Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: Jumlah kematian kini 811

BEIJING, 9 FEB: Jumlah keseluruhan kematian akibat wabak koronavirus 2019 meningkat kepada 811 semalam di China , menurut kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini.

Daripada angkat itu, ia termasuk dua warga luar iaitu dari Jepun dan Amerika Syarikat yang meninggal pada Sabtu serta merupakan kes orang asing pertama berlaku di negara Tembok Besar itu, lapor aljazeera.com.

Dimaklumkan 89 kematian dicatat di seluruh China sehingga tengah malam semalam dengan 81 daripadanya di Hubei, wilayah wabak itu dikesan pada Disember tahun lalu.

Angka kematian terbaharu kerana koronavirus mengatasi catatan daripada virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di China dan Hong Kong, iaitu hampir 650 orang meninggal dunia pada dua dekad lalu.

Sehingga kini jumlah jangkitan di negara itu meningkat kepada 37,198.

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura sahkan tujuh lagi kes jangkitan koronavirus

SINGAPURA, 9 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan tujuh kes baharu jangkitan koronavirus 2019 di republik itu, menjadikan jumlahnya kini 40.

Lima daripada jumlah berkenaan mempunyai kaitan dengan kes-kes yang diumumkan sebelum ini, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

“Antara kes-kes baharu yang disahkan itu melibatkan pemandu teksi, dan pemandu peribadi kereta sewa,” tambahnya.

Menurut kementerian itu dua daripada kes-kes baharu yang disahkan mempunyai kaitan dengan mesyuarat perniagaan persendirian yang berlangsung di Grand Hyatt Singapore dari 20 hingga 22 Januari.

Kes-kes baharu itu melibatkan enam warga Singapura serta seorang pemastautin tetap, dan kesemua mereka tiada rekod perjalanan baru-baru ini ke China.

Dalam maklumat kemas kini kes-kes yang disahkan, Kementerian Kesihatan Singapura berkata dua telahpun dibenarkan keluar hospital, empat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dalam keadaan kritikal, dan satu memerlukan sokongan oksigen tambahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Eksport sarung tangan Malaysia dijangka lonjak hampir 20 peratus

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka melonjak hampir 20 peratus kepada 230 bilion pasang pada 2020, meningkat daripada 192 bilion pasang tahun lepas ketika dunia bersiap sedia dalam usaha untuk memerangi wabak membawa maut koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata unjuran pertumbuhan eksport dijangka lebih tinggi berbanding 210-220 bilion pasang yang diunjurkan oleh persatuan itu sebelum ini.

“Ini bermakna hasil eksport sarung tangan getah juga dijangka berkembang lebih tinggi berbanding unjuran terdahulu sebanyak RM20.68 bilion,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi pada Jumaat.

Memandangkan penyakit itu telah menular ke seluruh dunia, Low menjangkakan permintaan global terhadap sarung tangan getah meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus, naik daripada pertumbuhan permintaan biasa pada 8-10 peratus.

“Pada awalnya, dunia dijangka mengimport kira-kira 320 bilion pasang sarung tangan getah tahun ini berbanding 298 bilion pada 2019.

“Dengan penularan wabak ini, permintaan dijangkakan lebih tinggi lagi,” katanya.

Low yang memberi contoh pandemik Influenza A (H1N1) pada 2009 berkata permintaan terhadap sarung tangan getah meningkat 17 peratus pada tahun itu. Berdasarkan kepada situasi semasa H1N1 itu, beliau menjangkakan jualan sarung tangan getah berkembang antara 15 dan 20 peratus tahun ini.

“Ia bergantung kepada tempoh penularan penyakit ini, dan ia sudah pastinya tidak mereda dalam tempoh terdekat ini dan mungkin berlarutan sehingga enam ke lapan bulan lagi,” katanya.

Wabak koronavirus bermula di Wuhan, China pada lewat Disember 2019 dan ketika ini telah menular ke 28 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Setakat Jumaat, lebih 31,000 kes disahkan dan dilaporkan termasuk 15 di Malaysia, manakala kematian telah mencecah 636 orang di tanah besar China.

Malaysia, yang menjadi pengeluar sarung tangan terbesar dunia, pada 1 Februari 2020 berjanji untuk menyumbang 18 juta pasang sarung tangan perubatan ke negara itu dalam usaha untuk membendung penularan wabak tersebut.

Syarikat Malaysia yang berjanji untuk menyumbang sarung tangan perubatan ke China termasuklah Smart Glove Corporation Sdn Bhd (5.8 juta pasang), Top Glove Corporation Bhd (tiga juta pasang), Hartalega Holdings Bhd (2.58 juta pasang), Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia (2.12 juta pasang), Supermax Corporation Bhd (dua juta pasang), Kossan Rubber Industries Bhd (sejuta pasang), YTY Group (sejuta pasang), Brightway Sdn Bhd (300,000), Koon Seng Sdn Bhd (100,000) dan Careplus Group Bhd (100,000).

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan global.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Pas khas untuk pelancong China

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Pelancong warga China yang masih berada di Malaysia kerana mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar dari negara ini, akan diberikan pas khas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pas khas itu hanya boleh diperoleh selepas mendapat perakuan daripada Kedutaan China susulan sekatan perjalanan dikenakan ke atas pelawat China, dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, susulan penularan koronavirus 2019.

“Bagi pelancong yang masih berada dalam negara ini, visa mereka tidak akan dilanjutkan kecuali mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar.

“Berkuat kuasa 27 Januari lepas, mereka (pelancong) mesti datang ke pejabat JIM bersama tiket penerbangan keluar dan mendapatkan perakuan daripada Kedutaan China untuk memohon pas khas berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di sebuah pangsapuri di Ara Damansara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penerima pas khas itu akan diberi tempoh 14 atau 30 hari untuk berada di di negara ini mengikut tarikh penerbangan keluar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata sekatan perjalanan ke Malaysia yang dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, akan diperluaskan meliputi wilayah lain selepas dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) oleh kerajaan China.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, memaklumkan langkah itu diputuskan setelah mengambil kira status semasa berhubung wabak koronavirus.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan JIM akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah di ‘lockdown’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: Jumlah kematian 722, atasi SARS

BEIJING, 8 FEB: Jumlah kematian akibat wabak koronavirus 2019 meningkat kepada 722 hari ini di China, lapor aljazeera.com

Angka itu mengatasi catatan daripada virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di tanah besar China dan Hong Kong, iaitu hampir 650 orang meninggal dunia pada dua dekad lalu.

Suruhanjaya kesihatan serantau memaklumkan sekurang-kurangnya 81 orang mati kerana koronavirus di wilayah Hubei tengah, lokasi penyakit itu dikesan pada Disember tahun lalu.

Setakat ini jumlah jangkitan di seluruh China mencapai 34,546.

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: 3.75 juta lagi sarung tangan dihantar ke China

PUTRAJAYA, 7 FEB: Dewan Perniagaan Laluan Sutera Malaysia-China menyumbang 3.75 juta sarung tangan klinikal dan 20,000 sut pelindung untuk kegunaan perubatan bagi menunjukkan solidariti kepada China yang sedang berhadapan dengan penularan wabak koronavirus 2019.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata barangan itu akan dihantar ke wilayah terjejas di Hunan, Hainan, Shandong, Guandong dan Hubei.

“Kami sangat prihatin dan bersimpati dengan mereka yang terjejas akibat wabak koronavirus di China dan saya percaya lebih ramai rakyat Malaysia akan tampil membantu,” katanya selepas menyaksikan simbolik penyerahan barangan itu kepada republik berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, jurucakap Kedutaan China Tang Tang dan Presiden Dewan Perniagaan Laluan Sutera Malaysia-China Tan Sri Ong Tee Keat.

Baru-baru ini, Kok berkata Malaysia akan menyumbang 18 juta sarung tangan klinikal kepada China dalam inisiatif bersama melalui Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia dan pengeluar sarung tangan getah di negara ini.

Kumpulan pertama satu juta sarung tangan itu dihantar pada 3 Februari lepas ke Wuhan, ibu kota wilayah Hubei, menerusi penerbangan AirAsia yang ditugaskan oleh kerajaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari bandar raya itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Satu lagi kes positif, jumlah terkini 15

PUTRAJAYA, 7 FEB: Satu lagi kes positif koronavirus 2019 dikenal pasti, menjadikan jumlah kes positif di negara ini meningkat kepada 15, setakat petang ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes terbaharu itu membabitkan seorang pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China, yang masuk ke Malaysia pada 21 Januari lepas.

Beliau berkata wanita itu bersama-sama suami, anak lelaki dan menantunya telah tiba di Singapura pada 17 Jan dan kemudiannya pergi ke Johor Bahru pada 21 Januari.

“Wanita itu mula mengalami gejala demam pada 26 Januari. Beliau tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli anaknya dari farmasi berhampiran tempat penginapannya.

“Pada Rabu (5 Februari) beliau masih tidak sihat setelah ubatan yang diambilnya habis. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bharu menerima makluman daripada pihak pengurusan tempat penginapannya pada hari yang sama dan beliau telah dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

Bercakap pada sidang media di sini, Dr Dzulkefly berkata wanita itu kini berada di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru dan dalam keadaan stabil.

Katanya, suami wanita itu yang berusia 66 tahun juga diletakkan di wad isolasi hospital yang sama dan didapati tidak bergejala. Namun, sampel calitan tekak telah diambil dan menunggu keputusan makmal.

“Wanita itu dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou, tetapi telah menangguhkannya kerana kurang sihat. Namun, anak lelaki dan menantunya telah pulang ke China pada tarikh tersebut.

“Buat masa ini, kita sedang melakukan proses pengesanan kontak pesakit ketika beliau menginap di pusat penginapan itu,” tambahnya.

Menteri itu berkata 15 kes positif itu membabitkan 11 rakyat China dan empat rakyat Malaysia.

Sebanyak 16 kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Koronavirus: Selangor sedia buka pusat kuarantin

SHAH ALAM, 5 FEB: Kerajaan Negeri bersedia membuka pusat kuarantin bagi membendung penularan koronavirus 2019 pada bila-bila masa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia susulan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Selangor menjadi rakyat Malaysia pertama disahkan positif virus itu dan perbincangan sudah dijalankan bersama EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud.

“Kita sudah ada beberapa cadangan lokasi jika diminta Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra anjuran Persatuan Hokkien Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan pesakit terbabit manakala perkembangan terbaharu hari ini dua lagi warga tempatan yang dibawa pulang dari Wuhan, China juga positif koronavirus.

Categories
AGENDA GLOBAL

Koronavirus bukan pandemik, penting tangani maklumat salah

GENEVA, 5 FEB: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa mengatakan koronavirus 2019 belum menjadi pandemik, justeru memerangi penularan “khabar angin atau maklumat palsu” kini menjadi sangat penting, lapor agensi berita Xinhua.

Pengarah Persediaan Bahaya Penyakit Berjangkit Global WHO berkata pada satu taklimat di Geneva, WHO percaya wabak itu bukan pandemik, tetapi ia adalah wabak yang memberikan kesan pelbagai.

Kenyataan itu berdasarkan 78 peratus kes di China setakat ini datang dari wilayah Hubei yang merupakan pusat wabak itu. Terdapat juga kes di luar Hubei sebelum wilayah itu “dikunci”.

Dr Sylvie Briand berkata pihak berkuasa China telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan penularan wabak dan membina hospital untuk merawat pesakit selain sebagai usaha mengurangkan kematian.

Sementara itu, beliau berkata khabar angin dan maklumat salah mengenai wabak koronavirus boleh menghambat usaha dan langkah yang diambil bagi memerangi virus tersebut.

Contohnya, demam kuning di Angola beberapa tahun lalu dan wabak Ebola di Congo. Wabak demam kuning, khabar angin mengatakan mereka yang divaksin tidak boleh meminum bir selama seminggu menyebabkan penurunan kadar vaksinasi; wabak Ebola pula khabar angin mengatakan penyakit Ebola tidak wujud, mengakibatkan berlaku halangan terhadap proses rawatan ke atas beberapa pesakit.

Justeru, sangat penting untuk menangani maklumat salah, terutama ketika media sosial mempercepat penyebaran maklumat tersebut.

“Ia adalah bagaimana untuk mendapatkan “maklumat yang betul di tempat yang betul, orang yang betul dan pada masa yang betul,” kata Dr Briand.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak beli topeng mulut dan hidung secara panik

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik dengan mendapatkan topeng mulut dan hidung dalam jumlah yang besar, kerana ia akan menimbulkan keresahan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya kerajaan akan memastikan bekalan topeng mulut dan hidung dalam negara mencukupi berikutan permintaan yang sangat tinggi, susulan penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCov) yang melanda pada masa ini.

“Itu (pembelian panik) akan menimbulkan keresahan yang tinggi. Sementara kerajaan berusaha supaya pihak yang bertanggungjawab memastikan bekalan (topeng mulut dan hidung) mencukupi, saya juga memohon kerjasama daripada rakyat, tidak melakukan ‘panic buying’, pembelian dalam jumlah yang besar secara tiba-tiba,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat 20 Negara Serantau Pejabat Harta Intelek Berkaitan Sistem Madrid di sini hari ini.

Beliau berkata pengeluar topeng mulut dan hidung tempatan telah diminta meningkatkan pengeluaran mereka dan import barangan itu juga perlu ditingkatkan, selepas pertemuan bersama pihak terlibat dilakukan minggu lepas.

Saifuddin berkata sebelum ini, hampir 90 peratus bekalan topeng dalam negara yang kebanyakannya diperolehi dari China, Eropah, Amerika Syarikat dan Singapura adalah lebih kepada ‘surgical mask’ dan topeng industri serta penggunaan biasa dan sesekali meningkat apabila berlakunya jerebu.

“Kementerian telah mengadakan pertemuan dengan pengimport dan juga pengeluar topeng mulut dan hidung pada minggu lepas, tujuannya untuk mendapatkan ‘fact finding’ memastikan bekalan mencukupi, harga adalah harga yang di bawah harga kawalan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi kawalan harga kerana topeng mulut dan hidung, adalah barangan harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, setakat ini kementerian itu telah mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah bagi topeng mulut dan hidung dan pihaknya bersiap siaga sepenuhnya untuk mengadakan pemantauan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Risiko penumpang dijangkiti koronavirus dalam pesawat sangat rendah

SHAH ALAM, 4 FEB: Risiko penumpang yang berada dalam penerbangan sama untuk dijangkiti koronavirus 2019 adalah sangat rendah susulan sistem pengudaraan yang baik dalam pesawat.

Malaysia Airlines Berhad dalam kenyataan memaklumkan udara dalam kabin diagihkan semula selepas disaring melalui udara tapisan partikel keberkesanan tinggi.

“Ini bermakna kebarangkalian untuk penumpang terdedah kepada bakteria dan virus menerusi kitaran udara (dalam pesawat) adalah sangat rendah.

“Malah, disebabkan sistem pengudaraan sangat baik dan berkesan, udara dalam kabin pesawat lebih bersih berbanding bangunan pejabat dan setaraf kualiti di kebanyakan hospital,” katanya.

Pada masa sama, syarikat penerbangan itu menasihatkan orang ramai supaya menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan kerap membasuh tangan, selain mematuhi etika ketika bersin atau batuk di khalayak umum.

Koronavirus yang dikesan tercetus dan menular di Wuhan, wilayah Hubei, China sejak Disember lalu mengorbankan 425 nyawa setakat ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

China: Lebih ramai pesakit dijangkiti koronavirus pulih

BEIJING, 4 FEB: Lebih ramai pesakit di China yang dijangkiti koronavirus 2019 telah pulih dan dibenarkan keluar hospital, lapor agensi berita Xinhua.

Pada Isnin seorang pesakit di bandar Suining di wilayah Sichuan barat daya China dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 13 orang.

Sementara itu, di wilayah Fujian timur China seorang pesakit juga dilaporkan telah pulih.

Di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang selatan China, lima pesakit dibenarkan pulang.

Sementara itu, pada Ahad 18 pesakit dibenarkan keluar hospital di wilayah Jiangxi timur China.

Di seluruh China sejumlah 475 pesakit pulih pada Ahad.

– BERNAMA