Categories
SELANGOR

MBPJ pelawa semua sekolah rendah sertai ‘Action Song’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 7 JUL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempelawa sekolah rendah di seluruh Selangor menyertai pertandingan Action Song yang bakal diadakan pada 7 Ogos.

MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, pertandingan berlangsung di Dewan Sivik pihak berkuasa tempatan itu mempertaruhkan pelbagai hadiah menarik termasuk sijil penghargaan kepada pemenang.

“Sekolah yang mempunyai pasukan nyanyian Action Song dipelawa untuk menyertai program pertandingan ini.

“Penganjur akan memilih 12 kumpulan terbaik untuk berentap di pentas pertandingan,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pertandingan Action Song boleh menghubungi di talian 03-77812775 (Hanum).

Categories
SELANGOR

MBPJ laksana pelbagai inisiatif jaya kempen bebas plastik

 

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 26 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyambut baik saranan Kerajaan Negeri melarang penggunaan beg plastik sekali guna dengan melaksana kempen menerusi pelbagai inisiatif.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, antara inisiatif itu adalah mewujudkan “Shared Tapao Corner”, syarat larangan penggunaan polistirena, plastik dan penyedut minuman serta penggunaan barangan eco-label.

Katanya, “Shared Tapao Corner” adalah satu sudut yang diwujudkan di setiap jabatannya untuk kegunaan kakitangan membeli makanan dan minuman dari luar.

“Sudut itu akan dilengkapi dengan set bekas makanan dan botol air guna semula untuk kegunaan kakitangan yang membungkus makanan dari luar.

“Konsep ini sudah berjaya dilaksanakan di negara luar di bawah konsep ‘sharing economy’ yang menjadi intipati terpenting dalam ‘circular economy’ selain tunggak utama dalam ‘new urban agenda’ serta ‘sustainable development goals 12’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Bebas Plastik MBPJ, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, MBPJ akan terus berusaha meningkatkan tahap kesedaran awam dan peniaga berkenaan penggunaan barangan eco-label seperti ECO 001 (barangan bio-degradasi dan bio kompos) dan ECO 009 iaitu barangan buatan berasaskan biomas.

“Kita membuat hebahan dan publisiti berkaitan barangan ini menerusi laman sesawang, media sosial, Onboard Entertainment PJ City Bus, papan iklan digital, risalah dan poster,” katanya.

Selain itu, katanya, syarat larangan penggunaan polistirena, plastik dan penyedut minuman juga dimasukkan dalam terma serta syarat penyewaan petak gerai di medan selera serta pasar milik MBPJ.

“Ia termasuk permohonan sewaan kemudahan MBPJ seperti dewan serbaguna dan deposit akan dikenakan supaya pematuhan syarat itu dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, inisiatif lain pula adalah syarat larangan penggunaan plastik sekali guna turut dikenakan ketika permohonan lesen perniagaan, lesen penjaja, kemajuan pembangunan dan permit infrastruktur.

Manakala, bagi lesen sedia ada, syarat tambahan itu dimasukkan ketika pembaharuan lesen dikemukakan yang berkuatkuasa mulai 1 Januari tahun hadapan.

Categories
SELANGOR

MBPJ komited perkasa tadbir urus dan nilai integriti

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

PETALING JAYA, 26 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited memperkasa tadbir urus dan nilai integriti pekerjanya dalam menjalankan tugas.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, pihaknya sentiasa komited menangani aduan awam dan terus menjadi satu agenda utama tadbir urus majlis dan terus bersikap profesional bagi mencapai harapan masyarakat.

Katanya, MBPJ sering berdepan cabaran dalam melaksanakan tugas daripada semua aspek penyampaian perkhidmatan yang mengurus kepada keselesaan dan kepuasan hati pelanggan.

“Isu dan masalah sentiasa diberi perhatian yang serius bagi memastikan semua peruntukan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan penuh sistematik.

“Perkhidmatan yang cekap, cepat dan betul amat penting untuk kesejahteraan rakyat, khususnya warga bandaraya Petaling jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memperngerusikan Mesyuarat Majlis Bilangan 6/2019, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sayuthi berkata, penerapan nilai integriti penting bagi memastikan perkhidmatan yang disampaikan dan pengurusan pentadbiran sentiasa menjalankan tugas dengan profesional, amanah, bertanggungjawab, dan berintegriti.

“Ia dapat membina mutu kerja cemerlang yang luhur sekali gus membentuk suasana berpasukan yang membudayakan mutu kerja yang berprestasi tinggi.

“Pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam yang sudah dan sedang giat dijalankan demi kemudahan masyarakat setempat manakala penambahbaikkan sistem penyampian serta perkhidmatan sentiasa dikemaskini,” katanya.

Categories
SELANGOR

EXCO: Tiada kompromi pegawai rasuah, salah guna kuasa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah dan penyelewengan termasuk penyalahgunaan kuasa di pentadbiran Selangor, tegas Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru berkata, penerima dan pemberi suapan adalah salah sama sekali.

“Malaysia baharu tiada tempat bagi rasuah dan Kerajaan Negeri komited untuk membanteras rasuah sekeras-kerasnya demi melahirkan sebuah pentadbiran yang telus, bersih serta amanah.

“Orang ramai dinasihati supaya menjauhi pemberian suapan dan diminta untuk membuat laporan dengan kadar segera sekiranya mendapati kelakuan-kelakuan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas tindakan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang terbabit dalam kes menerima suapan, beliau berkata, pegawai berkenaan sudah diarahkan berhenti bertugas di luar dan sedang menjalani siasatan dalaman.

Katanya, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pembabitan Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes berkaitan dan sudah mengarahkan MBPJ memberi kerjasama sepenuhnya.

Categories
SELANGOR

MBPJ peruntuk RM1.7 juta baik pulih Pangsapuri Permai

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

PETALING JAYA, 28 MEI: Penduduk sekitar kawasan Pangsapuri Permai kini mampu menarik nafas lega apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM1.7 juta bagi projek membaik pulih tembok pemisah pangsapuri terbabit.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, projek pemulihan itu mengambil masa selama 24 minggu bermula 6 Jun dan dijangka siap sepenuhnya pada 29 November.

Katanya, beberapa lawatan turut dilaksanakan dan mendapati pihak insurans memerlukan beberapa dokumen, namun mereka enggan memberi kerjasama susulan pihak pemaju terdahulu tidak menyediakannya.

“Oleh itu, perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan menetapkan MBPJ untuk menanggung kos insiden ini.

“Kami mengambil tanggungjawab ini supaya keselamatan penduduk setempat terjamin dan jangka hayat tembok yang diberikan MBPJ ialah 20 tahun tanpa penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan taklimat bagi Projek Penstabilan Tembok Penahan di Pangsapuri Permai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya; Ismail Shafie dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Permai; Syed Abdul Rahman.

Jamaliah berkata, tembok penahan yang meliputi 110 meter panjang itu akan menjejaskan penduduk kawasan setempat sekiranya berlaku kes tanah runtuh yang lebih serius.

“Saya berharap projek ini akan siap menjelang 2020 supaya penduduk menikmati satu keadaan yang baharu pada tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu, sebanyak enam kereta dilaporkan rosak selepas dinding pemisah blok di tempat letak kenderaan runtuh dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Jalan Tropicana Selatan dan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

 

Categories
PBT SELANGOR

Cabaran Puasa 1 Hari untuk bukan Islam Ahad ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 24 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempelawa mereka yang bukan beragama Islam dari kawasan pentadbiran ini untuk menyertai Cabaran Puasa 1 Hari, pada Ahad ini.

MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, program dijayakan dengan kerjasama Hidayah Centre Foundation dan Madrasah An-Naimah itu bagi memberi peluang kepada orang ramai bersama merasai kesukaran serta keseronokan berpuasa seperti dilalui umat Islam di negara ini.

Katanya, melalui cabaran itu, peserta perlu melakukan amalan asas berpuasa seperti makan sahur sebelum 5.45 pagi dan mengelakkan makan serta minum sepanjang seharian menjalani ibadah berkenaan.

Selain itu, peserta juga perlu menghindari daripada berkata-kata perkara yang sia-sia sehingga terbenam matahari.

“Majlis berbuka puasa akan diadakan di Madrasah An-Naimah, Jalan SS 7/17k pada 6.15 petang sehingga 9 malam. Bagi yang tidak berpuasa juga dialu-alukan untuk turut serta berbuka bersama.

“Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran di laman sesawang https://tinyurl.com/cabaranPuasa dan hadiah istimewa disediakan kepada peserta yang mendaftar,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh hubungi di talian 019-6690900.

Categories
SELANGOR

MBPJ rai anak yatim dan kakitangan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MEI: Prihatin dengan golongan kurang bernasib baik, seramai 150 anak yatim Kota Damansara dan anak kakitangan diraikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, selain meraikan golongan yang tidak bernasib baik, program tahunan itu juga bertujuan mengambil peluang melaksanakan aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan.

“Program ini juga sebahagian tanggungjawab sosial korporat MBPJ dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Seramai 150 orang anak yatim dari Kota Damansara serta anak kakitangan MBPJ menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM 150 setiap seorang beserta peralatan sekolah seperti beg, alat tulis dan biskut raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim Dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Surau Nur Ehsan, Ibu Pejabat MBPJ, baru-baru ini.

Terdahulu, MBPJ turut mengadakan program Jalinan Kasih Ziarah yang julung kali diadakan Ramadan ini.

Selain mengeratkan silaturahim, program terbabit bertujuan membantu golongan asnaf merasai apa yang dijiwai oleh golongan berkemampuan.

Berdasarkan dapatan data, penduduk miskin bandar di Petaling Jaya adalah sebanyak 1,500 orang

 

Categories
SELANGOR

Smart PJ Waste Solution Lab terima sambutan menggalakkan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 APR: Hari Terbuka Smart PJ Waste Solution Lab @SS2 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu lalu menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporatnya berkata, penganjuran program bersempena Hari Bumi yang disambut pada setiap 22 April itu sebagai usaha menghargai dan menyemai rasa tanggungjawab selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk melindungi bumi serta alam sekitar.

“Program ini terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pertama bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari manakala sesi kedua pada 2 hingga 4 petang.

“Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program termasuk jualan bahan tanaman tumbuhan seperti bahan kompos cecair, anak pokok, biji benih serta demonstrasi penggunaan kaedah penanaman sayur-sayuran secara hidroponik,” katanya dalam kenyataan.

Acara yang berlangsung di  di Jalan SS 2/63, Petaling Jaya itu turut memberi hadiah berupa bahan kompos cecair dalam botol 1.5 liter kepada 300 pengunjung terawal.

Categories
SELANGOR

MBPJ gondol Anugerah Inisiatif Hijau

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 22 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya menggondol Anugerah Inisiatif Hijau di Malam Gala Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) bersempena dengan Anugerah Landskap Arkitek Malaysia (MLAA) di New World Hotel, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Datuk Bandar, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, penerimaan anugerah itu berikutan kejayaan MBPJ melaksanakan projek rintis ‘Kebun Kita’ iaitu projek soup kitchen (dapur umum) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara.

Katanya, projek itu adalah usahasama MBPJ, badan bukan kerajaan, pihak swasta dan penduduk kawasan sekitar yang membantu membangunkan kawasan lapang terbiar (tanah tandus) kepada sebuah kebun komuniti.

“Kebun Kita adalah usaha MBPJ untuk meningkatkan tahap kehidupan dan suasana persekitaran masyarakat.

“MBPJ menggalakkan aktiviti pelbagai jenis penanaman yang dapat menjana hasil seterusnya menghilangkan beban terutamanya ketika menangani kenaikan harga barangan keperluan harian yang tidak menentu,” katanya yang hadir menerima anugerah terbabit dalam majlis berkenaan.

Menerusi projek itu, Sayuthi berkata, pelbagai jenis sayuran berjaya ditanam secara organik.

“Sejumlah 20 peratus hasil tanaman itu digunakan bagi menjayakan projek ‘soup kitchen’ dan diberikan kepada golongan miskin yang memerlukan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ, usahawan mikro sumbang juadah berbuka

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 19 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan Program Jalinan Kasih bersama usahawan mikro untuk menyumbang juadah berbuka puasa kepada golongan memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Datuk Bandar, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, program itu adalah usaha membantu golongan berkenaan ke arah ‘zero poverty’ selari dengan matlamat dan objektif ‘sustainable development goals’.

“Kerjasama antara MBPJ dan usahawan yang berminat dapat memberi satu perkongsian baik kepada masyarakat di Petaling Jaya.

“Hasil sumbangan daripada program jalinan kasih ini akan dikumpul dan diserahkan kepada golongan terpilih melalui Ahli Majlis MBPJ setiap zon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel dan Taklimat Usahawan Mikro Bazar Dinamik 2019, di Dewan Banquet, Dewan Sivik, di sini.

Sementara itu, pada program itu, Sayuthi berkata, MBPJ turut menyediakan platform pendidikan kepada usahawan mikro bazar Ramadan untuk mengembangkan perniagaan selepas tamat permit bazar Ramadan.

Katanya, menerusi Bengkel dan Taklimat Usahawan Mikro Bazar Ramadan Dinamik, usahawan terbabit didedahkan teknik perniagaan yang berkesan serta cara mudah mendapatkan bekalan barangan murah dan berpatutan.

“Antara pengisian bengkel itu adalah sesi penerangan kempen sifar penggunaan beg plastik (Roadmap Towards Zero Single Used Bag Plastic 2018-2030) oleh Yayasan Hijau Malaysia, taklimat masyarakat tanpa tunai (Cashless Society) oleh wakil Boost e-Wallet.

“Selain itu, taklimat pemasaran produk atas talian oleh Syarikat Best Marketing Distribution Sdn Bhd dan MYNIC Berhad, taklimat pematuhan syarat permit bazar.

“Manakala, turut diadakan taklimat peniaga berintegriti (pencarian Pemenang Bazar Ramadan 2019) dan taklimat pelaksanaan kaedah pemantauan menggunakan sistem imbasan cap jari serta sistem Demerit,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBPJ optimis tingkat perkhidmatan AirBnB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 APR: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan susulan timbul aduan berhubung masalah perkhidmatan AirBnB (Air Bed and Breakfast) di sekitar kejiranan terbabit.

Jurucakap MBPJ menerusi kenyataannya di Facebook memaklumkan, ia sebagai langkah proaktif sebelum tindakan lanjut dibuat pihak berkaitan dalam mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, perkhidmatan AirBnB memberi perubahan begitu ketara terhadap permintaan penginapan dalam industri pelancongan negara.

“Sejak mula beroperasi pada April 2010, jumlah premis kediaman terlibat melebihi 18 ribu unit, manakala pada 2017, sebanyak 2.6 juta ketibaan pelancong di Malaysia adalah melalui penggunaan perkhidmatan ini iaitu peningkatan sebanyak 139 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Di MBPJ, pada 2017, sebanyak 1,685 unit kediaman direkodkan menawarkan perkhidmatan AirBnB menjadikan Petaling Jaya bandar keempat tertinggi di Malaysia selepas Kuala Lumpur (11,624 unit), Pulau Pinang (3,673 unit) dan Melaka (1,913 unit),” katanya.

Terdahulu, satu bengkel menangani isu aktiviti penginapan komersil di bangunan diadakan di Dewan Banquet, Dewan Sivik MBPJ antara lain membincangkan isu berkaitan perkhidmatan AirBnB yang sehingga kini masih belum ada instrumen kawalan khas di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, kenyataan sama menyebut, terdapat beberapa isu perlu diberi perhatian terhadap perkhidmatan AirBnB yang jelas mengundang implikasi negatif sehingga mendapat bantahan bukan sahaja dalam negara, bahkan di seluruh dunia.

“Ketiadaan instrumen kawalan atau perundangan khas menyebabkan perkhidmatan AirBnB beroperasi tanpa lesen dan tindakan penguatkuasaan sukar dijalankan.

“Selain itu, kos operasinya yang rendah ekoran tidak terikat dengan peraturan dikenakan seperti hotel khususnya dalam penyediaan peralatan pencegahan kebakaran, tanggungan liabiliti awam (insurans), kenaan cukai pelancongan dan perniagaan serta caj bil utiliti bagi tujuan domestik menyebabkan wujudnya persaingan tidak sihat sehingga menjejaskan industri perhotelan.

“Isu keselamatan kepada pemilik unit kediaman dan penyewa turut dibangkitkan di mana kedua-duanya tidak dilindungi oleh agensi insurans sekiranya ada kemalangan serta perkara tidak diingini berlaku.

“Malah, isu keselamatan penduduk setempat menjadi tanda tanya ekoran kehadiran orang yang tidak dikenali dan sering bertukar di kawasan kejiranan, selain masalah kacau ganggu seperti halangan lalu lintas serta bunyi bising boleh menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat setempat,” katanya.

AirBnB adalah perkhidmatan diasaskan Brian Chesky, Joe Gebbia dan Nathan Blecharczyk pada 2008 yang membolehkan pemilik rumah menyewakan unit kediaman mereka kepada pelancong yang mahu mencari tempat penginapan dalam jangka masa singkat.

Sejak ditubuhkan, AirBnB sudah meraih pelanggan dengan pesat dan boleh digunakan di 190 negara, 34,000 bandar dengan jumlah keseluruhan unit kediaman sebanyak 2.5 juta di seluruh dunia

Categories
SELANGOR

22 premis perniagaan haram Taman Kanagapuram difail di mahkamah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Sebanyak 22 premis perniagaan haram di Taman Kanagapuram, difailkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di mahkamah dari 2017 hingga tahun lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, daripada jumlah itu, 18 premis disaman dan dijatuh hukum oleh mahkamah, manakala selebihnya dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Antara aktiviti yang diambil tindakan termasuk
pusat jagaan tanpa kelulusan adalah tujuh kes, aktiviti menjual kereta dan lori (lima kes), aktiviti servis kereta (satu kes) dan pameran motosikal (satu kes) sekali gus menjadikan keseluruhan 15 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv berhubung statistik penguat kuasaan MBPJ terhadap perniagaan haram, di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBPJ 2007, tindakan penyitaan dijalankan ke atas premis berlesen berdasarkan beberapa peruntukan.

“Ia termasuk Peruntukan UUK 38(1) iaitu pihak berkuasa melesen atau pegawai diberi kuasa yang menjalankan kuasa di bawah undang-undang kecil 36 dan 37, boleh menyita apa-apa benda yang semunasabahnya dipercayai olehnya sebagai mempunyai kaitan dengan atau dapat memberikan keterangan tentang pelakuan sesuatu kesalahan di bawah undang-undang ini.

“Peruntukan UUK 38(2) pula pihak berkuasa melesen atau pegawai diberi kuasa yang menyita apa-apa benda di mana-mana premis berlesesn di bawah perenggan (1) hendaklah menyediakan suatu senarai benda yang disita dan dengan segera menyerahkan suatu salinan ditandatangani olehnya kepada pemegang lesen, penghuni atau tuan punya premis berlesen itu atau pengkhidmat dan ejennya yang berada di premis berlesen itu,” katanya.