Categories
NASIONAL

Pengasuh didakwa sebab kematian kanak-kanak

SHAH ALAM, 24 MAC: Seorang pengasuh muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas tuduhan dengan niat menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ketika dalam jagaannya di pangsapuri di Sungei Way, pada 14 Mac lalu.

Tertuduh, Gloria Erren Liwie, 23, yang berasal dari Sarawak membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian kanak-kanak itu antara 1 tengah hari hingga 4 petang di Blok A, Pangsapuri Impian Baiduri, Sungei Way, lapor BERNAMA.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, V V Suloshani tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Yusri Mohd Yusoff, memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan dia mempunyai bayi berusia 11 bulan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh dilarang mengganggu saksi dan keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Mohamad Kamil turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak malang itu didapati tidak sedarkan diri ketika di bawah jagaan tertuduh dan mangsa disahkan meninggal dunia, pada jam 5.40 petang ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat didera.

Ibu mangsa yang bekerja sebagai juruwang dan menetap di Sea Park, dikatakan menghantar anaknya itu ke rumah pengasuh kira-kira jam 1 tengah hari dan mengambil anaknya tiga jam kemudian sebelum mendapati kanak-kanak itu sudah tidak sedarkan diri.

-AA-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Black505: Nazmi mohon pendakwaan dibatalkan

nazmi- black 505

SHAH ALAM 21 OGOS : Pendakwaan terhadap Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menganjurkan himpunan aman Kelana Jaya berbaur politik serta menunjukkan percanggahan antara Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Perlembagaan Malaysia.

Peguam Eric Paulsen berhujah pendakwaan terhadap anak guamnya itu bukan sahaja menafikan haknya sebagai warganegara, tetapi juga tampak selektif kerana penganjur himpunan-himpunan spontan yang lain tidak dikenakan layanan serupa.

“Prosiding jenayah terhadap beliau (Nik Nazmi) telah dimulakan atau digalakkan oleh pemimpin-pemimpin kanan Umno atau Kerajaan Persekutuan sebagai tindakan atau balasan terhadap beliau (Nik Nazmi) dan Pakatan Rakyat,” tegas Eric di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Berhubung pendakwaan selektif, Eric berhujah tunjuk perasaan spontan yang dianjurkan oleh Umno-BN dan pertubuhan yang seangkatan dengan gagasan politik itu tidak dikenakan tindakan.

“Baru-baru ini ada satu perhimpunan besar di Kedutaaan Vatican oleh Perkasa dan sebagainya. Jadi ada ‘double standard’,” jelas Eric.

Turut dirujuk adalah himpunan senaman punggung oleh pesara-pesara tentera di hadapan rumah di hadapan rumah peguam wanita, mantan Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan pada 15 Mei tahun lepas.

Sebelum ini, Nik Nazmi mengaku tidak bersalah dan kes terbabit akan didengar di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Isnin depan.

Hari ini, Nik Nazmi memfailkan permohonan untuk membatalkan pendakwan itu. Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 PAA 2012 kerana gagal menyerahkan notis pemberitahuan 10 hari kepada polis sebelum perhimpunan diadakan.

Jika disabitkan kesalahan Adun Seri Setia itu akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, lantas hilang kelayakan sebagai Adun sekiranya dikenakan denda melebihi RM2,000.

“Keperluan untuk memberi notifikasi 10 hari sebelum sebarang perhimpunan adalah keterlaluan,” tegas Eric yang menambah ia bercanggah dengan hak untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin Artikel 10 Perlembagaan.

– HM