Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Selangor jamin barangan cukup, elakkan pembelian panik

SHAH ALAM, 8 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor jamin barang keperluan asas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencukupi.

Berikutan itu, pengarahnya menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan pembelian panik serta berbelanja secara berhemah.

“KPDNHEP Selangor akan memastikan peniaga tidak memanipulasi harga barangan hingga membebankan pengguna.

“Operasi dan pantauan di sembilan daerah negeri ini akan diteruskan dari semasa ke semasa membabitkan 277 anggota bagi memastikan peniaga patuh,” kata Muhamad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu hingga semalam, pihaknya meneriman 6,526 aduan termasuk 2,061 berkaitan harga barangan.

“Dalam tempoh sama kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 8,900 premis meliputi pemborong, pembekal, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit serta pasar awam,” katanya.

Semalam, kerajaan memaklumkan PKPB di negeri ini disambung sehingga 6 Disember selaras dengan pelaksanaannya di beberapa negeri lain Semenanjung Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua warga Myanmar dijel 16 bulan, simpan LPG di premis tidak dibenarkan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Dua warga Myanmar masing-masing dihukum penjara 16 bulan oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan menyimpan barangan kawalan iaitu gas petroleum cecair (LPG) di premis yang tidak dibenarkan pada Januari lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Datin M. Kunasundary selepas kedua-dua lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Mg Sein Kyaw, 34, dan Saw Wah, 29, didakwa menyimpan barang kawalan berjadual iaitu 2,978.75 kilogram (kg) LPG di premis yang tidak dibenarkan oleh pengawal bekalan di Jalan Kebun, Klang pada 11.40 pagi, 16 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, tertuduh boleh didenda hingga RM3 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata kedua-dua warga Myanmar tersebut ditahan dalam satu serbuan pada 16 Januari lepas di premis penyimpanan LPG berkenaan dan mengaku sebagai pekerja di situ.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut, KPDNHEP turut menyita beberapa barangan antaranya sebuah lori, 205 tong LPG 14kg, 58 tong LPG 50kg, 25 unit hos penyambung, dua unit alat penimbang elektronik dan dua telefon bimbit,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Barangan dikhuatiri tiruan, waspada berbelanja di laman sosial

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menasihatkan pengguna supaya tidak mudah terpedaya ketika membeli barangan dikhuatiri tiruan menerusi laman sosial atau premis tetap.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan pemilik cap dagangan supaya aktiviti penjualan barangan berkaitan dapat dibanteras.

“Kita ingin memberikan amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak menjalankan urus niaga melibatkan barangan tiruan kerana KPDNHEP sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan.

KPDNHEP Selangor merampas 52 unit barangan berjenama disyaki tiruaan dianggarkan berjumlah RM16,800 di sebuah premis kediaman di Petaling Jaya dekat sini semalam.

Op Tiru melibatkan lapan anggota penguat kuasa bersama wakil pemilik cap dagangan terbabit menemui barangan seperti beg, dompet, jam tangan, kasut dan tali pinggang jenama Louis Vuitton (LV) dan Gucci selain menahan seorang individu bagi membantu siasatan.

Muhamad Zikril Azan berkata maklumat awal mendapati barangan diperoleh daripada China dan dipasarkan secara dalam talian melalui laman sosial Instagram dikatakan mempunyai pengikut lebih 13,000 orang.

“Lingkungan harga jualan adalah di antara RM100 ke RM1,000 mengikut jenis barangan dan kualitinya. Siasatan lanjut akan dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Premis gunting rambut, salon kecantikan patuh SOP – KPDNHEP Selangor

SHAH ALAM, 11 JUN: Rata-rata pemilik premis gunting rambut dan salon kecantikan sekitar Sepang dan Kajang yang memulakan perniagaan semalam patuh tatacara operasi piawaian (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor pemeriksaan juga mendapati pemilik yang belum bersedia mematahui SOP pula tidak menjalankan operasi sewenangnya.

“Premis menjalankan operasi mematuhi arahan kerajaan dengan mengamalkan penjarakan sosial, membuat imbasan suhu serta merekodkan data pengunjung.

“Pemeriksaan Ops Catut 7.0 dilakukan penguat kuasa Cawangan Sepang sekitar Dengkil, Cyberjaya dan Kota Warisan manakala di Kajang sekitar Bandar Baru Bangi. Tiada tindakan diambil namun ada pemilik premis diberikan notis,”  katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu, peniaga dinasihatkan mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah dikuatkuasakan KPDNHEP manakala pengguna perlu mengikut prosedur ditetapkan.

Sabtu lalu, Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan membenarkan perkhidmatan gunting serta dandanan rambut beroperasi semula 10 Jun dengan SOP ketat manakala operasi pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam serta bazaria bermula 15 Jun.

Categories
SELANGOR

Empat peniaga pasar borong degil dikenakan tindakan – KPDNHEP

SHAH ALAM, 9 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengenakan empat tindakan kepada peniaga di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan semalam.

KPDNHEP Selangor memaklumkan dua peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana melakukan penipuan alat timbang dan sukat ketika menjalankan urus niaga.

“Manakala, dua lagi peniaga disaman di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 berikutan kesalahan mereka menaikkan harga barang, tiada tanda harga dan tanda harga tidak jelas,” kata kenyataan menerusi Facebook.

Justeru, KPDNHEP menasihatkan peniaga untuk sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan perintah yang dikuatkuasakan.

Sementara itu, pengguna pula diminta membuat perbandingan harga sebelum membeli serta memberi kepercayaan kepada pihak berwajib menguruskan segala hal berkaitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal pamer, selenggara harga punca dua premis dikompaun

SHAH ALAM, 5 JUN: Dua premis perniagaan di Gombak masing-masing dikompaun RM1,000 serta merta oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kerana gagal mempamer dan menyelenggara tanda harga pada barangan dijual.

Agensi negeri itu memaklumkan tindakan daripada aduan orang awam dibuat kerana peniaga didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Pengguna boleh lakukan aduan segera kepada KPDNHEP melalui aplikasi peranti mudah alih pintar EzADU sekiranya mendapati peniaga melakukan kasalahan,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, KPDNHEP berkata hasil pemeriksaan ke atas syarikat pembungkus minyak masak (COSS) mendapati lesen CSA, mesin pembungkus dan alat sukatan digunakan masih dalam tempoh sah serta tiada aktiviti tidak normal dikesan terhadap penggunaan resit juga invois berkaitan.

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP periksa 1,972 premis, dua peniaga dikompaun

SHAH ALAM, 4 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa 1,972 premis di seluruh negeri ini sepanjang pemantauan harga sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri bermula 20 Mei hingga semalam.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata daripada jumlah itu dua kes diambil tindakan atas kesalahan tiada tanda harga, lapor Harian Metro.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, dua peniaga dikenakan tindakan kompaun RM3,000 setiap seorang atas kesalahan berkaitan mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga 1993,” katanya.

Beliau berkata, dianggarkan 90 peratus peniaga di negeri ini mematuhi arahan walaupun ada segelintir mengenakan harga ‘cekik darah’.

Muhamad Zikril berkata, pihaknya menerima sebanyak 266 aduan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal pamer tanda harga, premis niaga dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 3 JUN: Sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya semalam dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Agensi tersebut dalam kenyataan memaklumkan tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Selain itu, dua lagi kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membuat jualan murah tanpa mengemukakan notis kepada pengawal dan setiap premis dikompaun serta-merta sebanyak RM200,” katanya di Facebook.

KPDNHEP Selangor turut memaklumkan dua aduan berjaya diselesaikan dan disiasat selain mengeluarkan 76 kenyataan pemeriksaan premis sebagai bukti kehadiran penguat kuasa di lapangan.

Agensi itu juga menasihatkan peniaga mematuhi etika dan undang-undang manakala pengguna perlu bijak berbelanja bagi mengelakkan pembaziran.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jual pelitup muka mahal, peniaga didenda RM20,000

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah premis perniagaan didenda RM20,000 serta-merta oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kerana menjual pelitup muka melebihi harga maksimum.

Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dalam pemeriksaan di sekitar Petaling Jaya semalam.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan, tujuh aduan berjaya disiasat dan satu tindakan kes dihasilkan kerana menjual atau menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal (pelitup muka) melebihi harga maksimum,” kata KPDNHEP melalui Facebook hari ini.

Agensi tersebut memaklumkan sebuah pasar raya turut didenda RM2,000 mengikut akta sama kerana gagal mempamerkan tanda harga pada setiap barang yang dijual.

“Pemeriksaan yang dilakukan dapat menghasilkan pengeluaran 72 kenyataan pemeriksaan premis kepada premis persendirian dan terbuka sebagai bukti kehadiran dan pemeriksaan daripada penguat kuasa di lapangan,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP memaklumkan pemeriksaan ke atas farmasi mendapati bekalan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman mencukupi.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

KPDNHEP Selangor periksa 1,378 premis runcit, dua dikompaun

SHAH ALAM, 31 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengenakan kompaun RM3,000 ke atas dua peniaga kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barang kawalan dalam tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri.

KPDNHEP negeri itu memaklumkan dua kes tersebut dikenal pasti cawangannya iaitu Gombak dan Kuala Kubu Bharu dan setakat ini sebanyak 1,378 premis runcit dan 17 pasar borong diperiksa sepanjang tempoh skim sejak 20 Mei dan berakhir pada 3 Jun nanti.

“Dua peniaga terlibat dikompaun RM1,000 dan RM2,000 atas kesalahan berkaitan dan pada masa sama kita mengingatkan mereka sentiasa mengekalkan penjagaan kesihatan, amalkan etika perniagaan baik,” katanya menerusi Facebook.

Kementerian itu turut menasihatkan pengguna menjaga jarak sosial dan bijak merancang perbelanjaan supaya tidak berlaku pembaziran.

Semalam, KPDNHEP turut membuat lawatan dan pemeriksaan ke Pasar Moden Taman Seri Gombak untuk memeriksa tanda harga warna merah jambu bagi barangan kawalan dalam tempoh SHMMP Aidilfitri.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pencegahan, Azman Adam dan Pengarah KPDNHEP Selangor, Zikril Azan Abdullah.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KPDNHEP Selangor kesan premis jual pelitup muka mahal

SHAH ALAM, 30 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor bertindak ke atas satu premis perniagaan berikutan penjualan pelitup muka melebihi harga maksimum di Petaling Jaya semalam.

KPDNHEP negeri dalam kenyataan memaklumkan ia antara tujuh aduan awam disiasat dalam pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMPHRP) 2020.

Katanya, tindakan terhadap kes berkaitan dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan peniaga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Pengguna pula perlu bijak dalam berbelanja. Adalah diingatkan gagal merancang pembelian akan menyebabkan pembaziran,” katanya.

Semalam, dua pasukan penguatkuasa KPDNHEP Selangor terlibat dalam pemeriksaan di pasar awam dan kedai runcit bagi memastikan bekalan makanan asas cukup dan peniaga mengikut harga ditetapkan.

Difahamkan, setiap premis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) iaitu menyediakan cecair pembasmi kuman, penyediaan pengesan suhu, buku rekod kehadiran pelanggan, penandaan penjarakan sosial satu meter dan pemakaian pelitup muka oleh pekerja pada setiap pintu masuk.

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Selangor keluar 43 notis kepada peniaga ayam

SHAH ALAM, 18 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor hari ini mengeluarkan 43 notis kepada peniaga ayam yang melanggar peraturan di sekitar negeri ini.

KPDNHEP Selangor dalam kenyataan memaklumkan, semua notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pemeriksaan dilakukan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berlebihan menjelang Aidilfitri. Malah, peniaga turut diingatkan untuk sentiasa mengamalkan etika perniagaan dan patuhi undang-undang,” tulis KPDNHEP Selangor di Facebook.

Pada masa sama, KPDNHEP turut mengeluarkan kompaun RM2,500 secara terus kepada seorang peniaga kerana menjual barang kawalan melebihi harga sepatutnya.

KPDNHEP menasihatkan pengguna agar bijak berbelanja selain merancang pembelian bagi mengelakkan pembaziran.