Categories
AGENDA SUKANKINI

Jaguh lompat tinggi negara kecewa cabaran di Tokyo berakhir

TOKYO, 30 JULAI: Kekecewaan jelas terpancar di wajah jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei, selepas tamat pusingan kelayakan acara lompat tinggi lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.

Hup Wei, yang membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik selepas edisi Beijing 2008 dan London 2012, tidak dapat menyembunyikan kesedihan ketika wartawan cuba mendapatkan ulasan beliau berhubung prestasinya.

Sambil mengesat air mata, atlet berusia 34 tahun itu hanya menggelengkan kepala tanpa memberi sebarang kenyataan.

Sebelum itu, Hup Wei kelihatan sebak semasa ditemu bual beberapa stesen televisyen Malaysia, sebelum bergerak ke kawasan dibenarkan wartawan media cetak, untuk menemu bual atlet.

Pada saingan berlangsung pagi tadi, atlet kelahiran Kajang, Selangor itu gagal melepasi ketinggian 2.17 meter (m) pada pusingan kelayakan tersebut, yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Hup Wei yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.29 meter (m), gagal melepasi ketinggian pertama ditetapkan dalam ketiga-tiga percubaannya, sekali gus gagal meneruskan cabaran ke final.

Hanya 12 atlet terbaik daripada 33 peserta layak ke peringkat akhir acara berkenaan.

Hup Wei menamatkan cabaran di tempat ke-32 keseluruhan pada edisi Beijing, dengan lompatan setinggi 2.20m manakala di London, beliau di kedudukan ke-30 dengan catatan 2.16m.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet lompat tinggi negara intai pentas akhir Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei yang bakal membuat penampilan Olimpik ketiga, menyasarkan untuk mencipta sejarah sebagai atlet olahraga pertama negara ke peringkat akhir acara itu pada temasya sukan berkenaan.

Berdasarkan keputusan Rio 2016, atlet berusia 34 tahun itu perlu melepasi ketinggian dalam lingkungan 2.26 meter pada pusingan kelayakan untuk menempah tempat di peringkat akhir.

Pada temasya 2016, rakan sepasukan Nauraj Singh Randhawa serta lapan lagi atlet lompat tinggi terlepas peluang untuk muncul sebagai 15 finalis sekalipun berjaya melepasi ketinggian 2.26m, disebabkan mereka gagal melakukannya pada lompatan pertama.

Hup Wei yang akan menamatkan kuarantin wajib di Kompleks Sukan Kampung Pandan pada Rabu ini, berdepan tugas sukar kerana hanya mampu melepasi ketinggian 2.10m, catatan terbaiknya pada musim ini yang dibuat di Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Kazakhstan baru-baru ini.

Berbaki kira-kira dua minggu sebelum berlepas ke temasya sukan terbesar dunia itu, Hup Wei berharap dapat membaiki catatan peribadi terbaiknya 2.29m pada Olimpik Tokyo, yang mana pusingan kelayakan bagi acara sukan itu dijadualkan pada 30 Julai.

“Dua minggu terakhir ini penting bagi saya menajamkan lagi teknik dan membaiki prestasi untuk bersaing di Olimpik Tokyo. Sebaik sahaja tempoh kuarantin saya tamat, saya akan segera kembali ke (Kompleks Sukan) Bukit Jalil untuk melakukan persiapan akhir bersama jurulatih (Aleksandar Gasparyan).

“Saya dapat melepasi 2.20m semasa latihan di Kazakhstan, namun terpaksa berhenti bersaing selepas mengalami kecederaan buku lali. Kini saya sudah pulih dan saya mahu memberikan yang terbaik di Tokyo,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Juara Asia 2007 itu layak ke Tokyo 2020 selepas menempatkan diri di ranking ke-23 Olahraga Dunia dengan 1,235 mata, sekali gus membolehkan Malaysia mempunyai wakil dalam acara lompat tinggi lelaki untuk empat edisi Olimpik berturut-turut sejak Beijing 2008.

Pada Beijing 2008, Hup Wei menamatkan saingan di tangga ke-32 selepas melepasi 2.20m manakala pada 2012, atlet kelahiran Kajang itu berakhir di kedudukan ke-27 dengan lompatan terbaik 2.16m.

Juara tiga kali Sukan SEA itu mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama layak ke final pada Kejohanan Olahraga Dunia pada 2019 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar, di mana beliau mencipta rekod peribadi 2.29m.

Hup Wei menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 12 finalis pada saingan dunia itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jaguh lompat tinggi negara raih emas di Kazakhstan

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei terus memperkukuh peluangnya untuk bertanding di Sukan Olimpik Tokyo selepas memenangi acara itu pada Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan semalam.

Atlet berusia 34 tahun itu meraih pingat emas selepas melakukan lompatan melepasi ketinggian 2.10 meter, jauh di bawah prestasi terbaiknya iaitu 2.29 meter yang dicatat pada 2019.

Keputusan itu menyaksikan sedikit peningkatan berbanding aksi terbaiknya musim ini iaitu 2.05 meter di Grand Prix Olahraga Terbuka Malaysia pada April lepas namun agak malang bagi Hup Wei apabila kakinya terseliuh semasa pertandingan hari ini.

Timur Rakhmatullaev dari Uzbekistan pula meraih perak meskipun mencatat keputusan sama iaitu 2.08 meter dengan Alexandr Timoshin dari Kazakhstan berdasarkan kiraan semula lompatan.

Sementara itu, pelari pecut negara Jonathan Nyepa dan Muhammad Ilham Suhaimi masing-masing merangkul perak dan gangsa dalam acara 200 meter lelaki.

Jonathan, yang turut meraih perak menerusi acara 100 meter semalam, mencatat masa 21.76 saat manakala Muhammad Ilham menamatkan larian dengan catatan masa 21.92.

Atlet Kazakhstan Vitaliy Zems merangkul emas dalam acara itu dengan catatan masa 21.19 saat.

Dalam acara lompat kijang lelaki, Muhammad Hakimi Ismail terlepas podium dengan perbezaan 0.19 sentimeter selepas melakukan lompatan sejauh 15.62 meter.

Atlet Iran Hamid Reza Kia meraih emas dengan lompatan sejauh 16.18 meter manakala Ivan Denisov dan Islam Sibagatullin, kedua-duanya dari Uzbekistan, masing-masing memungut perak dan gangsa dengan lompatan sejauh 16.10 meter dan 15.81 meter.

Pengurus pasukan Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata temasya itu memenuhi matlamatnya untuk memberikan pendedahan yang amat diperlukan oleh para atlet selepas lebih setahun tidak menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa susulan pandemik Covid-19.

“Secara keseluruhan, ia adalah pendedahan yang baik untuk atlet namun mereka memerlukan lebih banyak pertandingan di peringkat antarabangsa selain sokongan berterusan daripada semua pihak.

“Hup Wei berjaya memperoleh mata tambahan untuk ranking dunianya (ke arah kelayakan ke Sukan Olimpik).

“Selepas ini, kami perlu merawat kecederaan yang dialami oleh Andre Anura Anuar, Hup Wei dan Hakimi. Hup Wei dijangka pulih dalam tempoh seminggu atau dua minggu, Hakimi mengalami spur tulang manakala Andre mengalami kecederaan hamstring berulang,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Connie Chu Kang Ni menggondol emas dalam acara lempar cakera manakala Rayzam Shah Wan Sofian menduduki tempat ketiga dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad olahraga tunggu keputusan MSN sambung latihan

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Skuad olahraga negara masih menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum kembali menyambung latihan di Bukit Jalil sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada tahun hadapan.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil memaklumkan, barisan kejurulatihan masih belum mendapat sebarang pengesahan daripada MSN walaupun Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk S.M Muthu baru-baru ini mendakwa skuad kebangsaan akan memulakan latihan pada 1 Julai ini.

Buat masa ini, fasiliti di Bukit Jalil hanya dibuka kepada atlet di bawah kem latihan pusat program ‘Road to Tokyo’ (RTT) 2020 sehingga kem berkenaan tamat pada 30 Jun ini.

“Setakat ini, kita masih menunggu kata putus daripada MSN sebelum atlet kita dibenar meneruskan latihan di Bukit Jalil. Saya tidak pasti sama ada KOM sudah menghantar permohonan latihan atau tidak kepada MSN.

“Kita kena jelas, selagi MSN tidak keluarkan sebarang arahan, maka atlet kita hanya akan meneruskan latihan seperti biasa di kawasan masing-masing,” jelas Mohd Manshahar ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, bekas atlet kebangsaan itu mendedahkan kenyataan jaguh lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei baru-baru ini yang meluahkan kekecewaan selepas tidak disenaraikan dalam Program RTT 2020 lebih bersifat peribadi, namun memahami tindakan atlet kelahiran Kajang, Selangor itu berbuat demikian.

Pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik Beijing 2008 dan edisi 2012 di London, meluahkan rasa kecewa setelah namanya tidak tersenarai dalam program berkenaan yang bermula sejak 8 Jun lepas di MSN, Bukit Jalil.

“Beliau (Hup Wei) ada menghubungi saya dan memaklumkan kekecewaannya tidak dapat menyertai program berkenaan, namun beliau harus faham hanya atlet yang layak secara merit sahaja, selain sukan tertentu sahaja dibenarkan menjalani latihan mengikut tatacara operasi piawai MSN bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Bagi saya, peluang Hup Wei ke Tokyo masih belum tertutup rapat kerana terdapat beberapa kejohanan kelayakan pada awal tahun hadapan,” jelas Mohd Manshahar.

Setakat ini, tiada atlet olahraga negara yang layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-BERNAMA