Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Selesaikan Masalah 10 Tahun Penduduk Lestari Perdana

SUBANG JAYA, 5 NOV : Sekumpulan 129 pemilik rumah di Lestari Perdana semalam bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berjaya menyelesaikan masalah hak milih tanah mereka yang berlanjutan lebih 10 tahun.

Kebanyakan pemilik rumah ditemui menjelaskan mereka menghadapi masalah untuk berurusan dengan pihak tertentu seperti institusi kewangan kerana tidak memiliki geran tanah.

Mereka menghadapi masalah selepas pemaju perumahan itu gagal membayar premium tanah kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pekerja Swasta, Abdul Ghani Saari, 45, dari Zon 9 berkata ketiadaan geran tanah telah mencacatkan pembangunan di perumahan tersebut.

“Memang banyak masalah dari segi kebersihan, kemudahan infrastruktur serta landskap.

?Sebelum ini kami sudah membayar (premium) kepada pemaju dan dia kata akan serahkan surat hakmilik ini kepada kami tetapi selepas itu senyap sebegitu sahaja,? kata Abdul Ghani yang telah menetap di situ selama 10 tahun.

“Apa dilakukan Kerajaan Negeri ni bagus dan terima kasih,” katanya kepada TVSelangor selepas menerima surat hakmilik daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid menyerahkan dokumen hakmilik Kepada Pembeli Rumah Teres Zon 6, 7 dan 9 Lestari Perdana di satu majlis di Dewan MPSJ semalam.

Pengurus projek, Yusman Jusof, 40, dari Zon 6 yang menetap di situ kira-kira lapan tahun berkata, dia menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman bank kerana tidak ada surat hakmilik.

“Satu usaha yang bagus dari Kerajaan Negeri bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik rumah,” katanya.

129 pemilik rumah itu adalah daripada jumlah keseluruhan 303 orang yang telah membayar premium RM 1,460 seperti ditetapkan pihak berkuasa negeri.

Abdul Khalid dalam sidang media selepas itu menjelaskan masalah itu kerana pemaju Fast Creasent Sdn Bhd (Fast Creasent) gagal membayar premium sebanyak RM 12.19 juta mengikut nilaian tanah pada 2002.

“Pemaju tidak menjalankan tangungjawab dengan tidak membayar premium.
Penduduk yang memiliki rumah telah membuat permohonan untuk mendapatkan geran tanah iaitu sehingga kini lebih daripada 10 tahun.

“Mereka bersetuju dengan cara dikendalikan (Kerajaan Negeri) iaitu mereka menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri mengembalikan hartanah mereka dalam bentuk geran,” katanya.

Abdul Khalid berkata, masalah berlaku kerana Kerajaan Umno-BN dahulu yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan Kanun Tanah Negara.

“Inilah buktinya (bekas Menteri Besar) Khir Toyo tidak menjalankan tugasnya.

?Kalau dia ikut cara yang kita lakukan ini, sudah tentu masalah tidak timbul pada hari ini.

?Masalah timbul ialah pentadbiran Kerajaan Negeri yang lepas tidak mentadbir mengikut tataracara yang dikehendaki di bawah Kanun Tanah Negara.

“Oleh sebab itu terdapat keadaan di mana akhirnya Pejabat Tanah dan Galian serta Pihak Berkuasa Tempatan menghadapi masalah untuk menyelesaikannya termasuk urusan pemilikan tanah.” katanya.

Menteri Besar berkata, melalui dasar kerajaan yang lama, kerja-kerja tanah dan pembangunan di atas tanah boleh dijalankan setelah kebenaran merancang serta pelan bangunan diluluskan PBT.

Ini berlaku walaupun premium dan dokumen hakmilik belum diselesaikan dan dikeluarkan.

Namun dasar tersebut, telah diberhentikan kerana ia mengakibatkan banyak projek perumahan terbengkalai.

Turut hadir, pada majlis semalam Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi dan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Kamarulzaman Jamil.

Categories
SELANGOR

Lapan Agensi Kerajaan Negeri Terima Imbuhan Tanda Penghargaan

SHAH ALAM, 16 OKT : Sejumlah RM20,000 akan diberikan kepada lapan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri kerana mencapai prestasi pengurusan memberangsang(sangat baik) seperti yang dilapor dalam  Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Lapan agensi tersebut ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam, Pejabat Menteri Besar/Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dan Perbendaharaan Negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kejayaan yang dicapai kesemua agensi terbabit amat membanggakan berbanding tahun 2010 di mana hanya empat jabatan dan agensi negeri mendapat penarafan empat bintang.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kakitangan Kerajaan Negeri semakin memahami hasrat Kerajaan Selangor yang mahukan pentadbiran negeri diurus secara telus dan bertanggungjawab terutama melibatkan pengurusan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai usaha Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSB) iaitu anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang menguruskan Universiti Selangor (Unisel).

Ini kerana katanya, PIYSB berjaya melaksanakan pelbagai pembaikan terhadap kelemahan yang dikesan pada tahun 2010 selain memperbetulkan masalah pentadbiran yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kejayaan itu termasuklah penambahan pengambilan pelajar yang meningkat kepada 11,880 orang pada Oktober 2012 berbanding 9,902 pada Oktober 2011.

Selain itu menurutnya, proses timbang tara antara Kerajaan Negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Jana Niaga Sdn Bhd juga akan mencapai keputusan positif.

“Kerajaan Negeri  menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan kerana sebelum ini audit dalaman tidak berfungsi dan Unisel terpaksa menggunakan khidmat audit luar. Audit kewangan Unisel bagi tahun 2008, 2009 dan 2010 telah siap ditandatangani dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan diadakan pada hujung tahun ini.

Sebelum tahun 2008, laporan audit kewangan Unisel tidak pernah dibuat.

“Justeru, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif ini untuk memastikan wang rakyat yang digunakan untuk mengurus Unisel ditadbir secara telus dan bebas penyelewengan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

RM70,000 Menunggu Pemenang Memancing GP Selangor

SHAH ALAM 05 OKT : Hadiah bernilai lebih RM70,000 bakal menanti peserta dalam Pertandingan Memancing GP Selangor Siri 9 yang akan diadakan pada Ahad ini di Taman Tasik Subang Ria, Subang Jaya.

Pertandingan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya ( MPSJ) pasti menggamit kaki-kaki pancing untuk menyertainya.

Juara pertandingan bakal membawa pulang wang tunai RM40,000 ; tempat ke dua sebanyak RM14,000 ; ketiga, RM7,000 ; keempat RM1,200  dan kelima RM600.

Hadiah wang tunai turut ditawarkan sehingga tempat ke 40.

Selain itu, turut diwujudkan kategori khas wanita yang menawarkan hadiah wang tunai hingga tempat ketiga.

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa empat televisyen LCD 32 inci dan 500 kemeja T kepada peserta yang mendaftar awal serta 10 hadiah cabutan bertuah lain.

Yuran penyertaan sebanyak RM90 akan dikenakan setiap seorang dan peserta hanya dibenarkan mendaftar satu joran sahaja.

Kaunter pendaftaran akan dibuka 24 jam bermula 12 tengahari Sabtu ini di lokasi pertandingan.

Sempena pertandingan itu, Exco Permodenan, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan negeri, Dr Yaakob Sapari melepaskan hampir satu tan ikan patin bernilai RM5,000 ke Tasik Subang Ria sebagai simbolik perasmian.

Untuk keterangan lanjut, peserta boleh menghubungi talian 013-358206, 016-2937741 dan 013-3838655.

Categories
NASIONAL

Kesesakan Punca Penduduk Subang Jaya Bantah Pembangunan

SUBANG JAYA, 8 SEPT : Pelbagai pembangunan di dalam bandar ini termasuk pembinaan tiga stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang sedang dijalankan dikuatiri menyebabkan kesesakan lalulintas menjadi lebih teruk.

Ini kerana pembangunan yang dirancang termasuk pasaraya pukal dan blok rumah kedai akan meningkatkan kepadatan bangunan dan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata pembangunan yang dirancang itu merangkumi kawasan USJ1, USJ21, SS15,SS16, PJS9 dan PJS11.

Mengikut perancangan Prasarana Negara Berhad (Prasarana) projek sambungan laluan LRT dari Kelana Jaya ke Subang melibatkan pembinaan beberapa stesen.

Stesen tersebut terletak di Persiaran Jengka (SS15 dan SS17), Persiaran Kewajipan (USJ6 dan USJ7) serta di USJ21. Ia dijangka siap sepenuhnya pada 2014.

Keadaan trafik di kawasan ini sudah berada pada tahap kritikal.

Sekarang ini LRT juga akan dibina dan dikatakan LRT akan membantu meringankan sistem trafik tetapi belum terbukti.

Untuk mengetahuinya kita kena tunggu LRT siap sepenuhnya dan baru kita tahu.

“Tetapi kalau dibenarkan semua pembangunan ini dibuat ia akan memberikan kesan kepada penduduk yang terpaksa menghadapi lebih kesesakan lalulintas.

Rata-rata penduduk di sini menyatakan bantahan terhadap perancangan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mempunyai pelan perancangan bandar yang diwartakan pada 27 Mei 2010 dan pihak tersebut telah menghebahkan kepada umum untuk bantahan awam yang berakhir pada 19 Mac lalu.

Berkutan itu, katanya, MPSJ akan mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa exco seperti Elizabeth Wong, Iskandar Abdul Samad dan Ronnie Liu.

“Kita harap Menteri Besar dan jawatankuasa ini mendengar suara penduduk dan tidak meluluskan projek pembangunan ini,” katanya.

Sementara itu, Wakil penduduk USJ1 JKP Zon 4, Zulfazli Saharuddin, 37, berkata, ketika ini memang terdapat empat atau lima projek pembangunan yang dijalankan di kawasan ini yang menyebabkan aliran trafik di situ menjadi bertambah kritikal.

“Keadaan ini menyebabkan kebanyakan penduduk tidak bersetuju dengan pembangunan dibuat.

Kita tidak menghalang sebarang pembangunan tetapi apa dirancang itu perlu dibuat dengan teliti supaya tidak menambah masalah,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

MPSJ Tingkat Mutu Khidmat Pelanggan

SUBANG JAYA 27 JULAI : Dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan pelanggan, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)  melancarkan Pusat Panggilan Setempat (Call Centre) yang mula beroperasi semalam.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, pusat panggilan setempat itu merupakan inisiatif terbaru pihak Majlis dalam menambah baik perkhidmatan pelanggan untuk melayani pertanyaan melalui talian telefon.

Beliau berkata, ia juga bertujuan untuk menerima dan menguruskan aduan awam selain menyemak status permohonan perkhidmatan yang telah dibuat.

“Untuk mengemukakan aduan atau pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi terus talian 03-80247700. Pengoperasian pusat panggilan setempat ini adalah mengikut fasa iaitu buat masa ini hanya urusan pertanyaan dan penerimaan aduan sahaja yang boleh dilakukan.

” Kemudahan semakan status permohonan perkhidmatan akan dilaksanakan dalam fasa kedua setelah pembangunan sistem sokongan selesai dilaksanakan,”katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat MPSJ di sini pagi tadi.

Menurutnya, talian pusat panggilan setempat ini akan menggantinkan talian hotline sedia ada.

“Walaubagaimanapun, talian hotline masih beroperasi untuk tempoh sebulan lagi bagi memberi peluang kepada pelanggan mengetahui berkaitan nombor telefon Pusat Panggilan Setempat yang baru,” katanya lagi.