Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri bantu selesai masalah kuil 100 tahun

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri mengemukakan dua cadangan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) bagi mengatasi masalah dihadapi Kuil Sri Maha Mariamman di Seksyen 11 di sini.

EXCO Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata perkara itu diharap mendapat pertimbangan PTP bagi mencari penyelesaian segera dan mengelak kejadian sama berulang seperti Kuil Seafield dua tahun lalu.

“Cadangan pertama Kerajaan Negeri kepada PTP ialah supaya pembangunan sekolah dilakukan secara harmoni iaitu sekolah boleh dibesarkan tanpa mengganggu bangunan kuil.

“Sekiranya tidak dapat diterima, kita mengusulkan cadangan kedua iaitu pesuruhjaya itu perlu menyediakan tanah lain untuk kuil dipindahkan tetapi lokasinya perlu disediakan di Seksyen 11 Shah Alam juga kerana tiada kuil lain di Seksyen 11, 12, 13, 14 dan 6,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya mahu isu kuil berusia lebih 100 tahun yang berdepan notis arahan untuk mengosongkan tanah bagi memberi laluan kerja naik taraf sekolah berhampiran ditangani dengan baik.

“Kerajaan Negeri berusaha menyelesaikannya secara menang-menang dan memanggil pihak terlibat seperti polis, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perpaduan untuk jalan penyelesaian,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri tolak pengambilalihan tanah sebagai jalan penyelesaian

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri memberi jaminan Kuil Maha Mariamman di Seafield tidak akan dirobohkan, sehingga 11 Januari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada masa sama, pihaknya menetapkan syarat supaya tiada sebarang perhimpunan dan provokasi dilakukan bagi membolehkan perbincangan dilakukan, dalam masa terdekat.

“Jika semua kembali aman dan mereka patuh dengan arahan Kerajaan Negeri, maka kita akan adakan perbincangan dengan semua pihak, pada 4 Disember ini.

“Tidak kisah jika pertemuan ini secara empat mata atau berasingan. Kita tetap akan cuba capai kata sepakat,” katanya dalam sidang media selepas sesi perbahasan pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di Dewan ANNEX, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy; EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau serta barisan Ahli Majlis Nesyuarat Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berpendirian teguh dan mengulangi tekad mencari penyelesaian dalam ruang lingkup perundangan serta menurut kedaulatan undang-undang.

Katanya, Kerajaan Negeri bersedia menjadi orang tengah dalam perbincangan antara pihak yang terbabit bagi mencari penyelesaian.

“Kita juga mahu menghentikan sebarang desas-desus yang sedang berlegar kononnya Kerajaan Negeri akan mengambil alih tanah itu.

“Perkara ini tidak benar dan sangat menyimpang. Kerajaan Negeri menolak untuk mengambil alih tanah itu kerana ia akan menghasilkan kesan kewangan yang besar dan bakal meletakkan duluan yang tidak baik kepada kes akan datang,” katanya.

Categories
NASIONAL

PM bentang kenyataan mengenai isu kuil di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini membuat kenyataan mengenai insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, di Dewan Rakyat.

Perkara itu dibuat menurut Peraturan Mesyuarat 14 (i) iaitu penerangan daripada menteri-menteri.

Pada Selasa, semua anggota Parlimen telah senada mengemukakan satu usul tergempar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Ariff Md Yusof untuk membincangkan isu itu di Dewan Rakyat.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu telah menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pegawai bomba Mohd Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.

Kejadian itu juga menyebabkan kecederaan kepada beberapa anggota keselamatan dan orang awam selain kemusnahan beberapa buah kenderaan dan premis perniagaan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

Sehingga hari ini, seramai 30 individu telah ditahan polis untuk siasatan.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada semburan air, PDRM hormat rumah ibadat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 27 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan membuat semburan air kepada perusuh yang berada di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman kerana menghormati rumah ibadat terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau kesal apabila ada tuduhan yang mendakwa anggotanya lambat bertindak sehingga menyebabkan kejadian lebih buruk berlaku.

“Orang cakap senang, ada rusuhan, sembur dengan air dan sebagainya. Ini kawasan ibadat, kalau kita ambil tindakan sebegitu, sudah tentu PDRM pula dipersalahkan.

“Jangan sesekali mengeluarkan kenyataan tidak tepat. Polis sudah membuat kawalan di lokasi kejadian sejak awal pagi dan kami akan ambil tindakan mengikut kesesuaian,” katanya dalam sidang media di Pusat Perubatan Subang Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang kritikal setelah diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, pada jam 1 pagi tadi.

Pada masa sama, Mohamad Fuzi berkata, sehingga tengahari tadi, seramai 21 individu ditangkap berhubung kes rusuhan di kuil berkenaan.

Katanya, kesemua suspek ditahan di sekitar kawasan Lembah Klang dan operasi memburu masih lagi diteruskan hingga kini.

“Saya minta jika orang awam ada maklumat, tolong maklumkan kepada PDRM dengan kadar segera dan kita amat memerlukan maklumat lajut daripada saksi kejadian,” katanya.