Categories
PBT SELANGOR

MPKL tawar diskaun parkir sehingga 80 peratus selama setahun, mulai esok

SHAH ALAM, 8 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menawarkan pengurangan kadar kompaun tempat letak kereta sehingga 80 peratus selama setahun mulai esok.

MPKL menerusi Facebook memaklumkan potongan itu dibuat sempena sambutan ulang tahun pertama pihak berkuasa tempatan tersebut diiktiraf perbandaran.

“Bermula Khamis ini sehingga 9 September tahun depan, sebanyak 80 peratus ditawarkan bagi pengurangan kadar kompaun tempat letak kereta di sekitar kawasan MPKL,” katanya.

Orang ramai boleh membuat semakan kompaun secara dalam talian atau aplikasi Smart Selangor Parking.

Bayaran boleh dibuat secara tunai, kredit atau debit di kaunter bayaran MPKL, Jompay dan secara dalam talian.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-3181 1809 atau layari laman sesawang www.mpkl.gov.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan hari kemerdekaan: JPJ tawar diskaun saman 70 peratus

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman sehingga 70 peratus kepada semua saman JPJ yang boleh dikompaun bermula esok hingga 16 September depan.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan, saman yang tidak boleh dikompaun adalah kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

Menurut kenyataan itu, tawaran pengurangan pembayaran saman itu dilaksanakan bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan ke-64 yang bertemakan “Malaysia Prihatin” bagi tahun 2021.

“Pengurangan kompaun itu, akan diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya termasuklah kes yang masih dalam tindakan Senarai Hitam.

“Pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ,” demikian menurut kenyataan itu.

Tawaran ini turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuatkuasa, dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 Sept ini.

Urusan pembayaran notis saman ini boleh dibuat di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, kiosk atau secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).

“Walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki untuk hadir semula ke pejabat JPJ (cawangan atau negeri), bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.

“Tawaran pengurangan notis saman ini dibuat semata-mata bagi tujuan meringankan beban rakyat, selaras dengan kemelut ekonomi yang melanda segenap lapisan masyarakat di negara ekoran daripada pandemik Covid-19,” menurut kenyataan berkenaan.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MDKS tawar diskaun kompaun pelbagai kesalahan serendah RM20

SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan promosi bayaran kompaun serendah RM20 bagi pelbagai kesalahan mulai 1 Januari hingga 28 Februari.

MDKS berkata antara kesalahan yang diberi tawaran adalah kesalahan meletak kereta selain di petak orang kelainan upaya (OKU) dan petak khas.

“Manakala, mereka yang parkir di petak OKU pula dikena caj RM50. Bagi kesalahan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Penjaja pula tawaran sebanyak RM30.

“MDKS turut menawarkan pengurangan bagi kesalahan berkaitan Kawalan Halangan S46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 sebanyak RM50 dan (UUK) berkaitan perlesenan perniagaan (RM100),” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, tawaran RM250 bagi kesalahan Kawalan Bangunan S70(11) dan S70(13) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Kaedah bayaran boleh dibuat di i-services, kaunter bayaran MDKS, aplikasi Citizen e-Peyment (CEPat), wang pos atau bank draf.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun sehingga 50 peratus sempena ulang tahun

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan Kempen Pengurangan Kompaun sehingga 50 peratus sempena sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-20, bermula 1 hingga 30 Oktober.

Datuk bandar berkata jenis kompaun layak mendapat pengurangan adalah Undang-undang Kecil (UKK) Kedai Gunting Rambut 1983, UKK Taman 2005, UKK Vandalisme 2005, UKK Establisymen Makanan, UKK Pengendali Makanan, UKK Iklan, UKK Penjaja, UKK Pasar dan Perintah Pengangkutan Jalan 2007.

“Kempen ini antara inisiatif MBSA membantu dan menggalakkan mereka yang mempunyai tunggakan kompaun menyelesaikan bayaran, jadi kita harap kempen seumpama ini dapat membantu mereka.

“Orang ramai dinasihat mengambil peluang untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil antaranya sekatan urus niaga atau tindakan mahkamah,” kata Dato’ Haris Kasim selepas membentangkan Belanjawan MBSA 2021 di Wisma MBSA hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat bayaran di kaunter utama Wisma MBSA Persiaran Perbandaran Seksyen 14 serta pejabat MBSA cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam.

“Untuk kompaun kesalahan tempat letak kereta pula, orang ramai boleh menjelaskan bayaran melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan Bank Rakyat.

“Bayaran juga boleh dibuat menerusi JomPAY dengan hanya memasukkan kod bil 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK tawar bayaran kompaun serendah RM15

KLANG, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menawarkan pengurangan bayaran kompaun serendah RM15 bagi kesalahan letak kereta sempena sambutan Hari Malaysia.

Yang dipertuanya berkata kempen yang bermula 15 hingga 30 September depan bertemakan ‘Nikmati Lebih Potongan Harga Dengan Pembayaran Dalam Talian’ turut menawarkan rebat tambahan RM5 jika membuat bayaran secara dalam talian.

“Bagaimanapun kompaun yang dikeluarkan atas kesalahan meletak kenderaan di petak khas tidak termasuk dalam kempen ini,” kata Dr Ahmad Fadzil Ahmad Tajuddin ketika sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK hari ini.

Beliau menjelaskan sebanyak empat saluran pembayaran disediakan iaitu menerusi JomPay (Biller Code:84277), aplikasi Smart Parking MPKlang, mesin i-Kiosk di lobi ibu pejabat MPK dan i Pay MPK dengan melayari ipay.mpklang.gov.my.

Menurut Dr Ahmad Fadzil kesemua saluran pembayaran itu dibuka 24 jam sepanjang tempoh berkenaan.