Categories
PBT SELANGOR

MBPJ saman 10,745 peniaga pelbagai kesalahan

SHAH ALAM, 24 JAN: Sebanyak 10,745 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada peniaga sepanjang tahun lalu, kata datuk bandarnya.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata selain saman notis turut diberi kepada 1,542 peniaga, 3,107 tindakan sitaan dan 68 pendakwaan.

“Justeru, MBPJ menggesa pemilik perniagaan mendapatkan lesen operasi secara sah sebelum memulakan sebarang aktiviti penjualan,” katanya pada mesyuarat bulanan MBPJ semalam.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ perkenal aduan terbaharu menerusi WhatsApp

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan saluran aduan terbaharu menerusi aplikasi WhatsApp bagi penambahbaikan perkhidmatannya mulai 3 Januari lalu, kata datuk bandarnya.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata saluran terbabit membolehkan tindakan segera diambil dan orang ramai boleh membuat aduan semasa seperti kerosakan infrastruktur, kutipan sampah dan haiwan liar.

Katanya, pengguna boleh menggunakan talian 011-1201 7914 dengan memberikan segala butiran lengkap diperlukan bagi tujuan berkenaan.

“Waktu urusan saluran ini bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang iaitu pada hari bekerja Isnin hingga Jumaat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MBPJ bil 1/2020 di sini hari ini.

Selain itu, MBPJ turut menyediakan alternatif lain iaitu e-mel aduan ([email protected]), talian (03-7954 2020), faks (03-7955 1804), Facebook mbpjaduan, sistem perhubungan pelanggan https://embpj.mbpj.gov.my/ dan aplikasi ‘eAduan MBPJ’ di peranti android playstore.

Categories
PBT SELANGOR

Azlinda Azman dilantik timbalan datuk bandar MBPJ

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengumumkan pelantikan Azlinda Azman sebagai Timbalan Datuk Bandar yang baharu berkuat kuasa 15 Januari lalu.

Datuk Bandarnya berkata pelantikan itu bagi menggantikan Johary Anuar yang kini bertugas sebagai pegawai daerah Petaling.

“Semoga dengan kehadiran beliau akan memperkuatkan lagi jentera pentadbiran dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Petaling Jaya,” kata Dato’ Mohd Sayuthi Bakar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MBPJ hari ini.

Azlinda sebelum ini bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor dengan jawatan Timbalan Pengarah (Pengurusan).

Categories
PBT SELANGOR

Sewa lesen kepada warga asing, peniaga berdepan tindakan

PETALING JAYA, 30 OKT: Peniaga tempatan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal berdepan tindakan digantung lesen perniagaan jika dikesan menyewakan lesen mereka kepada warga asing.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, berdasarkan rekod diperoleh setakat ini melalui Sistem Pengesahan Identiti Peniaga (SPIP), pihaknya mengesan seramai 102 peniaga berlesen yang tidak mengusahakan perniagaan sendiri.

Katanya, tindakan itu wajar diambil sebagai langkah mengekang lambakan warga asing daripada terus mempelopori premis yang terdapat di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen perniagaan penjaja yang menggajikan pekerja asing termasuk warga asing itu sendiri kerana ia adalah dasar dan syarat terkandung dalam Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan.

“Bagi 102 peniaga yang sudah melanggar kesalahan berkenaan, kita akan membatalkan lesen kerana terbukti mereka melanggar syarat,” katanya pada sidang media Pelancaran Jom Bayar Lesen 2020 di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Mohd Sayuthi berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan kerjasama dengan agensi berkaitan terutama Jabatan Imigresen bagi menjalankan pemeriksaan secara lebih kerap di lokasi tertentu.

“Peniaga diingatkan supaya tidak sesekali mengambil jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan dengan menyewakan lesen ini kepada warga asing kerana kegiatan seumpama ini satu sikap yang tidak baik dan harus dihapuskan dalam masyarakat kita,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ buka 19 kaunter bergerak untuk perbaharui lesen perniagaan

PETALING JAYA, 30 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan perkhidmatan kaunter bergerak di 19 lokasi terpilih di sekitar kawasan pentadbiran berkenaan sempena Kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan 2020, bermula pada 5 November hingga 27 Disember ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, inisiatif itu diambil bagi memudahkan urusan pemegang lesen membuat pembaharuan lesen masing-masing sebelum tarikh tutup kempen pada 31 Disember.

Katanya, proses permohonan dan pembaharuan lesen yang sudah mula dibuka sejak 1 Oktober lalu itu akan membabitkan sebanyak 51,251 pemegang lesen tred serta 9,480 lesen usahawan mikro (penjaja).

“Bagi pembaharuan lesen tred, kita membuka kaunter bergerak di lapan lokasi pusat membeli belah terpilih, manakala lesen penjaja boleh dilakukan di 11 lokasi di pasar malam, pasar awam dan pasar lambak.

“Pembaharuan lesen juga boleh dibuat di kaunter ibu pejabat MBPJ, Menara MBPJ dan pejabat cawangan Petaling Jaya Utara. Sebagai tambahan kepada penyediaan perkhidmatan, kaunter bergerak ibu pejabat MBPJ dibuka pada Sabtu, Ahad termasuk cuti umum sepanjang Disember 2019 dari 9 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Jom Bayar Lesen 2020, di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar dan Pengarah Jabatan Pelesenan MBPJ, Sharinaz Samsudin.

Mohd Sayuthi berkata, semakan pembaharuan lesen juga boleh dibuat melalui aplikasi e-lesen dan pelanggan boleh mengimbas kod bar pada lesen bagi tujuan menjejak pergerakan permohonan daripada lesen sementara ke lesen kekal.

“Pelanggan dapat menyemak bilangan kompaun berkaitan dengan akaun lesen, selain membaca maklumat terkini berhubung akaun lesen yang diimbas seperti nama syarikat, alamat lesen, aktiviti dilesenkan dan tempoh sah laku lesen itu.

“Pengguna aplikasi akan menerima pemberitahuan berkenaan pengumuman terkini daripada Jabatan Pelesenan MBPJ seperti pautan borang, promosi dan maklum balas tahap kepuasan pelanggan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kegagalan pemegang lesen memperbaharui lesen terbabit dalam tempoh ditetapkan akan dikenakan caj pemprosesan sebanyak RM300.

“Kita mengingatkan mereka supaya menjelaskan tunggakan kompaun dan memperbaharui kelulusan tukar guna bangunan, kebenaran merancang serta permit bangunan terlebih dahulu sebelum pembaharuan lesen 2020 dibuat.

“Pembaharuan lesen melalui pekerja atau wakil perlu disertakan dengan surat kebenaran wakil atau mengisi borang maklumat wakil yang boleh didapati di kaunter Jabatan Pelesenan juga laman sesawang rasmi MBPJ.

“Pengambilan lesen oleh pemilik, pekerja atau wakil perlu mengemukakan kad pengenalan atau pasport kepada petugas kaunter untuk dimasukkan ke dalam sistem pengesahan pengambilan lesen (SPPL) bagi tujuan perekodan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ perkenal SPIP, tingkat pemantauan dan penguatkuasaan peniaga

PETALING JAYA, 30 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan Sistem Pengesahan Identiti Peniaga (SPIP) sebagai pendekatan meningkatkan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih cekap terhadap peniaga di kawasan pentadbiran berkenaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, sistem itu digunakan untuk memudahkan semakan di lapangan terutama kepada usahawan mikro sama ada mengusahakan perniagaan sendiri mahupun terdapat penyalahgunaan lesen.

“Sistem ini akan memudahkan pengesahan melalui kad pengenalan dengan menggunakan cap jari pada alat cap jari mudah alih yang diintegrasikan dengan sistem e-lesen.

“Malah, ia memudahkan tindakan penguatkuasaan memandangkan laporan dapat terus dijana dan dicetak di lapangan,” katanya pada sidang media Pelancaran Jom Bayar Lesen 2020 di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Dato’ Sayuthi Bakar berucap sempena Majlis Pelancaran Kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan Tahun 2020 di Ibu Pejabat MBPJ pada 30 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar dan Pengarah Jabatan Pelesenan MBPJ, Sharinaz Samsudin.

Mohd Sayuthi berkata, pihaknya membuat beberapa penambahbaikan proses pelesenan bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan lesen, selain memastikan semua syarat ditetapkan dipatuhi peniaga.

Katanya, perkara itu termasuk penetapan kadar minimum premium insurans liabiliti awam bagi permit kerusi meja iaitu RM100,000 berbanding RM500,000 sebelum ini.

“Keputusan ini dibuat bagi meringankan beban dan menggalakkan pelesen untuk memohon permit sementara meletakkan kerusi serta meja di luar premis makanan mereka.

“Di samping itu, kita mensyaratkan pengenaan cagaran lesen establisymen makanan sebanyak RM2,000 kepada pemilik lesen bermula bulan ini bagi permohonan baharu termasuk pemegang lesen sedia ada.

“Pelupusan cagaran akan dikenakan bagi premis yang diarah tutup untuk kali kedua atas kesalahan pelanggaran syarat lesen termasuk tindakan penutupan premis,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Thailand juara ‘Best of The Best Team’ PJRC MBPJ 2019

PETALING JAYA, 18 SEPT: Thailand berjaya merangkul juara kategori ‘Best of The Best Team’ di kejohanan Petaling Jaya International RC Powerboat Championship (PJRC) 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula 12 September lalu.

Kejohanan yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Taman Tasik Bandaran, Kelana Jaya itu merupakan kejohanan kali ke-10 sejak diperkenalkan pada 2009.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, kejohanan itu mendapat penyertaan seramai 110 orang peserta.

“Peserta ini terdiri dari dalam dan luar negara iaitu Malaysia, Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia, Emirah Arab Bersatu (UAE), Brunei, dan Kuwait.

“Dalam kejohanan ini, sejumlah 490 bot bersaing dalam tujuh kategori yang dipertandingkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu secara tidak langsung mempromosikan Taman Bandaran Kelana Jaya sebagai lokasi sirkit (litar lumba) pertandingan atau demo sukan air.

“Selain itu, sukan ini juga sesuai dijadikan sebagai aktiviti riadah seisi keluarga,” katanya.

Tujuh kategori yang dipertandingkan itu adalah Class A: Catamaran /Tunnel Hull Above 44cc, Gasoline Engine Local Modified, Class D: Vee/Mono Hull 43cc and below, gasoline Engine Local Modified dan Class E: Vee / Mono hull imported Marine Gasoline Engine 26cc-28cc.

Selain itu, Class F: Catamaran /Tunnel Hull Imported Marine Gasoline Engine 26cc -28cc, Class G: Vee / Mono/Hull Imported Marine Gasoline Engine 29cc -31 cc, Class H: Catamaran /Tunnel Hull Imported Marine Gasoline Engine 29cc-31cc dan Class I: Rigger/Hidro Hull Imported Marine Gasoline Engine Open cc.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 bersama dengan trofi.

Manakala naib johan (RM1,500.00), tempat ketiga (RM1,000.00) dan kategori ‘Best of The Best Team’ (RM 500.00).

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Mohd Sayuthi dan hadir sama Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ nafi kutip derma terbit majalah rasmi

PETALING JAYA, 30 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menafikan pihaknya membuat kutipan derma bagi tujuan penerbitan sebuah majalah.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat MBPJ berkata, pihaknya juga tidak pernah melantik mana-mana individu bagi tujuan penerbitan majalah berkenaan yang diberi nama ‘Suara Penolong Pegawai Farmasi’.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu menerima aduan orang awam berhubung terdapat individu wanita berpakaian menyerupai uniform kakitangan MBPJ membuat kutipan derma tunai bagi tujuan penerbitan majalah tersebut.

“Ingin ditegaskan bahawa MBPJ tidak pernah terlibat dalam penerbitan majalah terbabit, malahan tidak sama sekali menjalankan aktiviti kutipan derma dan tidak pernah melantik mana-mana individu bagi tujuan tersebut.

“Sehubungan itu, MBPJ menyarankan orang awam supaya berhati-hati di atas aktiviti kutipan derma terbabit yang menggunakan nama PBT ini sebagai organisasi yang terlibat bagi tujuan penerbitan majalah tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ buka EZ-Pay sepanjang Ogos

PETALING JAYA, 3 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan membuka kaunter bergerak EZ-Pay sepanjang bulan ini bagi memudahkan orang ramai membuat pembayaran cukai atau kompaun di lokasi ditetapkan.

MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, kaunter ibu pejabat MBPJ dibuka pada setiap hari minggu dan beroperasi bermula dari 9 pagi hingga 4 petang.

Bagaimanapun katanya, kaunter berkenaan akan ditutup pada 11 dan 12 Ogos bagi memberi laluan sempena cuti Aidiladha.

“Bagi lokasi kaunter di PJU7/16, Mutiara Damansara (1-4 Ogos); SD 12/1 (5-10 Ogos); SD 2/1G (13-18 Ogos); Taman Megah, SS 24 (19-25 Ogos); (PJU 10, Damansara Damai (26-31 Ogos) bermula dari 10 pagi hingga 3 petang,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-7956 3544 sambungan 101/103/104/106/109 atau melayari laman sesawang www.mbpj.gov.my atau laman sosial MBPJ (Facebook: petalingjayacitycouncil, Twitter dan Instagram: @pjcitycouncil).

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ anjur Ekspo Buku Petaling Jaya 2019

PETALING JAYA, 28 JUL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) julung kali akan menganjurkan Ekspo Buku Petaling Jaya 2019 atau dikenali sebagai Petaling Jaya Book Expo (PJBX) 2019.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, PJBX 2019 akan berlangsung selama enam hari mulai 30 Julai hingga 4 Ogos ini di Dewan D’Kelana, Kompleks Sukan Kelana Jaya di sini.

Katanya, penganjuran ekspo itu bertujuan untuk menarik minat serta menyemai budaya membaca di kalangan penduduk Petaling Jaya.

“Penganjurannya dapat memberi ruang serta peluang kepada penerbit buku terkenal tempatan terutamanya ahli MABOPA.

“Mereka menampilkan buku terbitan serta bahan bacaan berilmiah dan menarik secara terus kepada penduduk Petaling Jaya dengan harga promosi berpatutan,” katanya dalam sidang media, baru-baru ini.

Mohd Sayuthi berkata, ia juga selaras dengan aspirasi Petaling Jaya yang dianugerahkan sebagai Bandar Pembelajaran 2019 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains Dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Untuk makluman pada 31 Januari lalu, Petaling Jaya dinobatkan antara 10 bandar di dunia yang menerima pengiktirafan sebagai Bandar Pembelajaran 2019.

“Anugerah ini diberikan UNESCO di atas pelbagai pencapaian cemerlang dan inisiatif diusahakan MBPJ khususnya di dalam bidang pendidikan,” katanya.

Ekspo berkenaan dibuka bermula jam 10 pagi hingga 9 malam pada Selasa hingga Khamis dan Ahad, manakala sehingga 12 tengah malam pada Jumaat dan Sabtu.

PJBX 2019 turut dipenuhi pengisian acara dan aktiviti menarik buat kanak-kanak, murid sekolah, pelajar universiti, golongan dewasa serta warga emas melalui persembahan dialog, perbincangan, aktiviti pembelajaran dan sebagainya yang dijalankan di pentas utama juga sekitar lokasi.

Antara acara menarik di PJBX 2019 ialah kemunculan maskot Didi & Friends serta Omar & Hana, sesi ‘Sembang Kopi Learning City’, sesi bercerita, bacaan sajak, pertandingan mewarna, aktiviti kraftangan serta aktiviti dianjurkan Perpustakaan Negara Malaysia – Malaysian Board on Books for Young People (MBBY).

Sebanyak 30 penerbit yang terdiri daripada ahli MABOPA telah mengesahkan penyertaan untuk menjual buku mereka dengan harga potongan sehingga 80 peratus.

Categories
PBT SELANGOR

SUKANUN 2019: MBPJ akhiri kemarau kejuaraan

SHAH ALAM, 25 JUL: Tekad dan usaha keras kontinjen Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memburu kejuaraan dalam Karnival Sukan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) Ke-11 2019 akhirnya tercapai selepas 11 kali mencuba.

Ketua Kontinjen MBPJ, Sharifah Marhaini Syed Ali berkata, sejak awal lagi MBPJ meletakkan sasaran bergelar juara pada kejohanan kali ini.

“MBPJ memang sejak dahulu lagi tak pernah ketinggalan menyertai kejohanan ini tetapi belum pernah juara.

“Sebelum ini kami sentiasa berada di kedudukan kedua dan ketiga sahaja tetapi kali ini bersyukur kerana sasaran bergelar juara tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas MBPJ diumumkan juara keseluruhan pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival SUKANUN di Kompleks Sukan UiTM di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ, Aznan Hassan berkata, MBPJ mula membuat persiapan sejak dua tahun lalu.

“Disebabkan kejohanan kali ini diadakan di Selangor, kami bertekad untuk mensasarkan juara kali ini.

“Segala usaha berlatih selama dua tahun nampaknya berbaloi hari ini,” katanya.

MBPJ diumumkan juara keseluruhan Karnival SUKANUN 2019 apabila berjaya mengumpul 102 mata.

Kejohanan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 19 hingga 26 Julai itu turut menyaksikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) muncul naib juara.

Walaupun DBKL dan MBPJ berkongsi jumlah mata sama, namun MBPJ diisytiharkan pemenang keseluruhan berdasarkan pungutan pingat.

MBPJ memungut lima emas dan tiga perak berbanding DBKL dua emas, tiga perak serta tiga gangsa.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ muncul juara SUKANUN 2019

SHAH ALAM, 25 JUL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dinobatkan sebagai juara keseluruhan Karnival Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) 2019 apabila berjaya mengumpul 102 mata.

Kejohanan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 19 hingga 26 Julai itu turut menyaksikan satu lagi wakil Lembah Klang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) muncul naib juara.

Walaupun DBKL dan MBPJ berkongsi jumlah mata sama namun, MBPJ diisytiharkan pemenang keseluruhan berdasarkan pungutan pingat.

MBPJ memungut lima emas dan tiga perak berbanding DBKL dua emas, tiga perak serta tiga gangsa.

Pada kejohanan kali ke-11 itu turut menyaksikan Lembaga Hasil Dalam Negeri meraih tempat ketiga dengan 90 mata dan diikuti rapat satu lagi kontinjen Lembah Klang, Majlis Bandaraya Shah Alam di tempat keempat dengan 89 mata.

Manakala UiTM berada di tempat kelima (84 mata) diikuti tempat keenam, Majlis Perbandaran Subang Jaya (79) dan ketujuh, Majlis Perbandaran Klang (63).

Kejohanan dwi tahunan itu disertai 5,175 atlit bersama 739 pegawai yang mewakili 63 kontinjen badan berkanun seluruh negara.

Kejohanan kali ini mempertandingkan sebanyak 23 acara antaranya bola sepak sembilan sebelah, sepak takraw, bola jaring dan badminton.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Kanselor UiTM (Jaringan Industri, Komuniti Alumni dan Keusahawanan), Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad.