Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat Malaysia dari Wuhan selamat tiba di KLIA

SEPANG, 4 FEB: Pesawat khas yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang dilanda wabak koronavirus 2019, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi ini.

Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia, tiba pada 5.57 pagi.

Seramai 107 orang dibawa pulang melalui penerbangan khas yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Penerbangan itu turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan 133 orang jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat dari Wuhan, lokasi yang dikenal pasti sebagai punca penularan virus tersebut.

Pesawat khas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 3.50 petang Isnin bersama 12 kru dan lapan petugas misi HADR.

Pesawat turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara di KLIA sebaik sahaja tiba di tanah air.

Mereka yang mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke pusat pemantauan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: China sahkan 361 maut

BEIJING, 3 FEB: Jumlah kematian di China akibat wabak koronavirus 2019 meningkat kepada 361 orang, lapor agensi berita Anadolu memetik Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC) pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata setakat ini sejumlah 17,205 kes disahkan telah dilaporkan dengan 57 kematian, dalam tempoh 24 jam lalu.

“Sehingga kini, 189,583 orang dikenal pasti mempunyai hubungan rapat dengan pesakit yang dijangkiti. Seramai 152,700 berada di bawah pemantauan perubatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu di Filipina seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat koronavirus 2019, kematian pertama berlaku di luar China, menurut pejabat tempatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad.

Pesakit itu warga China dari bandar Wuhan, tempat virus tersebut mula dikesan.

Menurut NHC mayat mereka yang maut akibat wabak itu akan dibakar di tempat pembakaran mayat berdekatan dengan hospital.

Di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong seramai 15 orang disahkan dijangkiti virus itu dan lapan di Wilayah Pentadbiran Khas Macau.

Kes tersebut juga dilaporkan di Thailand, Jepun, Singapura, Australia, Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Korea Utara, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Kanada, Vietnam, Itali, Sepanyol, Sweden, United Kingdom, Rusia, Nepal, Kemboja, Filipina, Sri Lanka, Finland dan India.

Virus yang berasal dari Wuhan itu dikatakan merebak kepada manusia daripada haiwan, terutama kelawar.

Ia mencetuskan kebimbangan dunia selepas kes penyakit berkenaan dilaporkan di seluruh Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada.

Pada Sabtu Sepanyol mengesahkan kes disyaki koronavirus 2019 yang pertama membabitkan seorang pelancong Jerman di La Gomera, Pulau Canary.

Amerika Syarikat mengisytiharkan darurat kesihatan awam manakala Rusia pada Sabtu menggantung perjalanan tanpa visa kepada pelancong dari China.

Pelancong dari China juga perlu menjalani saringan kesihatan di lapangan terbang di seluruh dunia dan beberapa syarikat penerbangan menggantung penerbangan ke Wuhan.

WHO turut mengisytiharkan wabak itu sebagai darurat kesihatan global.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesawat khas bawa pulang rakyat Malaysia berlepas ke China – TPM

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Pesawat khas untuk misi membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak-anak mereka di Wuhan berikutan penularan novel koronavirus 2019, berlepas ke China petang tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pesawat AirAsia AK8264 itu berlepas kira-kira pukul 3.50 petang bersama dengan 12 krew dan lapan petugas misi daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) ke Wuhan, China untuk membawa pulang 141 rakyat Malaysia termasuk pasangan dan anak.

“Penerbangan ini juga membawa bersama 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China dalam operasi membanteras penularan 2019-nCoV di negara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankausa Pengurusan Bencana Pusat itu berkata kesemua 141 penumpang ini akan melalui tapisan kesihatan mengikut ketetapan pihak penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan sebelum dibenarkan memasuki pesawat untuk berlepas balik ke Malaysia.

Bagaimanapun, tegasnya, tempoh masa yang diambil untuk tapisan kesihatan, proses imigrasi dan kebenaran berlepas tidak dapat dipastikan buat masa ini.

Dr Wan Azizah menjelaskan, sebaik tiba di Malaysia, kesemua 167 penumpang (141 yang dibawa pulang, 12 krew, lapan petugas misi dan enam pegawai daripada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing) sekali lagi akan melalui tapisan kesihatan di Air Disaster Unit (ADU), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bagi mereka yang dikesan mempunyai simptom akan dibawa terus ke hospital manakala yang melepasi saringan akan dibawa terus menaiki bas ke Pusat Pemantauan yang telah ditetapkan untuk tujuan pemantauan bagi tempoh 14 hari.

“NADMA akan berhubung (dengan) keluarga mereka untuk memaklumkan urusan penerbangan pulang dan memberi penerangan berkaitan proses kuarantin yang perlu dilalui ahli keluarga mereka sepanjang 14 hari,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Kedudukan Wuhan tuan rumah kejohanan ABC diputus Februari

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Badminton Asia hari ini menyatakan mereka akan membuat keputusan sama ada mengekalkan Kejohanan Badminton Asia 2020 (individu) di Wuhan, China ataupun memindahkannya ke tempat lain, hujung Februari ini, berikutan wabak novel koronavirus 2019.

Bagaimanapun ABC dalam satu kenyataan menyatakan, pada masa ini kejohanan dari 21 hingga 26 April itu yang akan memberikan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, masih lagi kekal di Wuhan.

“Badminton Asia dan Persektuan Badminton Dunia (BWF) akan memantau secara dekat perkembangan dan situasi virus itu dengan harapan situasi tersebut akan menjadi lebih baik.

“Badminton Asia juga mempunyai pelan kontigensi untuk bandar lain bersedia menjadi tuan rumah kejohanan tersebut di dalam dan luar China,” menurut kenyataan tersebut.

Sebelum ini BWF menangguhkan kejohanan Masters Lingshui di China, yang sepatutnya berlangsung dari 25 Februari hingga 1 Mac, yang juga merupakan satu kejohanan kelayakan sukan Olimpik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia bawa pulang warganya dari China, dikuarantin di Pulau Natuna

JAKARTA, 2 FEB: Indonesia hari ini membawa pulang 238 warganya dari wilayah Hubei, China, dan menempatkan mereka di Pulau Natuna bagi menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Pesawat komersial penerbangan Batik Air yang membawa warga Indonesia dari Wuhan itu mendarat di Lapangan Terbang Hang Nadim, Pulau Batam, kira-kira jam 8.45 pagi waktu Indonesia Barat.

Beberapa media tempatan melaporkan kesemua mereka kemudiannya diterbangkan dengan menggunakan tiga pesawat tentera ke Pulau Natuna, Provinsi Kepulauan Riau yang terletak di Laut China Selatan.

Mereka ditempatkan di pangkalan udara tentera Indonesia di Pulau Natuna, yang dilaporkan lengkap dengan pelbagai kemudahan, serta akan menjalani pemeriksaan dan pemantauan kesihatan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang bertemu keluarga mereka.

Setakat ini belum terdapat kes jangkitan  koronavirus 2019 di Indonesia.

“Semua mereka dilaporkan sihat, bebas dari jangkitan. Kerajaan China juga menetapkan hanya mereka yang sihat sahaja dibenarkan keluar dari wilayah yang terkena wabak itu,” kata Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto yang dipetik beberapa media tempatan hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

123 pelancong China pulang naik pesawat khas

KOTA KINABALU, 31 JAN: Seramai 123 pelancong China dari Hubei pulang menaiki pesawat sewa khas Xiamen Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pukul 6.30 petang tadi.

Mereka menaiki pesawat sewa khas atas inisiatif kerajaan China itu selepas kerajaan membatalkan semua penerbangan dari Wuhan, China susulan jangkitan koronavirus 2019.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (Ma-Zhong) Sabah Dr Oh Ei Sun berkata beliau dimaklumkan kumpulan pelancong itu berada di Kota Kinabalu sejak 23 Januari lepas.

“Mereka tidak dapat balik ke China selepas pembatalan sementara semua penerbangan dari negara ini ke Wuhan sebelum ini dan semua penerbangan ke China dari KKIA sejak semalam susulan jangkitan virus itu,” katanya kepada Bernama selepas menghantar kumpulan pelancong berkenaan di KKIA.

Beliau berkata pihaknya tidak mempunyai jumlah pelancong China yang masih berada di negeri ini, namun bersedia memberi bantuan yang diperlukan untuk urusan penerbangan balik mereka.

Terdapat 10 penerbangan terus dari Wuhan ke KKIA dalam seminggu iaitu tujuh penerbangan dikendali syarikat penerbangan AirAsia dan tiga penerbangan oleh Malindo Air.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laporan tiga warga tempatan dijangkiti koronavirus palsu

GEORGE TOWN, 31 JAN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang menafikan terdapat kes tiga warganegara Malaysia dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat jangkitan koronavirus 2019 seperti ditular di aplikasi WhatsApp hari ini.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata mesej tular seorang lelaki dan anak perempuanya serta seorang wanita menerima rawatan di HPP selepas terkena jangkitan koronavirus adalah tidak benar.

“Satu lagi sebaran berita palsu, sentiasa rujuk dengan sumber yang sah di saluran yang betul. Berita palsu seperti itu tidak memberikan apa-apa manfaat kepada semua. Jadi (kepada) pengguna media sosial yang bijak dan matang, jika perkara ini berlaku lagi pada masa akan datang, mohon untuk tidak sebarkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Satu lagi kes positif koronavirus dikesan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Satu lagi kes positif koronavirus 2019 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes yang disahkan di negara ini meningkat kepada lapan, setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata kesemua lapan kes terdiri daripada warganegara China dengan kes terbaharu membabitkan seorang wanita berusia 49 tahun.

“Kes kelapan ini adalah warganegara China berusia 49 tahun yang dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata lima kes masih menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan mengenal pasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari China.

“Mereka yang dikenal pasti akan diletakkan di bawah pemantauan di rumah dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan alat penilaian di rumah. Sekiranya mereka menunjukkan gejala, pelajar atau pensyarah ini akan dirujuk kepada fasiliti kesihatan yang dikenal pasti dengan segera,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan juga bekerjasama rapat dengan beberapa kementerian lain bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang bekerja di Wuhan, China.

Semalam, Bernama melaporkan Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin mengesahkan 82 rakyat Malaysia yang setakat ini dikenal pasti berada di Wuhan dan sekitarnya, bebas daripada jangkitan koronavirus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media semalam, berkata Malaysia bersedia untuk membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.

-BERNAMA