Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tolak permohonan cabar larangan merokok di premis makan

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Tujuh perokok hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk mencabar larangan merokok di semua premis makan yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Januari 2019.

Mereka ialah Mohd Hanizam Yunus, 52; Zulkifli Mohamad, 56; Mohd Laisani Dollah, 46; Mohd Sufian Awaludin, 35; Ridzuan Muhammad Noor, 52; Mohd Yazid Mohd Yunus, 48 dan Yuri Azhar Abdollah, 39 selaku pemohon.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya yang menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan tujuh individu itu terhadap KKM selaku responden, berpendapat bahawa kesemua pemohon telah terkhilaf apabila menyatakan hak untuk mereka merokok akan terhakis sama sekali dengan adanya peraturan larangan merokok berkenaan.

Hakim Mariana berkata responden mengambil kira faktor kepentingan awam apabila menetapkan jarak tiga meter bagi membolehkan perokok untuk merokok di premis makan.

“Pemohon atau perokok masih boleh merokok di luar pada jarak tiga meter daripada tempat makan dan menjadi tanggungjawab perokok bagi memastikan puntong rokok dibuang di tempat yang disediakan.

“Oleh itu, untuk kesemua pemohon menyatakan bahawa hak mereka telah terhakis dan dicemari dengan larangan merokok di premis makan adalah tidak berasas,” katanya.

Hakim itu menegaskan bahawa ketidakpuasan pemohon yang mewakili perokok ialah mereka ingin melepaskan hajat atau keinginan merokok di premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.

“Perbuatan merokok di premis makan menjadikan udara persekitaran tidak bersih dan asap rokok juga menggangu orang yang tidak merokok di premis makan.

“Pemohon tidak dihalang untuk menikmati makanan hingga larut malam selagi mana mereka merokok pada jarak tiga meter dari premis makanan,” katanya.

Mengenai isu bahawa pemohon tidak diberi hak untuk berunding dengan responden sebelum larangan rokok dikuat kuasa, Hakim Mariana berkata rundingan awam yang dilaksanakan dengan sesuatu agensi atau pihak dibuat atas budi bicara responden dan ia bukan suatu hak kepada pemohon.

“Oleh yang demikian, ia terpulang kepada responden untuk mengadakan rundingan awam atau tidak bersesuaian dengan perkara yang hendak diputuskan,” katanya.

Hakim Mariana berkata menurut responden, usaha untuk melaksanakan larangan merokok di premis makan bermula sejak 2004 sehingga 2019 iaitu mengambil masa selama 15 tahun dan beberapa siri perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkenaan dilaksanakan pada 2009, 2015 dan 2018.

“Responden dalam afidavitnya menyatakan orang awam dipelawa untuk memberi maklum balas kepada pihak responden berhubung pelaksanaan larangan merokok di premis makan dan tempoh maklum balas daripada orang awam ini telah diberi sehingga 18 Mei 2018.

“Bagaimapun, tiada mana-mana pemohon menyatakan maklum balas atau bantahan mereka mengenai pelaksanaan larangan merokok sejak tahun 2015 atau sejak ia mula dicadangkan 15 tahun yang lalu,” katanya.

Hakim itu yang turut memaklumkan bahawa tawaran responden untuk orang ramai memberi maklum balas sehingga 18 Mei 2018 melalui laman sesawang KKM adalah memadai dan yang pasti tiada sebarang aduan atau bantahan daripada kesemua pemohon berhubung larangan merokok itu sejak ia dicadangkan.

Hakim Mariana berkata selepas mempertimbangkan permohonan pemohon dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat pihak responden bertindak dalam bidang kuasanya dan keputusan larangan merokok di premis makan tidak bertentangan dengan Artikel 5 dan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga tidak dicemari dengan ketidaksahan, tidak rasional atau salah prosedur yang membolehkan mahkamah ini memberikan suatu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden untuk menguatkuasakan larangan merokok di premis-premis makan yang dicadangkan dikuat kuasa pada 1 Januari 2019.

“Mahkamah dengan ini menolak permohonan semakan kehakiman pemohon-pemohon dan tiada perintah untuk kos,” katanya.

Dalam permohonan yang difailkan pada 18 Februari tahun ini, kesemua pemohon yang menyokong usaha Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok, antara lain, mendakwa bahawa larangan merokok berkenaan bertentangan Perlembagaan Persekutuan kerana ia bukan aktiviti jenayah dan aktiviti terbabit sah dari segi undang-undang yang dijamin perlembagaan.

Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan.

Mereka mendakwa rakyat Malaysia yang merokok secara konstruktifnya diketepi dan didiskriminasi daripada mengunjungi serta menikmati kemudahan di premis makan melalui larangan merokok dan ia bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang dan salah prosedur kerana responden tidak pernah berjumpa perokok atau pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili kesemua pemohon berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.

Selain Mohamed Haniff, kesemua pemohon turut diwakili peguam Datuk M. Reza Hassan manakala KKM diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Turut hadir dalam prosiding itu, beberapa badan bukan kerajaan termasuk Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Aktiviti Kawalan tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) Roslizawati Md Ali.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

4,332 notis dikeluarkan kepada perokok, pemilik premis di Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak 4,332 notis dikeluarkan terhadap pemilik premis makanan dan perokok sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di premis makanan yang berkuat kuasa sejak awal Januari tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 232 notis dikeluarkan terhadap perokok kerana merokok di premis makanan, manakala 4,100 notis lagi dikeluarkan kepada pemilik premis kerana terdapat kesan rokok seperti puntung rokok dan abu rokok di premis mereka.

“Kesemua ini bagaimanapun tiada membabitkan kompaun kerana kita masih di dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan dan hanya pada 1 Januari 2020 baru kami akan mengenakan tindakan kompaun kepada individu dan pemilik premis terbabit.

“Bermula 1 Januari 2020, jika perokok ditahan mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun, manakala premis makanan yang tidak meletakkan notis amaran juga boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi larangan merokok di premis makanan di sekitar Pusat Komersial Seksyen 7 di sini hari ini.

Turut hadir EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Khalid berkata, larangan merokok berkenaan juga membabitkan rokok elektronik dan shisha.

“Bagi shisha walaupun ia bukan dijual oleh pemilik premis, mereka juga boleh dikenakan tindakan jika shisha ini dihisap di premis mereka,” katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini, 25,000 premis makanan di sekitar Selangor diperiksa dan pihaknya menyasarkan untuk memeriksa 40,000 premis makanan lagi sebelum 1 Januari 2020.

“Sepanjang pemeriksaan ini kami juga dapati 4,300 premis masih berdegil tidak memaparkan papan tanda larangan merokok,” katanya.

Katanya, pihaknya ingin memberi peringatan kepada pemilik premis berhubung tanggungjawab mereka untuk meletakkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok sebagaimana Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Larangan merokok tidak jejas kedatangan pelancong asing

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Kedatangan pelancong asing ke Malaysia, pada tahun ini dijangka tidak akan terjejas ekoran pelaksanaan larangan merokok di restoran, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, larangan itu tidak akan menjadi masalah kepada 28.1 juta bakal pelancong asing kerana mereka boleh menyesuaikan diri dengan peraturan negara dilawati.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelepasan Program Ekspedisi Six Nations Ride Indochina Asean Adventure Touring Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, kementerian itu menyasarkan pelancong asing yang melawat negara pada tahun ini akan menjana pendapatan RM92.2 bilion.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Menang RM100 seminggu sokong kempen larangan merokok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JAN: Pemilik premis makanan berpeluang memenangi RM100 setiap minggu dengan menyertai kempen larangan merokok yang dianjurkan ‘Public Health Malaysia’.

Public Health Malaysia melalui kenyataan di laman facebook berkata, pemilik premis berpeluang menyertai pertandingan terbabit jika berjaya mematuhi tiga syarat utama.

“Pemilik premis makanan perlu memaparkan tanda larangan merokok, buang kesemua bekas abu rokok dan syarat terakhir ialah pastikan tiada individu merokok dalam premis makanan anda.

“Apabila semua syarat sudah dipenuhi, anda boleh memuat naik status di laman sosial termasuk di facebook, twitter dan instagram dengan ‘check in’ lokasi berserta #RestartNOW,” katanya.

Kempen #RestartNOW adalah kempen media sosial untuk mengaktifkan polisi larangan merokok, di seluruh Malaysia.

Bermula 1 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan, di negara ini.

Tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Categories
SELANGOR

EXCO puji KKM laksana larangan merokok

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 JAN: Langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan larangan merokok di premis makanan, sejak 1 Januari lalu terus mendapat respon positif.

Terbaru, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, ia sepatutnya dilaksanakan lebih awal kerana umum mengetahui rokok merbahayakan kesihatan.

Katanya, lebih membimbangkan ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan si perokok, malah turut mempengaruhi persekitaran.

“Saya menyokong jika ia diperluaskan lagi di tempat yang dicadangkan seperti dobi layan diri dan hotel kerana merokok akan memberi impak negatif terhadap orang sekeliling.

“Bagaimanapun, saya optimis penguat kuasaan dari KKM atau Pihak Berkuasa Tempatan lebih meluas dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, penguat kuasaan di setiap premis perlu dilaksanakan sebaiknya supaya tiada lagi perokok yang merokok sewenang-wenangnya.

“Sama juga seperti undang-undang jangan membuang sampah merata-rata. Walaupun turut dikenakan kompaun, namun masih terdapat segelintir masyarakat tanpa segan silu melakukannya.

“Oleh itu, penguat kuasaan dilarang merokok di beberapa premis diharap dapat dilaksanakan secara agresif dan semoga masyarakat dapat mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, semua premis makanan digazetkan sebagai tempat larangan merokok, selari Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Jika individu didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan, boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Categories
SELANGOR

Rakyat sokong perluas kawasan larangan merokok

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di negara ini terus mendapat sokongan orang ramai.

Penjawat awam, Wan Liyana Kamarudin, 32, berkata langkah itu melegakan banyak pihak terutama kaum ibu yang mempunyai anak kecil.

“Saya amat menyokong tindakan KKM, malah pada masa sama optimis lebih banyak lagi kawasan akan dijadikan sebagai larangan merokok,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi peniaga, Mohd Khairul Mat, 30, dia akur cadangan kerajaan menetapkan beberapa kawasan tambahan seperti dobi layan diri dan hotel sebagai larangan merokok yang akan memberi impak positif.

“Keputusan ini mendatangkan kesulitan kepada perokok seperti saya, namun tidak dinafikan cadangan kawasan tambahan larangan merokok di dobi dan hotel memberi kesan baik kepada masyarakat”, katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Ahmad Syafiq Othman, 30, berkata cadangan menjadikan beberapa kawasan sebagai larangan merokok membuktikan Kerajaan komited terhadap aspek kesihatan rakyat.

“Selepas dilaksanakan di premis makanan, cadangan kerajaan untuk memperluaskannya ke kawasan lain adalah tindakan terbaik,” katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran, Rozmanyah Mustafa, 34, berkata beliau lega keputusan Kerajaan menguat kuasakan larangan merokok di premis makanan dan menyokong jika ia diperluaskan lagi.

“Sejak saya buka restoran awal pagi tadi hingga kini sudah tiada orang merokok, berbanding sebelum ini perokok tanpa segan silu melepaskan asap merata-rata,” katanya.

Terdahulu, KKM akan memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok dalam tempoh terdekat, membabitkan premis kedai dobi dan hotel, di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, larangan itu ketika ini hanya tertakluk kepada sembilan jenis premis di tempat awam.

 

 

Categories
SELANGOR

ADN sokong larangan merokok di premis makanan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 2 JAN: Larangan merokok di semua premis makanan yang berkuat kuasa semalam mendapat sokongan orang ramai termasuk Halimey Abu Bakar.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu berkata, larangan itu diperlukan kerana merokok bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, namun turut memberi kesan kepada orang sekeliling.

“Saya bukan seorang perokok, namun keputusan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menguat kuasakan arahan itu amat dipersetujui dan disokong.

“Cadangan untuk memperluaskan kawasan larangan merokok yang diuar-uarkan seperti di dobi dan hotel satu tindakan yang bagus,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat DUN Seri Setia, di Pusat Khidmat DUN Seri Setia, di sini, semalam.

Justeru, beliau menasihati perokok supaya mengikuti undang-undang yang sudah ditetapkan kerajaan.

Terdahulu, KKM mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan terbabit.

Malah, tindakan akan diambil terhadap perokok dan pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

 

 

Categories
SELANGOR

Larangan merokok di tempat awam terima reaksi positif

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 1 JAN: Penguat kuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan, sejak tengah malam tadi mendapat reaksi positif orang ramai.

Tinjauan SelangorKini di beberapa kedai makan, di sekitar Petaling Jaya mendapati, kebanyakan pengunjung yang datang mematuhi peraturan dan akur dengan notis larangan merokok ditampal pengusaha premis berkenaan.

Melalui pemerhatian sehingga jam 4 petang tadi turut mendapati premis makanan terbabit lebih terkawal dan bebas daripada pencemaran asap rokok, sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menjamu selera.

Seorang pengunjung, Mohd Haniff Abd Hashim, 32, berkata walaupun sudah menjadi tabiatnya merokok di restoran selepas makan, tetapi dia akur dengan larangan dikeluarkan itu supaya tidak menjejaskan kesihatan pengunjung lain.

Katanya, langkah terbabit secara tidak langsung menjadikan premis makanan lebih bersih daripada pencemaran asap rokok.

“Ada betulnya juga larangan ini kerana tindakan merokok di tempat awam seperti kedai makan seolah meragut hak orang ramai untuk mendapatkan udara segar.

“Bagaimanapun, saya berharap kerajaan boleh menyediakan ruang khas bagi perokok tegar seperti saya untuk melepaskan ‘gian’ merokok,” katanya.

Sementara itu, pengusaha restoran, Razali Maarup, 45, berkata tindakan menguat kuasakan larangan berkenaan disifatkan wajar memandangkan sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas dalam perkara itu.

Katanya, pelaksanaan itu secara tidak langsung turut menggembirakan peniaga lain sepertinya yang sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan kedai demi kebaikan pelanggan.

“Bila dikuat kuasakan banyak kelebihan terutama daripada segi kebersihan dan kesihatan individu itu sendiri. Kedai juga tidak akan kotor dengan abu dan puntung rokok,” katanya.

Bagaimanapun, Razali yang menjalankan operasi restoran terbabit sejak tiga tahun lalu mengakui masih terdapat segelintir pelanggan, khususnya warga asing yang mengingkari notis berkenaan, pagi tadi.

“Mungkin mereka tidak faham lagi tetapi kita sudah tegur. Kita boleh nasihat mereka tetapi kalau mereka berdegil, tanggunglah sendiri akibatnya,” katanya.

Terdahulu, semua premis makanan digazetkan sebagai tempat larangan merokok, bermula 1 Januari, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Jika individu didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Categories
AGAMA SELANGOR

Sudah sampai masa hormati golongan tidak merokok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 JAN: Larangan merokok yang dikuat kuasakan kerajaan di semua premis makanan dan restoran, bermula tengah malam tadi disifatkan tepat pada masanya.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (PITAS), Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz berkata, langkah itu sesuai bagi menghormati kumpulan yang tidak merokok.

Katanya, Jawatankuasa Fatwa Selangor turut mewartakan fatwa pengharaman rokok, berkuat kuasa pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.

“Di dalam enakmen itu dijelaskan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi orang Islam.

“Sementara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam,” katanya melalui posting di Instagram.

Pada masa sama, katanya, petikan ayat melalui buku Rokok dan Keharamannya oleh Abdullah Abdul Rahman al-Sind memberitahu seandainya setitik daripada nikotin diletakkan di atas lidah seekor anjing, nescaya haiwan itu akan mati serta merta.

Katanya, ia dengan jelas membuktikan keburukan merokok kerana anjing adalah sejenis haiwan yang lebih tahan menghadapi racun berbanding manusia.

“Firman ALLAH SWT melalui Surah Al-Baqarah 2: 195, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dengan bersikap bakhil,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua premis makanan, antaranya restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Categories
NASIONAL

Tempat larangan merokok berkuatkuasa tengah malam ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 DIS: Berkuatkuasa mulai jam 12 tengah malam ini, semua premis makanan adalah diwartakan sebagai tempat larangan merokok, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan pewartaan itu dilaksanakan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) bertujuan melindungi orang awam, terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Katanya, orang ramai diminta untuk tidak merokok di semua tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin, termasuk di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran serta medan selera.

“Larangan ini juga meliputi semua gerai makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan kereta api.

“Pihak Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua pemilik dan pengusaha premis makanan supaya mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas selain mengambil langkah bagi memastikan tiada individu merokok dengan tidak menyediakan kemudahan seperti bekas abu rokok.

Katanya, mana-mana individu didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Bagi semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Sementara itu, bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga setahun,” katanya.

Oktober lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, cadangan terbabit sudah diluluskan di peringkat Parlimen dan akan berkuatkuasa tahun hadapan.

Categories
NASIONAL

Larangan merokok dalam kenderaan awam bermula

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Operasi bersepadu penguatkuasaan larangan merokok dalam kenderaan awam di seluruh negara bermula semalam dalam usaha memastikan pematuhan larangan itu terutama di kalangan pemandu.

Memetik laporan BERNAMA, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, operasi titu membabitkan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Katanya, objektif utama pelaksanaan operasi itu adalah memastikan pematuhan larangan merokok di dalam kenderaan awam khususnya pemandu kenderaan awam dan penumpang.

rokok_sign“Operasi ini juga bertujuan memastikan semua pemilik kenderaan awam mempamerkan tanda larangan merokok dengan jelas di dalam kenderaan awam masing-masing seperti di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Semua kenderaan awam adalah kawasan larangan merokok bertujuan melindungi bukan perokok daripada bahaya asap rokok pasif,” katanya.

Dr Lokman berkata, bagi setiap kesalahan merokok di dalam kenderaan awam boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Katanya, bagi kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok di dalam kenderaan awam, pemilik kenderaan boleh dikompaun tidak melebihi RM1,500, didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.

Boleh-Numpang-Duduk-Disini-Tapi-Dilarang-MerokokKatanya, Kementerian Kesihatan juga akan menguatkuasakan peruntukan baru di dalam PPKHT (Pindaan) 2013 mengenai larangan menjual, membeli atau memiliki rokok tidak sah.

“Peraturan 15 (4A) dikuatkuasa pada 1 Januari lalu, yang mana sesiapa yang memiliki rokok tidak sah iaitu tidak dicetak dengan imej amaran kesihatan, mereka boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.