Dua lagi MITS siap 2018, menempatkan 600 pelajar


Pembinaan dua Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan Teknologi (MITS) di Pandan dan Bagan Lalang, Selangor dijangka siap sepenuhnya pada 2018.

Categories
SELANGOR

MITS tampung 600 pelajar dijangka siap 2018

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 2 MAC: Pembinaan dua Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan Teknologi (MITS) di Selangor dijangka siap sepenuhnya pada 2018, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, MITS di Pandan dan Bagan Lalang yang dibina melalui peruntukan RM52 juta itu tanda komitmen Kerajaan Negeri melahirkan golongan berkerjaya dengan menjadikan Al-Quran sebagai teras kehidupan.

MOHAMED AZMIN“Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin berkata, pembelajaran agama dan Al-Quran harus diimbangi dengan pembelajaran ilmu dunia.

“Mempelajari ilmu dunia adalah fardu kifayah bagi umat Islam manakala ilmu agama adalah fardhu ain.

“Maka atas tuntutan ini, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM 52 juta untuk membina MITS yang akan menempatkan 600 pelajar dengan kurikulum bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1437H/2016M di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin turut yakin usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berorientasikan Al-Quran mampu menjadi wadah terbaik melahirkan ilmuan Muslim.

Maahad Tahfiz“Mudah-mudahan rasa cinta terhadap Al-Quran dalam kalangan masyarakat kita akan menebal dan kian meningkat dari masa ke masa.

“InsyaAllah jika umat Islam berjaya melaksanakan tuntutan ini, sudah tentunya kita akan menjadi umat terunggul dan dicontohi seluruh masyarakat dunia,” katanya.

Selain MITS, Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM18 juta untuk membina tiga Maahad Tahfiz baru dan RM3 juta bagi menaik taraf Maahad Tahfiz Darul Qura di Sabak Bernam.

-AA-