Categories
AGENDA SUKANKINI

Liverpool gah benam Manchester United di Anfield

SHAH ALAM, 20 JAN: Liverpool terus sukar digugat di puncak Liga Perdana Inggeris apabila menang selesa 2-0 ke atas Manchester United di Anfield awal pagi tadi.

Berdasarkan siaran langsung yang dipancarkan di stesen televisyen tempatan, Virgil Van Dijk memastikan The Reds di hadapan pada minit ke-14 apabila menanduk masuk sepakan penjuru Trent-Alexander Arnold walaupun cuba dihalang pertahanan termahal dunia, Harry Maguire.

Tuan rumah sepatutnya mendahului babak pertama sekurang-kurangnya berkelebihan tiga gol, namun jaringan Roberto Firmino dan Gini Wijnaldum dibatalkan kerana kekasaran serta berada dalam kedudukan ‘offside’.

Bersambung babak kedua, kapten Liverpool Jordan Henderson hampir menggandakan jaringan pada minit ke-48 tetapi percubaan kaki kirinya sekadar singgah di tiang gol dikawal David De Gea.

Manchester United cuba menggugat pertahanan Liverpool dengan membawa masuk Juan Mata tetapi beberapa peluang terbaik gagal diterjemah barisan hadapan pasukan.

Sebaliknya, skuad bimbingan Jurgen Klopp menambah jaringan kedua pada minit akhir masa tambahan menerusi Mohamed Salah yang membuat larian pantas hasil umpanan penjaga gol Alisson Becker sebelum tenang menewaskan De Gea.

Liverpool kini mengutip 64 mata selepas 22 perlawanan meninggalkan pesaing di tangga kedua, Manchester City dengan perbezaan 16 mata.

 

Categories
SUKANKINI

PL: Manchester City kekal kejuaraan musim 2018/19

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 13 MEI: Manchester City mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris bagi musim 2018/19 apabila bangkit menewakan Brighton & Hove Albion 1-4 di tempat lawan pada perlawanan terakhir liga.

Keputusan itu sekali gus menafikan hasrat pesaing utama, Liverpool dengan perbezaan satu mata walaupun The Reds mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Anfield.

City bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Brighton menerusi Glenn Murray yang menanduk masuk sepakan penjuru Pascal Gross pada minit ke-27.

Seminit kemudian, Sergio Arguero menyamakan kedudukan 1-1 buat City hasil gerakan David Silva.

Aymeric Laporte menjadikan kedudukan 1-2 buat City pada minit ke-38 menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Riyad Mahrez.

City menambah jaringan pada minit ke-63 dan 72 menerusi Mahrez serta sepakan percuma Iikay Gundogan.

Sementara di Anfield, dua jaringan Sadio Mane di setiap babak menyaksikan Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri musim ini.

Penyerang Senegal itu mencetak jaringan pada minit ke-17 dan 81 hasil gerakan Trent Alexander-Arnold.

Jaringan itu menyaksikan beliau berkongsi 22 jaringan bersama rakan sepasukan Mohamed Salah musim ini.

Manchester City mengumpul 98 mata manakalan 97 milik Liverpool selepas 38 perlawanan.

Kredit Foto: Manchester City

 

Categories
SUKANKINI

Pep Guardiola atau Jurgen Klopp, siapa berhak julang trofi PL?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 APR: Musim 2018/19 Liga Perdana Inggeris bakal melabuhkan tirai Mei hadapan dengan tinggal dua baki perlawanan selepas semua pasukan menamatkan perlawanan ke-36 hujung minggu lalu.

Untuk pertama kalinya dalam sejarah, dua kelab dipimpin bekas pengurus pasukan di Bundesliga, Jerman berjaya mencapai pungutan melebihi 90 mata dalam satu musim melepasi pungutan mata Arsenal ketika mereka meraih trofi ‘Invicible’ pada 2003/04 (90 mata).

Juara bertahan, Manchester City hanya berkelebihan satu mata di hadapan pesaing terdekat, Liverpool yang terus memberikan tekanan untuk melakar kejayaan pertama selepas kali terakhir menjulang trofi liga pada musim 1989/90.

The Citizen yang kini mengumpul 92 mata akan menentang Leicister City di gelanggang sendiri pada 7 Mei sebelum menentang Brighton & Hove Albion pada hari terakhir liga, seminggu kemudian.

Dengan 91 mata, The Reds akan beraksi menentang pasukan bimbingan bekas pengurus, Rafa Benitez; Newcastle United di gelanggang lawan sebelum menantikan kunjungan Wolverhampton Wanderers di Anfield pada 12 Mei hadapan.

Peluang dilihat lebih memihak skuad bimbingan Pep Guardiola yang dijangka tidak berdepan masalah untuk mengutip enam mata penuh dalam baki perlawanan musim ini.

Tanpa tekanan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Manchester City boleh memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menyiapkan pemain bagi menyekat hajat Liverpool untuk musim kedua berturut-turut.

Laluan berliku pastinya menanti Jurgen Klopp kerana mereka akan ke Nou Camp pertengahan minggu ini untuk menghadapi perlawanan separuh akhir pertama UCL menentang Barcelona.

Barcelona yang baharu sahaja dinobatkan juara La Liga buat kali ke-26 selepas menewaskan Levante 1-0 minggu lalu pastinya mahu menambah koleksi kejuaraan dengan meraih keputusan positif di laman sendiri.

Untuk rekod, kali terakhir Liverpool ke Nou Camp pada 12 Mei 2007 menyaksikan mereka menang 1-2 hasil jaringan John Arne Riise dan Craig Bellamy sebelum tewas 0-1 di laman sendiri pada perlawanan kedua.

Walaupun Liverpool hanya tewas sekali dalam aksi musim ini, keputusan seri bertemu tujuh pasukan; Arsenal, Chelsea, Manchetser United, Everton, Manchetser City, Leicister City dan West Ham United nyata merencatkan impian mereka sedangkan mampu melebarkan jurang tujuh mata ketika pertengahan liga.

Berbanding City, mereka hanya mencatatkan dua keputusan seri setakat ini walaupun tewas empat perlawanan liga dengan menjaringkan 68 gol serta 22 bolos.

Sehingga ini, hanya ‘keajaiban’ yang mampu membantu Liverpool menjulang trofi liga dengan syarat mereka mengutip enam mata penuh dalam dua baki perlawanan tanpa boleh melakukan sebarang kesilapan.

Newcastle pernah menewaskan Manchester City 2-1 di laman sendiri dan tidak mustahil perkara itu mampu dilakukan walaupun mereka tewas 4-0 kepada Liverpool di Anfield pada perlawanan ke-19.

Wolverhampton Wanderers yang pernah menjadikan Liverpool mangsa mereka ketika saingan Piala FA pastinya mahu mencatatkan keputusan yang baik sebagai pengakhiran musim ini.

Keputusan seri atau kalah akan meleburkan impian kedua-dua pasukan ini tetapi kemenangan penuh akan menobatkan Manchester City selaku juara musim ini dengan kelebihan satu mata.

Tidak ketinggalan, perebutan kasut emas juga menyaksikan pertembungan tiga penggempur utama iaitu Mohamed Salah dengan 21 gol sementara rakan sepasukan Sadio Mane dan penyerang Mancester City, Sergio Arguero masing-masing menjaringkan 20 gol.

Mohamed Salah selaku juara bertahan pastinya mahu mengekalkan kejuaraan dan kemenangan itu tentu bertambah manis jika Liverpool menjulang sekurang-kurangya satu piala musim ini.

Kredit Foto: Facebook Premier League

Categories
SUKANKINI

PL: The Reds belum mengalah, belasah Huddersfield 5-0

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 27 APR: Liverpool membelasah Huddersfield Town 5-0 di laman sendiri awal pagi tadi untuk terus menghidupkan peluang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.

Nabiey Kieta membuka jaringan seawal minit pertama permainan hasil tolakan Mohamed Salah sebelum beliau mudah merembat masuk bola menewaskan penjaga gol Jonas Lossl.

Sadio Mane menjadikan kedudukan 2-0 buat Liverpool pada minit ke-23 apabila menanduk tepat bola hantaran Andy Robertson.

The Reds mengukuhkan kedudukan 3-0 sebelum babak pertama berakhir menerusi gol cantik Salah yang melambungkan bola mengatasi Lossl hasil umpanan Trent-Alexander Arnold.

Tandukan Mane pada minit ke-66 menambah derita Huddersfield yang akan tersingkir daripada Liga Perdana musim hadapan apabila ketinggalan 4-0.

Robertson sekali lagi menjadi watak penting apabila tolakan ke hadapan gawang lawan mudah disambar Salah bagi kedudukan 5-0 pada minit ke-83.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp ini mengatasi penyandang kejuaraan, Manchester City dengan kelebihan dua mata selepas 36 perlawanan.

Kedudukan itu mungkin berubah kerana City dijadualkan bertemu Burnley malam esok di gelanggang lawan.

Kredit Foto: Premier League

Categories
SUKANKINI

PL: Man City teruskan kemenangan

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTER, 25 APR: Manchester United bukanlah pasukan yang boleh diharapkan Liverpool untuk menyekat kemaraan Manchester City apabila tewas 0-2 di laman sendiri, pagi tadi.

Walaupun ada segelintir penyokong The Reds melaungkan ‘sokongan’ kepada United semata-mata untuk perlawanan ‘derby’ itu, The Citizen berjaya bangkit untuk meledak jaringan di babak kedua dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Skuad bimbingan Pep Guardiola berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-54 hasil rembatan Bernardo Silva yang melepaskan rembatan ke sebelah kiri gawang dikawal David De Gea bagi kedudukan 0-1.

Leroy Sane menjadikan kedudukan 0-2 buat City pada minit ke-66 apabila rembatan kaki kirinya tidak mampu dihalang De Gea.

Dengan berbaki tiga perlawanan, City kini mengatasi Liverpool di tangga kedua dengan kelebihan satu mata selepas mengumpul 89 mata.

Kredit Foto: Facebook Premier League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

PL: Gol sendiri bantu Liverpool ke puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 1 APR: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan dua mata di hadapan pesaing, Manchester City apabila menang tipis 2-1 ke atas Tottenham Hotspur di Anfield, awal pagi tadi.

Roberto Firmino membuka tirai jaringan 1-0 buat The Reds pada minit ke-16 menerusi tandukan tepat hasil hantaran lintang Andy Robertson.

Sadio Mane hamppir menggandakan jaringan buat Liverpool tetapi percubaan dari luar kotak penalti tidak menepati sasaran.

Selepas 70 minit permainan, Spurs akhirnya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Lucas Moura yang mudah menolak masuk hantaran Christian Eriksen.

Ketika perlawanan bakal ditamatkan, kesilapan Toby Alderweireld yang tertampan bola ke gawang sendiri mengundang padah apabila memberikan gol kemenangan buat skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 79 mata manakala Manchester City 77 mata tetapi kurang satu perlawanan.

Kredit Foto: Facebook Liverpool FC

Categories
GLOBAL SUKANKINI

PL: Satu mata kembali lonjak Liverpool di puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 25 FEB: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas terikat tanpa jaringan 0-0 berdepan Manchester United di Old Trafford, semalam.

Babak pertama menyaksikan empat pertukaran pemain dilakukan dengan tiga daripadanya milik United selepas Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard mengalami kecederaan otot sementara Roberto Firmino dikeluarkan Liverpool selepas cedera buku lali.

Liverpool terlebih dahulu berpeluang di hadapan selepas dihadiahkan sepakan percuma seawal minit pertama susulan tindakan penjaga gol United, David De Gea tertampan tolakan ke belakang rakan sepasukan, Ashley Young dalam kotak penalti.

James Milner gagal melakukan penyudah tepat dan perkara sama turut dilalui Mohamed Salah apabila sepakan percumanya tidak menepati sasaran pada pertengahan babak pertama.

Peluang terbaik United membuka jaringan adalah pada minit ke-40 menerusi Jesse Lingard yang melepasi perangkap offside pertahanan Liverpool tetapi penjaga gol, Alisson Becker bertindak lebih cepat menyekat bola.

Bersambung babak kedua, tidak banyak gerakan bahaya dilakukan kedua-dua pasukan walaupun Liverpool lebih menguasai kawalan bola.

United mempunyai peluang terbaik pada penghujung permainan tetapi Chris Smalling gagal melakukan sebarang sentuhan terhadap hahtaran Romelu Lukaku sekali gus perlawanan berakhir tanpa jaringan.

Kelebihan satu mata itu menyaksikan skuad bimbingan Jurgen Klopp mengatasi Manchester City di tangga kedua dengan mengutip 66 mata selepas 27 perlawanan.

Kredit Foto: Facebook Premier League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Klopp puas The Reds bangkit

LIVERPOOL, 10 FEB: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berpuas hati dengan persembahan pasukannya ketika menewaskan Bournemouth 3-0 di Anfield, untuk kembali memimpin liga mengatasi Manchester City.

Selepas 26 perlawanan, The Reds mengumpul 65 mata manakala City (62 mata) di tempat kedua dengan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris terus sengit dan dijangka berlarutan hingga penghujung musim.

Kemenangan ke atas Bournemouth amat penting bagi Liverpool selepas sebelum ini dipaksa seri dalam perlawanan menentang West Ham United dan Leicester City.

Klopp berkata, pemain membuktikan kemampuan untuk kembali mencipta kemenangan dalam perlawanan itu.

“Kami mempunyai jangkaan yang tinggi (terhadap perlawanan) dan kami menang dengan cara hebat, kami mempamer aksi cemerlang di padang.

“Kami mahu menunjukkan reaksi, tugas kami bukan hanya untuk menang tetapi untuk melaksanakan dengan yakin,” kata Klopp, lapor BBC.

Liverpool memperoleh jaringan menerusi Sadio Mane, Georginio Wijnaldum dan Mohamed Salah untuk kemenangan selesa 3-0 mengatasi skuad kendalian Eddie Howe itu.

Dengan kemenangan itu, Kloop berharap Liverpool terus mengekalkan momentum bagi memburu kejuaraan liga yang kali terakhir dimenangi pada 29 tahun lalu.

 

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Solskjaer terus yakin

MANCHESTER, 10 FEB: Kemenangan Manchester United ke atas Fulham terus memberi keyakinan kepada Ole Gunnar Solskjaer bahawa anak buahnya mampu meneruskan cabaran dengan jaya pada baki aksi Liga Perdana Inggeris.

Kejayaan 3-0 dicatat mengatasi pasukan dibimbing Claudio Ranieri di Craven Cottage, malam tadi meletakkan The Red Devils di tangga keempat liga dengan 51 mata dan mencerahkan peluang layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Begitupun, kedudukan itu bakal berubah andai Chelsea menewaskan Manchester City, esok.

Setakat ini, United dikendali Solskjaer selaku pengurus sementara meneruskan rentak cemerlang dalam sembilan perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa kekalahan.

“Pemain mempamerkan kualiti hebat. Saya menyokong United bertahun-tahun dan sebagai peminat, anda menempuh setiap perlawanan dengan memikirkan kemenangan.

“Ia berjalan lancar dan saya kira pemain juga merasakan yang sama. Kami mahu terus maju dan berusaha untuk bertahan di tempat keempat,” katanya, lapor BBC.

United memperoleh kemenangan itu menerusi dua gol jaringan Paul Pogba dan Anthony Martial (satu).

Kejayaan terbabit turut meningkat keyakinan United untuk berdepan cabaran Paris Saint Germain pada saingan pertama peringkat 16 pasukan Liga Juara-Juara di Old Trafford, Rabu ini.

 

Categories
GLOBAL SUKANKINI

PL: City kejar Liverpool, United teruskan kemenangan

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 4 FEB: Manchester City terus mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dengan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Arsenal di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Sergio Kun Aguero muncul wira The Citizen dengan meledak hatrik sekali gus merapatkan jurang kepada dua mata dan kekal di tangga kedua.

Aguero membuka jaringan seawal minit pertama permainan selepas menanduk hantaran Aymeric Laporte yang berjaya merampas bola daripada pertahanan Arsenal dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, The Gunners tidak menunggu lama apabila Laurent Koscielny menyamakan kedudukan 1-1, 10 minit kemudian apabila menanduk masuk bola ke gawang tuan rumah.

City terus mengasak dan akhirnya kembali di hadapan sebelum penghujung babak pertama berakhir apabila Aguero sekali lagi mudah menampan lorongan Raheem Sterling bagi kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, Arsenal tidak mampu untuk merapatkan jurang jaringan sebaliknya Aguero menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-61.

Keputusan itu menyaksikan Arsenal turun ke tangga keenam, satu mata di belakang Manchester United yang sebelum itu menewaskan Leicester City 1-0 hasil jaringan tunggal Marcus Rashford.

Kemenangan United itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Categories
GLOBAL SUKANKINI

EPL: Higuain, Hazard bantu Chelsea benam Huddersfield

LONDON, 3 FEB: Dua jaringan Gonzalo Higuain dan Eden Hazard membantu Chelsea mengalahkan pasukan terbawah, Huddersfield 5 – 0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, malam tadi.

Pengurusnya, Maurizio Sarri mengakui gembira dengan kemenangan itu yang menyaksikan pasukannya bangkit selepas kekalahan 0 – 4 kepada Bournemouth, Rabu lalu.

Gol pertama The Blues dihasilkan Higuain pada minit ke-16 dan Hazard menjadikan kedudukan 2 – 0 menerusi tendangan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Hazard terus mengukuhkan kedudukan dengan jaringan keduanya pada minit ke-66.

Manakala Higuain yang dipinjam daripada Juventus hingga akhir musim ini, menambah jaringan keduanya dan keempat Chelsea tiga minit selepas itu.

David Luiz mengambil giliran mencipta gol kelima pasukan, empat minit sebelum permainan ditamatkan.

Kemenangan itu kembali meletakkan Chelsea di tempat keempat kiga dengan 50 mata selepas 25 perlawanan. – AFP

Categories
GLOBAL SUKANKINI

EPL: Gol Son lonjak Spurs

LONDON, 3 FEB: Son Heung-min menjaringkan gol tunggal bagi membantu Tottenham Hotspur menewaskan Newcastle United 1 – 0 seterusnya naik ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris.

Dalam perlawanan di Stadium Wembley, Spurs memperoleh gol menerusi penyerang Korea Selatan itu pada minit ke-83 menerusi satu percubaan dengan tendangan deras melepasi penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.

Kemenangan dicipta itu meletakkan pasukan bimbingan Mauricio Pochettino mengatasi Manchester City yang akan turun menentang Arsenal selepas ini dengan satu mata dan empat mata di belakang pendahulu, Liverpool serta mengukuhkan kedudukan di empat teratas.

Spurs menguasai hampir 70 peratus permainan tetapi ditentang sengit Newcastle yang bangkit penuh semangat selepas kemenangan 2-1 ke atas City yang meletakkan mereka lima mata dari zon penyingkiran.

Dubravka beraksi cemerlang dan berjaya mematahkan beberapa percubaan dilakukan Christian Eriksen dan Fernando Llorente namun akhirnya gagal menerusi percubaan Heung-min yang meledak gol ke-14 musim ini.

Pochettino berkata, ia kemenangan penting untuk Spurs dan kini berada pada kedudukan yang baik dalam liga.

“Kita tidak perlu berada dalam kedudukan seperti hari ini untuk meyakinkan diri kita mengenai kapasiti atau potensi kita. Kami percaya kepada diri kita sendiri,” katanya, dipetik AFP.