Categories
NASIONAL

LRT Ampang : Kenyataan George Kent Hina Proses Bidaan Dan Perolehan Negara

SHAH ALAM 3 OGOS : Rafizi Ramli mengecam kenyataan Pengarah Eksekutif George Kent, Cheong Thiam Fook yang mendakwa konsortium tersebut lulus penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaannya.

Dalam satu kenyataan media kepada Tv Selangor, Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR menyatakan kenyataan tersebut secara jelas membelakangkan laporan penilaian rasmi yang digunapakai oleh kerajaan dalam menentukan kontraktor bagi kerja-kerja tambahan sistem LRT Laluan Ampang.

Katanya, sikap bongkak George Kent ini berpunca dari sokongan padu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beranggapan mereka kini sudah ‘kebal’ dari undang-undang sehingga sanggup berbohong walaupun ada fakta dan bukti yang sahih.

“Saya memandang berat kenyataan tersebut. Malah, Cheong Thiam Fook dan George Kent berbohong apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa Konsortium George Kent ? Lion Pacific lulus penilaian kewangan, mematuhi semua syarat-syarat kontrak dan lulus semua syarat teknikal.

“Pembohongan ini dibuat dengan tujuan untuk mengabui mata rakyat Malaysia. Konsortium George Kent dan rakan-rakan karib mereka dalam pentadbiran Umno-BN percaya dengan propaganda media yang berterusan, mereka dapat meyakinkan rakyat bahawa tidak ada unsur rasuah dan penyelewengan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam memastikan konsortium itu mendapat kontrak,” jelas Rafizi.

Rafizi turut mengemukakan beberapa fakta di mana dalam satu surat bertarikh 20 Januari 2012, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar mengemukakan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan kepada Kementerian Kewangan bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan.

Ringkasan penilaian keseluruhan bidaan dengan secara jelas menunjukkan bahawa Konsortium George Kent hanya mendapat markah 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan.

Oleh itu, Prasarana memutuskan bahawa George Kent gagal dalam penilaian kewangan selain tidak mematuhi syarat-syarat kontrak dan membuat permohonan agar beberapa syarat seperti ?bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan? (atau Agreed Disruption Damages) disemak kembali.

Tegasnya, fakta tersebut merupakan fakta yang sah sehingga dibawa ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga mengakibatkan beliau disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan dokumen ini.

“Oleh itu, pembohongan yang dibuat oleh George Kent bahawa ia telah lulus semua penilaian dan mematuhi syarata-syarat menghina semua proses dan prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara. Ia juga membayangkan bahawa proses dan prosedur ini tidaklah berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

“Lebih merunsingkan, ia membayangkan ?lesen besar? yang dipunyai oleh George Kent untuk membuat kenyataan yang sewenang-wenangnya membelakangkan keputusan Kumpulan Prasarana.

“Ini menimbulkan persoalan dimanakah kemampuan Prasarana kelak untuk memantau dan memastikan George Kent akan mematuhi semua syarat dan jadual kerja seperti yang dipersetujui, apabila belum pun kerja-kerja bermula George Kent dengan bongkaknya membohongi keputusan bidaan yang diangkat oleh Prasarana,” katanya.

Categories
NASIONAL

PM Ketuai Jawatankuasa Anugerah Projek LRT Ampang, Rafizi

PETALING JAYA 10 JULAI: Rafizi Ramli hari ini mengemukakan dokumen rasmi kerajaan yang menunjukkan satu jawatankuasa peringkat tinggi diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganugerahkan tender kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang kepada Konsortium George Kent.

Pendedahan ini mengukuhkan lagi dakwaan Pengarah Strategi PKR itu sebelum ini yang mendakwa  wujud campur tangan Najib dalam pembatalan perlantikan Balfour Beatty yang pada asalnya dianugerahkan tender tersebut.

Menurut beliau, penganugerahan projek ini turut melibatkan pertambahan harga berjumlah RM167 juta sedangkan bidaan yang dikemukakan oleh Konsortium George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty pada RM1.01 bilion.

“Apakah jumlah RM167 juta ini boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisyen kepada mana-mana ahli politik Umno-BN seperti mana wujudnya pembayaran komisyen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu? ” soal beliau.

Najib dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan proses penganugerahan tander ini mengikut prosedur yang betul sedangkan syarikat milik George Kent hanya mempunyai pengalaman mengeluarkan meter air.

Rafizi turut meminta Najib menjawab persoalan prosedur di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan sebuah syarikat yang jelas gagal di dalam penilaian teknikal diberikan tender bertentangan dengan jawatankuasa teknikal.

Selain itu, beliau turut menuntut penjelasan bahagian prosedur di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan campur tangan Perdana Menteri dalam urusan penganugerahan tender.

Sebelum ini, Najib  mempengerusikan mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) bagi tahun 2012 pada 21 Jun 2012 yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan,  Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nozirah Bahari.

Mesyuarat tersebut  memutuskan untuk melantik George Kent sebagai kontraktor bagi kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang pada harga RM1,180,037,624 untuk tempoh siap kerja selama 44 bulan.

Jelas Rafizi, tanggungjawab sama perlu digalas oleh Datuk Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana untuk mengesahkan George Kent dilantik sebagai kontraktor seperti mana yang diarahkan oleh Najib.