Categories
SELANGOR

MPSJ gempur premis warga asing

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 15 MAC: Tujuh premis makanan tempatan diarahkan tutup selepas melanggar syarat undang-undang pelesenan dalam serbuan operasi bersepadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Serdang Perdana, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, tujuh premis berkenaan melakukan pelbagai kesalahan termasuk keadaan premis yang kotor serta terdapat haiwan perosak.

Malah, katanya, sebahagian pemilik premis itu turut menyewakan dan menggajikan premis mereka kepada warga asing.

“Dalam operasi bermula kira-kira jam 9 malam sehingga 2 pagi itu mendapati, premis makanan itu melanggar syarat undang-undang pelesenan dengan menggajikan pekerja warga asing secara haram selain keadaan premis yang kotor.

“Terdapat juga, pasangan suami atau isteri kepada warga asing berkenaan adalah warga tempatan yang memiliki lesen,” katanya.

Muhammad Azli berkata, tindakan penutupan premis itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MPSJ 2007.

Pada masa sama, katanya, fokus utama operasi itu dijalankan adalah mengesan dan mengambil tindakan tegas kepada perniagaan yang diuruskan warga asing.

“Untuk rekod, setakat Januari hingga Februari, sebanyak 300 operasi dijalankan MBPJ membabitkan tindakan kepada peniaga yang menggajikan warga asing tanpa permit yang sah dan lain-lain kesalahan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

YDP MPSJ terima anugerah khas KPKT

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan, menerima Anugerah Khas Wanita Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi Kategori Pegawai / Kakitangan Sektor Kerajaan Tempatan.

Anugerah berkenaan disampaikan Menterinya, Zuraida Kamaruddin pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 di Putrajaya, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategiknya, Azrafizal Abdul Rashid berkata, penganugerahan itu diberikan atas sumbangan dan jasa beliau di atas usaha pembangunan wanita.

“Antaranya inisiatif menjadikan MPSJ sebagai Bandar Mesra Wanita dan Program Pemberdayaan Komuniti Setempat melalui Projek Rejuvenasi Pangsapuri Enggang dan Pangsapuri Bandar Bukit Puchong.

“Penganjuran sambutan itu bertujuan memberi penghargaan kepada warga kerja wanita yang banyak menyumbang bakti dari pelbagai peringkat.

“Sambutan bertemakan ‘Balance for Better’ ini bertujuan memberi inspirasi kepada wanita untuk mengimbangi komitmen dan tanggungjawab dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.

Terdahulu, bekas YDP Majlis Daerah Hulu Selangor itu mengangkat sumpah sebagai YDP MPSJ pada 3 Januari tahun lalu.

Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sama ketika menerajui Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) hampir 11 tahun serta mempunyai pengalaman luas lebih 25 tahun dalam bidang perancangan pembangunan.

Pelantikan beliau itu menjadikannya wanita kedua menerajui pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar di Selangor selepas Datin Paduka Alinah Ahmad yang ketika itu bergelar Datuk Bandar Petaling Jaya pada 2013.

Categories
SELANGOR

MPSJ rai 600 kakitangan sempena Hari Wanita

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 8 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meraikan hampir 600 kakitangan wanitanya dengan memberikan hadiah misteri, sempena Hari Wanita 2019.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, ia bagi menghargai kerja keras kakitangan wanita yang selama ini berusaha menaikkan martabat MPSJ di peringkat negeri mahupun negara.

“Terima kasih atas usaha serta kesungguhan yang ditunjukkan selama ini, MPSJ amat menghargai setiap apa yang dilakukan,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat MPSJ, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Hamizun Mohamad Basar.

Noraini berkata, beliau mahu seluruh kakitangan wanitanya sentiasa menuntut ilmu dan memanfaatkan kelebihan untuk berbakti kepada masyarakat.

“Jangan lupa menjaga harga diri, sentiasa berkeyakinan dan perlu bijak dalam semua aspek termasuk penjagaan kesihatan dan diri selain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kebun Komuniti USJ 14 julang nama MPSJ

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SUBANG JAYA, 5 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Inisiatif Landskap Komuniti Terindah anjuran Jabatan Landskap Negara, pada 3 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, MPSJ melalui inisiatif Kebun Komuniti USJ 14 memenangi dalam kategori Landskap Komuniti Negara Taman.

Katanya, buat julung kali MPSJ menghantar 3 calon kebun komuniti untuk dipertandingkan, kebun itu adalah kebun komuniti USJ 6, USJ 12 dan USJ 14.

“Penilaian dibuat daripada aspek pengurusan organisasi, perancangan landskap komuniti, inisiatif perlandskapan, penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur hijau dan inisiatif peningkatan kualiti landskap.

“Hasil saringan, Kebun Komuniti USJ 14 terpilih menjadi 5 kumpulan terbaik dan 3 Mac (Ahad) lalu ia terpilih mendapat tempat kedua,” katanya dalam kenyataan.

Hadiah kemenangan berupa geran RM 15,000, sijil penyertaan dan plak kemenangan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Taman Botanik, Putrajaya.

Sementara itu, MPSJ turut membuka reruai pameran sempena Hari Landskap Negara yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac lalu.

Categories
PBT SELANGOR

Kutipan sampah percuma MPSJ sempena Tahun Baru Cina

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan perkhidmatan mengutip sampah pukal secara percuma di kawasan taman perumahan selama 12 hari bermula 28 Januari sehingga 8 Februari ini bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina 2019.

Timbalan Pengarah, Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik, Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan, perkhidmatan ini hanya dilaksanakan mengikut tempoh masa ditetapkan dan pihaknya tidak akan melaksanakan kutipan terbabit selepas tamat tempoh yang dinyatakan.

“Perkhidmatan kutipan sampah pukal ini akan dilakukan mengikut jadual kutipan sampah domestik di kawasan masing-masing melalui permohonan yang dikemukakan penduduk.

“Penduduk yang telah membuat permohonan dikehendaki meletakkan sampah pukal di hadapan rumah mereka bagi memudahkan pihak KDEB melaksanakan kerja kutipan sampah pukal tersebut secara berperingkat,” katanya.

Penduduk yang berminat dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menghubungi talian Jabatan Pengurusan Alam Sekitar seperti 03-80263182, 03-80264363, 03-80267430, 03-80267431 dan 03-80267433.

Categories
SELANGOR

JKP Zon 4 bolot Anugerah Keseluruhan Terbaik JKP MPSJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 19 JAN: Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 mengungguli Anugerah Keseluruhan Terbaik pada Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2018 yang berlangsung di Holiday Villa Hotel, di sini, malam tadi.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin sambil diiringi Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Dalam majlis penuh gilang gemilang itu, JKP Zon 4 menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, piala berserta sijil manakala JKP Zon 16 pula memenangi Anugerah Zon Bersih Keseluruhan Terbaik dengan membawa pulang RM3,000, piala dan sijil.

Noraini berkata, penganugerahan terbabit bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan barisan JKP yang berjaya melaksanakan fungsinya sebagai medium komunikasi antara pihaknya bersama penduduk.

Katanya, penghargaan itu wajar diberikan sebagai tanda galakan terhadap usaha JKP MPSJ terutama dalam memajukan dan berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Ia secara tidak langsung dapat mewujudkan persaingan secara sihat antara JKP dalam melaksanakan tanggungjawab diberikan melalui pembabitan 24 JKP MPSJ, selain menggalakkan penyertaan komuniti terhadap aktiviti kemasyarakatan.

“Selaras dengan objektif kami, anugerah ini juga bagi mewujudkan kawasan JKP yang bersih, cantik dan harmoni serta mementingkan sifat ‘Go Green’,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Turut hadir, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkarnain Che Ali.

Pada masa sama, Noraini berkata, rentak dan momentum kemenangan itu perlu diteruskan sebagai langkah bersama menyalurkan perkhidmatan berkualiti dan terbaik kepada penduduk.

“Saya berharap penduduk melalui JKP dapat memberi maklum balas terhadap sistem dasar, program dan aktiviti dilaksanakan oleh pentadbiran untuk menjayakan pelan strategik MPSJ 2012-2030.

“Kerjasama dua hala antara MPSJ dan penduduk, khususnya menerusi saluran JKP harus dijalinkan secara lebih erat lagi supaya setiap perkhidmatan disalur diterima setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Pertandingan Zon Bersih mula diperkenalkan Kerajaan Negeri pada 2010 dan MPSJ menganjurkan pertandingan itu mulai 2014 membabitkan empat JKP merangkumi Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Kinrara, Sri Serdang dan Seri Kembangan.

Antara kategori Zon Bersih dipertandingkan adalah Anugerah Program Kemasyarakatan JKP Terbaik, Anugerah Pengurusan INDEN JKP Terbaik, Anugerah Pemantauan Kebersihan Persekitaran, Anugerah Pemantauan Perkhidmatan Awam, Anugerah Dokumentasi dan Anugerah Inovasi.

Manakala bagi kategori JKP termasuk Anugerah Program Kemasyarakatan JKP Terbaik, Anugerah Pengurusan Kewangan JKP Terbaik, Anugerah Pengurusan Projek JKP Terbaik, Anugerah Kepimpinan JKP Terbak dan Anugerah Pegawai Kawasan JKP Terbaik.

Dalam majlis sama, klip video dan lagu tema ‘Program Komuniti Berdaya Komuniti Madani’ turut dilancarkan sebagai persediaan MPSJ mencapai status bandar raya.

 

 

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

JKP bantu sistem penyampaian MPSJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 19 JAN: Jawatankuasa Penduduk (JKP) menjadi tonggak penting dalam membantu meningkatkan kualiti penyampaian Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), khususnya kepada masyarakat setempat.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, peranan itu selaras dengan hala tuju menjadikan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit sebagai sebuah perbandaran mampan.

Katanya, ia juga bagi melahirkan komuniti madani seiring pelan tindakan strategik MPSJ 2012-2030 melalui pelbagai medium termasuk program dan aktiviti mingguan, mesyuarat dan media sosial.

“Kita membudayakan pembabitan JKP untuk turut bersama dengan MPSJ dalam program dan aktiviti dilaksanakan antaranya program zon bersih, memberdaya komuniti di pangsapuri kos rendah serta kesejahteraan masyarakat bandar yang memerlukan komitmennya.

“Malah, MPSJ sering dijadikan rujukan oleh rakan PBT daripada segi tadbir urus, perancangan dan pembangunan yang mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP peringkat MPSJ 2018 di Holiday Villa Hotel, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin; EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkarnain Che Ali.

JKP MPSJ mula ditubuhkan pada 10 Februari 2001 dan antara PBT pertama melaksanakan inisiatif itu.

Mempunyai 24 Zon mewakili hampir 790, 429 penduduk di seluruh kawasan pentadbiran berkenaan, penubuhannya sebagai mekanisme ke arah mewujudkan hubungan dua hala dan persefahaman melalui penganjuran program kemasyarakatan secara kolektif.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, pihaknya mengiktiraf sumbangan barisan JKP yang berjaya menjalankan fungsinya sebagai medium komunikasi kepada penduduk.

Katanya, hal itu kerana JKP berperanan penting untuk menyalurkan maklumat tepat, telus dan terperinci berhubung aktiviti, dasar serta perkembangan semasa pentadbiran kepada penduduk.

“Mereka turut mendapatkan maklumat berkaitan permasalahan dan aduan penduduk untuk diselesaikan di peringkat MPSJ.

“Pada masa sama, JKP juga menggalakkan pembabitan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan, selain merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan penduduk, sekali gus mewujudkan semangat perpaduan berbilang bangsa,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

MPSJ tahan 75 warga asing tanpa izin

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 19 JAN: Seramai 75 orang warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Premis Perniagaan dan Warga Asing tanpa izin oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Imigresen Selangor.

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, hasil pemeriksaan dijalankan semasa operasi itu juga mendapati terdapat peniaga serta warga asing tanpa izin yang melanggar peraturan ditetapkan.

“Antaranya, beroperasi tanpa lesen oleh warga asing yang tidak mempunyai permit dan melanggar peraturan yang ditetapkan serta melanggar syarat lesen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.

“Mereka ini juga dibawa ke lokap sementara di Pejabat Imigresen Selangor, Kompleks PKNS Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berkata, operasi dijalankan di tiga lokasi berbeza iaitu di sekitar kawasan Pasar Awam MPSJ SK 10, Seri Kembangan, Pusat Perniagaan Maju Jaya, Taman Puchong Utama serta Pusat Perniagaan Lagoon Perdana, PJS 9, Bandar Sunway.

Katanya, seramai 30 kakitangan Jabatan Pelesenan MPSJ serta 14 kakitangan Jabatan Imigresen Selangor terbabit di dalam operasi itu.

Pada masa sama, katanya, MPSJ akan meneruskan operasi bersepadu dari masa ke masa bagi memastikan peraturan dipatuhi oleh peniaga.

“MPSJ juga menyeru peniaga untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Taman Rekreasi Hutan Bandar lokasi pilihan riadah keluarga

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 11 JAN: Berada dalam kesibukan pusat bandar Subang Jaya, Taman Rekreasi Hutan Bandar adalah sebuah lokasi pilihan untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga mahupun rakan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 dan Rancangan Tempatan Subang Jaya 2035, perancangan dan pembangunan mampan serta mesra alam, taman berkenaan menjadi inisiatif ke arah Perbandaran Vibrant.

Katanya, cadangan pembangunan itu berkonsepkan hutan bandar bertujuan mewujudkan persekitaran segar, nyaman dan selesa untuk semua lapisan masyarakat terumatanya warga Subang Jaya.

“Kawasan tapak ini berpotensi tinggi sebagai taman rekreasi awam untuk riadah keluarga berikutan 70 peratus daripada guna tanah sekeliling adalah kawasan perumahan.

“Manakala 30 peratus adalah perindustrian dan sebagainya di mana rancangan pembangunannya siap pada April tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke taman itu bersama EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerbadayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Projek itu adalah Projek Hutan Bandar pertama di kawasan Subang Jaya dilaksanakan melalui pemuliharaan kawasan hutan belukar sedia ada dengan keluasan 7.86 ekar dan menelan belanja RM2.66 juta.

Taman berkenaan mempunyai landskap yang lembut iaitu pelbagai jenis pokok hutan tropika sesuai dengan iklim di Malaysia.

Sebanyak 8,288 pokok dari 29 spesis pokok ditanam di lima laman utama iaitu Laman Terapi, Laman Ilmu, Laman Herba dan Laman Permainan Kanak-Kanak.

Taman Rekreasi Hutan Bandar itu juga dapat dimanfaatkan sebagai ‘Intergrated Playground Centre’ kerana bakal menyediakan kemudahan komprehensif untuk komuniti.

Antara kemudahan seperti trek bersukan, ‘walk board’, taman hutan, ‘open lawn’, ‘mountainbike trail’, taman permainan kanak-kanak, gimnasium aktiviti luar dan kemudahan lain.

 

Categories
SELANGOR

MPSJ yakin Subang Jaya lebih bersih dikemdali KDEBWM

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 28 DIS : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yakin seluruh kawasan pentadbirannya akan lebih bersih apabila KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengambil alih pengurusan sisa pepejal mulai awal tahun depan.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, kawasan perkhidmatan di bawah seliaan KDEBWM nanti adalah meliputi perumahan, komersial, industri dan kampung tradisi.

“Saya percaya keputusan Kerajaan Negeri mengarahkan KDEBWM mengambil alih pengurusan sisa pepejal di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor adalah satu keputusan tepat.

“Malah, kecekapan KDEBWM selama dua tahun menguruskan sisa pepejal terbukti berkesan apabila berjaya dinobatkan sebagai ‘2018 Malaysia Smart Waste Solution Company Of The Year’ oleh firma Perunding dan Penyelidikan Antarabangsa Frost & Sullivan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll Bagi Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam di MPSJ di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan perasmian oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Pada masa sama, Noraini berkata, pihaknya yakin MPSJ adalah PBT paling bersih berbanding yang lain di Selangor.

“Namun, baru-baru ini, saya baru sahaja pulang dari Singapura, ia ternyata MPSJ belum setanding seperti negara terbabit.

“Bagaimanapun, saya optimis KDEBWM mampu menyelesaikan segala aduan yang wujud di MPSJ selama ini sekali gus menjadikan bandar ini lebih bersih dan indah,” katanya.

Katanya, kumpulan ‘whatsApp’ semua 24 zon Jawatankuasa Penduduk akan diwujudkan KDEBWM untuk makluman perkhidmatan dan maklum balas aduan serta pemantauan.

Terdahulu, sebanyak 65 kompaktor dan 62 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) akan disediakan di 127 kawasan sekitar pentadbiran MPSJ mulai esok dan bakal beroperasi pada 1 Januari tahun depan.

Categories
SELANGOR

KDEBWM mula operasi kutipan sisa pepejal di MPSJ, 1 Jan 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 28 DIS : KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan mula mengambil alih perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), bermula 1 Januari tahun depan.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya menjanjikan pengurusan berkualiti di kawasan MPSJ melalui satu modus operandi baharu berkonsepkan “Smart Waste Solution”.

Katanya, sebanyak 65 kompaktor dan 62 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) akan disediakan di 127 kawasan sekitar pentadbiran MPSJ mulai esok hingga Isnin ini.

“Ia mengetengahkan penggunaan lori kompaktor baru jenama terkenal dari Jepun dilengkapi sistem canggih untuk digunakan semua sub kontraktor di Subang Jaya ini.

“Penggunaan lori baru berteknologi tinggi dijangka bakal menyelesaikan isu tipikal sering dihadapi kontraktor seperti keadaan lori uzur, sering rosak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll Bagi Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam di MPSJ, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua lori itu akan dipantau pergerakannya melalui penggunaan Vehicle Monitoring System (VMS) secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) di Ibu Pejabat KDEBWM Shah Alam.

Katanya, penyerahan lori itu sejajar dengan komitmen KDEBWM yang membawa perubahan dan pembaharuan kepada perkhidmatan kutipan sampah domestik serta pembersihan awam lebih efektif juga efisien.

“Penggunaan lori kompaktor dan armroll yang seragam serta dilengkapi pelbagai peralatan berteknologi canggih akan dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal juga pembersihan awam di Selangor,” katanya.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja pembersihan berkenaan secara berperingkat.

Difahamkan, KDEBWM memulakan ‘pilot project’ di Majlis Perbandaran Klang pada 2016 dengan jaya dan telah mengambil alih pengurusan di semua pihak berkuasa tempatan di Selangor dengan terbaharu, Majlis Daerah Kuala Selangor dan MPSJ, bermula 1 Januari tahun depan.

 

Categories
SELANGOR

Jom ke Karnival Wanita Inspirasi Ekonomi sabtu ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 DIS: Orang ramai khususnya wanita dipelawa hadir ke Karnival Wanita Inspirasi Ekonomi anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), bertempat di Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7, pada 15 Disember ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, program kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) itu bermula seawal jam 8.30 hingga 6 petang.

“Karnival ini bermatlamat memberi peluang kepada wanita daripada golongan kurang berkemampuan mengikuti program berbentuk bengkel dan seminar usahawan, sekali gus boleh meningkatkan pendapatan bulanan.

“Secara tidak langsung, ia boleh mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk dan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.

Pelbagai aktiviti disusun sebagai pengisian program termasuk aktiviti Senamrobik, pameran Booth Agensi dan Booth Kraftangan selain Gerai Jualan Industri Kecil Sederhana (IKS).

Turut diadakan seminar Seminar Menguasai Otak Tengah dan Kuasa Aura untuk usahawan (11 pagi – 2 petang), Bengkel Rawatan Wajah Mobile Spa (12.30 tengahari – 2 petang), Bengkel Kek Viral
(2 petang – 4 petang) serta Bengkel Mee Kawah (4 petang – 5.30 petang).

Bagi memeriahkan acara, MPSJ juga mengadakan Pertandingan Gubahan Telekung, Pertandingan Gubahan Ukir Buahan dan Pertandingan Gubahan Sirih Junjung.

Sehubungan itu, mereka berminat menyertai seminar/bengkel itu boleh menghubungi Bahagian Khidmat Komuniti, Jabatan Pembangunan Masyarakat (Puan Hambiah), di talian 03– 56210060 Sambungan 166 atau 013-3347734 dengan membuat bayaran RM10 seorang bagi setiap seminar/bengkel yang mahu disertai.

Manakala, orang ramai yang berminat menyertai pertandingan, boleh menghubungi Bahagian Kompleks 3C, Jabatan Pembangunan Masyarakat (Puan Rahimah), di talian 03-56210060 sambungan 166 atau 019-3092123 dengan tiada sebarang bayaran dikenakan dan terhad kepada 20 peserta bagi setiap kategori pertandingan.