Categories
AGENDA NASIONAL

Bumbung kereta remuk dirempuh kren, tiada kaitan pembinaan SUKE

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki remuk di bahagian bumbung belakang selepas disyaki dirempuh sebuah kenderaan yang membawa kren di kawasan pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) di Taman Leng Seng, Cheras, malam tadi.

Ia sekali gus menepis dakwaan yang tular media sosial bahawa kejadian itu berkaitan dengan pembinaan lebuh raya SUKE.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata laporan awal pegawai penyiasat di tempat kejadian tidak menemui sebarang objek yang disyaki menghempap kenderaan terbabit.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, jurucakap Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (Prolintas) ketika dihubungi Bernama berkata kerja pembinaan lebuh raya SUKE dihentikan serta-merta sejak insiden membabitkan kenderaan dipandu seorang wanita dihempap parapet konkrit petang kelmarin.

Jelasnya, laporan awal yang diterima Prolintas mendapati kejadian disyaki berlaku membabitkan kemalangan dua kenderaan.

Kejadian itu tular di media sosial malam tadi memaparkan sebuah kereta rosak di bahagian bumbung dan pasukan bomba melakukan operasi.

Menerusi video tersebut, mangsa seorang lelaki berusia 50-an dilihat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang Sabtu, seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja pembinaan lebuh raya SUKE, terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami cedera di bahagian tangan kiri.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Seksyen 7 Bimbang Kren Pembinaan Terlalu Hampir Dengan Rumah

Kren Seksyen 7 03

SHAH ALAM 10 JULAI : Penduduk Perumahan di Jalan Plumbum 7/103 Seksyen 7 di sini hidup dalam keadaan kebimbangan ekoran kren pembinaan yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan mereka.

Menurut penduduk, Rahim Salib,54, kren pembinaan untuk sebuah projek komersil dan kediaman itu mendatangkan ancaman kepada mereka.

“Ia amat berbahaya tumbang jika ditiup angin kencang atau ribut, projek ini terlalu hampir dengan kawasan perumahan sehinggakan antara projek pembinaan bangunan 35 tingkat itu dan rumah terdekat mempunyai sempadan yang terlalu hampir.
Kren Seksyen 7 02
“Sepatutnya sempadan itu perlu diperbesarkan lagi jarak antara bangunan 35 tingkat itu dan rumah yang mana perlu dikaji semula.

“Apabila terlalu hampir maka dari segi pemandangan dan teknikalnya sudah tidak berapa baik jika berlaku apa-apa yang buruk, ” kata beliau ketika ditemui di rumahnya di sini.

Tambah beliau masalah kesihatan jangkitan demam denggi juga mengancam penduduk kerana disebabkan kawasan pembinaan itu yang dikhuatiri tidak diurus dengan baik.

“Kita bersama persatuan penduduk sudah membuat aduan kepada pihak berkenaan agar kerja pembinaan mempunyai tempoh masa.

“Namun apa yang menghairankan terdapat kerja-kerja sehingga jam 10 malam, jadi saya mengharapkan agar pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) agar membuat penguatkuasaan yang baik,” kata beliau.

Ujar beliau lagi sudah berlaku keretakkan rumah dan kegelinciran tanah di kawasan perumahan ini kesan langsung daripada pembinaan daripada projek itu.

Beliau mencadangkan agar kren pembinaan yang terlalu hampir itu dialihkan ke kawasan yang lebih jauh dan selamat daripada kawasan perumahan agar keselamatan penduduk lebih terjamin.

Sementara itu menurut penduduk, Rosiah (bukan nama sebenar) berkata, projek itu mendatangkan pencemaran bunyi dan udara kepada kawasan perumahan di kawasan itu dengan gangguan habuk dan bising yang berlaku.

“Kita amat bimbang dengan projek berkenaan tetapi projek ini masih berjalan lagi, saya mengharapkan agar projek ini terus dipantau oleh pihak berkenaan,” kata beliau.

Sementara itu menurut Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad mengulas perkara itu berkata, pihak MBSA akan mendapatkan maklumbalas daripada  Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dalam masa terdekat.

Kren Seksyen 7 01