Categories
AGENDA GLOBAL

Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom akan diadakan pada 8 Mei dari 10 malam hingga 12 tengah malam, sebagai menzahirkan kesedihan dan simpati terhadap tragedi tenggelamnya kapal selam KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) Datuk Dr Radzuan Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, acara tersebut akan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook Pemuisi Berkarya.

Beliau berkata, acara itu merupakan anjuran Pemuisi dengan kerjasama Talenta Indonesia, Universitas Sumatera Utara (USU), Perkumpulan Rumah Seni Asnur (PERRUAS) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).

Menurut Radzuan, seramai 30 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Korea, akan menyertai acara tersebut yang akan dirasmikan oleh Penaung Pemuisi Tan Sri Dr Hamad Kama Piah Che’ Othman.

“Peserta dari Malaysia termasuk dua Sasterawan Negara iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Zurinah Hassan, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Seri Dr Awang Sariyan, serta Tokoh Wartawan Malaysia Tan Sri Johan Jaaffar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Indonesia pula diwakili Prof Madya Drs Siamir Marulafau dari USU, Asrizal Nur dari PERRUAS, dan Ketua Sumbar Talenta Sastri Bakry.

Pada 25 April lepas, Indonesia mengumumkan KRI Nanggala 402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban, selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Agong zahir ucapan takziah kepada rakyat Indonesia

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan seluruh rakyat negara itu susulan tragedi menimpa kapal selam KRI Nanggala 402.

Ucapan sama turut dizahirkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian perajurit-perajurit dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka bersabar serta tabah menghadapi ujian pada bulan Ramadan ini.

KRI Nanggala 402 yang membawa 53 kru, dilaporkan terputus hubungan jam 4.25 pagi pada 21 April 2021 ketika dalam misi latihan penembakan torpedo. Foto: Wikipedia

“Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa,” titah Seri Paduka Baginda berdua dalam kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda berdua turut berharap agar seluruh rakyat Indonesia kekal tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Menerusi kenyataan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin turut menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka Baginda berdua kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia Hermono.

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu lepas ketika dalam misi latihan penembakan torpedo di utara perairan Bali, yang turut disertai 21 kapal Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), lima pesawat tempur dan satu kapal selam lain.

Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto hari ini mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala-402 telah terkorban.

– BERNAMA