Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Harga getah dijangka meningkat, banyak permintaan

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Harga Getah Malaysia dijangka akan meningkat pada minggu hadapan selepas gred tayar getah SMR 20 mendapat lebih banyak permintaan berbanding lateks pukal, kata Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presiden MARGMA Denis Low berkata SMR 20 telah mencapai paras tertinggi baharu sejak Jun 2020 pada 502 sen sekilogram semalam.

Manakala, lateks pukal ditutup pada 456 sen sekilogram berikutan output yang lebih banyak.

“Pada amnya, pasaran kekal lengang berikutan ancaman pandemik Covid-19 di banyak negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut Low, dijangkakan hari-hari yang akan datang, bakal menyaksikan pembelian getah yang lebih banyak selepas China bangkit daripada sekatan pandemik.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah diniagakan bercampur-campur memandangkan sentimen pasaran mengendur akibat peningkatan bilangan kes Covid-19 di peringkat global termasuk ketegangan Amerika Syarikat-China yang diperbaharui.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata sentimen di pasaran global telah disokong oleh berita positif mengenai vaksin Covid-19, yang seterusnya, mengimbangi kejatuhan dalam harga getah.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 pada 12 tengah hari meningkat lima sen kepada 502 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot 11.5 sen kepada 457 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 naik 2.5 sen kepada 497 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 10.5 sen kepada 456 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Insentif pengeluaran getah bagi Mei 2020 diaktifkan

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi Mei 2020 diaktifkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pekebun kecil membuat tuntutan pembayaran berdasarkan pengeluaran pada Mei.

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kenyataan hari ini, pengaktifan itu berikutan harga purata getah peringkat ladang pada Mei 2020 bagi getah sekerap berada pada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, RM1.35 sekilogram di Sabah dan RM1.50 sekilogram di Sarawak.

“LGM juga memaklumkan IPG teraktif bagi Mei 2020 dengan bayaran di Semenanjung pada RM0.85 sekilogram, RM1.15 sekilogram di Sabah serta RM1.00 sekilogram di Sarawak,” katanya.

Sejak Januari 2019, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan getah SMR 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada pada paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang mencecah RM2.50 sekilogram ke bawah.

“Pekebun kecil boleh membuat tuntutan IPG berdasarkan pengeluaran Mei 2020 mulai 1 Jun hingga 30 Jun, 2020,” menurut LGM.

-BERNAMA