Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide sasar RM1.5 juta kutipan Kupon Infaq Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 31 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyasarkan kutipan Kupon Infaq berjumlah RM1.5 juta pada Ramadan tahun ini.

Pengurus Besarnya Nur Mohd Razali Abdullah berkata sasaran itu susulan tambahan satu lagi daerah untuk edaran kupon yang memasuki tahun kelima iaitu Sepang.

“Jumlah daerah yang akan terlibat sebanyak lima,” katanya dalam kenyataan.

Tahun lalu, kutipan Kupon Infaq dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) meliputi empat daerah antara Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.

Manakala pada 2020, edaran hanya dibuat di Hulu Langat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Diperkenal sejak 2017, Kupon Infaq bernilai RM2 diserah melalui ketua penolong amil fitrah dan penolongnya sebagai alternatif orang ramai menyalurkan infaq sepanjang Ramadan.

Kutipan itu bagi membantu kumpulan sasaran yayasan terbabit antaranya mangsa musibah, pesakit dialisis di pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor dan anak yatim.

Categories
SELANGOR

YIDE perkenal Kupon Infaq bantu kumpulan memerlukan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 MEI: Buat julung kali Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan Kupon Infaq dalam usaha mencari dana tambahan khusus membantu masyarakat memerlukan di Selangor.

Pegawai Perhubungan Korporat YIDE, Muhammad Hafiz Haji Bahari berkata, pembayar zakat fitrah boleh menyumbang semasa menunaikan kewajipan zakat dengan mendapatkan Kupon Infaq YIDE bernilai RM2 yang akan diedarkan bersama Kupon Zakat Fitrah kelak.

Katanya, infaq atau sumbangan yang dikeluarkan melalui kupon itu adalah inisiatif membantu dalam tiga aspek utama membabitkan hal ehwal malapetaka/musibah, perkhidmatan rawatan hemodialisis dan program anak yatim.

YIDE - Hafiz“Tiga skop utama ini bersesuaian dengan prinsip penubuhan YIDE adalah sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan bagi membantu dan meringankan setiap beban individu yang memerlukan di negeri ini.

“Kupon infaq ini akan diedarkan kepada semua Ketua Amil dan Penolong Ketua Amil di Daerah Petaling dahulu buat masa ini sebagai ‘Pilot Projek’ dan akan diedarkan ke seluruh daerah kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat garis panduan pelaksanaan Kupon Infaq kepada 637 peserta terdiri daripada Ketua Amil Fitrah dan Penolong Amil Fitrah Daerah Petaling di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Hafiz berkata, kupon infaq adalah salah satu alternatif kepada orang ramai menyalurkan sumbangan kepada individu yang memerlukan menerusi saluran yang betul.

“Banyak individu meminta sumbangan dengan menggunakan cara yang salah, seperti memaksa anak-anak kecil meraih simpati dan pemberi sedekah pula tidak mengetahui aliran wang didermakan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan sumbangan kepada saluran betul kepada orang yang memerlukan. Dapatkan keratan kupon infaq YIDE setelah melaksanakan infaq kepada Amil-Amil Zakat dilantik,” katanya.