajar di zon merah secara bersemuka

SHAH ALAM, 28 SEPT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama dari Sabah dan kawasan zon merah secara bersemuka bagi sesi pengajian yang dijadualkan bermula bulan depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Ir Mohd Azraai Kassim berkata arahan yang sama turut dikeluarkan kepada pelajar dari Semenanjung yang akan mendaftar di kampus UiTM Sabah.

“Pelajar baharu dan lama boleh mendaftar secara dalam talian. Notis mengenai perkara tersebut akan dikeluarkan hari ini. Proses pembelajaran juga akan dijalankan secara dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan peralatan pengajaran dan pembelajaran oleh Kedutaan China kepada UiTM di sini, hari ini.

Ditanya mengenai istiadat konvokesyen UiTM yang dijadual berlangsung pada November ini, Mohd Azraai berkata pihaknya sedang berbincang mengenai perkara tersebut sama ada ia diteruskan seperti biasa atau secara kebiasaan baharu dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka di kampus masing-masing yang dijadualkan bermula Oktober ini.

KPT mencadangkan proses pendaftaran dan pembelajaran bagi kumpulan pelajar terbabit boleh dilakukan secara dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tutup esok hingga 31 Mac, bicara kes tangguh

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Mahkamah di seluruh negara ditutup bermula esok hingga 31 Mac selaras dengan keputusan kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah juga ditangguhkan dan tarikh baharu dimaklumkan kemudian.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata bagaimanapun jika terdapat keperluan pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret bertugas bagi tujuan persediaan mahkamah.

Katanya bagi kesalahan boleh dijamin, Pengarah Mahkamah Negeri hendaklah memastikan urusan jamin dapat diproses seperti biasa.

“Permohonan untuk tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dijalankan seperti biasa mengikut jadual bertugas ditetapkan.

“Bagi mahkamah menggunakan sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan notis rayuan dan dokumen-dokumen berjalan seperti biasa melalui sistem e-Filing manakala bagi mahkamah tidak mempunyai sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes sivil baharu dan dokumen diterima mulai 1 April 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Terrirudin berkata ia adalah panduan pengendalian kes-kes di mahkamah seluruh negara seperti diarahkan Ketua Hakim Negara bagi memastikan akses kepada keadilan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa bagi tempoh berkenaan.

Beliau berkata bagi kes-kes Mahkamah Sesyen Sivil memerlukan kesegeraan, pemfailan boleh dibuat di mahkamah berdekatan yang mempunyai sistem e-Kehakiman di negeri berkenaan.

Katanya, sebagai contoh, bagi kausa tindakan di Bangi, kes tersebut boleh difailkan melalui sistem e-Kehakiman di Mahkamah Shah Alam.

Menurut Ahmad Terrirudin, pengurusan kes sivil secara e-Review terus dijalankan seperti biasa secara dalam talian manakala pengurusan kes sivil secara manual ditangguhkan dan diberikan tarikh baharu.

“Pengurusan kes bagi kes-kes jenayah di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan ditangguhkan dan penetapan tarikh baharu dimaklumkan kemudian,” katanya.

-BERNAMA