Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah sekitar KL lengang susulan pelaksanaan semula PKP

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Keadaan di pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) di sini, yang kebiasannya sentiasa sibuk bertukar lengang susulan arahan kerajaan yang menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini, untuk mengekang penularan Covid-19.

Tinjauan Bernama di KMKL pada hari pertama PKP dilaksanakan mendapati hanya beberapa kenderaan dinaiki Hakim, Majistret dan Timbalan Pendakwa Raya yang bertugas, secara bergilir-gilir dibenarkan masuk sepanjang tempoh dua minggu perintah itu.

Menurut seorang petugas mahkamah, hanya beberapa bilik mahkamah, antaranya sebuah bilik Mahkamah Sesyen dan dua bilik Mahkamah Majistret dibuka untuk sebutan kes-kes baharu.

“Media dan orang awam tidak dibenarkan masuk kecuali petugas mahkamah dan pihak peguam yang terlibat dalam kes baharu,” katanya kepada Bernama.

Berlainan di Mahkamah Ampang, Petaling Jaya dan Selayang, pihak media dibenarkan masuk bagi membuat liputan kes-kes baharu dengan pematuhan SOP yang ditetapkan iaitu pengesanan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial sepanjang masa ketika berada di kawasan mahkamah

Menurut seorang petugas Mahkamah Selayang, setiap individu yang ingin memasuki perkarangan mahkamah perlu diperiksa suhu dan mengimbas kod QR mahkamah, sebelum diberikan pelekat kuning yang ditulis suhu yang telah diperiksa.

Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan memaklumkan, semua pendengaran dan perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka bermula hari ini (13 Januari) hingga 26 Januari ditangguhkan susulan pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun, menurut PKPMP perbicaraan atau pendengaran kes sivil di mahkamah seluruh negara ini boleh dikendalikan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Pada Isnin lepas, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula hari ini (13 Januari) hingga 26 Januari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar: Teluk Kumbar lengang susulan SOP diperketat

GEORGE TOWN, 16 OGOS: Tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih ketat dikenakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ke atas premis perniagaan termasuk makanan di Teluk Kumbar susulan laporan satu kes positif Covid-19 di situ pada Jumaat lepas, menyaksikan kawasan tersebut lengang.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai seakan-akan ‘menjauhi’ kawasan tersebut, sekali gus menjejaskan rezeki khususnya peniaga warung makanan yang pelanggannya tidak dibenarkan makan di premis.

Pengurus Nasi Kandar Heritage, Ibrahim Mydin, 38 berkata bilangan pelanggan ke restoran itu berkurangan sejak kes positif Covid-19 dilaporkan berhampiran kawasan berkenaan.

“Penduduk di sini telah mengambil langkah berjaga-jaga dan mereka hanya bungkus makanan mereka balik makan. Tidak ramai yang makan di sini lagi walaupun ‘dine-in’ dibenarkan di restoran kami,” katanya kepada Bernama hari ini.

SOP itu yang berkuat kuasa semalam bermula dari sempadan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Jalan Teluk Kumbar hingga simpang lampu isyarat Puspakom, Kampung Tengah serta sekitar Gertak Sanggul.

Seorang peniaga minuman di Warung Simpang Tiga, Mohamad Amin Mohamad Zaini, 29, pula berkata peniagaannya terjejas selepas arahan baharu tidak membenarkan pelanggan menikmati makanan dan minuman di gerai penjaja di tepi jalan.

“Selalunya penduduk sini akan datang pada waktu pagi untuk menikmati makanan mereka namun hari ini tidak ramai yang datang walaupun untuk bungkus,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa taman permainan di kawasan Teluk Kumbar juga ditutup kepada orang ramai.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz, lebih 100 peniaga kecil-kecilan di tepi jalan akan terjejas pendapatan susulan arahan terbaharu MBBP itu.

“Saya berharap para peniaga dapat bersabar kerana tindakan ini adalah demi kepentingan semua dan setakat ini keadaan di sini masih terkawal. Penduduk kawasan Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul harus mengikut semua SOP yang ditetapkan dan mengurangkan aktiviti berkunjung atau himpunan orang ramai,” katanya.

Jumaat lepas, satu kes positif Covid-19 dilaporkan di kawasan Teluk Kumbar melibatkan kluster Tawar di Kedah.

-BERNAMA