Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ECRL: Perjanjian baru elak kena pampasan RM21.78 bilion

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 APR: Perjanjian baru projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) antara Malaysia dan China mewujudkan situasi menang-menang bagi Kerajaan Malaysia dan China.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perjanjian baru itu juga membolehkan projek itu diteruskan sekali gus mengelakkan negara terpaksa membayar kos pembatalan projek berjumlah RM21.78 bilion.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) berhadapan dengan pilihan sama ada merundingkan semula atau membayar kos penamatan kira-kira RM21.78 bilion, dengan tidak memperolehi apa-apa.

“Oleh itu, kami memilih untuk kembali ke meja rundingan dan meminta lebih banyak lagi kesepakatan yang saksama, di mana keperluan rakyat Malaysia akan menjadi keutamaan.

“Selepas rundingan panjang dan berlarutan di antara Kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China, kedua-dua pihak mencapai perjanjian saling menguntungkan dengan perjanjian ECRL yang lebih baik,” katanya pada sidang medianya di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Mahathir berkata, projek membabitkan jarak sejauh 640 kilometer itu menelan kos RM44 bilion berbanding perjanjian asal RM65.55 bilon dengan penjimatan sebanyak RM21.5 bilion atau 32.8 peratus.

Perjanjian baru itu turut memutuskan bayaran dibuat berdasarkan kemajuan kerja berbanding sekali bayar seperti dalam perjanjian di era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ketika menjawab satu soalan, Mahathir berkata Kerajaan China bersetuju dengan perjanjian baru kerana memahami situasi kewangan negara seperti dijelaskan dalam rundingan.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kos ECRL tinggi sekali ganda, manipulasi bayar hutang 1MDB?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 NOV: Kos projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Klang, Selangor dan Tumpat Kelantan dikatakan melambung sekali ganda daripada kos sebenar apabila kos projek terbabit dianggarkan bernilai RM30 bilion dan bukannya RM55 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mantan Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata keadaan ini menimbulkan keraguan adakah lebihan kos itu sebenarnya digunakan bagi tujuan lain termasuk kemungkinan membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pakar perunding pembinaan menganggarkan nilai projek ini sepatutnya RM25 bilion hingga RM30 bilion paling tinggi tetapi ada juga yang meletakkan anggaran RM29 bilion.

dr-rosli-ex-bank-negara“Penjelasan ini membuktikan kos RM55 bilion tidak munasabah dan menimbulkan tanda tanya apa sebenarnya yang hendak dilakukan dengan lebihan ini, adakah untuk membayar hutang 1MDB?,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, lebih membimbangkan lagi apabila projek landasan sepanjang 600 kilometer itu dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang diketahui terbabit dengan amalan merasuah penjawat awam kerajaan asing untuk mendapatkan projek.

Terdahulu, syarikat CCCC disenaraihitam Bank Dunia, Bank Pembangunan Afrika, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Eropah apabila syarikat terbabit didapati terlibat dengan amalan rasuah.

-nR-

Categories
NASIONAL

Syarikat dianugerah projek ECRL korup, disenarai hitam Bank Dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 NOV: Syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang diberikan anugerah projek pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) oleh Kerajaan Malaysia merupakan syarikat yang disenaraihitamkan Bank Dunia.

Mantan Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, syarikat itu disenaraihitamkan pada 2009 apabila syarikat itu didapati merasuah beberapa pegawai dan pimpimpin kerajaan negara asing bagi mendapatkan projek di negara terlibat.

“Selain itu, syarikat ini juga memiliki trek rekod buruk apabila beberapa projeknya menemui kegagalan, misalnya pembinaan jambatan di China sendiri hingga ada yang pernah runtuh.

“Maka tidak hairanlah mereka disenaraihitamkan oleh Bank Dunia hingga sekarang tetapi yang menghairankan kenapa Kerajaan Malaysia memilih syarikat seperti ini sedangkan masih banyak lagi syarikat lain yang berupaya menjalankan projek ECRL ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

landasan-keretapi-pantai-timur-ecrlJelasnya, selain Bank Dunia sekurang-kurangnya tiga bank pusat lain seperti Bank Pembangunan Afrika, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Eropah turut menyenaraihitamkan syarikat CCCC.

Katanya, tindakan Najib menganugerahkan projek ECRL kepada CCCC menimbulkan tanda tanya lantaran imej syarikat itu terpalit amalan rasuah.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke China mengumumkan projek ECRL yang menelan kos sebanyak RM55 bilion akan dijalankan oleh syarikat CCCC.

Projek itu diberikan kepada CCCC secara rundingan terus, tanpa membuka tender kepada syarikat lain yang berminat.

-nR-