Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir simpati terhadap mangsa banjir, seru hulur bantuan

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa simpati kepada mangsa bencana banjir di beberapa negeri, khususnya di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Selangor.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar semua mangsa banjir tabah mengharungi dugaan dan musibah yang menimpa mereka.

Seri Paduka Baginda juga menyeru pihak berkuasa, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), supaya terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas.

“Rakyat khususnya di kawasan rendah pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta bersedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menyantuni pemandu lori yang terkandas susulan banjir di Plaza Tol Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 5 Januari 2021. Foto Facebook Istana Negara

Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif Covid-19 harian di negara ini, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya aspek norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) diamalkan semua petugas dan mangsa banjir serta menjadi keutamaan di semua PPS bagi membendung penularan wabak.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mencemar duli mengadakan lawatan mengejut, bertemu mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang (Sekolah Menengah Kebangsaan [SMK] Maran, Surau Kampung Jara, Sekolah Kebangsaan [SK] Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin).

Kenyataan itu menyebut Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang berada di PPS itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nadma, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus membantu rakyat setiap kali banjir,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Hujan lebat sejak Sabtu lepas menyebabkan banjir di enam negeri – Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak – dengan Johor dan Pahang terjejas teruk apabila ramai mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke PPS.

-BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Laluan Lebuhraya LPT Karak-Jabor ditutup kepada semua kenderaan

B51HyKECQAENJ5tKUANTAN, 27 DIS: Pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang ingin ke Kuantan atau ke Kuala Lumpur dinasihat agar menangguhkan perjalanan berikutan keadaan banjir teruk di lebuh raya itu dan jalan lama yang menghubungkan kedua-dua lokasi berkenaan.

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan AlloyMtd, Fazlyaton Hussein berkata berikutan itu laluan Karak ke Jabor terpaksa ditutup setelah kilometer 126 lebuh raya berkenaan dinaiki air sedalam satu meter sepanjang 500 meter.

Begitu juga laluan dalam dari Kuala Lumpur ke Kuantan juga terputus hubungan di Kampung Paya Pulai Temerloh dan keadaan paras air sejak petang tadi masih tidak menunjukkan penurunan, malah semakin menaik, katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

“Pengesahan (laluan terputus) telah dibuat oleh bilik gerakan banjir Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Laluan itu tidak boleh dilalui sama sekali oleh semua jenis kenderaan sehingga memaksa pihak LPT membuat tindakan ‘exit mandatory’ kepada pengguna-pengguna yang hendak ke Pantai Timur” katanya.

Pengguna boleh membuat pusingan U di Karak bagi kenderaan yang datang dari Kuala Lumpur manakala mereka yang datang dari Kuantan boleh berbuat demikian di Sri Jaya.

Bagaimanapun, laluan dari Gombak ke Bentong dibuka seperti biasa.

Setakat ini, katanya tiada pengguna jalan raya yang tersadai di lebuh raya berkenaan.

LALUAN ALTERNATIF KE PAHANG

1. Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang telah memaklumkan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Km 126 hingga Km 152 & Jalan Lama dari Pahang ke Kuala Lumpur terputus sama sekali untuk semua kenderaan.

2. Oleh yang demikian, semua trafik menghala ke Kuala Lumpur dilencongkan dari :

(a) Gambang ke Lebuhraya Segamat,

(b) Simpang Bahau, Jempol, Kuala Pilah, Seremban dan terus ke Kuala Lumpur.

3. Daerah-daerah tersebut dijangka akan menerima pertambahan trafik di laluan utama dalam daerah sehingga laluan yang terputus hubungan kembali pulih.

BERNAMA