Categories
AGENDA NASIONAL

SPM, SVM, STAM dipinda kepada 22 Feb, STPM 8 Mac

SHAH ALAM 8 NOV: Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipinda kepada 22 Februari depan.

Menteri pendidikan berkata Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak kepada 8 Mac 2021.

Dr Radzi Jidin berkata perincian mengenai semua peperiksaan awam itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Bagi membantu calon peperiksaan awam 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan bahawa mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah mulai 20 Januari 2021.

“KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata kesemua ketetapan itu juga terpakai kepada sekolah swasta dan institusi pendidikan berdaftar dengan KPM.

“Bagi sekolah tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran mengikuti ketetapan ini,” katanya.

Terdapat 400,445 calon berdaftar bagi peperiksaan SPM, 7,996 STAM sementara 14, 942 (semester 2) dan 8,371 (semester 4) bagi peperiksaan SVM. Untuk calon STPM seramai 45,956 orang bagi semseter 1 dan 47,008 semester 3.

Dr Mohd Radzi berkata pihaknya juga akan menjadualkan semula semua pentaksiran berkaitan peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember 2020.

Bagaimanapun pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi tingkatan satu dan empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan semula peperiksaan awam ini tidak akan menjejaskan kemasukan murid ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan murid ke institusi pengajian tinggi awam melalui sistem UPUOnline yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

Dr Mohd Radzi menambah pelajar Program Matrikulasi KPM dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Disember 2020.

Katanya pelajar akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Januari 2021 sementara ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Disember 2020 akan ditangguhkan ke tahun hadapan.

Categories
NASIONAL

Prokas tidak urus aset TH – Mujahid

KUALA LUMPUR, 2 APR: Syarikat tujuan khas (SPV), Prokas Sdn Bhd berperanan menjalankan proses rehabilitasi kesemua aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang tidak menguntungkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Muhajid Yusof.

Beliau menegaskan SPV itu tidak menguruskan aset dan harta TH, sebaliknya harta itu diuruskan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang mempunyai kuasa eksekutif.

“Keputusan semua akan kembali pada ahli lembaga pengarah SPV iaitu Urusharta Jamaah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Isu berkenaan dibangkitkan blok pembangkang yang mendakwa aset TH dikawal oleh ​​​​​​​bukan ​​​​​​​Islam ​​​​​​​yang diketuai Chen Yin Heng selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Mujahid berkata, Lembaga Pengarah UJSB terdiri daripada antaranya Ketua Setiausaha Perbendaharaan sebagai Pengerusi UJSB, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Rashidah Mohd Sies selaku Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan.

Dalam pada itu, Mujahid berkata pengagihan hibah TH akan dilakukan setelah semakan terhadap kedudukan kewangan bagi 2018 dimuktamadkan.

“Dengan kata lain, tidak lagi dimuktamadkan kerana kita masih lagi terikat dengan pelbagai kekangan untuk memastikan kedudukan kewangan yang berakhir 2018 mematuhi sepenuhnya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia iaitu polisi tentang rosot nilai,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul menjunjung ​​​​​​​kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PKR: Usaha Jahat Pindahkan Wang Felda Pada BN

SHAH ALAM, 24 FEB: PKR melihat usaha kerajaan untuk menyenaraikan kepentingan warga Felda di pasaran terbuka sebagai usaha jahat untuk memindahkan wang rakyat Felda kepada kerajaan.

Ikuti kenyataan bersama Pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Biro Felda dan Orang Asli, Suhaimi Said.

Keputusan Kerajaan BN mengenepikan terus pandangan dan penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mewakili kepentingan peneroka dan kakitangan Felda bermakna proses penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGVB) yang cuba dilakukan akan membelakangkan dan mengorbankan kepentingan penoraka dan kakitangan Felda.

Kerajaan BN memerlukan persetujuan KPF yang kini mempunyai pegangan 51% di dalam Felda Holdings Berhad (FHB) untuk memindahkan keseluruhan pegangan itu kepada FGVB yang ingin disenaraikan.

Keuntungan sebenar di dalam kumpulan Felda datang dari FHB, bukannya FGVB. Bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 misalnya, perbandingan perolehan dan keuntungan kedua-dua kumpulan ini amat ketara.

FHB memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak RM760 juta berbanding FGVB yang hanya mencatat keuntungan RM366 juta.

Malah, bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, keuntungan sebelum cukai Felda Holdings Berhad melangkaui RM800 juta, iaitu RM804 juta (2009) dan RM819 (2008).

Rancangan jahat BN adalah untuk memindahkan syarikat-syarikat dan aktiviti perladangan yang menguntungkan di dalam Felda Holdings Berhad dari KPF (yang dimiliki peneroka dan kakitangan) kepada FGVB (yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan).

Melalui cara ini, suara peneroka dan kakitangan Felda dalam keseluruhan aktiviti perniagaan dan operasi Felda akan berkurangan, terutamanya apabila kerajaan menjemput pelabur-pelabur lain untuk turut serta membeli saham di dalam FGVB.

Anggaran PKR menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam aktiviti syarikat dan perniagaan Felda Holdings Berhad yang menguntungkan itu akan berkurangan dari 51% sekarang (turut menjadi pemegang saham majoriti) kepada sekitar 42.7% selepas disenaraikan (bertukar menjadi pemegang saham minoriti).

Walau bagaimana pun, keberanian peneroka-peneroka yang menggunakan hak mereka untuk menyekat penyerahan saham KPF di dalam FHB kepada FGVB dan kenyataan Tan Sri Isa Samad bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang mengenepikan KPF bagi tujuan penyenaraian; kini menimbulkan beberapa persoalan:

1. Jika penyenaraian FGVB diteruskan tanpa melibatkan suntikan aset dari FHB akibat tindakan mahkamah peneroka, nilai penyenaraian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 billion sahaja, bukannya RM21 billion seperti yang diwar-warkan kerajaan;

2. Jika ini diteruskan, keuntungan dari penyenaraiaan dan dividen yang bakal diperolehi peneroka pada masa akan datang adalah jauh lebih rendah dari yang disebut-sebut oleh kerajaan sekarang;

3. Penubuhan SPV tersebut membelakangkan KPF dan menunjukkan sikap BN yang tidak menghormati suara peneroka dan kakitangan Felda. Kewujudan SPV itu dijangka akan digunakan untuk secara perlahan-lahan mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh KPF; dan

4. Sebarang tindakan untuk menggunakan SPV tersebut bagi menyuntik aset FHB adalah bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka dan kakitangan Felda.

PKR merasakan cara terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku adalah secara berhadapan dengan peneroka dan kakitangan Felda. PKR bersedia membentangkan hujah-hujah dan analisa kami kenapa penyenaraian ini dikira tidak baik demi kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

Bersempena dengan budaya baru berdebat secara ilmiah yang semakin popular di Malaysia dan memenuhi citarasa rakyat, PKR melontarkan jemputan kepada Dato? Ahmad Maslan atau Tan Sri Isa Samad untuk turut serta di dalam debat ulung Felda membincangkan penyenaraian FGVB yang akan dianjurkan oleh PKR dalam masa terdekat.

Buat masa ini, sebarang maklumbalas negatif dari mereka berdua membayangkan ketidaksediaan mereka mempertahankan hujah BN di kalangan rakyat.