Categories
PBT SELANGOR

Bangunan MBSJ ditutup sementara, 11 kakitangan positif Covid-19

SHAH ALAM, 3 MEI: Seramai 11 kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) didapati positif Covid-19 dalam tempoh seminggu lepas, kata datuk bandarnya.

Noraini Roslan berkata ekoran kes terbabit, bangunan ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) ditutup mulai hari ini bagi melaksanakan kerja nyahkuman.

“Manakala, penutupan kaunter perkhidmatan pula selama 14 hari sehingga 14 Mei untuk kerja disinfeksi sebagai langkah proaktif membendung wabak ini.

“Disebabkan kes ini kesemua kontak rapat diarahkan membuat saringan dan kuarantin mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata orang ramai dinasihat menggunakan perkhidmatan secara dalam talian menerusi portal rasmi www.mbsj.gov.my atau transaksi melalui mesin kiosk atau hubungi Pusat Kawalan MBSJ di 03-8024 7700.

“Kami memohon maaf terhadap kesulitan yang dialami dan akan memaklumkan berhubung situasi terkini dari semasa ke semasa. Masyarakat juga diminta memberi kerjasama membendung pandemik ini,” katanya.

Bagi tujuan senarai urusan seperti yang disenaraikan di bawah, orang ramai boleh terus menghubungi dan berurusan dengan jabatan yang berkaitan :

Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, MBSJ
-Proses Pertukaran Pindah Milik Harta (Borang I) dan Pindah Milik Kerana Kematian (Borang J)
-Proses Pertukaran Alamat Cukai Pintu
-Proses Pembetulan Ejaan Nama Pemilik Cukai Pintu

Jabatan Pelesenan, MBSJ
-Permohonan Lesen Perniagaan dan Iklan (Bukan Osm)
-Permohonan Permit Berniaga Sementara
-Permohonan Lesen Hiburan
-Permohonan Permit Hiburan Sementara
-Permohonan Permit Kerusi Meja
-Permohonan Permit Kaki Lima
-Permohonan Pulangan Wang Cagaran

Jabatan Perbendaharaan, MBSJ
-Pas Kediaman (Rumah Dan Apartment)
-Pas OKU MBSJ

Jabatan Penguatkuasa, MBSJ
-Bayaran Kompaun Trafik Tunda
-Bayaran Kompaun Kenderaan Berat, Kompaun Kenderaan Buruk
-Bayaran Kompaun Yang Melibatkan Sitaan

Jabatan Bangunan Jabatan Bangunan, MBSJ
-Bayaran Kompaun

Jabatan Kesihatan, MBSJ
-Penyerahan Lencana Anjing

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ sasar kutipan kitar semula meningkat 20 peratus

PUCHONG, 29 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyasarkan kutipan kitar semula meningkat kepada 20 peratus tahun ini berbanding 18 peratus tahun lalu.

Datuk Bandarnya berkata beberapa langkah akan dilakukan untuk mencapai sasaran termasuk melibatkan penyertaan penduduk di kawasan taman perumahan dan kediaman berstrata.

“Buat masa ini sebanyak tujuh kawasan menjalankan pengasingan sisa kitar semula secara sukarela melibatkan penyertaan 3,000 isi rumah.

“Manakala, tahun ini pula kita sasarkan untuk menambahkan angka itu kepada dua kali ganda,” kata Noraini Roslan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bandar Bukit Puchong di sini.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han, Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir.

Noraini berkata pihaknya akan memberi insentif kepada pihak pengurusan sebagai galakan penghuni rumah strata terlibat sama dalam pengasingan sisa sampah itu.

“Jika sambutan baik, kita akan mula wajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah strata.

“Inisiatif pengasingan sisa pepejal di punca ini bukan hanya perlu diambil perhatian oleh penghuni rumah kediaman sahaja, sebaliknya kepada peniaga serta industri,” katanya.

 

 

Categories
PBT SELANGOR

Kabin kitar semula penduduk kumpul 28,950kg sampah

SUBANG JAYA, 26 MAC: Sebanyak 28,950 kilogram (kg) sampah kitar semula berjaya dikumpul lima Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ berkata kutipan itu dilakukan sepanjang tahun lalu membabitkan MPP Zon 4, 7, 13, 16 dan 19.

“Kabin kitar semula yang diletakkan di Pangsapuri Jati 2, Taman Subang Permai, Subang Jaya menerima kutipan tertinggi iaitu 9,285 kg diikuti Pangsapuri Putra, Seri Kembangan dengan 8,275kg.

“Antara yang dikumpulkan ialah kertas, kotak, plastik, tin besi dan tin aluminum,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Menurut beliau lagi, usaha lima MPP untuk mengurangkan sisa sampah ke tapak pelupusan itu membolehkan komuniti berkenaan menerima wang tunai RM500.

Katanya, penyampaian sumbangan itu dilakukan Tetra Pak dan KPT Recycle selaku pihak yang menyediakan kabin kitar semula.

“Pemberian ini bagi menggalakkan MPP untuk membuat hebahan kepada penduduk berkaitan inisiatif kabin kitar semula yang disediakan di kawasan mereka.

“Majlis juga yakin kerjasama sebegini dapat mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Sasar sifar penjaja tepi jalan, MBSJ gesa niaga di tapak tersedia

PUCHONG, 17 JAN: Penjaja di sekitar Jalan Taqwa di sini diharap menerima cadangan pemindahan ke Dataran Penjaja Puchong Permai, kata Datuk Bandar Subang Jaya.

Noraini Roslan berkata langkah tersebut seiring visi Subang Jaya ke arah bandar raya bebas penjaja tepi jalan seperti di kebanyakan negara maju.

“Justeru kita harap mereka menerima dengan terbuka perubahan ini. Gerai penjaja tidak teratur dan berdekatan dengan jalan raya menyebabkan kesesakan.

“Lokasi baharu disediakan mampu menempatkan lebih 60 penjaja selain lebih selesa, berbumbung serta strategik kerana terletak bersebelahan pasar tani,” katanya.

Dr Siti Mariah Mahmud meluangkan masa melawat gerai peniaga ketika Majlis Pembukaan Pusat Penjaja di Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud pada Majlis Penyerahan Bantuan Gerai Mudah Alih di Dataran Penjaja Puchong Permai hari ini.

Sementara itu penjaja ditemui menyambut baik inisiatif Dr Siti Mariah dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk menyediakan tapak baharu yang luas dan selesa.

Peniaga nasi ayam, Osman Mahmud ketika ditemu bual SelangorKini. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Peniaga nasi ayam, Osman Mahmud, 67, berkata lokasi baharu lebih selamat kerana berbumbung serta tapak parkir yang luas memudahkan pengunjung.

Bagi peniaga lontong dan soto, Mohd Ahmad Tamrin, 52, dia bersyukur dengan bantuan tersebut serta berharap lebih ramai penjaja tepi jalan berpindah ke lokasi tersebut.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai dan melanggar syarat.

MBSJ berkata penjaja di kawasan tersebut diberi masa mencukupi untuk berpindah sejak 2019.

Categories
PBT SELANGOR

24 ahli majlis MBSJ angkat sumpah jawatan

SHAH ALAM, 7 JAN: Seramai 24 ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) termasuk enam muka baharu mengangkat sumpah jawatan semalam.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata kesemua lantikan itu akan berkhidmat secara rasmi mulai 1 Januari hingga 31 Disember tahun depan.

Menurutnya, 13 daripada kuota jawatan berkenaan mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), KEADILAN (tujuh) dan Parti Amanah Negara (empat).

“Pelantikan ahli majlis ini diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 43/2020 dengan 19 daripada mereka akan melaksanakan tugas berkuat kuasa pada tarikh mengangkat sumpah,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Upacara angkat sumpah dan bacaan ikrar integriti dilakukan di hadapan Datuk Bandar Noraini Roslan dan timbalannya Mohd Zulkurnain Che Ali di Bilik Mesyuarat 2, Aras 3, Ibu Pejabat MBSJ.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ roboh 20 struktur iklan haram, ancam keselamatan

SHAH ALAM, 19 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan 20 unit struktur paparan iklan haram di atas tanah rizab kerajaan semalam.

Menurut MBSJ struktur paparan iklan itu tidak mempunyai kelulusan daripada aspek penempatan dan visual.

“Hal ini menyebabkan tahap keselamatan struktur diragui dan visual yang dipaparkan kepada orang ramai tidak mematuhi piawaian MBSJ dan Kementerian Kerja Raya.

“Selain itu, penempatan paparan iklan ini tidak teratur dan mencacatkan pemandangan sekitar,” kata pihak berkuasa tempatan berkenaan di Facebook.

Semalam, Operasi Tindakan Penguatkuasaan Struktur Paparan Iklan itu dijalankan di Kilometer (KM) 7.3 hingga KM17.7 Lebuhraya Persekutuan.

Operasi turut dihadiri Datuk Bandar MBSJ, Noraini Roslan dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar/ Pembangunan Kementerian Kerja Raya Malaysia, Datuk Badrul Hisham Mohd.

Categories
PBT SELANGOR

Projek pembangunan MBSJ tahun depan, penuhi keperluan penduduk

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merangka beberapa projek pembangunan pada tahun hadapan untuk kemudahan masyarakat.

Datuk bandar Subang Jaya berkata sebuah kompleks sukan baharu dinamakan Arena Puchong akan mula dibina hujung tahun ini dan kini dalam fasa sebut harga.

“Kompleks ini akan menempatkan gelanggang futsal berkapasiti 900 penonton mengikut spesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), kolam renang dan kompleks sukan mesra wanita,” kata Noraini Roslan ketika sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan MBSJ juga akan membina sebuah jejambat di Persiaran Kewajipan awal tahun hadapan dengan kos RM30 juta serta sambungan jalan di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan dan di Serdang berjumlah RM7 juta.

Selain itu, katanya, pembinaan jalan keluar dari Bukit Tandang, Puchong ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas) bernilai RM6 juta.

“MBSJ turut memperuntukkan RM7 juta hasil kutipan cukai bagi pembangunan fizikal berskala kecil dan keutamaan bentuk pembangunan akan dibincangkan bersama penduduk setempat menerusi dialog awam,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Rizab cukup, MBSJ mampu terus beri khidmat terbaik

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mempunyai rizab kewangan mencukupi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik tahun hadapan walaupun terkesan dengan pandemik Covid-19.

Datuk bandar Subang Jaya berkata penjimatan perbelanjaan sejak 2018 membolehkan MBSJ menyusun keutamaan pembangunan kerana pengurangan hasil dijangka berlaku tahun ini.

“Pendapatan walaupun berkurangan dengan penjimatan dilakukan, MBSJ mempunyai rizab mencukupi menampung perbelanjaan tahun ini dan tahun hadapan. Tahun hadapan kita akan kumpul lagi untuk tahun seterusnya,” kata Noraini Roslan ketika sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan jangkaan kutipan hasil MBSJ tahun ini sekitar RM256 juta disebabkan Covid-19 sambil dipengaruhi faktor lain berbanding RM292 juta tahun lalu dan RM272 juta (2018).

Noraini berkata pihaknya telah mula bekerjasama dengan rakan sinergi untuk menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan seperti Pemberdayaan Komuniti B40 serta Bandar Pintar sejak dua tahun lalu tanpa bergantung kepada peruntukan MBSJ.

“Langkah itu bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan malah MBSJ dapat bertukar pandangan bersama pihak luar untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan demi manfaat masyarakat,” katanya.

Noraini turut memberi jaminan perbelanjaan perkhidmatan seperti pembersihan diuruskan KDEB Waste Management, menampal jalan dan pembayaran bil elektrik mampu diteruskan menggunakan rizab sedia ada sambil disokong dengan hasil Kumpulan Wang Perkhidmatan Kemajuan (ISF).