Categories
PBT SELANGOR

Kilang barang dobi beroperasi tanpa lesen, langgar SOP dikompaun

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sebuah kilang pembekal barangan dobi di Taman Perindustrian Subang diberi dua notis tawaran kompaun kerana beroperasi tanpa lesen serta tiada permit pejabat urusan.

Tindakan mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007 dibuat semasa operasi bersepadu dijalankan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 7 Julai.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ berkata polis turut mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik premis kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

“Di bawah bidang kuasa polis, kompaun pelanggaran dikeluarkan atas kesalahan premis beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti),” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan semalam.

Beliau mengingatkan orang ramai serta pengusaha kilang terus mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SOP kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pemantauan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan dalam usaha pencegahan serta pengawalan pandemik,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

Program tukar barang kitar semula kepada keperluan asas bantu golongan B40

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan ‘Barter Trade Market’ iaitu program pertukaran barangan kitar semula milik penduduk kepada bahan keperluan asas dalam membantu keluarga berpendapatan rendah (B40).

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya memaklumkan kaedah digunakan buat julung kalinya pada 21 Mac lalu di bawah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3 itu bertujuan mendidik golongan ini yang tidak hanya menerima bantuan tetapi juga turut menyumbang barangan berkaitan kepada majlis.

“Inisiatif seperti itu membuatkan penerima berasa lebih bermakna kerana berbakti kepada masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kitar semula dan memupuk budaya amalan berkenaan kepada mereka.

“Pada program dianjurkan di Pusat Kitar Semula & E-Waste Pangsapuri Sri Tanjung, Subang Jaya sebanyak 205 kilogram (kg) barangan tersebut berjaya dikumpul dan ditukarkan kepada 205 kg ikan,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan.

Beliau berkata, program berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai lagi jenis pertukaran seperti sayur, beras, tepung dan keperluan asas lain.

“Selain daripada pelbagai jenis makanan MBSJ juga akan menyediakan keperluan barangan dapur serta pertukaran buku dan alat tulis bagi golongan pelajar,” katanya menambah penduduk memberi sambutan baik dan berminat untuk turut serta dalam program selepas ini.

 

Categories
PBT SELANGOR

Peniaga berlesen boleh beroperasi di Dataran Niaga Puchong Permai

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersetuju memberi kebenaran aktiviti pasar malam dijalankan di Dataran Niaga Puchong Permai, Puchong.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata bagaimanapun pasar malam dijalankan pada Selasa setiap minggu bermula 23 Mac ini hanya boleh disertai peniaga berlesen sahaja.

“Mereka perlu melalui proses temuduga berdasarkan prosedur sedia ada memandangkan ada yang tidak berdaftar dengan MBSJ.

“Pasar malam tersebut diuruskan majlis dan hanya peniaga yang memenuhi syarat permohonan lesen pasar malam boleh dipertimbangkan,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan.

Syarat berkenaan dikenakan MBSJ susulan Persatuan Peniaga Pasar Puchong sebelum ini memohon untuk menjalankan aktiviti itu dengan kelolaan mereka sendiri tetapi ditolak.

Mengulas lanjut, Azfarizal berkata pada 10 Mac lalu pihaknya mengadakan sesi temuduga bagi memberi peluang kepada peniaga untuk menjalankan perniagaan di dataran itu dan pihak yang berjaya boleh mula beroperasi pada tarikh ditetapkan.

Categories
EXCO SELANGOR

Lapor lokasi sampah haram, ahli majlis MBSJ diugut

PUCHONG, 8 FEB: Seorang ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah diugut selepas membuat laporan mengenai aktiviti pembuangan sampah haram.

EXCO kerajaan tempatan berkata perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ahli majlis dilantik Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan menjaga sesebuah kawasan dan kebajikan penduduk.

“Kita kesal dengan kejadian ini namun laporan polis sudah dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil kepada pihak berkaitan yang membuang sampah haram di tebing sungai,” kata Ng Sze Han kepada media selepas meninjau lokasi pembuangan sampah haram di Taman Mawar di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid.

Sementara itu Ahli Majlis MBSJ, Kenneth Sam berkata kejadian tersebut tidak akan mematahkan semangatnya walaupun baru sahaja dilantik Januari lalu.

Menurutnya, kejadian dua minggu lalu dialami apabila seseorang menghubunginya memberi amaran supaya tidak mengganggu aktiviti dijalankan di kawasan berkenaan.

“Selain itu, saya turut menerima mesej ugutan. Diharap perkara ini disiasat segera selepas laporan polis dibuat.

“Saya akan pastikan lokasi tersebut dibersihkan selepas ini bagi mengelak pencemaran sungai dan tiada lagi kegiatan pembuangan sampah haram,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

24 ahli majlis MBSJ angkat sumpah jawatan

SHAH ALAM, 7 JAN: Seramai 24 ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) termasuk enam muka baharu mengangkat sumpah jawatan semalam.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata kesemua lantikan itu akan berkhidmat secara rasmi mulai 1 Januari hingga 31 Disember tahun depan.

Menurutnya, 13 daripada kuota jawatan berkenaan mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), KEADILAN (tujuh) dan Parti Amanah Negara (empat).

“Pelantikan ahli majlis ini diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 43/2020 dengan 19 daripada mereka akan melaksanakan tugas berkuat kuasa pada tarikh mengangkat sumpah,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Upacara angkat sumpah dan bacaan ikrar integriti dilakukan di hadapan Datuk Bandar Noraini Roslan dan timbalannya Mohd Zulkurnain Che Ali di Bilik Mesyuarat 2, Aras 3, Ibu Pejabat MBSJ.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pusat Penjaja Puchong Permai sedia beroperasi, miliki lot niaga luas

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat niaga yang menempatkan penjaja sekitar Puchong Permai kini sedia digunakan, maklum Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Timbalan pengarah Jabatan Korporatnya dalam kenyataan berkata kawasan yang dilengkapi struktur berbumbung dibina pada 1 Julai tahun lalu dengan kos RM280,230.

Azfarizal Abdul Rashid menjelaskan ia boleh memuatkan 64 lot tapak penjaja bersaiz 10×10 kaki setiap satu selain penyediaan kiosk berukuran 6×3 kaki.

“MBSJ berharap penjaja dapat memanfaatkan kemudahan disediakan sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan aduan di Bulatan Puchong Permai,” katanya menambah kawasan berkenaan turut dilengkapi taman permainan dan parkir yang luas.

Jelas Azfarizal, pusat penjaja baharu itu berada dalam kawasan strategik iaitu bersebelahan tapak pasar tani yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap Ahad.

Beliau berkata bekas tapak Uptown Puchong bersebelahan kawasan tersebut pula akan dibangunkan sebagai medan selera dan padang bola mulai tahun ini.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai kerana melanggar syarat permit sementara.

MSBJ dalam kenyataan semalam berkata penjaja diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019, namun ditangguh beberapa kali selepas mereka meminta tempoh sehingga November 2020.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ: Pusat penjaja baharu strategik, banyak kemudahan asas

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat penjaja baharu yang akan menempatkan peniaga Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai berada dalam kawasan strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata lokasinya bersebelahan tapak pasar tani yang menjadi tumpuan orang ramai pada setiap Ahad.

Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan tapak baharu itu juga bersebelahan pusat perniagaan Uptown Puchong yang pernah popular dalam kalangan penduduk.

“Bekas tapak Uptown Puchong bersebelahan pusat penjaja berkenaan akan dibangunkan sebagai medan selera dan padang bola pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan pusat perniagaan tersebut turut menyediakan taman permainan kanak-kanak dan parkir yang luas bagi memudahkan urusan pengunjung.

Jelas Azfarizal lagi, penjaja akan diberi tapak lebih besar berkeluasan 10×10 kaki berbanding ukuran biasa 8×8 kaki selain kemudahan kiosk seragam bersaiz 6×3 kaki.

Tambahnya, pemindahan berkenaan sebahagian daripada inisiatif MBSJ bagi menempatkan semula penjaja sekitar kawasan Puchong Permai secara sistematik.

“Terdapat beberapa lagi penjaja yang dikenal pasti di kawasan berhampiran yang akan dipindahkan ke pusat penjaja tersebut bagi fasa seterusnya,” kata beliau.

Penjaja diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019, namun ditangguh beberapa kali selepas mereka merayu tempoh sehingga November 2020.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang melanggar syarat permit sementara termasuk menyewakan lesen kepada pihak ketiga demi mengaut untung.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSJ: Premis di Puchong Permai tidak sesuai, peniaga langgar syarat

SHAH ALAM, 5 JAN: Penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai didapati melanggar syarat permit sementara termasuk menyewakan lesen kepada pihak ketiga demi mengaut untung, kata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Timbalan pengarah jabatan korporatnya berkata aktiviti perniagaan juga tidak menepati konsep asal apabila penjaja dikesan membina struktur kekal, meninggalkan barangan niaga serta meletakkan kerusi dan meja pelanggan di kawasan berkenaan.

“Mereka membuka kedai makan seperti kapasiti restoran, kedai baju terpakai, premis cuci kereta dan kedai runcit sedangkan jenis ini hanya sesuai di lot kedai, bukan kawasan awam.

“Ada juga yang menjual barang basah seperti di pasar awam, pasar tani, pasar pagi atau pasar malam,” kata Azfarizal Abdul Rashid menerusi kenyataan.

Jelasnya lagi, syarat tidak membenarkan warga asing berniaga turut dilanggar apabila pemilik lesen dikesan menggajikan golongan itu.

“Perniagaan mereka telah menimbulkan kacau ganggu lalu lintas serta aspek keselamatan malah orang awam juga sering merungut dan mengadu kepada majlis.

“Jadi lokasi ini tak sesuai untuk tapak menjaja selain ia terlibat dengan kerja naik taraf infrastruktur. Oleh demikian MBSJ ambil inisiatif memindahkan peniaga sekitar Puchong Permai ini ke satu tempat lebih teratur dan selesa,” katanya.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan serta melanggar syarat selepas diberi masa berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Penjaja Puchong Permai diberi cukup tempoh kosongkan premis

SHAH ALAM, 5 JAN: Penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai diberi masa mencukupi untuk berpindah dan mengosongkan premis sejak 2019.

Notis pengosongan lokasi pertama kali dikeluarkan pada 24 September 2019 dan sekali lagi pada 13 Mei 2020 sebelum operasi perobohan dilaksanakan.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata perobohan ditangguh lagi selepas penjaja merayu tempoh sehingga November 2020.

Azfarizal Abdul Rashid menjelaskan pihaknya juga sudah mengadakan tiga kali perbincangan dengan peniaga berkenaan berhubung pemindahan tersebut.

“Operasi perobohan yang dilaksanakan pada 28 Disember 2020 mengambil kira tempoh mencukupi dan kesediaan pusat penjaja baharu untuk pemindahan peniaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah terdapat 36 peniaga di situ berdasarkan tiga kali bancian mulai 2019 dan hanya 31 daripadanya layak dipindahkan.

Pada 28 Disember 2020, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan dan melanggar syarat.

Tindakan dibuat mengikut Seksyen 46(1)(a) & 70(13)(c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Categories
SELANGOR

Karnival Merdeka MPSJ sedia pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menganjurkan Karnival Merdeka MPSJ 2018, pada 26 Ogos ini.

Bertempat di Perkarangan Arena MPSJ, Persiaran Perpaduan USJ 5, program dijadual berlansung pada 7.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, penganjuran karnival itu bertujuan memberi kesedaran dan memupuk semangat patriotisme cintakan negara.

“Ia juga dianjurkan sebagai platform mengeratkan lagi hubungan silaturahim melalui penyertaan masyarakat di dalam aktiviti yang dianjurkan semasa karnival ini berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara aktiviti disediakan adalah Merdeka Fun Walk & Fun Ride, Persembahan Kombo, Kelas Kraftangan, Eco Free Market dan Wish List.

Selain itu, turut dianjurkan Pertandingan Indoor Games, mewarna, sukan traditional, sepakan penalti, soccer kids, karaoke serta gubahan manisan.

“Hadiah wang tunai menanti pengunjung yang hadir memakai pakaian bertemakan kemerdekaan.

“Sebanyak 500 pokok herba diberi kepada peserta Fun Walk terawal,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ tawar flate rate RM10 dalam promosi bayar kompaun

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuka peluang kepada orang ramai untuk menyelesaikan kompaun RM10 pada kadar flat rate bagi kesalahan lalulintas di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Timbalan Pengarah Korporat Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tawaran terbuka sehingga 30 April ini.

“Objektif bagi Kempen Pembayaran Kompaun ini memberi peluang kepada pesalah trafik menyelesaikan kompaun tertunggak mereka sebelum tindakan lebih tegas dikenakan terhadap mereka.

“Ia juga dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pesalah trafik membuat penyelesaian kes di luar Mahkamah dengan penawaran kadar lebih rendah iaitu mengikut kadar promosi.

“Selain itu, pelaksanaannya juga bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab di atas kesalahan yang mereka lakukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kadar ‘Flat Rate’ adalah untuk semua kesalahan trafik kecuali Kesalahan Di Bawah Perintah 2, Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Berat) MPSJ 2012 Melebihi 10 Tan.

“MPSJ berharap semua pesalah mengambil inisiatif menyelesaikan kompaun tertunggak pada minggu terakhir ini.

“Kegagalan menyelesaikan tunggakan kompaun boleh mendatangkan tindakan perundangan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ anjur Pertandingan Video ‘Kitar Semula Bermula Dari Rumah’

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Pertandingan Video ‘Kitar Semula Bermula Dari Rumah’ pada 1 April hingga 31 Mei ini.

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pertandingan itu diadakan selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar sebagai satu tanggungjawab individu bermula dari rumah.

“Karya dihasilkan perlulah hasil kerja asal peserta yang mengandungi nilai-nilai murni dan tidak mengandungi unsur-unsur sensitiviti seperti perkauman, kebudayaan, keagamaan dan politik.

“Pemilihan pemenang adalah berdasarkan kepada video yang dapat menyampaikan mesej dengan tepat,” katanya dalam kenyataan.

Pertandingan dibuka secara percuma kepada semua warga berusia 12 tahun ke atas dan merupakan penduduk MPSJ.

“Setiap peserta dihadkan menghantar satu penyertaan sahaja berdurasi tidak melebihi tempoh tiga minit mengenai tatacara mengitar semula bahan dari dapur atau rumah.

“Justeru, MPSJ menyeru semua komunitinya untuk turut serta dan menangi ganjaran wang tunai serta sijil penghargaan,” tambahnya lagi.

Penyertaan yang lengkap hendaklah di kemukakan melalui aplikasi whatsapp kepada urusetia pertandingan di 011-36861267 dan kemukakan fail dalam bentuk CD.