Categories
GLOBAL

Israel mengaku serang loji nuklear Syria

GLOBAL 21 MAC: Tentera Israel mengaku buat kali pertama bertanggungjawab di atas serangan udara 2007 ke atas reaktor nuklear Syria.

Pengakuan itu, bersama-sama dengan penyiaran bahan yang baru didedahkan berkaitan serangan berkenaan dibuat ketika Israel meningkatkan amaran berhubung kehadiran musuh utamanya, Iran, di Syria.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, juga berulang kali menggesa perjanjian nuklear antara kuasa dunia dan Iran diubah atau dihapuskan.

Presiden Donald Trump, yang bertemu Netanyahu di Rumah Putih bulan lalu, berkata perjanjian nuklear perlu ditetapkan pada 12 Mei ini atau Amerika Syarikat menarik diri.

Jurucakap tentera Israel enggan memberi kenyataan kepada persoalan berkaitan pengakuan dan penyiaran dokumen, termasuk berhubung masa, yang dilihat sebagai amaran berhubung aktiviti Iran.

Bahan yang didedahkan itu termasuk rakaman serangan, video ucapan Ketua Turus Staf, Gadi Eisenkot, mengenai operasi itu dan gambar risikan rahsia mengenai lokasi.

SUMBER: AFP

Categories
KENYATAAN MEDIA

Loji janakuasa nuklear di Malaysia, Tak belajar tragedi Fukushima?

OLEH Lee Chean Chung

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan UMNO/BN yang berpandangan pendek kerana bertegas untuk mengambil langkah berundur dalam pembinaan loji janakuasa nuklear di Malaysia dan enggan mengambil pengajaran daripada Bencana Nuklear Fukushima.

Loji janakuasa nuklear bukan sahaja mengalami masalah atau ancaman seperti kebocoran nuklear, masalah pelupusan sisa-sisa nuklear, malahan tenaga nuklear merupakan tenaga yang tidak mampan. Ia jelas membuktikan bahawa keputusan untuk membina loji janakuasa Nuklear bukan satu keputusan yang wajar.

Malaysia juga bukan Negara pengeluar Uranium kerana ia masih memerlukan pembekalan Uranium daripada Negara lain dengan itu tenaga Nuklear bukannya tenaga yang mampan.

Selain daripada itu, ketiadaan satu penyelesaian yang menyeluruh untuk menguruskan sisa-sisa nuklear dan sisa-sisa tersebut masih akan mengeluarkan radiasi walaupun selepas seratus ribu tahun yang jelas akan mengancam kehidupan manusia.

Lebih-lebih lagi, rakyat tidak harus lupa dengan pengajaran diberi oleh bencana Nuklear Fukushima. Jepun yang dikatakan terulung dalam pengurusan risiko dan teknologi gagal untuk mengemukakan satu jalan penyelesaian. Tragedi Nuklear Fukushima telah masuk tahun ke-7, namun masalah radiasi di kawasan tersebut masih tidak diselesai.

Semenjak berlakunya kejadian bencana Nuklear Fukushima, pengkajian semula berkenaan dengan tenaga yang boleh diperbaharui dan pemansuhan tenaga nuklear telah berlaku di peringkat global, taetapi kerajaan UMNO/BN masih mengambil langkah undur untuk membina Loji Janakuasa Nuklear.

Sebelum tahun 2000, Negara Jerman telah mula aktif dalam memperkenalkan tenaga yang boleh diperharui serta mengumumkan pemansuhan tenaga nuklear secara menyeluruh pada tahun 2020.

Tanpa diduga, Malaysia mengambil langkah yang berundur dalam memutuskan pelaksanaan sebuah projek tenaga yang penuh dengan kontroversial dan berisiko.

Saya mencabar Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) segera mengumumkan ketujuh-tujuh lokasi tersebut dan menganjurkan taklimat di kawasan-kawasan tersebut bagi melaporkan status terkini penyelidikan tenaga nuklear dan tidak menyembunyikan hal ini daripada rakyat, sekiranya berita berkenaan dengan Kerajaan Malaysia telah menentukan 7 lokasi yang berpotensi untuk membina loji janakuasa Nuklear adalah benar dan tepat.

Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan UMNO/BN untuk mengambil pengajaran daripada Kilang Lynas. Isu Lynas masih tidak diselesai sampai ke hari ini, pusat penyimpanan kekal yang janji dibina masih tiada berita langsung, kerajaan UMNO/BN masih gagal mengemukakan satu resolusi atau penyelesaian dalam menguruskan sisa-sisa radioaktif hasil Kilang Lynas.

Sekiranya Kerajaan UMNO/BN bertegas untuk membina Loji Janakuasa Nuklear, KEADILAN akan menggerakkan seluruh rakyat Malaysia untuk membuat bantahan yang lebih besar daripada bantahan ketika menentang Lynas.
* Lee Chean Chung adalah Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN dan ADUN Semambu, Pahang

Categories
BERITA UTAMA

Loji nuklear ancam keselamatan rakyat, bakal jadi macam Lynas

Oleh: Senator Dr Syed Husin Ali

Agensi Nuklear Malaysia telah merencanakan Pelan Infrastruktur Pembangunan pada tahun 2013 untuk membangunkan pusat janakuasa elektrik yang pertama menjelang 2021.

Kerajaan dijangka memuktamadkan pelan pembinaan dua unit loji janakuasa nuklear walaupun negara kini mempunyai 40 peratus simpanan tenaga.

Khabarnya, kerajaan secara tidak langsung meneruskan idea ini apabila beberapa kawasan pantai dan pedalaman telah dikenalpasti sesuai.

nuklearKontrak yang ditawarkan dikatakan bernilai RM21.3 bilion yang dijangka dengan mudah boleh meningkat kepada lebih RM60 hingga RM80 bilion sebelum projek itu dapat disiapkan.

Orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan hak asasi yang mewakili pelbagai bidang telah bersama-sama menyuarakan perasaan mereka terhadap pelan tersirat kerajaan untuk membina loji nuklear. Tanpa menghiraukan rakyat, projek tersebut mungkin menjadi seperti loji Lynas.

Ramai pakar berpendapat bahawa kita tidak perlu tergesa-gesa memulakan projek tenaga nuklear apabila Malaysia sudahpun menikmati sebanyak 40 peratus rizab tenaga. Nampaknya kerajaan tidak berterus terang tentang realiti ekonomi untuk membangunkan kuasa nuklear.

Adakah bijak melabur berbilion-bilion ringgit untuk tenaga nuklear apabila pelaburan wajar dibuat untuk memperbaharui tenaga alternatif yang lebih cekap dan selamat?

Kini sisa radioaktif aras rendah dan sisa punca radioaktif terkedap Malaysia ditempatkan di pusat penstoran di premis Nuklear Malaysia yang dibina pada tahun 2000 di Bangi.

Kapasiti kemudahan ini dijangka dapat menampung penstoran sisa sehingga tahun 2025. Pusat simpanan tersebut dibina secara senyap-senyap.

Masih ramai penduduk Bangi dan Kajang tidak tahu akan perkara ini. Secara umumnya, pusat penstoran sisa radioaktif merupakan strategi jangka pendek. Bagi memastikan sisa tersebut akan terus dapat diuruskan, maka adalah mustahak satu perancangan dibuat untuk membangunkan kemudahan bagi melupuskan sisa tersebut.

Namun demikian, sisa Nuklear adalah sesuatu yang kita tidak mahu. Kita tidak boleh terus membina pusat-pusat untuk menyimpan sisa merbahaya ini.

Nuklear1Adalah dicadangkan agar kerajaan berusaha mencari alternatif kepada masalah tenaga negara dan tidak beralih kepada penggunaan kuasa nuklear.

Aktiviti-aktiviti yang menghasilkan sisa nuklear juga harus dipantau dari masa ke semasa. Bagi Lynas misalnya, agensi keselamatan yang bertangungjawab harus membuat tinjauan dari masa ke masa untuk memastikan sisa-sisa nuklear yang ada diuruskan dengan baik.

Tenaga Nasional sudah rancak mempromosikan tenaga nuklear, pada masa kita baru sahaja melihat malapetaka nuklear di Jepun. Kepakaran kita dalam bidang sains nuklear amat terhad, namun kerajaan meluluskan industri yang menghasilkan sisa nuklear untuk beroperasi di Malaysia.

Banyak lagi sumber tenaga alternatif yang dapat kita gunakan sebagai pilihan, namun industri besar seperti Nuklear lebih mendapat perhatian kerajaan.

Barangkali untuk kepentingan kroni, kerana amat jelas bukan untuk kepentingan negara dan masa depan anak cucu kita.

Sekali lagi adalah ditegaskan supaya kerajaan memantau kegiatan-kegiatan berkait nuklear dengan rapat supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak dapat kita perbetulkan kelak.

Kita wajar mencari alternatif yang lebih selamat kepada manusia dan alam sekitar. Jangan jadikan Malaysia negara pembuangan sisa nuklear.

Kemungkinan berlakunya bencana nuklear di Malaysia tidak boleh ditolak. Kesilapan manusia, serangan pengganas atau nahas kapal terbang boleh berlaku dan memusnahkan kehidupan manusia dan keselamatan alam sekitar.

Bencana alam bukanlah satu-satunya sebab bencana nuklear yang tidak diingini berlaku. Kesilapan manusia juga boleh membawa kepada bencana nuklear. Ini telah berlaku sebelum ini di Chernobyl, Sellafield dan Three Mile Island.

Terdapat beberapa ketidaktentuan geologi pada margin barat Lingkaran Api Pasifik dekat dengan lingkungan kawasan gempa bumi di Indonesia dan Filipina di mana pakar tidak boleh mentafsirkannya dengan tepat. Malah, gempa bumi yang dahsyat selalunya berlaku di luar jangkaan manusia.

gempaMalaysia sering merasai gegaran gempa bumi yang berlaku di barat laut dan utara Sumatera dan beberapa kawasan di negara ini pernah musnah akibat tsunami.

Oleh itu, kemungkinan gempa bumi yang dahsyat atau tsunami yang besar berlaku di negara ini pada masa akan datang tidak boleh diketepikan.

Kenapa kerajaan membina loji janakuasa nuklear secara senyap tanpa memberitahu rakyat terlebih dahulu?

Di mana dan bagaimana rancangan kerajaan untuk melupuskan bahan buangan nuklear yang beradioaktif yang kekal untuk beribu-ribu tahun, apabila industri nuklear dan negara-negara maju tidak pernah menemui penyelesaian untuknya?

Loji janakuasa nuklear menghasilkan sisa radioaktif yang membawa maut akan kekal beradioaktif untuk beribu-ribu tahun. Hayat bagi plutonium-239 adalah 24,000 tahun dan uranium-235 adalah 731,000,000 atau 731 juta tahun.

Lynas masih belum dapat mencari penyelesaian di mana untuk membuang sisa radioaktif. Beribu-ribu gelen air yang digunakan untuk memproses nadir bumi setiap hari di kilang itu mungkin dibenarkan untuk meresap ke dalam tanah atau ke dalam sungai-sungai yang berdekatan.

Nampaknya kerajaan Malaysia masih berkeras untuk meneruskan rancangan membangunkan tenaga nuklear, walaupun terdapat gesaan sebelumnya oleh kumpulan-kumpulan yang prihatin supaya diberhentikan rancangan itu.

Apa-apa cadangan untuk meneruskan pembangunan tenaga nuklear di negara ini sepatutnya didebat di hadapan rakyat dan sebaik-baiknya diadakan referendum. Kerajaan tidak boleh membuat keputusan muktamad hanya berdasarkan laporan yang dibuat oleh syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan.

Membuang sisa nuklear dan radioaktif ke dalam laut dan tanah dalam masa terdekat akan membiarkan ia memasuki rantai makanan.

Akhirnya tubuh manusia akan membawa kepada risiko kesihatan yang ngeri. Ia akan menjejaskan sistem imun, menyebabkan ketidaksuburan serta kecacatan kelahiran, dan melambatkan pertumbuhan fizikal dan mental.

Oleh itu, rancangan kerajaan untuk membangunkan tenaga nuklear mesti ditimbang secara mendalam walaupun telah berikrar akan serius untuk melabur dalam tenaga yang boleh diperbaharui.

Sebalik melabur berbilion-bilion ringgit untuk kuasa nuklear, adalah lebih kos efektif bagi kerajaan menggunakan sumber terhad negara bagi penyelidikan dan pembangunan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar, angin, geotermal dan air.

Tidak kira apa pun, memilih untuk tenaga yang boleh diperbaharui masih menjadi pilihan yang terbaik bagi negara kecil seperti Malaysia.

Kos tenaga nuklear dunia semakin meningkat manakala kos tenaga boleh diperbaharui telah menurun.Ahli politik tidak harus mempunyai kepentingan jangka pendek. Sisa nuklear adalah satu legasi. Ia akan diwariskan kepada generasi yang akan datang. Mereka harus dilindungi dan diselamatkan.

* Penulis adalah Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Biro Politik KEADILAN.