Categories
AGENDA NASIONAL

Wang saraan RM52,300 lesap akibat terperdaya cinta siber

KUANTAN,4 FEB: Seorang pesara kerugian RM52,300 akibat terperdaya dengan kegiatan Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial pada Disember lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 74 tahun itu dikatakan telah dihubungi suspek melalui Facebook dengan nama Nelson Michael Jr yang mendakwa dirinya berasal dari Amerika Syarikat namun bekerja di Miri, Sarawak dalam bidang cari gali minyak.

Beliau berkata sepanjang perkenalaan, mangsa tidak pernah menemui suspek dan hanya berhubung dengan lelaki tersebut menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Suspek telah meminjam wang dari wanita itu dengan pelbagai alasan sebanyak tujuh kali dengan jumlah keseluruhan RM52,300 malah berjanji dengan mangsa mahu mengahwininya apabila memberi pinjam wang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, suspek tidak dapat dihubungi mangsa sejak 31 Januari lepas, iaitu selepas melakukan transaksi terakhir malah lelaki itu turut menyekat nombor telefon wanita berkenaan, katanya.

Menurutnya, mangsa yang menyedari dirinya tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penoreh getah angau cinta siber rugi RM99,000

SEREMBAN, 19 JUN: Seorang penoreh getah kerugian RM99,000 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam menerusi media sosial dalam kejadian di Kampung Baru Cina Air Hitam, Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 58 tahun itu merupakan pesara swasta mendakwa telah berkenalan dengan seorang wanita warganegara Singapura yang mengaku menetap di Australia, menerusi Facebook.

Beliau berkata wang simpanan pengadu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa persaraan lesap setelah mempercayai teman wanitanya yang mempunyai masalah kewangan, bagi menyelesaikan urusan perniagaan yang tergendala.

“Mereka telah menjalinkan hubungan secara maya sejak awal Februari lepas dengan hanya berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan tidak pernah melakukan panggilan telefon atau video sepanjang perkenalan.

“Sepanjang berkenalan, wanita itu menceritakan perniagaan minyak mentah yang diuruskan di luar negara dan telah meminta lelaki itu memberikan pinjaman wang bagi menyelesaikan urusan perniagaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pengadu kemudian bersetuju meminjamkan sejumlah wang kepada teman wanitanya dengan membuat enam kali transaksi berjumlah keseluruhan RM99,000 pada 9 dan 10 Jun lepas.

Hoo berkata pengadu sedar bahawa dirinya ditipu apabila wanita tersebut sekali lagi meminta pengadu memasukkan sejumlah wang berjumlah RM131,000 dengan alasan masalah kewangan syarikat yang masih lagi tidak dapat diselesaikan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis memohon orang ramai supaya berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sindiket love scam berpusat di Malaysia lumpuh

SINGAPURA, 29 NOV: Pihak berkuasa Singapura, Malaysia, Hong Kong dan Macau menjalin kerjasama hampir setahun melumpuhkan sindiket penipuan transnasional dalam talian love scam yang berpangkalan di Malaysia, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

SPF berkata, sejak Januari 2019, pegawai daripada empat agensi bekerjasama berkongsi risikan berhubung penipuan dalam talian love scam yang dilaporkan di negara masing-masing.

Agensi berkenaan adalah Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) SPF, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis Diraja Malaysia, Biro Keselamatan Siber dan Biro Jenayah Teknologi (CSTCB) Pasukan Polis Hong Kong dan Bahagian Jenayah Teknologi Maklumat (ITCD) Macau Judiciary Police (MJP).

Melalui penyiasatan bersama itu, SPF berkata, sindiket yang dipercayai berada di belakang kes-kes yang dilaporkan empat agensi itu, telah dikenal pasti dan berpusat di Malaysia.

Antara 19 hingga 21 November 2019, CCID mengetuai serbuan serentak di beberapa lokasi di Malaysia dan menahan tiga lelaki Nigeria serta 11 wanita dan empat lelaki warga Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah CCID, Pesuruhjaya Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad dan pegawai beliau dari Bahagian Operasi dan Perisikan CCID, kerana mengetuai operasi penangkapan utama di Malaysia,” kata Pengarah CAD, David Chew dalam kenyataan hari ini.

“Kejayaan operasi bersama ini menunjukkan kesungguhan Pasukan Polis Singapura dan rakan serantaunya untuk memerangi penipuan transnasional dan menghantar isyarat kuat kepada sindiket penipuan rentas sempadan yang kami akan memusnahkan rangkaian dan menahan ahli mereka, di mana sahaja mereka bersembunyi,” katanya.

Sindiket itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 139 kes penipuan dalam talian love scam yang dilaporkan di empat agensi berkenaan, membabitkan kerugian kira-kira S$5.8 juta (S$1=RM3.06).

Di Republik itu, pegawai CAD melakukan siasatan terhadap empat wanita Singapura berusia antara 28 dan 67 tahun didakwa membantu mempermudahkan pemindahan hasil jenayah kepada sindiket tersebut.​​

Tiga puluh kes dilaporkan di Singapura membabitkan kerugian lebih S$262,000, telah diselesaikan, menurut SPF.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pegawai bank rugi RM3 juta ditipu sindiket Love Scam

KEPALA BATAS, 8 Jun : Seorang pegawai bank kerugian lebih RM3 juta selepas wanita itu terpedaya dengan janji manis seorang lelaki yang dikenali menerusi laman sosial dipercayai sindiket ‘Love Scam’ baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata berdasarkan siasatan, wanita berusia 51 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai John Eric Chen melalui aplikasi laman sosial iaitu Coffee Meet Bagel Dating App pada Ogos tahun lepas.

“Hubungan mangsa dan lelaki itu menjadi akrab sebelum mereka berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan suspek kemudiannya telah menawarkan wanita berkenaan untuk bekerjasama dalam perniagaan Shell yang akan memberi keuntungan bernilai US$25 juta (RM103.7 juta),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya suspek juga berjanji akan berkahwin dengan mangsa dalam masa terdekat dan berikutan janji manis itu, wanita berkenaan terpedaya serta mula memasukkan wang ke akaun lelaki tersebut.

Beliau berkata lelaki itu meminta mangsa membuat pembayaran pendahuluan sebanyak US$38,000 (RM157,624) untuk memulakan kerjasama berkenaan.

Noorzainy berkata berikutan percaya dan cinta terhadap lelaki itu, mangsa telah melakukan sebanyak 19 kali pemindahan wang ke dalam tiga akaun yang diberikan suspek sejak Ogos tahun lepas hingga baru-baru ini.

“Sepanjang tempoh berkenaan mangsa telah melakukan pindahan wang sebanyak US$815,331 iaitu kira-kira RM3.26 juta di mana duit itu merupakan wang gaji, hasil simpanan dan pinjaman daripada anggota keluarga wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata setelah mangsa memindahkan semua duit itu ke akaun lelaki berkenaan, suspek terus gagal dihubungi.

“Wanita itu membuat laporan polis pada 4 Jun lepas selepas percaya dia telah ditipu sindiket Love Scam dan polis menyiasat kes itu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah jatuh cinta dengan seseorang yang baru dikenali melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain serta tidak memindahkan wang kepada pihak tidak dikenali. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wanita diperingat elak terjebak ‘Love Scam’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Golongan wanita dinasihatkan supaya tidak mudah cair dengan kata manis yang dilemparkan penipu alam maya atau ‘scammer’ menerusi ‘love scam’ hingga membocorkan maklumat peribadi kepada mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pengguna seharusnya peka sebelum berkongsi data peribadi sekiranya diperlukan dan tidak sewenang-wenangnya berbuat demikian.

“Saya nak nasihatkan wanita, kerana kebanyakkan mereka terbabit dengan love scam. Kata-kata manis menyebabkan mereka terjebak hingga memberi kata laluan (password) dan data peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Nie Ching dalam kenyataannya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengambil tindakan tegas kepada individu atau syarikat yang membocorkan maklumat peribadi.

Ini kerana beliau sendiri sudah menerima hampir 20 panggilan dan mesej yang tidak dikenali selain membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jailani dalam jawapannya turut menyatakan sebanyak tiga kes pendakwaan dilakukan pada Disember 2017 dan setakat ini sebanyak lima kes dilaporkan pada awal 2018.

Sebelum ini, dilaporkan berlakunya kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Wanita jangan mudah terpedaya dengan ‘love scam’

OLEH DATO’ ABDUL HALIM HUSSAIN

Saya ambil maklum pendedahan Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, DSP Yeap Yoke Peng berhubung penipuan ‘Love Scam’.

Berdasarkan laporan, kes penipuan ‘Love Scam’ yang sebahagian besar didalangi oleh warga Afrika, ialah jenayah siber kedua tertinggi di Malaysia tahun lalu melibatkan 2,498 kes dengan kerugian sebanyak RM98.98 juta.

1. Kes penipuan siber sebegini bukanlah perkara baru di Malaysia, namun tindakan yang diambil masih di tahap minimal dan tidak begitu serius. Adakah pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk menangkap mereka? Atau kekurangan bukti?

2. Mengapa undang-undang sedia ada tidak dikuatkuasakan bagi membasmi perkara ini? Lebih-lebih lagi statistik menunjukkan daripada 1,646 kes pada 2015, 65 peratus darinya adalah wanita. Jadi adakah kita mahu jenayah siber sebegini terus berlaku?

3.Sebab itu kita harus memperkasakan unit pencegahan jenayah siber dengan melatih kakitangan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang forensik komputer.

abdul halimKemahiran penyiasat forensik digital perlu sentiasa dipertingkatkan kerana penjenayah sentiasa menggunakan kaedah dan teknik baru untuk menyembunyikan jejak jenayah mereka.

4. Sehubungan itu, saya memohon kerajaan supaya mengkaji semula undang-undang sedia yang dilihat agak longgar dalam usaha mencegah jenayah siber.

5. Kerajaan dan pihak berkuasa juga perlu mempergiatkan kempen kesedaran masyarakat tentang bahaya ‘Love Scam’ dengan mencontohi usaha penuntut Sarjana Komunikasi Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah mengambil inisiatif menjalankan kempen ‘Say No To Love Scam & Predators’ pada akhir tahun lalu.

6. Jelas peningkatan kes jenayah siber semakin membimbangkan dan ia harus dibendung segera dengan memberi maklumat secukupnya kepada masyarakat agar tidak menjadi mangsa atau pemangsa di dunia maya.

*Abdul Halim adalah Mantan Speaker DUN Pulau Pinang dan Ketua Cabang KEADILAN Balik Pulau