Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer harga, premis barang kesihatan kena tindakan

SHAH ALAM, 15 MEI: Sebuah premis berdepan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor selepas gagal mempamerkan tanda harga jualan barang asas dan barangan kesihatan.

Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dalam pemeriksaan di premis sekitar Dengkil, Jenjarom dan Bukit Changgang semalam.

“Pemeriksaan juga dilakukan ke atas resit dan invois pembelian barangan bagi mendapatkan maklumat harga bagi memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan tidak munasabah dan menjual pelitup muka melebihi harga kawalan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

KPDNHEP Selangor berkata pemeriksaan bekalan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman juga mencukupi.

Agensi itu memaklumkan tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Pengguna juga diingatkan untuk merancang perbelanjaan supaya tidak melakukan pembelian panik yang mendorong kepada pembaziran,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kesalahan tanda harga, dua premis kena tindakan

SHAH ALAM, 15 MEI: Dua pemilik premis perniagaan di Gombak dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atas kesalahan berkaitan harga barang, semalam.

Menurut KPDNHEP Selangor sebuah premis dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan.

Sebuah lagi premis dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Operasi dijalankan oleh pasukan penguat kuasa Pejabat KPDNHEP Gombak, susulan aduan diterima melalui sistem e-aduan.

Sementara itu di Sepang, seorang peniaga yang didapati gagal mempamerkan tanda harga di premisnya dikenakan tindakan oleh KPDNHEP mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Peniaga diingatkan sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mematuhi peraturan dan undang-undang, manakala pengguna perlu bijak berbelanja,” katanya menerusi kenyataan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jangan buat pembelian panik, elak harga barang naik

SHAH ALAM, 13 MEI: Penduduk Selangor dinasihat supaya tidak membuat pembelian panik barang keperluan asas kerana stok dan keperluan sedia ada mencukupi.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata langkah itu juga dapat mengelakkan kenaikan harga barang keperluan.

“Pemantauan terhadap bekalan barangan #stoppanicbuying terus dilakukan terhadap 91 premis meliputi barangan basah dan kering serta barangan dalam tin supaya bekalan terkawal dan mencukupi.

“Kepada semua pengguna, kami memohon supaya tidak mengulangi #panicbuying (pembelian panik) kerana ia akan mengakibatkan kenaikan harga banyak barangan keperluan,” kata agensi tersebut di Facebook.

Sementara itu, KPDNHEP berkata pemeriksaan terperinci terhadap 62 barang terpilih di pasar raya dan pasar basah mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas pada setiap barangan yang dijual.

“Tiada tanda harga mengelirukan dan hasil pemeriksaan dilakukan mendapati harga dipamer sama dengan harga yang dibayar oleh pelanggan.

“Peniaga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah yang dikuatkuasakan KPDNHEP,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tidak selenggara tanda harga, empat premis kena tindakan

SHAH ALAM, 8 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor semalam menyita sebuah premis perniagaan di Selayang Baru kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan yang dijual.

Tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) turut dikenakan ke atas tiga premis lain yang dikompaun RM1,000.

“Semasa pemeriksaan, empat tindakan kes diambil terhadap empat premis perniagaan kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan yang dijual.

“Tiga premis peniagaan dikompaun serta-merta sebanyak RM 1,000 manakala satu premis perniagaan menjual tepung gandum dan gula disita untuk siasatan di bawah AKHAP 2011,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

KPDNHEP berkata pemeriksaan oleh penguat kuasa cawangan Gombak turut dilakukan ke atas resit dan invois pembelian barangan untuk memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan melampau.

“Peniaga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mematuhi peraturan dan undang-undang manakala pengguna pula perlu bijak dalam berbelanja,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, peniaga runcit kena tindakan

SHAH ALAM, 7 MEI: Sebuah kedai runcit semalam berdepan tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor selepas gagal mempamerkan tanda harga jualan gas LPG.

Dalam pemeriksaan di lapan premis runcit dan pasar raya sekitar Shah Alam, Puchong dan Klang, agensi tersebut yang bertindak mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 turut menyita barangan terbabit.

“Selain itu, dua aduan berjaya disiasat dan satu aduan menghasilkan kes. Pemeriksaan di kedai runcit mendapati peniaga meletakkan tanda harga pada setiap barang yang dijual dengan jelas,” kata agensi tersebut.

KPDNHEP Selangor memaklumkan bekalan roti dan barangan keperluan asas lain mencukupi dan peniaga memaklumkan sardin, telur serta barangan basah seperti ayam dan sayur mendapat permintaan tinggi.

Selain itu, pemeriksaan ke atas farmasi di sekitar Shah Alam dan Klang mendapati pengusaha mendapat bekalan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman daripada pembekal.

“Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan situasi wabak Covid-19 dan bakal berdepan tindakan jika didapati menaikkan harga barangan secara tidak berpatutan,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, tiga kedai Aceh dikompaun

SHAH ALAM, 2 MEI: Tiga peniaga kedai runcit Aceh di Gombak semalam masing-masing dikompaun RM1,000 kerana tidak mempamer tanda harga, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Agensi itu memaklumkan pemeriksaan dibuat selepas menerima aduan dari bilik gerakan dan laman sesawang sistem e-aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hasil pemeriksaan, tiga premis perniagaan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan dan menyelenggara tanda harga barangan yang dijual,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sementara itu, KPDNHEP Selangor berkata dua premis runcit di Sungai Buaya turut dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan sama.

“Peniaga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah yang dikuatkuasakan KPDNHEP,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Selangor keluar kompaun lebih RM30,000 sepanjang PKP

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengeluarkan kompaun berjumlah RM31,400 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan 76 kes dicatatkan di seluruh negeri sejak 18 Mac lalu sehingga semalam.

Menurut infografik yang dimuat naik di Facebook KPDNHEP Selangor, sebanyak 2,452 pemeriksaan dijalankan sepanjang tempoh tersebut dan keseluruhan nilai rampasan ialah RM818.80.

Bagi fasa kedua PKP, sebanyak 45 kes dicatatkan daripada 611 pemeriksaan membabitkan kompaun RM5,000 dan 31 kes direkodkan pada fasa ketiga dengan jumlah kompaun RM26,400.

Tiada sebarang kes dan kompaun dikeluarkan pada fasa pertama PKP.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, antara kesalahan utama dikesan KPDNHEP Selangor ialah peniaga tidak meletakkan tanda harga menyebabkan mereka dikompaun RM1,000 serta-merta.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, dua peruncit dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 27 APRIL: Dua peniaga kedai runcit masing-masing dikompaun RM1,000 kerana tidak mempamerkan tanda harga, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, KPDNHEP Selangor berkata tindakan diambil susulan pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa cawangan Kajang di sekitar daerah tersebut dan Cheras.

Katanya, pemeriksaan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan melalui bilik gerakan dan laman sesawang sistem e-aduan daripada orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hasil pemeriksaan, dua kedai runcit diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana tidak mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual,” katanya.

Menurut KPDNHEP Selangor secara keseluruhannya, aktiviti perniagaan di lokasi pemeriksaan berjalan seperti biasa dengan peniaga menggunakan alat timbang yang ditentusahkan.

“Pemeriksaan terhadap barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum, sardin dan telur mendapati bekalan mencukupi,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pengguna disaran elak pembelian panik ketika Ramadan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menasihatkan pengguna untuk tidak membuat pembelian panik sempena ketibaan Ramadan, kata pengarahnya.

Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini pengguna perlu mengamalkan pembelian secara berhemah dan mengikut keperluan.

“Esok dijangka umat Islam mula berpuasa namun KPDNHEP mengingatkan pengguna supaya bijak membuat penilaian dan berhemah dalam pembelian. Pihak kami akan sentiasa memantau bekalan barang keperluan supaya mencukupi dan tidak terputus bagi rakyat Selangor semasa PKP serta Ramadan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu beliau berkata sehingga Selasa lalu, pihaknya mengesan 55 kes peniaga melakukan kesalahan termasuk melanggar Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

Katanya, sejumlah RM8,500 kompaun dikeluarkan kepada peniaga kerana kesalahan menaikkan harga barang, tiada tanda harga dan tanda harga tidak jelas.

“Sejak pelaksanaan PKP hingga Ahad lalu, kita menerima 1,162 aduan yang mana 60 peratus adalah berkenaan perihal harga barangan dan susulan itu tindakan segera diambil termasuk melakukan siasatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

KPDNHEP Selangor bantu pelajar UIA, hulur barang keperluan

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerahkan 142 kotak makanan dan barangan penjagaan peribadi kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak semalam.

KPDNHEP dalam kenyataan berkata sumbangan yang diselaraskan Yayasan Food Bank Malaysia itu bagi membantu 3,000 pelajar UIAM yang berada di kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KPDNHEP Selangor bergerak aktif dalam membantu meringankan beban pelajar yang berada di universiti masing-masing.

“Kali ini penghantaran sebanyak 142 kotak mengandungi pelbagai jenis makanan dan barangan penjagaan peribadi dihantar ke UIAM Gombak di mana seramai 3,000 pelajar berada di sana,” katanya.

KPDNHEP berharap sumbangan ini akan meringankan beban pelajar dan terus tabah mengharungi PKP ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Selangor terima 637 aduan, 29 kes dikompaun

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 637 aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu hingga semalam, kata pengarahnya.

Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata daripada jumlah itu, 29 kes dikenakan kompaun RM2,800 kerana kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 dan tindakan itu berikutan kesalahan peniaga terutama kedai runcit yang menaikkan harga barang, tiada tanda harga dan tanda harga tidak jelas.

“Sejak PKP bermula dan sehingga semalam sejumlah 1,269 premis diperiksa di seluruh negeri dengan tumpuan kepada tiga sektor iaitu makanan asas, bahan api dan farmaseutikal seperti topeng muka.

“Menerusi pemerhatian dilakukan pegawai setakat ini bekalan makanan serta keperluan harian berada dalam keadaan stabil dan mencukupi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai skim kawalan harga maksimum yang akan dilaksana, Muhamad Zikril berkata KPDNHEP Selangor turut mengadakan rundingan bersama pihak pembekal dan peruncit bagi mendapatkan data yang kemudian disalurkan kepada KPDNHEP Putrajaya sebagai maklumat mengenai trend harga di negeri ini.

“Ini supaya pembekal, pemborong dan peniaga mematuhi harga kawalan dan pada akhirnya pembeli mendapat harga berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan pegawai KPDNHEP negeri memastikan langkah keselamatan seperti pemakaian topeng muka dan penjarakan sosial dilaksanakan sepanjang mengadakan operasi.

“Banyak juga operasi pemeriksaan dilaksana di zon merah, namun tiada kes melibatkan anggota operasi, apa pun mereka perlu sentiasa berhati-hati serta peka dengan keadaan persekitaran,” katanya.

Categories
SELANGOR

KPDNHEP Selangor nafi kekurangan bekalan asas

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menafikan berlakunya kekurangan bekalan asas di beberapa premis perniagaan di Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sungai Besar.

KPDNHEP dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah memantau enam premis antaranya Pasaraya Tesco Kuala Selangor, Best Fresh Mart Tanjong Karang, TF Value Mart Sungai Besar, Pasar Awam Pasir Penambang, Pasar Awam Tanjong Karang dan Pasar Awam Sungai Besar.

“Berdasarkan pemantauan didapati kesemua barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan telur mencukupi malahan tiada kes pembelian panik berlaku,” kata kenyataan itu hari ini.

Kementerian itu berkata bekalan ikan, sayur dan ayam juga cukup di semua pasar dan setiap premis patuh dengan waktu operasi.

Pelanggan juga dilihat mematuhi arahan dengan menjaga penjarakan sosial yang diarahkan premis demi membendung penularan Covid-19.