Categories
PBT SELANGOR

MDHS, MGCC meterai MoU My Relamp Project

SHAH ALAM, 29 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGCC) bagi pelaksanaan aktiviti penukaran lampu biasa kepada lampu cekap tenaga, menerusi My Relamp Project, kelmarin.

MDHS diwakili Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin manakala MGCC oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Bahar Mohd Nor dalam majlis diadakan di Hotel Marriot Putrajaya.

Jurucakap Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, memaklumkan MDHS antara empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini yang terpilih untuk merintis projek berkenaan.

“Projek rintis bagi pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) di peringkat PBT ini turut disertai Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Langkawi dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang sebagai usaha menyokong inisiatif bandar rendah karbon.

“Ia dibiayai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dengan kerjasama Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit, sebuah agensi pakar teknikal dilantik Kerajaan Jerman dan MGCC dilantik sebagai agensi pelaksana,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam majlis sama, MDHS turut menerima plak National Building Energy Label daripada Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dengan pencapaian penarafan tiga bintang.

Categories
PBT SELANGOR

Kakitangan MDHS, penyewa premis gotong-royong bersih dewan

HULU SELANGOR, 15 FEB: Seramai 70 kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) termasuk penyewa premis bergotong-royong membersihkan Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali di sini semalam.

Program bermula pada 3 petang itu bertujuan meningkatkan kebersihan, keceriaan dan keselamatan premis selain mengeratkan hubungan silaturahim antara penyewa serta kakitangan.

Jurucakap MDHS berkata kerja pembersihan meliputi bahagian dalam serta luar dewan seperti longkang, tandas, surau, lantai dan sekitar kawasan terbabit.

“Lokasi ini dipilih berdasarkan kekerapan penyewaan dewan oleh masyarakat setempat untuk aktiviti kenduri, pertandingan sukan dan ceramah. Oleh itu, kebersihan dan keceriaan penting untuk memberi keselesaan kepada penyewa,” katanya dalam kenyataan.

MDHS turut memaklumkan pihaknya menyasarkan program terbabit dijalankan tiga kali setahun dengan tumpuan di kawasan harta pentadbiran mereka seperti pasar awam, premis makanan dan dewan komuniti.

“Ia bagi mewujudkan rasa tanggungjawab dalam menjaga kemudahan yang disediakan dan pembersihan tidak bergantung kepada PBT sahaja, malah penyewa juga perlu memainkan peranan memastikan premis disewa sentiasa kemas serta bersih,” kata kenyataan itu.

Categories
PBT SELANGOR

Tiga premis kotor di Hulu Selangor ditutup 14 hari

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menutup tiga premis makanan di Hulu Selangor selama dua minggu berkuat kuasa sejak Rabu lalu serta semalam kerana beroperasi dalam keadaan kotor, kata jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA)nya.

Katanya, arahan dikeluarkan Unit Kawalan Mutu Makanan terhadap premis di Kalumpang, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali itu berdasarkan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDHS) 2007 dan pemilik premis perlu melaksanakan kerja pembersihan sepanjang tempoh penutupan.

“MDHS meminta mereka menjaga kebersihan, terutama premis hendaklah bebas daripada sebarang tikus atau serangga seperti lipas dan lain-lain.

“Sekiranya pemilik premis gagal mematuhinya, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas seperti penawaran notis kompaun atau penutupan premis,” kata kenyataan dimuat naik di Facebook JPSPPA semalam.

Pihaknya turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada JPSPPA di talian 03-60641050 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam jika terdapat aduan berkaitan premis makanan kotor.

Categories
PBT SELANGOR

Pertandingan tandas bersih MDHS sehingga Ogos

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 17 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menganjurkan Pertandingan Tandas Bersih peringkat Daerah Hulu Selangor 2019 bermula Mei sehingga Ogos ini.

MDHS dalam kenyataan berkata, penganjuran itu julung kali diadakan dan bakal dijadikan acara tahunan pada masa akan datang.

“Pertandingan ini dibuka kepada semua premis dan sebanyak lima kategori akan dipertandingkan antaranya stesen minyak, jabatan kerajaan, pusat ibadah, sekolah serta premis makanan.

“Sebagai daerah eko pelancongan, kebersihan tandas amat penting dalam mencerminkan imej sesebuah kawasan dan memberikan keselesaan kepada penggunanya,” katanya.

MDHS berkata, juara pertandingan berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan, naib juara RM300, ketiga RM200 dan saguhati RM100 juga disertakan sijil.

Katanya, tempoh akhir penghantaran borang penyertaan adalah pada 31 Mei.

Proses penilaian dilakukan urusetia dari setiap jabatan teknikal MDHS dan akan dinilai pada Ogos berdasarkan kriteria ditetapkan.

Untuk maklumat lanjut, boleh lawati facebook Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor atau hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDHS di talian 03-6064 1050.

Categories
PBT SELANGOR

MDHS sasar PBT pertama laksana LCCF

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 4 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyasarkan menjadi pihak berkuasa tempatan pertama melaksanakan Inisiatif Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) selaras dengan Pelan Strategik MDHS 2019-2023.

Yang DiPertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya berhasrat mahu mendapatkan Provisional Certificate dari Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Malaysia Green Technology Corporation, tahun ini.

“Penilaian nanti akan dilihat dari segi inisiatif dan komitmen MDHS dalam memastikan penggunakan teknologi hijau serta pengurangan pelepasan karbon.

“Antara usaha yang kita sudah jalankan seiring dengan LCCF adalah Hari Tanpa Kenderaan, Kebun Komuniti dan Program Kitar Semula 3R (Reduce, Reuse, Recycle),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zamani Ahmad Mansor di Setia Eco Templer’s, di sini, semalam.

Turut diadakan Gimik Pelancaran Pelan Strategik MDHS 2019-2023.

Sementara itu, katanya, bagi peringkat permulaan, MDHS memilih Kuala Kubu Bharu seluas 131.06 hektar bagi Kawasan Bandar Rendah Karbon dan seterusnya akan diperluaskan ke seluruh Daerah Hulu Selangor pada tahun akan datang.

“Banyak teras yang kita mahu laksanakan dalam Pelan Strategik MDHS 2019-2023 dan antaranya mahu menjadi bandar rendah karbon.

“Ini bukan sekadar penulisan dan kata-kata tetapi kita akan berusaha untuk mencapai hasrat berkenaan dalam jangka masa lima tahun ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 35 kakitangan MDHS menerima penghargaan menerusi APC 2018 dengan membawa pulang sijil dan wang tunai.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
PBT SELANGOR

35 kakitangan MDHS terima APC

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 4 MEI: Seramai 35 kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menerima penghargaan menerusi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 di Setia Eco Templer’s, di sini, malam tadi.

Yang DiPertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, penerima dipilih melalui tapisan dan kriteria ditetapkan Panel Pembangunan Sumber Manusia MDHS dan perakuan Pengarah Jabatan serta Ketua Bahagian masing-masing.

Katanya, beliau optimis menerusi pengiktirafan dan penghargaan seumpama itu menjadi pendorong serta penyuntik semangat kepada semua kakitangan untuk terus berkhidmat dengan lebih berkualiti sekali gus menjadi mentor kepada rakan lain.

“Ramai dalam kalangan kakitangan MDHS cemerlang namun untuk menerima anugerah sebegini ia harus menjadi lebih kreatif daripada itu.

“Tahniah diucapkan kepada penerima namun jangan sesekali pernah selesa dengan kejayaan ini sebaliknya terus tingkatkan mutu prestasi dan menceburkan diri secara meluas dalam luar bidang kerja kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Anugerah APC 2018 yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zamani Ahmad Mansor.

Turut diadakan Gimik Pelancaran Pelan Strategik MDHS 2019-2023.

Pada masa sama, Shukri berkata, beliau menyeru kepada kakitangan untuk sentiasa bersikap sayangkan MDHS, seronok bekerja, bertanggungjawab dan berintegriti.

“Sebagai anggota perkhidmatan awam di Selangor, kita hendaklah terus berusaha gigih dan saling membantu dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam selain menonjolkan daya kepimpinan,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Jom ke Ekspo WLAM 6 & 7 April ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 APR: Orang ramai terutama yang berada di sekitar Hulu Selangor dijemput hadir ke Eskpo ‘World Landscape Architecture Month’ 2019 di Taman Awam Jenjarum, Bukit Beruntung.

Ekspo anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) itu diadakan selama dua hari bermula 6 hingga 7 April ini.

Berdasarkan kenyataan di Facebook MDHS, program yang disambut setiap tahun pada April itu bertujuan mengiktiraf Senibina Landskap serta menghubungkan American Society Landscape Architecture (ASLA) dengan arkitek landskap dan organisasi lain.

 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan selama dua hari itu antaranya Pertandingan Rekabentuk Landskap, Pertandingan Fotografi Landskap dan program indah persekitaran.

Selain itu, turut diadakan Kejohanan Sukan WLAM 2019 dan Cyber Games pertandingan mewarna dan jigsaw puzzle khas kepada kanak-kanak serta pertandingan gubahan pasu untuk dewasa.

Untuk maklumat lanjut dan syarat penyertaan, sila hubungi Jabatan Landskap di talian 03-6064 1726.

 

Categories
PBT SELANGOR

Sedia tong sampah, elak penting diri sendiri – MDHS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menggesa penduduk khususnya di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah (SEMEKAP) supaya menyediakan tong sampah individu di kediaman masing-masing.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MDHS berkata, pihaknya akan menjalankan kutipan sampah domestik dari rumah ke rumah dengan kekerapan tiga kali seminggu.

“Kami mengesan terdapat satu lokasi di parkir kereta berhadapan sekolah terbabit menjadi tempat pembuangan sampah domestik secara haram.

“Sebelum ini, kerja pembersihan di lokasi berhampiran sudah dijalankan secara berkala oleh pihak kami namun ekoran sikap mementingkan diri sendiri masih ada penduduk yang membuang sampah domestik di lokasi berkenaan.

“Sebaliknya mereka tidak mahu menyediakan tong sampah individu di premis rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penghuni di setiap rumah perlu mempunyai tong sampah bagi mengelakkan dikenakan kompaun daripada pihak berkuasa.

“Berdasarkan Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDHS) 2007, penghuni rumah perlu mempunyai tong sampah bertutup dan harus diselenggara dengan baik.

“Kesalahan ini jika didapati benar boleh dikompaun tidak melebihi RM1,000 atau jika disabitkan di mahkamah, boleh didenda tidak melebihi RM2,000, atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagaimanapun, penduduk turut diminta mengajukan aduan kepada JPSPPA di talian 03-60641050 jika kutipan sampah domestik di perumahan gagal dilaksanakan pihak berkaitan.

Categories
SELANGOR

MB saran MDHS majukan sektor pelancongan

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 28 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi saranan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk memajukan lagi sektor pelancongan di daerah berkenaan.

Amirudin berkata, Hulu Selangor mempunyai aset-aset pelancongan yang amat berharga dan berupaya menjadi daya tarikan bukan sahaja kepada pelancong di peringkat tempatan tetapi di peringkat antarabangsa serta serantau.

“Dalam taklimat saya bersama MDHS, saya meminta mereka untuk membuat pelan bagi memajukan lagi bidang pelancongan di daerah ini dan melaksanakan kemudahan sedia ada terutama di kawasan sempadan yang sememangnya menjadi tarikan pelancong.

“Kita sedia maklum bahawa Genting Highland dan Fraser Hills kedua-duanya bersempadan dengan Hulu Selangor jadi kita perlu melaksanakan pembangunan dan pelan untuk memajukan program pelancongan di sini dengan lebih pesat lagi seperti negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Majlis Perasmian Laluan Baru Bas Smart Selangor di Masjid Jamek Ar Rahimah, Kuala Kubu Bharu, di sini.

Amirudin berkata, beliau turut mengingatkan dalam usaha memajukan sektor pelancongan di daerah berkenaan, aspek alam sekitar seperti hutan juga harus terpelihara supaya dapat memastikan kehijauan diperkukuhkan dan dipelihara dengan baik.

“Kemudahan daripada segi fasiliti turut perlu dilaksanakan terutama di kawasan sempadan yang menjadi daya tarikan pelancong,” katanya.

Pada masa sama, mengulas mengenai perasmian laluan baru Bas Smart Selangor, Amirudin berkata, laluan tersebut adalah di kawasan Batang Kali manakala terdahulu adalah Bukit Beruntung dan kemungkinan akan datang laluan baru bakal dibuka iaitu di Sungai Buaya.

Terdahulu, rangka kerja Dato’ Menteri Besar itu diteruskan dengan mengadakan Lawatan Tapak ke Projek Pembesaran Kampung Melayu Rasa, Ampang Pecah.

Beliau turut mengadakan lawatan tapak dalam menangani isu Jalan Missing Link dari Tol Bukit Beruntung ke Persiaran Kuala Kali dan diakhiri dengan Lawatan Tapak Isu Brownfield, di Apartment Trompet, Bukit Beruntung.

Program Jelajah Maju Bersama dilaksanakan bagi mendekati masyarakat luar bandar di seluruh negeri dan meninjau keperluan rakyat tanpa mengambil kira perbezaan agama, bangsa serta fahaman politik.

Categories
SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MDHS Sabtu ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 20 SEPT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan mengadakan Sambutan Hari Tanpa Kenderaan bagi September, di hadapan Pejabat Pos Bandar Kuala Kubu Bharu, di sini, pada 22 September ini.

Sambutan memasuki edisi kedua itu tampil dengan tema “Sayangi Alam Sekitar”, yang membawa maksud tiada penggunaan kenderaan bermotor pada hari berkenaan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Junainah Abdullah berkata, program bermula seawal jam 6.30 pagi itu sarat dengan acara menarik buat pengunjung untuk melakukan riadah seisi keluarga

“Ia termasuk larian santai sejauh 2.5 kilometer, kayuhan basikal, menaiki kereta kuda dan sukan tradisional.

“Selain itu, ada juga aktiviti ‘Skutterblade’, ‘Rollerblade’, ‘Skateboard’, ‘Hoverboard’, kereta bateri kanak-kanak, senamrobik, buskers, ‘Flee Market’, sewaan basikal, mewarna terbuka dan Supa Dupa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan secara percuma melalui ‘Eco Free Market’.

Katanya, semua barang dalam keadaan baik sekali gus meringankan beban orang ramai bagi memiliki keperluan terbabit.

“Dengan konsep tanpa pembaziran dan mengurangkan penggunaan karbon ke arah pembangunan mampan, program tidak menyediakan plastik.

“Orang ramai perlu membawa beg sendiri, urus sampah sendiri, ambil sendiri secara beradab mengikut keperluan tanpa sebarang urusan jual beli atau pertukaran barang,” katanya.

Mengulas mengenai lokasi pemilihan Kuala Kubu Bharu sebagai lokasi penganjuran, Junainah berkata, ia memandangkan kesesuainnya dari segi susun atur jalan dan bandar.

“Pengunjung berpeluang menikmati keindahan landskap dan reka bentuk bangunan bersejarah yang dirancang dengan menggunakan konsep Bandar Taman.

“MDHS turut berhasrat untuk menganjurkan sambutan ini pada minggu ketiga setiap bulan,” katanya.

Categories
SELANGOR

World #QuranHour beri peluang warga MDHS dalami al-Quran

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 10 JUN: Lebih 100 kakitangan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memeriahkan program World #QuranHour di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bahru, baru-baru ini.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Junainah Abdullah berkata, program kerjasama Karangkraf dan Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Se-Malaysia itu bertujuan memupuk warga kerja MDHS menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

“Kami juga mahu menerusi program ini, ia menjadi satu landasan solidariti Umat Islam membawa kitab suci itu pada peringkat tertinggi.

“Warga kerja turut diingatkan bahawa mempelajari al-Quran bukan setakat mempelajari cara membaca dan hukum tajwid, malah mengetahui dan memahami isi al-Quran,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, program dimulakan dengan taklimat pembacaan, disusuli sesi tadabbur dan tazakkur surah pilihan iaitu surah Al-Luqman ayat 1 hingga 34 oleh Ustaz Abdullah Shahrul.

“Melalui sesi tazakkur dan tadabbur ini semua yang hadir diingatkan untuk menjadikan al- Quran sebagai pegangan dan panduan serta sebagai asas dalam melaksanakan tugas dengan lebih berintegriti.

“Ia juga mengingatkan warga kerja untuk tidak mudah mengalah terutama ketika melaksanakan dasar dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MDHS pikat 1,600 peminat burung

OLEH NADIAH ZAMLUS

HULU SELANGOR, 23 APR: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berjaya menarik lebih 1,600 peminat burung termasuk dari luar negara.

Timbalan Yang Dipertuanya, Awaluddin Zakaria berkata, jumlah tersebut meningkat seganda berbanding 2017 yang menerima 800 peserta.

Katanya, ia menunjukkan pertandingan berprestasi antarabangsa itu semakin menarik minat orang ramai sekali gus meletakkan MDHS di mata dunia.

“MDHS hanya majlis daerah, tetapi saya berbangga kerana MDHS berjaya menganjurkan acara peringkat dunia sehingga menarik peserta dari India, Kemboja, Thailand, New Zealand dan juga Nepal.

“Penganjuran kali ketujuh ini turut melibatkan peserta Orang Kurang Upaya (OKU), pelajar sekolah dan juga penuntut universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Burung Antarabangsa Selangor, Wings of Kuala Kubu Bharu (KKB) (WOKKB) di Stadium MDHS, pada 21 April lalu.

Hadir sama Pengarah Perancangan Jabatan Perancang Bandar MDHS, Azlina Mokhtar, dan Pengurus Pembangunan Produk dan Perniagaan Tourism Selangor, Fadhirul Anuar Saleh.

Terdapat tiga kategori dipertandingkan WOKKB iaitu Pertandingan Melukis Burung, Pertandingan Kategori OKU dan juga Pertandingan Kategori Terbuka.

Awaluddin berkata, selain sayangkan alam sekitar, MDHS mahu Hulu Selangor diletakkan di mata dunia.

“Hulu Selangor mempunyai pelbagai keunikan flora fauna sehingga berjaya menarik minat orang ramai.

“Kini terdapat 150 spesies burung terdapat di sekitar Hulu Selangor dan 265 di Bukit Fraser.

“Saya turut berbangga dengan semua kakitangan MDHS yang bertungkus lumus menganjurkan acara di peringkat antarabangsa ini, pada 2019 MDHS sasarkan penyertaan yang lebih tinggi,” katanya.