Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas Hakim Besar Malaya dilantik pengerusi baharu Prasarana

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana, berkuat kuasa hari ini.

Prasarana Malaysia Bhd dalam kenyataan hari ini berkata, Zaharah mengisi kekosongan jawatan itu setelah Tan Sri Khalid Abu Bakar meletakkan jawatan pada 17 Ogos tahun lalu.

Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 17 November 1952, Zaharah berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya, mula berkhidmat dalam bidang kehakiman dan perundangan pada 26 April 1977.

Setelah bersara daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Ogos 2004, dan bertugas di Bahagian Sivil, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, diikuti Bahagian Jenayah, Mahkamah Tinggi Shah Alam (1 Oktober 2004 – 27 Julai 2006).

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2006 dan ditempatkan di Bahagian Jenayah, Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan seterusnya di Bahagian Dagang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (1 Jan 2009 – 13 April 2010).

Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia pada 14 April 2010 dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia berkuat kuasa pada 16 Feb 2015. Beliau dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 17 Julai 2018.

Prasarana Malaysia Bhd ialah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang bertanggungjawab sebagai pemilik dan pengurus aset pengangkutan awam meliputi bas, perkhidmatan LRT/Monorel/MRT dan juga perkhidmatan feri Pulau Pinang.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM Ketuai Jawatankuasa Anugerah Projek LRT Ampang, Rafizi

PETALING JAYA 10 JULAI: Rafizi Ramli hari ini mengemukakan dokumen rasmi kerajaan yang menunjukkan satu jawatankuasa peringkat tinggi diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganugerahkan tender kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang kepada Konsortium George Kent.

Pendedahan ini mengukuhkan lagi dakwaan Pengarah Strategi PKR itu sebelum ini yang mendakwa  wujud campur tangan Najib dalam pembatalan perlantikan Balfour Beatty yang pada asalnya dianugerahkan tender tersebut.

Menurut beliau, penganugerahan projek ini turut melibatkan pertambahan harga berjumlah RM167 juta sedangkan bidaan yang dikemukakan oleh Konsortium George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty pada RM1.01 bilion.

“Apakah jumlah RM167 juta ini boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisyen kepada mana-mana ahli politik Umno-BN seperti mana wujudnya pembayaran komisyen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu? ” soal beliau.

Najib dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan proses penganugerahan tander ini mengikut prosedur yang betul sedangkan syarikat milik George Kent hanya mempunyai pengalaman mengeluarkan meter air.

Rafizi turut meminta Najib menjawab persoalan prosedur di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan sebuah syarikat yang jelas gagal di dalam penilaian teknikal diberikan tender bertentangan dengan jawatankuasa teknikal.

Selain itu, beliau turut menuntut penjelasan bahagian prosedur di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan campur tangan Perdana Menteri dalam urusan penganugerahan tender.

Sebelum ini, Najib  mempengerusikan mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) bagi tahun 2012 pada 21 Jun 2012 yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan,  Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nozirah Bahari.

Mesyuarat tersebut  memutuskan untuk melantik George Kent sebagai kontraktor bagi kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang pada harga RM1,180,037,624 untuk tempoh siap kerja selama 44 bulan.

Jelas Rafizi, tanggungjawab sama perlu digalas oleh Datuk Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana untuk mengesahkan George Kent dilantik sebagai kontraktor seperti mana yang diarahkan oleh Najib.