Categories
AGENDA SUKANKINI

Ucapan Ramadan bahasa Melayu, Spurs buat penyokong teruja

SHAH ALAM, 14 APRIL: Peminat sukan bola sepak Malaysia teruja menerima ucapan sambutan Ramadan versi bahasa Melayu oleh pasukan Tottenham Hotspur.

Sekeping gambar yang menampilkan beberapa bintang pasukan itu disiarkan di Instagram dengan ucapan ‘jaga jarak, patuhi SOP dan Ramadan tiba sekali lagi’, lapor Kosmo.

Paparan Son Heung-min, Gareth Bale, Dele Alli dan Tanguy Ndombele berserta ucapan ternyata mengejutkan pengguna media sosial terutama rakyat Malaysia.

“Marhaban ya Ramadan. Bulan suci kembali tiba. Saat tepat mensucikan diri dari segala dosa. Semoga ibadah puasa kita dilancarkan dan keberkatan Ramadhan dilimpahkan.

“Selamat menunaikan ibadah puasa buat umat Islam di Malaysia,” tulis pasukan itu.

Perkongsian itu mendapat 49,001 tanda suka setakat jam 9.50 pagi dan dibanjiri ratusan komen yang kebanyakan bertanya sama ada akaun terbabit rasmi atau palsu.

Seorang pengguna Instagram, @mr1890s mengakui terkejut dengan muat naik berkenaan dan mahukan pengesahan adakah ia dicipta peminat kelab berkenaan.

“Apa? Ini adalah akaun @spursofficial yang rasmi bukan? Bukannya akaun Spurs Malaysia kan? Wow terima kasih @spursofficial,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, @hzrdqn bangga dan kagum dengan muat naik tersebut selain terasa bagai mimpi membaca ucapan berkenaan.

“Gila lah, ini bukan mimpi kan? Bahasa Malaysia tu. Apapun terima kasih,” ujarnya.

Categories
SUKANKINI

UCL: Hatrik Lucas Moura bawa Spurs ke final

OLEH AFIX REDZUAN

AMSTERDAM, 9 MEI: Tottenham Hotspur memastikan pentas final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini didominasi kelab England apabila melakar kemenangan dramatik 2-3 ke atas Ajax Amsterdam, awal pagi tadi.

Kebangkitan itu menyaksikan Spurs berjaya mengikat agregat 3-3 dan mara ke perlawanan akhir menerusi peraturan gol tempat lawan hasil jaringan hatrik Lucas Moura pada perlawanan separuh akhir kedua di Johan Cruijff Arena.

Bagaimanapun, Spurs terlebih dahulu ketinggalan 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Matthijs de Ligt seawal minit kelima dan Hakim Ziyech selang 30 minit kemudian.

Moura memulakan kebangkitan skuad bimbingan Mouricio Pochettino pada minit ke-55 menerusi gerakan satu dua bersama Dele Alli.

Selang empat minit kemudian, Moura menyamakan kedudukan 2-2 apabila berjaya memanfaatkan kekalutan di hadapan gawang Ajax selepas pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti.

Menuju minit akhir masa tambahan lima minit, Moura sekali lagi muncul wira Spurs apabila berjaya meledak gol ketiga bagi memastikan pasukannya mara ke pentas akhir buat pertama kali dalam sejarah.

Spurs dijadualkan bertemu Liverpool 1 Jun ini di Madrid bagi menentukan juara eropah musim ini, sekali gus mengakhiri penguasaan kelab dari Sepanyol dalam tempoh enam tahun.

Kredit Foto: UEFA Champions League

 

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: ‘Away Goal’ Spurs ranapkan impian City

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTER, 18 APR: Peraturan gol di tempat lawan meleburkan impian Manchester City untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) walaupun terikat 4-4 menerusi agregat ketika bertemu Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Dalam aksi di Stadium Eitihad, jaringan Fernando Llorente pada minit ke-73 sudah memadai untuk Spurs meranapkan impian The Citizen walaupun tewas 4-3.

Raheem Sterling memulakan kebangkitan buat City dengan jaringan seawal minit ke empat apabila berjaya merembat masuk dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Hugo Lloris.

Tiga minit kemudian, Heung-Min Son menyamakan kedudukan 1-1 buat Spurs selepas merembat masuk melepasi jangkauan Ederson di gawang City.

Giliran Spurs yang beraksi tanpa kelibat Harry Kane di hadapan 1-2 pada minit ke-10 sekali lagi menerusi Son dan pemain Korea Selatan itu melakukan rembatan dari luar kotak penalti sebelum Bernardo Silva menjadikan kedudukan 2-2 buat City seminit kemudian.

Pesta jaringan berterusan 10 minit kemudian apabila Sterling kembali meletakkan skuad kendalian Pep Guardiola di hadapan 3-2 apabila mudah menolak masuk hantaran Kevin De Bruyne.

Bersambung babak kedua, Sergio Aguero menjadikan kedudukan 4-2 pada minit ke-59 apabila melepaskan rembatan kencang menewaskan Lloris.

Ketika perlawanan masih berbaki kurang 15 minit, Llorente muncul wira Spurs apabila menampan sepakan penjuru Kieran Trippier untuk pasukan pelawat merapatkan jurang 4-3.

Pemain The Citizen cuba membantah jaringan itu dan mendakwa Llorente menggunakan tangan tetapi video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringan itu kerana bola terkena peha penyerang Spurs sebelum menerjah jaring.

Kejayaan ini menyaksikan Spurs mengulangi kecemerlangan ketika era 80an untuk mara ke separuh akhir UCL dan dijadualkan bertemu Ajax Amsterdam.

KREDIT FOTO: UEFA CHAMPIONS LEAGUE

Categories
GLOBAL SUKANKINI

PL: Gol sendiri bantu Liverpool ke puncak liga

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 1 APR: Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan dua mata di hadapan pesaing, Manchester City apabila menang tipis 2-1 ke atas Tottenham Hotspur di Anfield, awal pagi tadi.

Roberto Firmino membuka tirai jaringan 1-0 buat The Reds pada minit ke-16 menerusi tandukan tepat hasil hantaran lintang Andy Robertson.

Sadio Mane hamppir menggandakan jaringan buat Liverpool tetapi percubaan dari luar kotak penalti tidak menepati sasaran.

Selepas 70 minit permainan, Spurs akhirnya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Lucas Moura yang mudah menolak masuk hantaran Christian Eriksen.

Ketika perlawanan bakal ditamatkan, kesilapan Toby Alderweireld yang tertampan bola ke gawang sendiri mengundang padah apabila memberikan gol kemenangan buat skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 79 mata manakala Manchester City 77 mata tetapi kurang satu perlawanan.

Kredit Foto: Facebook Liverpool FC