Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 8,000 guru baharu diminta semak penempatan, lapor diri 1 Mac

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara ‘one-off’ yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata semua guru tersebut akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini.

“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pengambilan khas guru secara ‘one-off’ yang membabitkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang berlarutan sekian lama.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik, untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru ‘one-off’ dalam masa terdekat.

Jelasnya langkah itu amat penting bagi menampung keperluan guru khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.

“InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Adi Faizal mulakan tugas di MSN Selangor

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUN: Adi Faizal Ahmad Tarmizi secara rasminya memulakan tugas sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor hari ini.

Beliau yang tiba di Pejabat MSN Selangor di Seksyen 7 sekitar jam 7.30 pagi dan disambut Timbalan Pengarah Pengurusan dan Kewangan, Muhamad Taufeq Shah Rawi.

Adi Faizal ketika dihubungi SelangorKini berkata, beliau sedang meneliti beberapa perkara berkaitan MSN khususnya dari segi carta organisasi, fungsi dan tugas.

“Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar. Untuk masa ini, saya perlu dapatkan lebih banyak informasi berkaitan pembangunan sukan dan pembangunan belia.

“Insya-Allah kita akan adakan perhimpunan bersama semua pegawai dan anggota MSN dalam tempoh terdekat,” katanya.

Pelantikan Adi Faizal berkuat kuasa 10 Mei lalu selepas menerima surat lantikan yang diserahkan sendiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya Majlis Penyampaian Amanat dan Surat Pelantikan kepada pegawai-pegawai kanan di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, 14 Mei lalu.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Perumahan) Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Penolong Pegawai Daerah Pejabat Daerah Tanah Petaling.