Categories
AGENDA NASIONAL

Jual organ manusia: Reman peniaga dilanjut lima hari

KUCHING, 21 OGOS: Seorang lelaki yang direman polis sejak 14 Ogos lepas untuk siasatan berhubung aktiviti pemerdagangan organ manusia bagi pasaran antarabangsa, diperintahkan hari ini direman lima hari lagi memandangkan siasatan kes itu belum lagi selesai.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching yang bertindak sebagai Majistret, Dora Undau mengeluarkan perintah itu terhadap lelaki berusia 48 tahun tersebut berikutan permohonan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat ASP Nor Elyanis Mohd Yusoff.

Suspek dibawa ke mahkamah hari ini selepas perintah tahanan reman pertama selama tujuh hari tamat semalam, selepas dia tampil menyerah diri pada 13 Ogos lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M M Sree dalam kenyataan selepas lelaki itu ditahan, berkata suspek menyerah diri di IPD Kuching selepas menyedari dirinya diburu polis berikutan pendedahannya kepada akhbar tabloid Britain bahawa dia adalah broker aktiviti jual beli organ manusia.

Dalam artikel pada 8 Ogos, The Sun melaporkan lelaki itu memberitahu kepada wartawannya yang menyamar, yang suspek adalah broker pemerdagangan organ manusia yang diperoleh daripada mangsa miskin.

Dalam artikel itu, suspek memberitahu kepada wartawan berkenaan yang dia boleh mengaturkan pakej pelancongan pemindahan organ secara haram untuk warga Britain dengan kos 85,000 pound sterling (kira-kira RM469,977).

Dia juga dilaporkan mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook untuk mempengaruhi mangsa miskin dari seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit yang amat memerlukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelan tangani Covid-19 naik di Kuching antara fokus Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Pelan kerajaan menangani isu peningkatan kes Covid-19 di Kuching, Sarawak antara perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang diajukan Chong Chieng Jen (PAKATAN-Stampin) kepada Menteri Kesihatan, antara lain berkaitan pelan susulan peningkatan kes terutama dalam kalangan kluster Sentosa yang melibatkan kakitangan hospital kerajaan.

Pertanyaan itu juga antara lain membangkitkan langkah tambahan kementerian untuk melindungi dan menjaga kebajikan pekerja kesihatan, pesakit dan orang awam di persekitaran hospital.

Usai sesi tersebut, tumpuan dijangka terarah kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan antara dijangka menjadi perhatian adalah soalan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang ingin tahu tindakan kerajaan menangani isu sindiket warga asing yang meneroka tanah di kawasan belum dibangunkan kerajaan dan pemiliknya.

Pandemik Covid-19 terus mendapat perhatian dengan Fuziah Salleh (PAKATAN-Kuantan) dijangka bertanyakan kepada Perdana Menteri jenis bantuan kerajaan untuk institusi dan maahad tahfiz yang terkesan akibat penutupan pusat pendidikan itu susulan penularan wabak tersebut.

Sidang dewan yang memasuki hari ke-10 hari ini, juga bakal menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Masjid terapung tarikan terbaharu di Kuching

KUCHING, 16 MAC: Masjid Terapung, yang terletak di tebing Sungai Sarawak, menjadi tarikan terbaharu di bandar raya ini selepas Jambatan Darul Hana.

Masjid, yang bernilai RM21 juta, itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada 1 Mac lepas.

Mampu menampung 1,600 jemaah pada satu-satu masa, selain mempunyai reka bentuk yang menarik ia menjadi simbol keagungan syiar Islam di sini.

Tatkala waktu senja, panaroma sekitar masjid bertambah mengasyikkan apabila ia dilimpahi dengan cahaya keemasan matahari terbenam yang menampakkan lagi seni binanya yang agung.

Di sebelah malam pula, Masjid Terapung yang dibina di atas tapak warisan jalan Kuching itu akan diterangi dengan lampu LED pelbagai warna bagi menaikkan lagi seri dan suasana di tebingan sungai itu.

Penduduk setempat, Nur Apriyani Abdul Razak, 18, berkata beliau terpesona dengan keindahan seni bina masjid itu sekali gus menjadi mercu tanda terbaharu umat Islam di Sarawak.

“Kemudahan tempat untuk berwuduk juga selesa, disediakan di luar dan dalam. Selain itu, kita berasa amat selamat ketika beribadah kerana masjid berkenaan turut disediakan dengan pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui.

Sementara itu, pengunjung dari Selangor, Hafizul Hakimi, 26, berkata beliau tidak menjangka tebingan Sungai Sarawak turut mempunyai Masjid Terapung seperti di Melaka dan Terengganu.

“Sebelum ini, saya hanya tahu mengenai jambatan Darul Hana, sekali berkunjung ke sini rupa-rupanya ada satu lagi mercu tanda terbaharu di Bumi Kenyalang ini.

“Panaromanya sungguh indah, apabila menyusuri tebingan sungai ini dengan Sarawak River Cruise pada waktu senja,” katanya.

Masjid, yang memiliki ciri rekaan dan binaan Timur Tengah, itu turut terbuka kepada orang awam yang bukan beragama Islam bagi memberi peluang melihat sendiri rekaan dalamannya.

Ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Terapung itu baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan masjid tersebut, hasil cetusan idea dari Abdul Taib, selari dengan usaha untuk memperindahkan kawasan tebingan Sungai Sarawak.

“Kami menjangkakan kerja menaik taraf kawasan tebingan ini, yang bermula dari Kampung Sungai Bedil hingga ke Kampung Tanjung, siap dalam tempoh dua tahun dan seterusnya memenuhi aspirasi menjadikan Kuching sebagai bandar raya cantik, bersih dan selamat.

“Kedudukannya yang strategik serta bersebelahan Kuching Waterfront telah mengubah landskap setempat, sekali gus berpotensi menjadikannya sebagai ikon terbaharu,” katanya. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bandar Kuching ditenggelami air

SHAH ALAM, 27 FEB: Hujan lebat tanpa henti yang turun sejak awal pagi tadi menyebabkan banyak kawasan di sekitar bandar raya Kuching dinaiki air.

Insiden itu turut menyebabkan jalan raya utama menjadi sesak ekoran kenderaan tidak dapat melaluinya, lapor Bernama.

IMG-20160227-WA0002Sehingga jam 11.30 pagi tadi, hujan lebat masih dilaporkan berlaku membabitkan beberapa kenderaan rosak dan ditinggalkan di tengah jalan yang ditenggelami air.

Antara kawasan dinaiki air adalag Hospital Umum Sarawak (HUS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Jalan Badaruddin, Balai Bomba Padungan, Fakulti Perubatan Unimas, kampus UiTM Samarahan dan Padang Merdeka.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata sehingga kini pihaknya menerima tidak kurang dripada 17 panggilan kecemasan setiap sejam berkenaan banjir, sejak pukul 6 pagi tadi.

Kawasan lain yang terlibat adalah Kampung Selipar Putus, Kampung Tabuan Dayak, Padungan, Batu Lintang, kawasan perumahan di Samarahan dan beberapa kampung di daerah Bau.

Beberapa penduduk di sekitar pinggir sungai terutama di bahagian Kuching dan Serian turut dipindahkan, namun jumlahnya masih belum dapat dipastikan.

-AA-