Categories
NASIONAL

Dua beradik mati lemas dalam parit

PARIT BUNTAR, 3 JULAI: Dua beradik ditemukan mati lemas dalam parit berhampiran rumah mereka di Kampung Kuala Bagan Tiang dekat sini, semalam.

Mangsa Nor Ayuni Najatul Abdul Az Zahir, 8, dan kakaknya Nor Anisa Najwa Mohd Zaki, 10, ditemukan dalam parit yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka oleh penduduk kampung pada 6 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian DSP Sanusi Salleh berkata kedua-dua adik beradik tiri itu bermain di kawasan parit tersebut selepas pulang dari sekolah agama berdekatan.

Sanusi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Zaki Abdullah, 45, berkata ketika kejadian, beliau berada di pekan Parit Buntar dan semasa pulang kira-kira pada 7 malam, beliau mendapati kedua-dua anaknya tiada di rumah sebelum mencari mereka di kawasan sekitar.

“Saya mendapat maklumat daripada penduduk mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan di kawasan parit dan saya terkejut apabila mendapati itu adalah Nor Anisa Najwa dan kemudian Nor Ayuni Najatul pula ditemui, ” katanya.

Mohd Zaki berkata jenazah mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Bagan Tiang pagi ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bomba terus operasi SAR warga Pakistan

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohon JPS Selangor naikkan papan notis bahaya di Sungai Gasi

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor diminta menaikkan papan notis di kawasan yang dikhuatiri tidak selamat untuk melakukan sebarang aktiviti di Sungai Gasi, berdekatan Kem Sungai Buloh.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, cadangan untuk menaikkan papan notis bahaya itu akan diusulkan kepada pihak JPS Selangor dalam usaha mengelak kejadian sama berulang.

“Ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan itu sejak 2013. Saya juga akan membangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang akan diadakan kelak.

“Selain itu, saya memohon Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, mengambil perhatian dengan menjalankan sebarang tindakan bagi memastikan keselamatan penduduk dan orang ramai di kawasan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Khairuddin turut menasihatkan penduduk dan orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan yang berisiko dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

“Jika mahu memancing atau membuat aktiviti riadah lain, boleh lakukannya di kawasan selamat dan perlu lebih prihatin dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, 19 Februari lalu, lima maut manakala tiga lagi terselamat selepas dibawa arus deras ketika memancing di Sungai Gasi.

Mangsa yang terkorban ialah Hashir, 38, seorang warga Indonesia manakala empat lagi iaitu Jamaluddin Rapawi,14; Silawati Zailan, 31; Jeleha Hashim, 48 dan Rapawi Jum’ada, 37, adalah warga tempatan.

Tiga yang terselamat iaitu Rizal Mad Desa, 31; Syamsul Azhar Ismail, 33 dan Taib Asik, 31, sempat menyelamatkan diri setelah menyedari kehadiran kepala air dari hulu sungai itu.

Susulan penemuan semua mangsa, pos kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditutup pada 6.30 petang semalam, selepas hampir 24 jam beroperasi.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Semua mangsa tragedi Sungai Gasi berjaya ditemui

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Kesemua mangsa hanyut ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh semalam, berjaya ditemui dengan penemuan mangsa terakhir pada petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mangsa kelima ditemui kira-kira jam 4.35 petang tadi, dikenal pasti sebagai Rapawi Jum’ada, 37 tahun.

Katanya, mangsa ditemui kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian setelah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan operasi di luar lokasi pencarian awal.

Sebelum itu, mangsa keempat dikenali sebagai Jeleha Hashim, 48, ditemui berhampiran Desa Coalfields, kira-kira 19 kilometer dari lokasi kejadian pada 3.45 petang tadi.

Katanya, kedua-dua mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala operasi pencarian yang bermula sejak semalam juga ditamatkan.

Terdahulu, mangsa ketiga, dikenali sebagai Silawati Zailan, 31, ditemui kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Manakala dua lagi mangsa, iaitu Hashir, 38 dan Jamaluddin Rapawi, 14, masing-masing ditemui pada jam 9.50 malam tadi dan 1.26 pagi tadi.

 

Categories
SELANGOR

Mayat ketiga pemancing hanyut di Sungai Gasi ditemui

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Mayat ketiga pemancing yang hanyut ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh semalam, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, mangsa dikenali sebagai Silawati Zailan, 31.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira 13 kilometer dari pos kawalan bomba manakala usaha mencari dua lagi mangsa masih giat dilakukan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.

Dua lagi mangsa dilaporkan hilang sebelum ini dikenali sebagai Rapawi Jum’ada, 37, Jeleha Hashim, 48, dan

Sebelum ini, dua mangsa telah ditemui, dikenali sebagai Hashir, 38 tahun, pada jam 9.50 malam kira-kira 8.2 kilometer dari lokasi kejadian.

Mangsa kedua pula dikenali sebagai Jamaluddin Rapawi, 14, ditemui jam 1.26 pagi, kira-kira satu kilometer daripada lokasi penemuan awal.

Sumber gambar: Berita Harian

Categories
SELANGOR

Operasi SAR pemancing hanyut diperluaskan hingga 20 KM

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 FEB: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa hilang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Gasi, berhampiran Kem Sungai Buloh, diperluaskan sehingga 20 kilometer dari jarak mangsa dihanyutkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, operasi hari ini diteruskan dengan kekuatan lebih 70 anggota bomba bersama agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor turut digerakkan untuk membuat pencarian dari bawah, menuju ke lokasi mangsa dilaporkan hanyut.

“Pencarian dari lokasi kejadian juga akan diteruskan, mengikut strategi yang dirancang untuk hari ini, ” katanya kepada media.

Pada masa sama, beliau berkata, Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba dan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) juga digunakan untuk melakukan pencarian di lokasi yang dikenal pasti.

“Anggota PPDA akan melakukan pencarian di lubuk di kawasan sungai itu,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti air seperti memancing di sungai atau tali air.

Katanya, bagi tempoh Januari sehingga hari ini, sebanyak 12 mangsa dilaporkan mati lemas di Selangor dengan 10 daripada mangsa meninggal dunia ketika menjalani aktiviti di sungai manakala dua lagi di tali air.

Sumber gambar: Bomba Selangor

Categories
NASIONAL

2 mangsa pelajar lemas ditemui

KUALA LUMPUR 1 NOV: Mayat dua pelajar yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberang longkang di Taman Yarl, Jalan Puchong, Isnin lalu, ditemui.

Kedua-dua mangsa Mohammad Shafiq Akmal Amran dan Rafiuddin Fakhrullah Ridzuan, masing-masing berusia 13 tahun, ditemui pada jam 7.40 dan 8.03 pagi tadi, lapor BH ONLINE.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata kedua-dua mangsa ditemui dalam jarak 40 meter antara satu sama lain di lombong PPR Kampung Muhibbah, ketika air surut.

“Penemuan mangsa berdasarkan kawasan yang dikesan oleh unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat, semasa proses mencari dijalankan sebelum itu.

“Jadi apabila air mula surut kita kembali ke kawasan yang ditandakan sebelum menemui mayat kedua-dua mangsa terbabit,” katanya ketika dihubungi BH ONLINE.

Kawasan lombong berkenaan bersambung dengan aliran sungai tempat dua pelajar terbabit dihanyutkan air longkang ketika pulang dari sekolah pada jam 3 petang, Isnin lalu.

Jarak longkang hingga ke lombong kawasan berkenaan kira-kira satu kilometer.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kanak-kanak 5 tahun lemas di Taman Botani Shah Alam

SHAH ALAM 21 OKT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui lemas dalam sebuah kolam di Taman Botani Negara Shah Alam di Seksyen U11, di sini petang tadi.

Mangsa, Muhammad Imran Mohd. Fuat ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kolam kira-kira jam 12 tengah hari oleh orang ramai, lapor KOSMO!.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superitendan Nek Zaidi Zakaria berkata, berdasarkan laporan bapa mangsa, dia bersama ahli keluarganya pergi ke taman tersebut kira-kira jam 10 pagi bagi menghadiri program hari keluarga.

Katanya, kira-kira jam 11.55 pagi anak keenamnya itu secara sendirian telah ke kolam mandi tersebut.

“Ketika kejadian pengadu tiada di kolam terbabit kerana pergi ke tempat letak kereta untuk melihat motosikal skuter yang ingin disewa oleh seorang lagi anaknya.

“Bagaimanapun ketika berada di tempat letak kereta tersebut, dia telah diberitahu oleh rakannya bahawa anaknya (mangsa) ditemui tidak sedarkan diri dalam kolam mandi terbabit,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nek Zaidi berkata, menyedari keadaan mangsa, bapanya terus membawa anaknya ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital terbabit.

Jelas beliau, siasatan pihaknya mendapati ketika kejadian kolam mandi tersebut tidak ramai orang dan mangsa yang sebelum itu berada di kolam kanak-kanak telah pergi ke kolam dewasa melalui tangga kolam.

“Bapa mangsa juga tidak mahu pihak hospital melakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa kerana mahu uruskan jenazah secepat mungkin dan mereka menerima sebab-sebab kematian adalah lemas,”jelasnya.

Nek Zaidi memberitahu, kes tersebut diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Abang mangsa lemas buat rakit tekad carik adik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Abang kepada mangsa lemas, Khaidirratul Alias, 28, tekad membina rakit sendiri malah sanggup menyelam mencari adiknya, Taufik Alias, 24 sebelum mayat mangsa dijumpainya sendiri.

Menceritakan kejadian sebenar, Ibu mangsa, Rohaya Arshad, 49, berkata, tiga orang anaknya iaitu dua orang abang Taufik bersama adik serta rakan-rakan tekad mencari mangsa sehingga jumpa.

MANGSA BANJIR (6)“Walaupan pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab, namun sebagai ahli keluarga, anak saya tekad untuk berusaha mencari adiknya sendiri bersama empat lagi rakan membina rakit sendiri dan menyelam semata-mata mahu mencari Taufik.

“Lebih memilukan kami apabila anak saya yang menjumpai Taufiq terapung tidak jauh dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat,” katanya kepada Selangor Kini ketika ditemui dalam majlis penyampaian sumbangan di Kompleks Penghulu Batu 10, Mukim Cheras, di sini pagi tadi.

IMG_20170622_125748-1280x1264Sementara itu Bapa Mangsa, Alias Sagi, 51, berkata, beliau sedikit terkilan pada beberapa pihak yang menyaksikan kejadian anaknya lemas kerana tidak segera meminta bantuan atau membuat laporan kepada pihak polis.

“Saya dimaklumkan saksi yang melihat kejadian mangsa lemas pada pukul 5 petang, namun kami baru dimaklumkan pukul 1 pagi.

“Saya dimaklumkan tindakan lambat diambil kerana pihak polis bimbang video tular itu adalah kejadian yang lama, jadi mereka membuat siasatan kesahihan video terlebih dahulu.

“Walaubagimanapun, ini adalah ketentuan Allah, jadi kami sekeluarga perlu redha,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB ucap takziah kanak-kanak mati lemas

SHAH ALAM 10 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Rini Sutari yang kehilangan anaknya apabila meninggal dunia akibat mati lemas.

Dalam kejadian itu, anak perempuan katerer untuk Majlis Tahun Baru Cina PEKAWANIS itu maut selepas terjatuh ke dalam kolam renang di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, di Seksyen 7, di sini, jam 4 petang, kelmarin.

Abdul Khalid Kredibiliti Syed Husin Menjadi Senator 2“Takziah kepada Puan Rini Sutari dan keluarga, katerer Majlis Tahun Baru Cina PEKAWANIS atas kehilangan puteri Amanda Dany Shah. Al-fatihah,” tulis Abdul Khalid di twitternya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata Amanda Dany Shah, 7, bersama ibu bapanya, pergi ke majlis itu untuk membekal makanan sebagai pengusaha katering, sempena majlis Tahun Baru Cina.

“Ketika ibu bapa mangsa sibuk menyediakan makanan bersama pekerja lain, mangsa tiba-tiba dikatakan hilang. Pengunjung di situ menyedari kejadian berkenaan dan cuba menyelamatkan mangsa,” katanya.

Azisman berkata, selepas diselamatkan orang awam, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dengan ambulans.

Menurutnya, mangsa kritikal dan disahkan oleh doktor meninggal dunia, kira-kira jam 7 malam.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Sementara itu Abdul Khalid juga mengucapkan takziah kepada keluarga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang kehilangan bapa mertuanya.

“Takziah diucapkan kepada YB Azmin Ali dan keluarga, atas pemergian ayahanda mertua, allahyarham Haji Taharin Idris. Al-fatihah,” tulis Abdul Khalid.

Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga pendakwah dan pimpinan PAS Selangor, Pak Yazid Jaafar yang meninggal dunia semalam.

“Takziah diucapkan pada keluarga almarhum Pak Yazid Jaafar, pendakwah & bekas pimpinan PAS Selangor yang telah kembali pagi tadi. Al-fatihah,” tulis Abdul Khalid.