Categories
AGENDA NASIONAL

LTTE: Kes empat lelaki dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Kes empat lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran yang didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Keempat-empat individu itu ialah P. Gunasekaran, 60, ahli DAP V. Suresh Kumar, 43, pengusaha restoran B. Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk A.Kalaimughilan, 28 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memaklumkan bahawa pihaknya telah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan.

“Mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Permohonan berhubung jaminan juga boleh dikemukakan di mahkamah itu. Oleh itu, saya batalkan permohonan berhubung jaminan oleh tertuduh (Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam) di Mahkamah Sesyen,” kata Rozina.

Sementara itu, mahkamah menolak permohonan jaminan dikemukakan oleh Kalaimughilan selepas mendengar hujahan peguamnya, Yoges M. Verasuntharam dan seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad.

Yoges memohon jaminan itu atas alasan anak guamnya memerlukan rawatan luar kerana masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Aslinda berkata laporan perubatan itu menunjukkan bahawa ia hanya laporan biasa dan tiada afidavit daripada doktor yang menyatakan bahawa tertuduh terlalu sakit dan perlu mendapat rawatan di luar.

Aslinda berkata hanya Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa eksklusif untuk mendengar sebarang isu sama ada berkaitan pertuduhan, jaminan atau apa-apa permohonan.

“Bukan kami (pendakwaan) ingin melengahkan permohonan jaminan kerana kes ini melibatkan kepentingan awam dan keselamatan. Kes berkaitan akta keselamatan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan pengakuan hanya akan direkodkan serta isu berhubung jaminan boleh dikemukakan di mahkamah itu,” katanya.

Peguam Ramkarpal Singh mewakili Gunasekaran dan Suresh Kumar manakala peguam S.Selvam mewakili Subramaniam.

Pada 31 Okt lepas, Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Gunasekaran didakwa menggunakan nama “DAP Guna Palanisamy”, Subramaniam atas nama “US SUBRA SUBRAMANIAM” dan Suresh Kumar dengan nama “RocketSuresh DAP”.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 7 Oktober dan 11 Oktober 2019 pada masa berlainan iaitu 2.00 petang, 5.30 petang dan 6.00 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan pula didakwa dengan pengetahuan telah mengedar item yang berkaitan dengan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di sini, kira-kira 8.00 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac, 2014.

Pada 29 Oktober, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada pukul 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Oktober lalu.

Kesemua pertuduhan terhadap Kalaimughilan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

LTTE: Jaminan bawah SOSMA perlu rujuk Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan jaminan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Gadek, Melaka G. Saminathan yang ditahan di bawah akta kesalahan keselamatan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias berkata, permohonan jaminan itu melibatkan isu perlembagaan yang perlu dirujuk dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Saminathan berdepan pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan kumpulan itu ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mohd Izhanudin berkata, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan dan memutuskan isu jaminan terhadap individu yang ditahan di bawah SOSMA walaupun Mahkamah Sesyen memerintahkan supaya permohonan itu didengar di mahkamah itu.

“Walaupun ada perintah daripada Hakim Mahkamah Sesyen untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan berpendapat bahawa persoalan berhubung isu perlembagaan perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya ketika sebutan permohonan Saminathan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Saminathan berkata Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan dan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen pada 1 November memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan 13 November untuk mendengar hujahan lanjut daripada kedua-dua pihak dan mengarahkan mereka memfailkan hujahan masing-masing serta persoalan yang ingin dibangkitkan dalam permohonan itu sebelum atau pada 12 November ini.

Hari ini hanya permohonan Saminathan disebut di Mahkamah Tinggi.

Pada 1 November lepas, Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah Saminathan, ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaran, 60; pemandu teksi V. Balamurugan, 37; penghantar surat S. Teeran, 38; peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28; ketua pegawai perbadanan S. Chandru, 38; juruteknik S. Arivainthan, 27; penjaga stor S. Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M. Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, SelangorSundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP V. Suresh Kumar, 43; dan peniaga B. Subramaniam, 57.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Oktober lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Prosiding hari ini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LTTE: Dua pertuduhan terhadap ADUN Seremban Jaya batal

SEREMBAN, 6 NOV: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaran.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, di sini, masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Gunasekaran bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah dan diwakili barisan empat peguam yang diketuai RSN Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong.

Sebelum ini, Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan telah dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober lalu, atas pertuduhan tambahan.

Sementara itu, Rayer ketika bertemu dengan pemberita kemudian berterima kasih kepada pendakwa atas langkah yang diambil.

“Kami dimaklumkan pagi ini selepas tuduhan difailkan, mereka (pihak pendakwa) membuat keputusan untuk menarik balik dua tuduhan. Tiada sebab diberikan,” katanya.

Beliau juga berharap langkah yang sama akan diambil oleh pihak pendakwaan di mahkamah lain.

“Kami berharap pihak pendakwa akan menimbang semula dan menarik balik tuduhan terhadap semua yang lain (yang ditahan di bawah SOSMA yang berkaitan dengan LTTE).

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua ADUN disyaki terbabit LTTE kekal sebagai wakil rakyat

GEORGE TOWN, 15 OKT: Dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan polis kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), akan kekal sebagai wakil rakyat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata seseorang wakil rakyat itu hanya boleh hilang kelayakan sebagai ADUN atau Anggota Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

“Seseorang wakil rakyat itu harus dituduh, dibicara, sabitkan kesalahan dan dihukum tetapi sekiranya ada rayuan, kita harus tunggu sehingga proses rayuan itu selesai di mahkamah baru keputusan akan diambil.

“Oleh itu, penahanan kedua-dua ADUN itu oleh pihak polis tidak akan menyebabkan mereka hilang kelayakan sebagai ADUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Demokrasi di Universiti Sains Malaysia hari ini.

Beliau berkata penahanan oleh polis bukan pensabitan kesalahan dan SPR akan mengikut peraturan yang sedia ada untuk menentukan kelayakan seseorang ADUN.

Pada 10 Oktober lalu, tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Satu lagi penahanan polis pada 13 Oktober lalu membabitkan lima lagi individu termasuk seorang guru kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis lalu adalah 12 orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LTTE: Saya puas hati alasan polis ambil tindakan – PM

PETALING JAYA, 14 OKT: Polis mempunyai alasan mereka dalam tindakan menahan individu-individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, beliau telah diberi taklimat oleh polis mengenai perkara itu dan berpuas hati dengan alasan diberikan polis dalam tindakan mereka itu.

“Saya dapat penerangan daripada polis, mereka beri sebab-sebab mereka bertindak. Saya puas hati dengan sebab-sebab mereka ambil tindakan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan persidangan bertajuk ‘Revolusi Global dalam Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti’ di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan polemik yang dikeluarkan sesetengah pihak berhubung isu penahanan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Semalam, polis menahan lima lagi individu termasuk seorang guru kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak 10 September kepada 12 orang.

Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ditanya mengenai kenyataan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kurang bersetuju apabila penahanan berkaitan LTTE itu dibuat mengikut SOSMA, Dr Mahathir berkata: “Ya, Akta SOSMA masih wujud, jadi bila ketiadaan undang-undang lain yang boleh dipakai, mereka gunakan Akta SOSMA”.

Semalam, Anwar dilapor sebagai berkata beliau bersetuju dengan tindakan polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE, namun berpendapat penahanan itu tidak seharusnya dibuat mengikut SOSMA yang disifatkannya sebagai ‘terlalu keras’.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tangkapan LTTE: Polis ikut peruntukan undang-undang

LANGKAWI, 13 OKT: Tindakan polis menahan 12 individu termasuk dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu siasatan berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dilakukan mengikut peruntukan undang-undang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, tindakan polis itu juga dilakukan tanpa campur tangan pentadbirannya dan beliau menyangkal kononnya tangkapan itu bagi melemahkan mana-mana pihak.

“Pihak kerajaan ingin tahu apa sebab perkara ini berlaku. Kita tidak suka guna kuasa untuk lemahkan mana-mana pihak.

“Ini bukan saya tangkap orang, bukan Muhyiddin (Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin) tangkap orang, (tapi) polis yang tangkap dan benda yang dibuat pegawai mereka itu ikut undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai pembangunan Langkawi, di sini hari ini.

Ditanya sama ada tangkapan itu akan menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PAKATAN) yang akan berdepan Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai bulan depan, Dr Mahathir berkata: “Kalau ada implikasi politik, itu kita terpaksa cari lah, apa latar belakang dia (mereka yang ditahan),” katanya.

Polis hari ini menahan lima lagi individu termasuk seorang guru kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis lalu ialah 12 orang.

Pada 10 Oktober lalu, tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kula Segaran serah siasatan terlibat LTTE kepada polis

IPOH, 12 OKT: Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menyerahkan kepada pihak polis siasatan berhubung tuduhan bahawa dirinya terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah semata-mata berdasarkan gambar yang tersebar di laman media sosial tanpa sumber yang diketahui.

“Tidak adil membuat tuduhan terhadap seseorang itu terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas hanya dengan gambar yang tersebar di media sosial.

“Saya ada banyak gambar tersebar. Apa yang saya perlu cakap?

“Kalau pembuat gambar itu boleh tampil membuat dakwaan kepada saya, saya akan jawab kepada dia, jadi jangan mudah percaya dengan apa yang tersebar dalam aplikasi Whatsapp atau internet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Prihatin JobsMalaysia 2019, di sini, hari ini.

Ditanya tentang pendiriannya mengenai LTTE, Kula Segaran yang juga Naib Pengerusi DAP memaklumkan beliau hanya bersimpati terhadap mangsa berikutan perkara yang berlaku di negara lain adalah urusan dalaman mereka.

Sebelum ini, tular satu gambar yang didakwa kononnya Kula Segaran bersama pemimpin kanan LTTE.

Polis baru-baru ini dilaporkan telah menahan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka berhubung pembabitan mereka dalam menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Kula Segaran berkata, pihak polis perlu mendakwa sesiapa yang terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE di mahkamah sekiranya mempunyai fakta dan bukti yang kukuh.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, kesesakan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka akan dapat diatasi menerusi inisiatif pembinaan pusat rehabilitasi yang baharu di Perak.

Katanya beberapa lokasi di seluruh Perak telah dikenal pasti untuk dijadikan lokasi hospital dan pusat rehabilitasi berkenaan.

“Pusat baharu itu akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan dengan kerjasama agensi berkaitan,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020 mengumumkan pusat rehabilitasi bernilai RM500 juta akan dibina di Perak.

– BERNAMA