SHAH ALAM, 26 OKT: Penganut Hindu di negeri ini yang lengkap vaksin dibenarkan menyertai upacara sembahyang di kuil sempena perayaan Deepavali awal November.
Bagaimanapun, jumlah kehadiran terhad 50 peratus daripada keluasan rumah ibadat itu, kata Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas).
V Ganabatirau menjelaskan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dipersetujui Kementerian Perpaduan Negara turut melarang membawa kanak-kanak bawah 12 tahun.
“Jika bangunan itu mampu memuatkan 100 orang, maka hanya 50 dibenarkan. Pengurusan kuil mesti berperanan menasihati rakyat dengan baik demi keselamatan bersama,” katanya dalam sidang media semalam.
Beliau turut mengingatkan semua penganut Hindu berwaspada ketika meraikan perayaan tersebut dengan mematuhi SOP sebaiknya bagi mengelak kluster Deepavali.
“Jangan anggap SOP itu menyusahkan. Kita kena ingat segala garis panduan yang dikeluarkan bukan untuk kepentingan mana-mana pihak tetapi diri sendiri dan orang tersayang,” kata Ganabatirau.