Categories
NASIONAL

PM Ketuai Jawatankuasa Anugerah Projek LRT Ampang, Rafizi

PETALING JAYA 10 JULAI: Rafizi Ramli hari ini mengemukakan dokumen rasmi kerajaan yang menunjukkan satu jawatankuasa peringkat tinggi diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganugerahkan tender kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang kepada Konsortium George Kent.

Pendedahan ini mengukuhkan lagi dakwaan Pengarah Strategi PKR itu sebelum ini yang mendakwa  wujud campur tangan Najib dalam pembatalan perlantikan Balfour Beatty yang pada asalnya dianugerahkan tender tersebut.

Menurut beliau, penganugerahan projek ini turut melibatkan pertambahan harga berjumlah RM167 juta sedangkan bidaan yang dikemukakan oleh Konsortium George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty pada RM1.01 bilion.

“Apakah jumlah RM167 juta ini boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisyen kepada mana-mana ahli politik Umno-BN seperti mana wujudnya pembayaran komisyen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu? ” soal beliau.

Najib dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan proses penganugerahan tander ini mengikut prosedur yang betul sedangkan syarikat milik George Kent hanya mempunyai pengalaman mengeluarkan meter air.

Rafizi turut meminta Najib menjawab persoalan prosedur di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan sebuah syarikat yang jelas gagal di dalam penilaian teknikal diberikan tender bertentangan dengan jawatankuasa teknikal.

Selain itu, beliau turut menuntut penjelasan bahagian prosedur di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan campur tangan Perdana Menteri dalam urusan penganugerahan tender.

Sebelum ini, Najib  mempengerusikan mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) bagi tahun 2012 pada 21 Jun 2012 yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan,  Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nozirah Bahari.

Mesyuarat tersebut  memutuskan untuk melantik George Kent sebagai kontraktor bagi kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang pada harga RM1,180,037,624 untuk tempoh siap kerja selama 44 bulan.

Jelas Rafizi, tanggungjawab sama perlu digalas oleh Datuk Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana untuk mengesahkan George Kent dilantik sebagai kontraktor seperti mana yang diarahkan oleh Najib.

Categories
NASIONAL

PKR Buat Laporan Polis Kontrak Projek 1.1 Bilion

PETALING JAYA 29 JUN : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis berhubung penganugerahan kontrak mengenai projek kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1.1 bilion.

Laporan berhubung kes itu dibuat di Balai Polis Tropicana di Merchant Square,di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Menurut Rafizi laporan itu dibuat kerana menimbulkan pelbagai kegusaran kerana projek besar dan penting ini dianugerahkan kepada sebuah konsortium yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada minggu lalu melahirkan hasratnya untuk menganugerahkan kontrak terbabit kepada Konsortium George Kent, seperti yang dilaporkan oleh Business Times pada 22 Jun lalu.

Rafizi juga memberitahu sebelum ini beliau sudah didatangi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membeuat siasatan terhadap pendedahannya sebelum ini.

‘Tetapi laporan polis dibuat kerana lebih percaya kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Dagangan yang lebih professional,” katanya.

Jelas Rafizi, beliau akan mendedahkan skandal ini sedikit demi sedikit dari masa kes semasa agar pihak lain juga tampil untuk memberikan ulasan dan bukti berkenaan skandal ini.

“Kita menunggu untuk pihak Perdana Menteri memberikan komen berkenaan perkara ini,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini.

Sementara itu, Ketua Biro Undang-Undang PKR, Lateffa Koya berkata SPRM tidak perlu menunggu laporan dibuat kepadaSPRM kerana suruhanjaya itu mempunyai bidang kuasa yang lebih meluas untuk melaksanakan siasatan.