Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat insurans perluas bantuan tunai disebab kesan sampingan vaksin

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Sebahagian besar syarikat insurans hayat di negara ini memperluaskan bantuan kewangan kepada pemegang polisi yang mendapat kesan sampingan atau komplikasi sehingga dimasukkan ke hospital susulan pemvaksinan Covid-19.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata perlindungan itu termasuk kos dimasukkan ke hospital yang memerlukan dari segi perubatan dan munasabah susulan kesan sampingan pemvaksinan Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sejumlah syarikat insurans hayat turut menawarkan program bantuan tunai untuk kesan sampingan di bawah dana vaksin Covid-19 masing-masing atau program bantuan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bantuan itu termasuk pembayaran semula bil perubatan kepada pesakit Covid-19 dan sokongan pemvaksinan pasca Covid-19 bagi kemasukan ke hospital susulan kesan sampingan vaksin; bantuan perubatan dan manfaat kematian khas; pendapatan kemasukan ke hospital; dan bantuan tunai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O’Dell menasihatkan pemegang polisi untuk menghubungi syarikat insurans masing-masing bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bantuan yang ditawarkan sekiranya mereka mendapat kesan sampingan daripada vaksin Covid-19.

Sambil memuji usaha proaktif kerajaan untuk melindungi rakyat, beliau turut menggesa rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing bagi memerangi Covid-19 dengan membuat pendaftaran bagi program imunisasi itu di aplikasi MySejahtera.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri insurans, takaful cari kaedah kurangkan belanja pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Industri insurans dan takaful sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta Bank Negara Malaysia untuk meneroka kaedah bagi mengurangkan perbelanjaan rawatan pesakit Covid-19 khususnya di hospital swasta.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan bersama memberitahu secara amnya, risiko berkaitan pandemik tidak dilindungi di bawah mana-mana pelan insurans dan takaful di seluruh dunia.

“Pengecualian itu berpunca daripada kesukaran menetapkan harga untuk perlindungan berkaitan peristiwa seperti pandemik yang mungkin hanya berlaku sekali seumur hidup termasuk impak dan kos yang tidak dapat diduga. Covid-19 adalah pandemik; oleh itu ia tidak diinsuranskan/dilindungi di bawah manfaat insurans/takaful perubatan serta kesihatan.

“Bagaimanapun, sebagai tindak balas kepada keperluan segera negara semasa peringkat awal pandemik pada 2020, majoriti penginsurans hayat dan pengendali takaful telah menyediakan manfaat tambahan seperti pendapatan hospital harian yang akan dibayar kepada pemegang polisi/pemegang sijil yang terjejas,” kata persatuan itu.

LIAM, PIAM dan MTA berkata industri itu menyokong perlindungan kepentingan pemegang polisi/pemegang sijil dan menyumbang kepada kejayaan perkongsian swasta serta awam dalam memenangi perjuangan menentang pandemik itu.

Industri ini, kata mereka, telah bertindak pantas dalam usaha untuk melaksanakan pelbagai langkah bantuan bagi membantu pemegang polisi/pemegang sijil menghadapi kesan kewangan daripada pandemik berkenaan.

Ini merangkumi penangguhan premium polisi/caruman takaful yang memberi faedah lebih sejuta pemegang polisi/pemegang sijil membabitkan premium/caruman bernilai lebih RM1.6 bilion.

Dana Ujian Covid-19 (CTF) sebanyak RM8 juta ditubuhkan pada Mac 2020 bagi membolehkan pemegang polisi insurans perubatan dan kesihatan menjalani ujian saringan Covid-19.

Di samping usaha industri secara menyeluruh, syarikat insurans dan pengendali takaful secara individu juga telah melancarkan pelbagai skim untuk membantu pemegang polisi/pemegang sijil, tambahnya.

– BERNAMA